"Bila lagi nak dapat kunci?"
Alhamdulillah, setelah berbulan-bulan menunggu dan menelefon pihak peguam [dalam penantian, saya belajar menjadi orang yang asertif bila berurusan dengan peguam, hehehe], akhirnya kunci yang dinanti-nantikan jatuh ke tangan saya jua. Bukan kunci hati [itu sudah lama bertuan] tetapi kunci rumah.
Akhirnya saya menjadi pemilik baru sebuah rumah bertingkat dua, sementara menanti rumah lama yang ditinggalkan itu dijual. Rumah yang pernah saya ceritakan di sini diharap mendapat keberkatan Allah swt, bukan sahaja untuk didiami kami sekeluarga tetapi juga untuk aktiviti sampingan pembelajaran Islam dan berdakwah. InsyaAllah akan lebih mudah untuk mengadakan perjumpaan dan kelas agama kelak dengan adanya sebuah rumah yang lebih besar daripada yang kami diami sekarang [apa-apa program pun tentu dengan kehadiran suami]. Ketika memulakan proses pembelian, memang saya berserah dan bertawakkal sahaja padaNya; jikalau rumah ini yang terbaik untuk kami sekeluarga [saya, suami dan anak-anak kami] permudahkanlah segala urusan kami. Bawakanlah kami kepada mereka-mereka yang berjiwa Islam dan yang ikhlas menjalin ukhawah di kawasan perumahan tersebut. Saya juga mengharapkan surau atau masjid yang aktif di situ, serta seorang ustazah yang dapat menjadi guru saya secara tetap di kawasan yang sama.
Walaupun banyak perkara lagi yang perlu diselesaikan sebelum dapat berpindah masuk ke rumah itu, saya amat bersyukur kerana akhirnya kami bakal mempunyai tempat tinggal yang tetap setelah lama menjadi penyewa. Alhamdulillah...
Nampaknya akan semakin sibuklah selepas ini.
Minggu ini sahaja, saya sibuk selepas sekolah dibuka semula. Markah-markah perlu diisi. Projek Mag Inc perlu dikutip, diedit dan dihantar. Teks syarahan saya perlu dihafal semula. InsyaAllah, Jumaat ini kami akan bertolak pula ke KLIA seterusnya melawat UiTM Segamat buat pertama kalinya. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kami dan permudahkan segala urusan, ameen.
alangkah indahnya setiap saat boleh menyumbang utk islam...semoga rahmatNya sentiasa menaungi akk dan insan2 yg inginkan Islam..
ReplyDeleteSalam AnjeRuby,
ReplyDeleteSelamat datang ke sini, dan semoga bahan dalam blog ini bermanfaat kepada saudari, insyaAllah.