Thursday, June 11

TUDUNG LABUH, TUDUNG BIASA

Hari pertama bergelar Muslimah:

"Aliya, kamu tak perlu tergesa-gesa pakai tudung. Ambil masa, jangan ikut desakan orang," tiba-tiba seorang pensyarah saya memberi nasihat setelah berita saya baru memeluk Islam sampai kepada pengetahuannya.
Saya terdiam. Aduh, konfus konfus.. mengapa dia berkata begitu? Bukankah pemakaian tudung wajib untuk semua wanita Islam? Cuma kerana saya masih baru, saya tidak boleh terus dipaksa, hanya boleh dinasihati. Saya angguk sahaja kepadanya sambil mengiakan; kerana dia pensyarah lelaki, tetapi dalam hati terfikir juga - adakah isterinya memakai tudung?

Ustazah-ustazah yang mendampingi saya dahulu juga tidak pernah menasihati atau menerangkan kepada saya akan keperluan memakai tudung. Mungkin kerana menganggap saya masih baru bergelar Muslimah. Terkejut mereka apabila saya muncul di hadapan mereka memakai tudung dua minggu kemudiannya [alhamdulillah, mengikut pengakuan mereka, beberapa orang mualaf sebelum saya juga mengambil keputusan memakai tudung tanpa campurtangan pihak universiti]. Alhamdulillah, kami sedar tanggungjawab kami sebagai Muslimah walaupun berat mulut ustazah untuk menasihati.

Baru-baru ini

"Akak tak nak cubakah tudung 60 inci?"

"Tak mahulah, nanti nampak macam ustazah jer," katanya.

Saya tersenyum."Tak baikkah digelar ustazah?"

"Rasa diri tak layak la Aliya. Orang yang pakai tudung labuh[besar] orang yang kuat agama. Kita yang biasa-biasa ni, cukuplah tudung biasa."

Orang biasa-biasa hanya perlu bertudung biasa? Mengapakah mereka fobia dengan tudung besar labuh itu? Ada tag tertentukah yang ditujukan kepada Muslimah bertudung besar labuh?


Tudung biasa, tudung 45-50 inci. Lipat jadi tiga segi untuk menutup kepala. Tapi masalahnya, untuk menutup aurat [rambut]dengan sempurna, perlu pastikan tudung itu menutup bahagian dada di samping rambut di kepala. Kalau pakai tudung bawal berwarna cerah atau tudung kain chiffon, akan timbul masalah. Kadang-kadang bila dipakai, dada ditutup tetapi bentuk leher samar-samar kelihatan. Kadang-kadang bila dipakai, ada bahagian dada yang masih terdedah. Kalau nak kelihatan kemas dan menutup aurat kepala dengan sempurna, kadang-kadang perlu melipat berulang kali supaya tudung itu cukup labuh tetapi masih menutup bahagian leher dengan elok. Dahulu saya pakai juga anak tudung yang menutupi bahagian leher sebelum memakai tudung biasa supaya tidak bentuk leher tidak kelihatan tetapi kini, dalam cuaca yang semakin panas, tak sanggup la, berpeluh di bahagian leher, berwap! Sebab itu kini jarang memakai tudung yang berwarna cerah, kerana mahu elakkan memakai tudung 2 lapis.
Kelebihan tudung bersaiz 60 inci adalah ia lebih mudah dipakai, walaupun lebih susah untuk diseterika.
Tak kira bagaimana kita lilit di atas kepala, ia masih akan jatuh elok menutupi bahagian dada, dan turut menutupi bahagian pinggang si pemakai dari dilihat orang di belakang [tak nampak sangat kita ini berbadan ala kerengga atau ala bola]. Satu kelebihan lagi, apabila memakai tudung labuh begini, diri lebih berhati-hati dalam penampilan - tak sesuai la bertudung labuh tetapi memakai t-shirt lengan pendek, tidak sesuailah bermekap tebal ala opera cina bila bertudung labuh, kerana imej Muslimah bertudung labuh bukan begitu!Cuma masalahnya, bukan mudah hendak mendapatkan tudung bersaiz 60 inci di kedai-kedai. [mujur ada butik online sekarang, boleh tempah].

Ada orang berkata, Muslimah yang bertudung besar dan labuh, orangnya yang lebih alim dan berwatakan lebih serius. Ada pula yang berpendapat, hanya tudung labuh yang paling sesuai untuk Muslimah. Bagi saya pula, tak kiralah tudung apa jenis pun, asalkan ia dapat menutup aurat [rambut, leher, dada] dengan sempurna. Malah sekiranya pandai melilit selendang tebal menutup aurat di kepala dan dada, itu sudah memadai! Bukannya Islam nyatakan mesti pakai tudung labuh bidang 60 inci baru jadi Muslimah sejati, huhuhu. Tolong jangan fikir sebegitu! Muslimah yang bertudung biasa bidang 45 inci juga sudah sempurna menutup aurat sekiranya tudung itu tidak jarang dan dapat menutupi dadanya, serta dia memakai pakaian yang labuh, stokin tangan serta stokin kaki.

"You tak macam [Muslimah yang saya kenal] yang lain, you boleh lawak dengan kami, sporting, tak kedekut ilmu, tak sangka I. I dulu fikir you sombong dan fanatik agama, sorry ahhh," komen seorang wanita Cina kepada seorang Muslimah bertudung besar dan labuh.

NonMuslim banyak berkawan dengan mereka yang bertudung biasa atau tidak bertudung langsung, tetapi takut mendekati Muslimah bertudung besar, kerana menganggap mereka estrimis agama. Tengok cara pemakaian Muslimah yang menutup aurat, dengan stokin tangan dan kaki serta tudung labuh, mereka takut. Bukan takut dibunuh, tetapi takut tak bertempat; takut akan sentiasa disebut-sebutkan Islam di hadapan mereka dan disuruh masuk Islam. Padahal bukan semua Muslimah bertudung besar labuh berwatak serius. Kebaikannya pula, NonMuslim anggap Muslimah bertudung besar kuat beragama, dan kalau ada persoalan tentang agama Islam, akan lebih suka merujuk kepada golongan ini [bermakna bersedialah selalu untuk menjadi jurucakap Islam]. Cuma satu sahaja - Muslimah juga perlu bersikap peramah dengan nonMuslim lain. Janganlah asyik bergaul dengan clique anda sahaja. [saya dapati Muslimah bertudung besar jarang berkawan dengan wanita nonMuslim, mengapa?].

Cuma saya harap, Muslimah yang melabuhkan tudung sehingga menutupi dada [tak kiralah bidang 45 inci atau 60 inci], tolong jagalah imej anda sebagai wanita Islam. Ketahuilah bahawa tugas menyebarkan dakwah Islamiyah juga berlaku tanpa kita sedari, iaitu apabila masyarakat sekeliling menilai Islam melalui tingkahlaku dan percakapan kita yang bertudung, lebih-lebih lagi Muslimah bertudung labuh 60 inci. Ada suara sumbang yang memerli dengan menyatakan bahawa di sebalik tudung litup Muslimah, bahasa yang digunakannya bukan main kasar lagi, lebih mengumpat daripada memuji, tingkahlaku lebih teruk daripada yang tidak bertudung [alasan mereka untuk tidak bertudung]Hal itu saya tidak mengiakan mahupun menafikan; kerana tiada sesiapapun yang tidak melakukan kesalahan. Cuma kita yang bertudung perlu sentiasa cermin diri sendiri, jaga penampilan dan perwatakan kita. Jangan kita pula turut terbabit dalam 'skandal' sebegitu dan merosakkan nama baik Islam.

Saya pula bukan bertudung besar labuh sepenuh masa, bergantung kepada keadaan. Ada masanya saya bertudung biasa, ada ketikanya saya melilit selendang di atas tudung ekin, dan bila mengejar waktu, saya capai sahaja tudung berbidang 60 inci yang tergantung atau tudung ekin berbidang besar. Kebebasan begini lebih memudahkan bagi saya daripada menetap satu sahaja cara penampilan bertudung.

Alhamdulillah, sekarang bertambah koleksi tudung dalam almari. Nanti saya tunjukkan apa yang terkumpul dalam tempoh 2 tahun setengah bergelar Muslimah. Terima kasih kepada yun yang menghadiahkan 2 tudung kepada saya yang saya terima semalam, semoga Allah berkati dengan rezeki halal yang melimpah :)

16 comments:

  1. Saya seorang yang sudah biasa menggunakan tudung bidang 60, kerana ia paling sesuai dengan size saya (read:besar :D).

    Saya setuju dengan Aliya, tidak perlu tudung bidang 60 untuk menjadi muslimah sejati, asalkan tutup aurat dengan cukup syarat, dan menggunakan apa yang sesuai dengan gaya hidup dan keperluan masing-masing.

    "Saya dapati Muslimah bertudung besar jarang berkawan dengan wanita nonMuslim, mengapa?"

    Saya rasa ia merupakan senario biasa, dan juga merupakan satu sindrom 'comfort in sameness'. Kemungkinan juga semasa bersekolah atau pada zaman remaja, tidak terdedah kepada pergaulan majmuk (cth, sekolah asrama, sekolah agama dan sebagainya). Sikap ini kemudian terbawa-bawa hingga ke alam universiti dan juga kerja, mereka menjadi kekok atau tidak biasa untuk bergaul rata dengan semua lapisan masyarakat. Walahualam.

    ReplyDelete
  2. salam kak aliya,
    nani ni jenis yang pakai size dr 45 smpai 60, ikut padanan dgn baju. lagipun kan kak aliya, asalkan nani pakai tu tutup semua yang dah Allah SWT suruh, tak kisahlah saiz apa pun. janji tak jarang (dah jarang tu sama saja macam tak tutup).

    about tudung labuh people not mixing with non-muslims..i dont exactly know why. but i do notice it sometimes. argh, maybe they're just not comfortable kot?

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam SnV,
    Setuju dengan pendapat anda. Inilah masalah yang wujud di kalangan anak-anak muda; jarang berpeluang bergaul dengan orang yang sebangsa dan seagama, kerana faktor sekolah dan tempat tinggal. Akibatnya ramai yang menjadi tidak sensitif dengan budaya serta adat resam bangsa lain, dan tidak tahu bagaimana mendekati nonMuslim dengan cara yang baik. Bagi saya, pergaulan antara kaum lebih baik pada zaman persekolahan saya berbanding sekarang.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam Nani,
    Ya, samalah kita. Kalau tudung jarang, perlu pakai anak tudung panjang di bawahnya. Pelik juga, orang sanggup bayar berpuluh-puluh ringgit untuk sehelai tudung bawal yang agak jarang kainnya kemudian pakai keluar rumah dengan bentuk leher dan telinga jelas kelihatan di sebalik tudung, aduh..itu bukan menup aurat namanya

    ReplyDelete
  5. Saya rasa la kan, Lecturer Kak Alya tu cuma taknak Kak dpat culture shock baru masuk Islam,

    Mungkin sesetengah Muslim revert yang lebih selesa untuk berubah secara beransur-ansur. Sedikit, demi sedikit.

    ReplyDelete
  6. Assalamu'alaikum, kak aliya,nice posting..personally, I don't really agree when people try to judge others based on what they wear..i thnik it happns to men also.for instance, people tend to judge those who wear kufi n juabh as a very good prsn.i don' thnk it's right to say so..i've a couple of friends who wear kufi n tudung labuh yet they don't really portray a good image of Islam..they look down of others, and easyly put label on others..Is it right??Astaghfirullah, May Allah forgive all of us..

    ReplyDelete
  7. Salam Nazri,
    Ya, mungkin. Saya bersangka baik padanya, walaupun saya kurang bersetuju dengan cara pendekatannya.

    ReplyDelete
  8. The HumbleWayFarer,
    It's not right. The disease of looking down on others who are 'less approprately dressed than I' is very common, but among Muslim Malays,it's also tied to "I am more religious and better than you". Too bad. The only way to fight that evil temptation is to look up to Allah, so that we'll always be humble and help others.

    ReplyDelete
  9. Assalamualiakum aliya...bagus cara pendekatan yang saudara baru macam aliya ambil... kadang tu kita nampak org bertudung tapi pakai baju ketat,baju sengkat, buat maksiat dan macam-macam lah. malu pada saudara baru macam aliya yang lebih faham tentang islam dr mereka yg lahir telah islam...tudung yang dipakai gagal dijadikan benteng dari melakukan maksiat dan dosa.
    apapun tahniah.

    ReplyDelete
  10. Waalaikumussalam Nieda,
    Kesedaran timbul melalui banyak pembacaan dan alhamdulillah Allah lembutkan hati untuk menutup aurat sepenuhnya.. bagi yang lahir dalam keluarga Islam, perlu bermula di rumah, melalui nasihat dan contoh daripada ibu bapa sendiri..berapa ramaikah bapa dan suami yang hadiahkan tudung serta stokin tangan kepada isteri & anak2 perempuan mereka, berbanding majalah hiburan dll?

    ReplyDelete
  11. Assalammualaikum Aliya,
    Dulu sy pakai tudung biasa..kemudian pakai tudung labuh. Alhamdulillah dpt suami seorang yg amat mementingkan penutupan aurat.Skrg sy lebih selesa pakai tudung labuh dan mendidik anak2 dgn aurat sedemikian..

    ReplyDelete
  12. Waalaikumussalam Umiafdhal5,
    Sama-sama kita.. syukur dapat suami yang turut membantu menjaga aurat isteri :)

    ReplyDelete
  13. Assalaamualaikum.

    Hi Aliya, it's nice to know you from here. Saya pun baru je baca blog awak ni..and about tudung, it is not so easy to explain sometimes.

    Saya akui, saya pun kira lebih kurang baru jugalah pakai tudung ni...tak sampai 2 tahun lagi. Tentang tudung labuh atau tidak, personally saya rasa selesa bertudung labuh sekurang2nya labuh sedikit dari dada. Ada juga family dn kawan2 yg rasa saya macam terlalu drastik berubah, tapi saya pun tak taulah, hati yg ingin sendiri....but it is hard, coz wearing hijab or covering you aurat is not only about 'tudung' but overall of your garment too. Most importantly how to hijab your heart from riya' and how to keep doing it for Allah. Hijab mempunyai makna yg cukup besar dalam Islam, bukan setakat menutup aurat sahaja. sesungguhnya ilmu Allah itu Allah yg punya.

    I am still learning, and i hope it will get me closer to my Creator, Allah SWT.

    ReplyDelete
  14. Waalaikumussalam daughter,
    Alhamdulillah... happy to hear from you.
    Yes, we should continue learning until our last breath. May Allah SWT bless and guide you, always.

    ReplyDelete
  15. Assalamualaikum.
    Nampak orang lain komen.
    terasa juga diri nak komen.

    Alhamdulillah.
    Saya telah dididik oleh ummi dan abah saya
    untuk memakai pakaian yang menutup aurat.

    Tudung labuh VS Tudung kurang labuh.

    Bagi saya., lebih sopan dan lebih manis pakai tudung yang labuh.

    sebab apa?
    sebab bila kita pakai tudung yang labuh..,
    orang akan pandang kita org yg baik2.
    Jadi,. di situlah kita cuba untuk menjadi orang yang baik.! Sebab, bila kita pakai tudung yang labuh.., banyak benda yang perlu kita jaga dan perhatikan,.

    Dan.. betul jugak..
    bila kita pakai tudung labuh.., mestilah kita segan nak pakai seluar ketat2 dan baju kecik2 kan?

    ^^
    Lagi pun., pakai tudung labuh lebih selamat.

    hanya berkongsi pendapat.
    Wallahua'lam :)

    ReplyDelete