Wednesday, May 30

MEI YANG SIGNIFIKAN


Mei adalah bulan yang cukup sibuk, Juga bulan yang sangat istimewa dalam hidup saya.

Sebagai guru, saya sentiasa ingat 16 Mei, Hari Guru. Memang signifikan tetapi setelah hampir 2 dekad berkecimpung dalam bidang pendidikan, sambutan hari guru di peringkat sekolah saya rasai dah semakin hambar, dan ia kurang dititikberatkan oleh pihak pentadbir dan juga para pelajar sendiri. Mungkin sebab musim peperiksaan pertengahan tahun juga diadakan hampir dengan sambutan hari guru ini. Tak tahulah, saya tak nampak kesungguhan para pelajar untuk menunjukkan penghargaan mereka kepada guru hari ni, tak seperti zaman persekolahan saya dulu. Bukan guru seperti saya mahu dihargai tetapi mahu tak mahu pun, saya tak dapat tidak akan bandingkan sambutan sekarang dengan yang lalu.
Banyak yang bergantung kepada pihak pentadbir dan PIBG sekolah khasnya. Sekiranya kedua-dua pihak ini bijak memainkan peranan pada hari tersebut, cara penghargaan mereka kepada sumbangan guru akan dapat memberi satu impak positif kepada guru mereka, memotivasikan mereka dan secara tidak langsung, melonjakkan kesungguhan para pendidik ini untuk memberikan yang terbaik kepada pihak pelajar dan keperluan sekolah.
Saya masih ingat lagi guru besar lama yang akan memberikan hadiah kepada setiap guru di sekolah pada sambutan hari guru. Beli dengan wangnya sendiri, kemudian beri sendiri kepada guru-gurunya sambil mengucapkan terima kasih. Segan pula kami pihak guru menerima hadiahnya. Bukan mahal pun, hanya beberapa batang pen merah dan hitam, tetapi keikhlasannya memberi itu yang menawan hati kami semua ketika itu. Pengetua lain memberikan brooch/tali leher, tahun depan diberi pula cawan. Tak kira lah apa pun, tetapi prinsipnya layanlah guru sebagai orang penting dalam organisasi, bukan sebagai kuli yang asyik disuruh buat itu ini saja.
Saya percaya setiap warga guru tentu ada pengetua /guru besar yang disukai. Bukan sebab pandai mengarah tetapi bijak memimpin dan pandai mengambil hati staf.

Saya hanya mula merasai kemeriahan Hari Ibu baru-baru ini.
Sebab anak sulung, Ikram dah berusia 2 tahun.
Dia lahir juga pada akhir bulan Mei, menjadikan sambutan hari lahir dan hari ibu jatuh pada bulan yang sama.
Alhamdulillah, Ikram dah semakin besar, makin bijak dan makin aktif.
Dalam tempoh 24 bulan hidupnya sehingga kini, dia dah mengidap dan sembuh daripada measles dan chickenpox. Masuk keluar klinik lebih 20 kali untuk sakit biasa-biasa, duduk wad hospital 5 hari sebab bronkolitis semasa berumur 3 bulan[alhamdulillah, tak jadi asthma].
Dan selama itu juga,dia turut menyumbang ke arah kerosakan sebuah DVD player [belum dibaiki], mesin basuh otomatik  [ juga masih k.o] dan beberapa buah buku dan majalah. Panjat memanjat tak payah kata dah, dia sudah dikira pakar tolak dan panjat kerusi, panjat naik turun tangga sudah laju. Riuh satu rumah bila dia ada, sebab saya terpaksa sentiasa memantau pergerakannya. Patutlah orang tua-tua bangsa Cina bagi amaran bahawa anak tahun harimau tidak akan duduk diam, huhu.
Namun apa pun, dia tetap permata hati. Sudah pandai merajuk jika saya terlalu asyik dengan adiknya, tetapi mudah ceria kembali apabila dipujuk. Boleh diarah untuk tolong mengutip barang dan mengemas alat mainannya. Yang paling best, bila dia mencium pipi saya, dan peluk manja.
"Puan bagi makan apa? Dah nak patah pinggang dukung dia," pengasuh taska berkata apabila Ikram tak pakai kasutnya.
"Ikram budak paling besar dalam bilik 2 tahun, yang lain semua kecil-kecil," lapor pengasuh lain.
"Seronok suap dia makan, selera sungguh..makan macam-macam," puji seorang lagi.
Saya hanya senyum. Tiada rahsia pun, sekadar memberi makan apa yang terbaik dan termampu. Ikut kemahuannya, yang sudah pandai memilih.Alhamdulillah Ikram tak cerewet makan. Jika bawa keluar, kena ada pinggan lebih dan minuman khas untuknya sebab dia makan apa yang kami orang dewasa makan.
Dan sejuk hati saya setiap kali tanpa disuruh, dia sendiri mencapai kopiah abahnya dan menarik sejadah, berdiri seolah-olah nak solat, dan terus sujud atas sejadah. Semoga dia membesar dengan sihat menjadi anak soleh, ameen.

Dengan kelahiran Ikram dan adiknya Ihsan, wang simpanan bank semakin susut tapi itulah salah satu pengorbanan sebagai ibu. Bukan mudah untuk membesarkan anak-anak sekarang ni, dengan harga barangan yang semakin meningkat. Apa pun, berserah pada Allah yang maha memelihara. Saya dan suami hanya buat yang terbaik saja.

Akhir kata,
Selamat Hari Ibu kepada semua yang bergelar ibu/mama/ummi/amma..
Selamat Hari Guru kepada semua mengajar walaupun sepatah ayat..
Selamat Bercuti kepada guru-guru yang tidak perlu ke sekolah untuk program cuti ini [aduh, saya kena ke sekolah gak]
Selamat Meriah Bersama Anak-anak kepada semua ibu bapa yang tinggal berehat di rumah bersama anak-anak pada cuti ini..
Selamat Bercuti Balik Kampung kepada mereka yang menghabiskan masa cuti sekolah di kampung bersama anak-anak..
Selamat Melangsungkan Perkahwinan kepada mereka yang bakal bergelar raja sehari...

Semoga Allah berkati kita semua dan dipermudahkan segala urusan, ameen.

Thursday, May 17

MUA-CHEE

"Nak masak apa ni?"saya termenung.
Hari Kantin/ Kokurikulum Sekolah adalah sesuatu yang selalu memeningkan kepala saya sepanjang karier sebagai guru. Pengalaman-pengalaman lalu di sekolah-sekolah lama telah mengajar saya untuk cuba mengambil jalan mudah pada hari tersebut. Tak larat lagi teacher ni membuat ais-kacang atau hotdog. Sepatutnya memanglah pelajar yang memasak dan berniaga tetapi disebabkan saya ni mengajar di sekolah biasa-biasa ni, mahu tak mahu terpaksalah cikgu-cikgu turut menyumbangkan buah fikiran, tenaga dan sedikit modal.

Pengetua pula mahukan menu yang lebih banyak dan pelbagai.
Akhirnya gerai persatuan saya itu berniaga roti, mi/bihun/koayteow goreng,aiskrim jeli, dan juga muachee.

"Teacher, apa tu muachee?" tanya pelajar Melayu.
"Tunggu dan beli nanti, " saya enggan memberitahu.
Mua-chee, sejenis makanan dessert Cina. Halal sebab hanya menggunakan tepung, gula, kacang tumbuk, dan bijan. Ia memang sering dijual di pasar malam, tetapi semenjak saya memeluk Islam, saya tak beli lagi. Lagipun di sebelah Seberang Perai ini, belum pernah saya lihat orang menjaja mua-chee.
Hah.... buat pertama kali dalam hidup saya, saya membuat muachee. Nak untuk dijual pula tu, hehe.. Dalam hati, berdoa agar jadilah tepung yang diuli itu menjadi mua-chee. Jikalau tak jadi, mati saya, hehehee. Sudahlah satu sekolah dah tahu saya ni akan jual kuih ini pda Hari Kokurikulum.

Bahan yang diperlukan dibeli dan disukat ikut resipi. Alhamdulillah, suami dan anak-anak tidur lena pada malam tersebut. Saya mulakan kerja pada jam 3pagi, menguli tepung beras sambil berselawat. Hampir 2kg tepung saya gunakan. Kemudian kukus dan akhirnya saya bungkus dengan plastik untuk dibawa ke sekolah. Hampir 3 jam baru selesai kerja itu. Kacang tumbuk telah saya sediakan sehari sebelum itu. Bila sampai di gerai di sekolah, barulah saya mula memotong kuih tepung yang telah dikukus itu dan digaulkan dengan kacang.

Pendekkan cerita, mua-chee itu berjaya dijual dengan laris. Hampir 80 pinggan dengan harga RM2 setiap satu. Ramai juga yang bertanya, apakah makanan yang dijual itu. Saya terpaksa memberitahu setiap yang bertanya itu bahawa saya sendiri yang menguli, memasak dan menyediakannya. Hal ini sebab masih ramai orang kita yang berwaspada apabila membeli makanan di gerai yang ada pelajar bukan Melayu [sekolah saya 40% pelajar bukan Islam, 1Malaysia]. Pelajar-pelajar terutama 'amoi-amoi' yang menjadi ahli persatuan juga banyak membantu saya melariskan jualan dan memberi cadangan kepada saya ini bagaimana cara memotong kuih itu kepada kepingan-kepingan kecil untuk dijual. Maklumlah saya ni dah beberapa tahun tak makan kuih ini, hampir lupa bentuknya!

Syukur alhamdulillah.
Walaupun untung tak banyak, tapi saya berpuas hati sebab berjaya memperkenalkan sejenis makanan Cina yang halal kepada pelajar bukan Cina.
Betul kata-kata saya," Sekali makan, nak lagi!"
Selepas Hari Kokurikulum itu, ada pelajar yang mengidam muachee, tetapi saya dah tutup gerai, hahahaa. Setahun 2-3 kali cukuplah. Bukan susah nak buat kuih ini sebenarnya tetapi saya yang tak larat nak uli tepung dan tunggu kuih itu selesai dikukus. Tambahan dengan anak-anak kecil di rumah, memang agak susah nak uruskan.

Tahun depan, menu lain pula untuk Hari Kokurilum.. bukan muachee lagi.
Mungkin Mee Hokkien atau Laksa Penang.. insyaAllah.

BAHAN-BAHAN UNTUK MUACHEE
Bahan A = Tepung beras 120g, air masak 1 1/2 cawan, minyak bijan 2 sudu, secubit garam
Bahan b = kacang goreng ditumbuk, sedikit gula dan bijan [digoreng hingga wangi].


1. Uli bahan A dan stim selama 30-40 minit...
2. Potong dengan pemotong dough, kemudian gaul dengan bahan B.