Monday, June 15

BUKAN SEKADAR MARKAH

"Ohh, baiknya kamu berdua.. sehati sejiwa.. bolehlah minta mak kamu pinang dia jadi isteri kamu," saya mengenitkan mata pada si anak dara.
"Saya tak mahu dia, cikgu!" pantas si dara menjawab.
Pucat wajah mereka. Terpinga-pinga. Maklumlah baru hari pertama kembali ke sekolah selepas 2 minggu bercuti, sudah dipanggil mengadap Cikgu Aliya. Tak ingat lagi kesalahan yang mereka lakukan.
"Kamu tahu mengapa cikgu panggil ke sini?"
"Err.. tak tau..?"
"Hebat kamu berdua ni, tak sangka sungguh kamu ada kuasa khas. Ada kuasa telepati, nohhh.. sama sahaja jawapan kamu berdua..setiap patah perkataan. Tolong jelaskan mengapa dua jawapan ini sama sahaja?"
Saya letakkan 2 keping kertas jawapan di hadapan mereka. Yang teruna menggaru-garu kepala yang tidak gatal, yang dara pula tersengih malu. Ah, drama hari pertama sekolah dibuka untuk semester kedua. Banyak lagi drama yang menanti selepas ini.
Saya kecewa bercampur geram. Tak sangka pelajar-pelajar tersebut yang selama ini pelajar yang baik dan tidak pernah menimbulkan masalah, sanggup bertindak sedemikian.
"Ya.. siapa nak cakap dulu? Nak saya jadi harimau garang, baru nak jawab?"
"Errr.. dia tiru saya," kata si dara.
"Kenapa dia tiru? Awak bagi dia atau dia minta?"
"Dia tanya saya.. dia tak tahu jawab."
"Oh, baiknya kamu. Dia tak tahu maka kamu terus bagi jawapan? Apa lagi kamu tolong? Ini bukan tolong dapat pahala tau, tolong diri sendiri tambah dosa ada!"
Saya memandang si teruna. "Betul kamu tiru? "
Si teruna angguk kepala.
"Issh,ishhh.. ada otak tapi malas nak guna. Kamu fikir kamu dapat terlepas daripada dihukum? Dapat markah begini, seronokkah kamu sedangkan ini bukan hasil kerja kamu sendiri? Kamu bukan saja tipu cikgu dan ibu bapa kamu, lebih dashyat lagi kamu tipu diri sendiri. Kamu takkan tahu keupayaan kamu yang sebenar. "
Si teruna tundukkan kepala.
"Baiklah, sebab dua-dua sehati sejiwa, cikgu akan hukum sama berat. Cikgu harap ini kali terakhir kamu bertindak begini, bukan sahaja untuk kertas mata pelajaran yang cikgu ajar tetapi untuk kertas-kertas subjek lain. Menipu merugikan diri sendiri, ingat tu."
Mereka mengangguk. Saya teruskan memanggil mereka yang disyaki bersubahat ketika peperiksaan yang baru tamat. Adalah beberapa kerat yang menyangka saya tidak akan ambil kisah. Tapi memang saya kisah. Ini satu wabak yang harus dihentikan. Biar mereka tahu tindakan mereka hanya merugikan diri sendiri. Mungkin selama ini, mereka teruskan kerana tidak pernah ditegur atau tidak pernah ditangkap.

Gejala meniru bukan sahaja berlaku di peringkat sekolah, malah lebih dasyhat lagi di peringkat pengajian tinggi. Demi nak markah dan gred yang lebih tinggi, ada yang sanggup menanggung risiko dibuang pihak institusi sekiranya ditangkap atas kesalahan ini. Berbaloikah? Ada yang menyalin jawapan lalu selit dalam pakaian, untuk dibuka semula sebagai rujukan ketika berada di dalam tandas ketika waktu peperiksaan. Ada yang menyalin nota di sebalik tudung. Ada juga yang lebih berani, menghulurkan slip kertas di dewan peperiksaan apabila pengawas peperiksaan berada jauh dari tempt duduk mereka. Memang la, orang tak nampak, yang nampak terlalu sibuk menjawab soalan untuk melaporkan, dan tidak kurang juga yang turut berbisik meminta tip jawapan.

Segelintir pula sanggup mengupah orang lain beratus-ratus ringgit untuk menyiapkan assignmentnya dengan alasan dia tidak pandai atau tiada masa yang mencukupi. "A la, ramai yang buat gitu, bukan saya seorang. Janji pass la. Buat apa susah-susah?" ada juga yang cuba mneghasut kawan lain untuk terlibat.
Tapi perlu fikir.. apakah nilai markah dan gred yang diterima hasil daripada meniru? Berkatkah?
Apakah nilai segulung sijil atau ijazah yang telah dicemari dengan satu tindakan meniru?
Sijil atau ijazah itu yang bakal digunakan untuk mendapatkan pekerjaan dan menanggung makan minum diri sendiri dan ahli keluarga.. kalau kita kata amalan rasuah itu berdosa dan wang yang didapati daripada amalan rasuah tidak berkat, bagaimana pula dengan amalan meniru untuk mendapatkan gred kelulusan yang lebih tinggi?
Meniru untuk mempamerkan diri seolah-olah lebih bijak tanpa berusaha adalah tindakan menipu. Tipu diri sendiri dan tipu orang lain. Bukankah ia hanya menyusahkan diri sendiri kelak apabila penipuan itu akhirnya didedahkan?
Atau adakah meniru sudah menjadi satu kebiasaan, sehingga tiada sesiapa lagi yang ambil peduli.
"Biarkanlah.. kalau ramai gagal, kita juga yang susah.." Alasan penipuan ini dibiarkan berterusan dengan menutup sebelah mata?

5 comments:

  1. Assalamualaikum.

    Natijah meniru demi meluluskan diri baik di dalam peperiksaan mana pun akan menghasilkan orang yang kelak membahayakan bukan hanya diri sendiri tetapi segenap strata masyarakat.

    Segala projek yang ranap runtuh hasil kerja mereka yang tidak benar benar pakar didalam kerjaya mereka adalah hasil dari perbuatan meniru dan menipu sejak di peringkat sekolah rendah lagi.

    Ramai pelajar kolej dan universiti tempatan Malaysia meniru dan menipu untuk lulus peperiksaan.

    Ramai pensyarah di paksa meluluskan pelajar yang kurang mahir demi menjaga prestij kolej dan universiti mereka.

    Hasilnya, graduan cap ayam.

    Bila diberi tanggungjawab sepertimana kelulusan mereka, hasilnya kerja tahap amatur dan gagal.

    Semuanya berasaskan penipuan. Sebab itu lah mutu IPTA dan IPTS Malaysia jatuh merudum.

    Tak ingatkah kes pensyarah USIM letak jawatan sebab tak rela memberikan markah meluluskan pelajar yang sebenarnya tak layak lulus tempohari?

    Kuatkuasakan undang undang dan jangan beri muka sekiranya hendak melihat anak bangsa negara ini maju di masa depan.

    Bila tutup sebelah mata sekarang, bersedialah menerima kehancuran negara ini di masa depan disebabkan graduan kelas entah apa apa?

    ReplyDelete
  2. Salam kak Aliya.. nice post.. tapi tujuan saya tulis kt sini, bukan sbb nk komen pasal post ni, tapi nk mintak pendapat Kak Aliya sikit.

    saya seorg pelajar perubatan. Pagi ni saya ade interview seorg pakcik cina umur 75 beragama Buddha. Orgnya sgt baik. sgt peramah. dia ade kanser usus. mule2 sembang, tertarik ngan cara dia cerita psl cara dia terima semua musibah yg menimpa dia skrg ni, sbg ujian Tuhan.. dia kata, semua kuasa Allah Taala.. saya cm tergamam jap (jakun) tertanye dlm hati Islam kah pakcik ni?? pastu dengar cerita drpd member pulak yg turut sembang dgn pakcik ni, dia kata pakcik ni ade cerita pasal dia minat ngan Islam dan selalu ikut cermah agama.. tapi dia xmasuk Islam sbb isteri dia tak terima..

    sbg seorg yg jahil dan xtau cmner nk approach pakcik ni, saya nk mintak pendapat kak Aliya.. ape yg patut saya buat???

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam sifu,
    Itulah masalah dalam sistem pendidikan kita sekarang. Yang mengejar kelulusan sanggup menipu [bukan semua tapi cukup untuk membimbangkan kita] manakala yang tidak kisah dia lulus atau gagal menimbulkan pelbagai masalah disiplin di sekolah [diberhentikan masih boleh daftar semula di sekolah lain].Bukankah baru-baru ini terdpat 2 pelajar phD yang diberhentikan kerana didapati menipu hasil kerja?

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam Awis Qarni,
    Orang tua seperti pakcik itu masih terikat dengan amalan nenek moyang. Walaupun dia percaya pada Allah, dia takut meneruskan hasrat kerana halangan keluarga. Cuba anda tanya pada uncle itu, apakah perancangan uncle bila sembuh? Uncle tahu umurnya sudah pendek, dgn keadaan sakit dan usia lanjut, bersediakah dia untuk ke dunia lain? Dengar pendapatnya, dan terangkan kepadanya konsep padang masyhar, iaitu hari pembalasan mengikut Islam. Nyatakan dalam bentuk kisah terdapat orang yg memeluk Islam pada usianya amat bertuah kerana segala dosanya selama 73 terhapus begitu sahaja. Dan begitu mudahnya menjadi Muslim, hanya dgn 2 kalimah syahadah. Tak perlulah stres dia dengan masalah perlu beritahu keluarga, kerana Allah tetap akan terima orang yang Islam walaupun meninggal sebaik sahaja mengucap syahadah. Saya doakan.

    ReplyDelete
  5. Ok saya cuba.. kalau ade ape2 perkembangan, saya bgtau Kak Aliya..

    ReplyDelete