"Mai sini, cuba ambil 4 kertas?"
Teringat sewaktu kecil-kecil dahulu, jiran saya suka mengacukan beberapa keping kertas bergulung kepada saya.
Saya yang tidak tahu apa-apa mengikut sahaja arahannya. Saya ambil 4 kertas bergulung lalu membuka satu persatu. 3-6-2-9.. saya baca, dan pakcik itu akan tulis sebelum beredar keluar rumah.
Apabila saya semakin besar, barulah saya sedar apa yang dilakukannya.
Ahhh... beli nombor ekor.
"Beli nombor" satu amalan biasa dalam masyarakat Cina, terutama yang agak tua. Saya ingat lagi, Mak Tok saya selalu membeli nombor ekor. Malah terdapat sebuah buku berwarna merah jambu di atas mesin jahit, untuk dibuat rujukan. Apa-apa sahaja mimpi yang pelik, Mak Tok akan membuka buku tersebut untuk mencari nombor yang sesuai untuk mimpinya. Kalau mimpikan batu nesan, ada nombor 3 digitnya. Kalau nampak anjing bergaduh, ada nombor 3 digit yang lain. Boleh dikatakan hampir semua benda dan perkara biasa ada nombor 3 digit, yang boleh digunakan untuk membeli nombor ekor.
Apabila sudah tahu membaca, saya suka membuka buku tersebut. Hairan, bagaimanakah penulis boleh kaitkan benda dan perkara tertentu dengan nombor tertentu? Dan tanya saja kepada orang tua yang biasa membeli nombor ekor, apakah nombor untuk nanas? Mereka yang mahir boleh nyatakan begitu sahaja, malah tanya kepada 3 orang, nombor yang diberikan adalah sama!
Mak Tok tidak perlu keluar ke kedai untuk membeli nombor. Akan ada seorang 'kawan' wanita ke rumah untuk membantunya menulis nombor yang dikehendaki. Sekeping kertas kecil berwarna merah jambu atau kuning akan diberikan sebagai tiket atau resit, dan salinannya dalam buku yang disimpan kawan berkenaan. Sebagai cucu yang rapat dengan Mak Tok, saya selalu juga perhatikan aktiviti mereka. Kertas kecil itu akan ditulis dengan tarik, nombor 4 digit yang dibeli dan sama ada 'besar' atau 'kecil'. Boleh pula berhutang; sekiranya nombor yang dibeli naik, akan ditolak hutang barulah dibayar sejumlah wang pertaruhan.
Kawan wanita itu pernah mengaku, aktiviti mereka memang salah di sisi undang-undang tetapi kerana mendatangkan pendapatan yang baik, dia berani mengambil risiko. Lagipun, sindiket akan menolong membayar denda sekiranya dia ditangkap polis. Sekiranya dia berhati-hati menyimpan buku resit dan hanya membuat bisnes di rumah-rumah pelanggan, dia agak selamat. Tambahnya lagi, setiap kali pelanggan menang pertaruhan, dia juga akan menerima komisen daripada ketua, maka dia turut mengharapkan pelanggan menang.
Adakah Mak Tok menang? Tak banyak kali, tidak dapat menampung kerugian dia membayar perjudiannya itu. Makcik saya pula yang lebih kerap menang perjudian. Namun Mak Tok tak pernah berputus asa. Bagi Mak Tok dan kawan-kawan yang seangkatan dengannya, itu bukan kesalahan. Itu satu hobi. Itu satu cara untuk mereka menjadi kaya, jikalau nombor yang dibeli naik sebagai nombor pertama. Oleh itu mereka membina pengharapan ke atas sekeping tiket kecil. Hilang tiket, hilanglah peluang. Terlupa membeli dan nombor yang selalu dipertaruhkan itu naik, maka bisinglah Mak Tok sehingga berbulan-bulan.
Tiket loteri turut dibeli Mak Tok. Malah Mak Tok pernah menasihati saya untuk membeli sekeping setiap bulan, manalah tahu nasib saya baik, dapatlah wang percuma, katanya [pernah saya beli beberapa keping pada ketika mula-mula bekerja apabila didatangi penjual, tetapi berhenti kerana tidak pernah menang pun, hehehe.]. Itulah kegiatan Mak Tok sehingga hari ini, tidak pernah berputus asa. Masih berharap menjadi jutawan. Walaupun dinasihati, dia tetap teruskan. Alhamdulillah, Mak pula dah lama buang tabiat ini.
Judi kuda lebih memudaratkan. Begitu juga dengan judi bola. Pertaruhan lebih besar dan kerugian mencecah beratus malah beribu ringgit. Ada kumpulan tertentu yang berjudi begini, biasanya lelaki. Sebuah radio, suratkhabar Inggeris atau Cina yang ada halaman lumba kuda, dan panggilan telefon digunakan untuk kaedah ini. Mereka yang terjebak amat sukar untuk melepaskan diri, kerana pengaruh kawan-kawan dan kerana ketagihan. Yang kalah judi begini mungkin akan mencagarkan harta peribadi seperti kereta, barang kemas dan sebagainya sebagai bayaran. Kalau tidak mampu, maka berhutanglah dengan along untuk menyambung tabiat. Itulah sebab mengapa begitu ramai mereka yang berhutang dengan along terdiri daripada kaki judi yang tegar.
Pengalaman banyak mendewasakan diri ini. Tabiat berjudi satu tabiat yang buruk, dan banyak menghancurkan rumahtangga dan memutuskan silatulrahim. Isteri-isteri dan anak-anak kaki judi merana kerana tabiat suami dan bapa. Barang kemas anak isteri digadaikan, makan minum ana isteri tidak dihiraukan, malah ada yang berani meminta wang daripada isteri untuk berjudi. Ahli keluarga terdekat, ibu bapa, dan adik beradik yang ditinggalkan menanggung malu dan hutang apabila terpaksa untuk berurusan dengan along apabila kaki judi yang berhutang banyak melarikan diri. Kita baca dalam akhbar. Kita tonton di kaca TV. Nak salahkan along 100% pun tidak boleh - selagi ada permintaan wang segera, selagi itulah akan ada along yang sudi memberikan dengan kadar faedah tinggi.
Itulah sebab Islam mengharamkan perjudian. Berjudi memudatkan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada institusi keluarga dan masyarakat. Namun saya hairan mengapa terdapat orang Islam yang turut terjebak dalam perjudian.
"Mai sini, aku belanja," pernah seorang kawan Melayu menyapa saya yang belum Islam.
"Belanja? Hari ini hari apa, awak belanja?"saya menegur.
"Shhh... semalam nombor kereta aku naik," dia berbisik.
Saya diam. Terkejut bukan apa, tetapi sedar yang dilakukannya telah melanggar hukum Islam.
"Aku tau salah tapi aku guna duit tu untuk beli-belah. Tak campur dengan duit gajiku. Kira duit tambahan," jelasnya.
Saya tanya bagaimana dia sebagai orang Islam boleh membeli sedangkan berjudi haram dan mereka yang melakukannya boleh ditangkap. Dengan secawan kopi, dia terus menerangkan modus operadi. [kawan bukan Islam lebih dipercayai apabila melibatkan perkara haram sebegini].
Saya tahu terdapat segelintir orang Islam yang turut berjudi, sama ada secara sedar ataupun tidak. Nasihat saya, bertaubatlah dan berhati-hatilah. Ingatlah balasan akhirat dan kemurkaan Allah terhadap mereka yang melanggar hukum Islam. Bukankah larangan berjudi sudah jelas dalam al-Quran?
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi, berkorban untuk berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah agar kamu beruntung"
[QS al-Ma'idah 5:90]
masa saya kecil, saya suka tengok kitab nombor nih... bukan sebab nak berjudi, tapi sebab ada banyak lukisan di dalamnya...
ReplyDeleteAda berjenis-jenis kitab nombor nih... ada kitab besar, ada kitab kecil versi poket. Tapi di dalamnya, 'matapelajarannya' tetap sama... cuma stroke lukisan saja yang berbeza.
Arwah tok wan kata, menyimpan kitab nombor tidak salah, mengamalkannya yang salah. Sama kes seperti mempelajari ilmu kalam. Ulama-ulama muktabar menentang penyebaran ilmu kalam, tetapi Imam Al-Ghazzali menyatakan, perlu adanya seseorang yang faqih dalam satu mukim tentang ilmu kalam untuk menentang tipu perdaya ilmu kalam ini di kalangan umat.
Salam Cikgu Aliya
ReplyDeleteSaya nak tanya apa pendapat Cikgu tentang pertandingan menjadi jutawan yang dianjurkan oleh sebuah syarikat minuman kesihatan.
Pertandingan menjadi jutawan tersebut menggalakkan pembeli membeli banyak minuman keluaran syarikat tersebut untuk memberi peluang menjadi jutawan.
Semasa sessi cabutan nombor yg telah diadakan secara lansung di sebuah tv stesen swasta, saya lihat ada persamaan tentang cara pemenang memenangi wang, dibandingkan dengan cara para pemenang 4D (nombor ekor) yg saya pernah lihat di program tv USA-iaitu pilih nombor dan kita lihat siapa yg kena. Jadi saya rasa seperti pertandingan menjadi jutawan itu seolah-olah menggalakkan rakyat berjudi pula. Belilah sebanyak mana, tunggu je hari, announce and pilih pemenang. Macam tu je...takde usaha lansung ke arah rezeki halal.
Apa pendapat Cikgu?
Terima kasih.
Waalaikumussalam Ehs,
ReplyDeleteSaya anggap pihak yang meminta orang ramai membeli banyak produk sesebuah syarikat untuk mempunyai lebih banyak peluang menang hadiah pertandingan sebagai satu bentuk perjudian. Apabila seseorang mengambil bahagian dalam pertandingan dengan kesedaran bahawa dia perlu membeli untuk berpeluang memenangi sesuatu hadiah dan berisiko rugi wang jikalau tidak menang, itu adalah perjudian.Lagipun syarikat berkenaan mendapat keuntungan daripada pembelian orang ramai yang banyak apabila wujudnya pertandingan.Lainlah jikalau kita menjadi pembeli yang ke300 dan tiba-tiba diberi hadiah, tanpa kita membuat pertaruhan.
Dewasa ini, memang banyak syarikat yang terlibat dalam bentuk perjudian yang halus ini. Kita harus berhati-hati,kerana kebanyakan yang menganjurkan adalah mereka yang bukan beragama Islam, itu tidak salah bagi mereka tetapi tetap haram kepada umat Islam.