Monday, September 28

MENJAGA HIDAYAH

"Beruntung Aliya.. semua dosa sebelum masuk Islam dah diampunkan Allah.. bermula dengan kosong semula," komen seorang kenalan baru.
Saya diam. Sememangnya orang yang baru mengenali saya akan dapati saya seorang yang pendiam, lebih banyak mendengar daripada bercakap.
"tak macam kami ni, bertimbun-timbun dosa kami sejak kecil sehingga sekarang," sambungnya lagi.
"Cakap memang senanglah, hapus segala dosa tapi nak kekalkan diri dalam taqwa selepas menjadi Muslim, bukan senang.. banyak cabarannya.. tambahan lagi sebagai mualaf, ilmu agama masih cetek, iman masih goyah.. entah-entah dosa dilakukan kerana diri lalai," saya memberikan pendapat.

Kebiasaannya masyarakat Islam akan memandang saudara baru sebagai orang baru dalam keluarga Islam. Ketika itulah perbualan seperti di atas akan berlangsung. Diceritakan betapa beruntungnya mereka yang diberi hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam. Saya seperti biasa akan mengangguk mengiakan.
"Benar, beruntung mereka yang diberi hidayah oleh Allah.. tetapi bukan semua yang mendapat hidayah akan menjadi orang Islam.. kerana untuk mengucap 2-kalimah syahadah dan seterusnya mengamalkan ajaran dalam kehidupannya memerlukan satu sifat lagi - iaitu keberanian. Keberanian untuk meninggalkan segala amalan jahiliyah dan hidup berlandaskan ajaran Allah swt berpandukan kandungan al-Quran dan hadis. Cakap senang tetapi nak lakukannnya - berani mengorak langkah seorang diri untuk hidup sebagai Muslim, berani mengambil risiko disisihkan keluarga, dicemuh bangsanya sendiri, risiko hilang pekerjaan dan tempat tinggal.. bertawakkal sepenuhnya pada Allah swt.. bukan senang. Ada yang bertauhidkan Rukun Iman tetapi takberani hidup mengikut Rukun Islam."
"Ya, ya.. betul tu."
"Lagi satu... masyarakat selalu melihat golongan saudara baru sebagai golongan istimewa, ibarat kain putih kerana segala dosa lama telah diampunkan Allah. Tetapi bila ucap 2-kalimah syahadah, bukan bermaksud semua ilmu agama Islam datang secara automatik dalam minda saudara baru. Banyak yang tak tahu; ada yang tahu teori tetapi kurang praktikal; ada pula yang memerlukan bimbingan khas kerana jurang bahasa yang ketara - dia tak berapa pandai Bahasa Melayu sedangkan Muslim sekelilingnya tidak pandai bahasa ibundanya. Berlaku banyak konflik yang mungkin tidak disedari masyarakat Islam kerana mereka sendiri tidak pernah melaluinya. Mungkin mualaf lelaki tak begitu ketara cabarannya melainkan perlu berkhatan, kerana susah nak pastikan lelaki Cina mana yang Muslim atau Buddha. Namun bagi mualaf wanita, kadang-kadang berasa tertekan kerana keliru tentang penutupan aurat, pergaulan dengan bukan muhrim dan sebagainya [terima kasih kepada Muslimah lain yang tersasar dari landasan Islam]. Lagipun , perlu difahami golongan mualaf yang baru Islam kadang-kadang berasa dirinya sudah kehilangan banyak masa hidup sebagai kafir maka mahu dibuatnya semua yang dilakukan orang Islam dengan cepat tanpa berlengah. "
"Macam naik ekpres, ya?"
"Ya, tapi kerana kurang tahu bab amali, susah sikit bagi mereka. Mereka dah Islam, dah bersih dari dosa, bersedia hidup sebagai orang Islam tetapi sangat perlukan bimbingan, nasihat dan didikan agama daripada yang arif. Masyarakat Melayu kata dah dapat hidayah. Cabaran seterusnya ialah, bagaimana nak jaga hidayah itu agar terus bersinar, dan tidak dicemari dosa besar? Bagaimana nak jaga agar Muslim/Muslimah itu tidak terpesong daripada ajaran Islam, tidak putus asa untuk hidup sebagai orang Islam, dan akan semakin bertambah ilmu dan ketaqwaannya pada Allah?"
"Pergi PERKIM sajalah."
"Nilah silap kita. Bila kita kata saudara baru, kita hanya ingat pada PERKIM sedangkan banyak lagi NGO Islam yang boleh dan sedang membantu golongan ini. Malangnya tidak diwar-warkan kepada masyarakat umum, hanya mereka-mereka yang terlibat secara langsung saja yang tahu.
Nak kekalkan diri dalam taqwa sepertimana mula-mula memeluk Islam bukan mudah. Saya mengaku walaupun sudah 4 tahun, saya sendiri tidak pernah masuk pejabat PERKIM berdekatan tempat tinggal saya dulu kerana setiap kali lalu, seolah-olah tidak berpenghuni. Silap pihak pengurusan agaknya. "
"Saudara mara saya dulu ada juga seorang saudara baru juga tetapi bila bercerai dengan suaminya, tak lama kemudian dia kembali ke agama asal. Sekarang entah di mana dia sekarang, anak-anaknya dijaga suami."
"Biasa berlaku, sedih bila dengar cerita begitu. Orang kita akan kata dah tak ada jodoh, tetapi mengapa cepat sangat putus asa pada rumahtangga itu, sedangkan bila nak berkahwin suami akan selalu kata sanggup bimbing, sanggup terima isteri yang bukan sebangsa diketahuinya baru peluk Islam. Kalau dengan isteri sebangsa dan yang didisik dengan ajaran Islam dari kecil pun banyak cabarannya, apatah lagi dengan isteri yang baru berjinak-jinak dengan Islam, dan yang mungkin tak kenal sambal belacan dan tempoyak. Kalau dari awal mereka berkahwin kerana Allah, dan suami sedar tanggungjawab beratnya untuk membimbing isteri saudara baru dalam Islam, insyaAllah akan bahagia. Tetapi kalau diri sendiri pun masih tak cukup makan, fikir-fikirlah sebelum ijab kabul, takut nanti dosa gagal membimbing isteri dan anak-anak dalam Islam berserta dosa menganiayai isteri sehingga cerai bakal mengheretnya ke neraka. Kahwin dengan saudara baru bukan main-main, bukan suka cinta "I love U" saja tetapi satu tanggungjawab berat yang malangnya kurang disedari mereka yang mabuk cinta. Kalau rasa susah kahwin suami orang Johor isteri orang Kelantan, 10 kali lebih susah bila beristerikan saudara baru. Lebih banyak bertembungan adat budaya tetapi juga lebih banyak pahala bagi suami dan keluarga yang berjaya."
"Pengalaman kak Aliya?"
"Saya seperti orang lain,tak sempurna. Banyak lagi yang perlu belajar, yang perlu dimantapkan. Walaupun sudah 4 tahun, saya masih belajar. Nak jaga diri saya dalam Islam, nak jaga hidayah yang Allah berikan bukan mudah. Saya bergaul dalam masyarakat; saya terdedah kepada pelbagai ragam manusia yang bukan semuanya baik, dan mahu tak mahu, kadang-kadang saya terkena tempias. Ada masanya orang lupa saya bukan Melayu dan apabila saya tersilap, mereka terus kutuk dan marah. Ada masanya orang ambil kesempatan. Saya pun wanita, saya boleh menjadi sensitif dengan keadaan. Ada hari saya penuh bersemangat. Ada harinya saya nak lemparkan sejadah pun rasa berat, dan ketika itu saya gagahkan juga.
Saya sentiasa beringat, syaitan dan iblis marah setiap kali seorang mengucap 2-kalimah syahadah dan memeluk Islam, maka akan diusahakan agar dia menjadi lemah, lalai dan berputus asa, dihasut dengan pelbagai kaedah untuk dia menjadi murtad. Oleh itu hidayah yang diterima perlu sentiasa dijaga, dan orang sekeliling juga perlu membantu supaya dia menjadi lebih kuat imannya dan lebih mendalam ilmu agamanya, insyaAllah."

Sunday, September 27

DIA KELUAR

"Dah puas orang pejabat agama nasihat dia.. tapi dia masih tak mau," kata makcik itu.
"Tak taulah apa yang menarik dia balik ke agama asal.." cerita seorang kawan saya tentang jirannya yang murtad.
Saya diam. Sudah banyak cerita tentang saudara baru wanita khasnya yang didapati kembali ke agama asal selepas kematian suami Melayu. Banyak pula dikaitkan dengan percintaan dengan lelaki bangsa dan agama lain sehingga wanita tersebut meninggalkan Islam.
"Sudah tentu salah lelaki itu... jahat," biasanya itulah komen yang saya dengari.
Saya diam.

Sebelum mengetahui cerita sebenar, lebih baik diam. Tiadanya gunanya menyalahkan lelaki ketiga sebagai punca wanita itu keluar agama Islam. Tak baik juga jikalau tuduh wanita tersebut dahulu hanya peluk Islam untuk berkahwin dengan lelaki Melayu, dan lemah imannya.
Semua yang komen menyalahkan wanita itu dan teman lelaki nonMuslimnya hanyalah spekulasi dari sudut pandangan orang Islam... yang lahir dalam keluarga Islam.
Saya memilih untuk diamkan diri ketika orang sekeliling berkata hairan dan mengutuk mereka kerana setelah 4 tahun bergelar Muslimah saudara baru, saya lebih mengetahui keadaan.

Mengapa ada Muslimah di kalangan saudara baru yang akhirnya keluar Islam setelah diceraikan suami atau setelah kematian suami?
Banyak kemungkinannya:
1. Dia tidak pernah diberi bimbingan tentang Islam oleh suaminya serta keluarga suaminya. Mungkin kelas agama yang diwajibkan ke atasnya semasa mula-mula memeluk Islam itu satu-satunya kelas agama yang pernah dihadirinya. Solat tak pandai, mahu belajar mengaji susah nak dapatkan ustazah yang mahu mengajar orang dewasa [angkat tangan siapa yang tahu tempat mengajar iqra untuk orang dewasa di taman perumahan anda], dan sibuk pula dengan urusan rumahtangga dan anak-anak. Cara hidup mungkin juga tidak banyak berubah walaupun setelah memeluk Islam.
Majlis ilmu jarang dihadiri kerana tiada kenderaan atau terlalu jauh dari rumah. Mungkin suami tidak mengizinkan atau tidak mahu menemani. Mungkin juga ada yang kaitkan majlis ilmu di masjid dan surau sebagai pengikut Islam yang ekstrimis sehingga tidak mahu turut serta. Akibatnya banyak perkara yang dia tidak tahu dan tidak dapat bimbingan, tambahan lagi jikalau suami sendiri seorang yang kurang didikan agama.

2. Kurang penerimaan oleh keluarga Islam. Boleh juga berlaku di kalangan mereka berketurunan bukan Melayu yang dijadikan anak angkat oleh keluarga Melayu, dibesarkan dalam keluarga Melayu sehingga pandai mengaji al-Quran tetapi masih dipandang serong oleh sesetengah ahli keluarga angkatnya [berlaku kepada seorang kawan saya]. Kata-kata kesat dan pelbagai tuduhan boleh menyakitkan hati sesiapa yang berada pada paras iman yang lemah ketika itu.

3. Pertembungan budaya dari segi amalan harian, bahasa, hidangan makanan antara saudara baru dengan keluarga suami Melayu sedikit sebanyak perlukan sokongan dan bantuan suami. Sekiranya suami kurang memainkan peranan untuk mendekatkan isteri dengan keluarganya, dan bertindak sebagai orang tengah menyelesaikan sebarang konflik, ia hanya akan menambah tekanan kepada isteri baru itu. Bukan mudah menyesuaikan diri dengan adat dan budaya Melayu di kampung dalam masa yang singkat.

4. Kesensitifan saudara baru dipandang ringan.
Ramai yang tidak suka apabila dikatakan memeluk Islam untuk berkahwin, walaupun kadang-kadang hakikatnya benar. Ramai yang tidak suka ditanya mengapa dia memilih Islam oleh orang yang tidak dikenalinya. Bagi saya pula, saya masih kurang selesa apabila orang yang tidak dikenali tiba-tiba bertanya saya tentang penerimaan keluarga saya yang masih nonMuslim, selepas itu terus nasihat supaya saya bersabar. Bagi kebanyakan kami, isu kami memeluk Islam adalah sangat peribadi, dan terpulang kepada kami sama ada untuk berkongsi atau tidak.
Ada yang pula melontar tuduhan seolah-olah kami tidak tahu jaga adab Melayu. Hello, peluk Islam bukan mesti jadi Melayu tetapi masyarakat sini suka anggap begitu; jangan harap kami nak sangat jadi instant Melayu.. kami bukan mi Maggi.
Ada juga suami yang tidak menyokong hasrat isteri untuk pulang ke kampung halamannya ketika perayaan budayanya sendiri seperti Deepavali atau Tahun Baru Cina. Ini menambah tekanan kepada isteri baru yang terpaksa bersabar tanpa dapat bersama ahli keluarga pada masa perayaan tersebut.

5. Saudara baru bersifat idealist.
Mahu tak mahu, harus sedar bahawa ramai saudara baru melihat Islam dari sudut yang berbeza dari masyarakat, terutamanya yang telah mengkaji al-Quran sebelum memeluk Islam.
Apabila orang Islam di sekelilingnya yang dianggapnya kuat beragama masih gagal menurut ciri-ciri yang digariskan dalam al-Quran dan hadis, mudahlah mereka menjadi keliru dan kadang-kadang kecewa kecuali selalu berdampingan dengan orang alim.

6. Kurang keprihatinan masyarakat
Kadang-kala susah nak kata. Saudara baru yang lebih 10 tahun memeluk Islam ada yang masih tak pandai mengaji, tak pandai baca doa dalam Arab, tetapi pihak suami dan keluarganya menganggapnya sudah OK kerana sudah lama beragama Islam. Akibatnya dia sendiri menjadi malu untuk belajar agama.
Bagi yang bekerja dengan kerajaan, alhamdulillah kerana kerap berhubung dengan orang Islam lain. Tetapi bagi yang bekerja swasta dengan bukan Islam atau menjadi suri rumah 24 jam? Di manakah kumpulan sokongan dan ukhwah Islamiyah mereka?
Rekod di jabatan agama pula tidak dikemaskini, tiada follow-up oleh pihak yang bertanggungjawab. Apabila berlaku masalah rumahtangga, kepada siapakah harus dia rujuk?
Mahu mengadu kepada keluarga suaminya, belum tentu mereka akan membantunya. Mahu meminta bantuan keluarganya yang nonMuslim, mereka akan menyuruhnya kembali ke agama asal. Muslimah saudara baru tersepit.
Perkahwinan yang berakhir dengan perceraian [ bagi saya, suami yang menceraikan isteri saudara baru mendedahkan kelemahannya sendiri sebagai pemimpin keluarga Islam] akan mendedahkan wanita itu kepada situasi yang mencabar kemampuan dan mengugat keimanannya.
Kematian suami pula diikuti dengan perebutan harta oleh waris-waris juga boleh mendedahkan Muslimah itu kepada satu situasi yang penuh tekanan, terutamanya apabila tiada sokongan dan bantuan daripada keluarga arwah suami.

Tiada seorang Muslimah saudara baru yang apabila memeluk Islam akan menyimpan hasrat di dalam hatinya untuk menjadi murtad suatu hari nanti. Tentu ada sebab-sebab lain yang menjadi punca kekecewaannya terhadap orang Islam di sekelilingnya dan pencetus hasratnya untuk kembali ke agama asal.
Begitu mudah sekali untuk kita menyalahkan pihak ketiga atau lelaki lain sebagai punca dia menjadi murtad. Lupakah kita akan tanggungjawab kita sebagai saudara seagama untuk membantu, melindungi dan membimbingnya?

Tuesday, September 22

JUMPA SEMULA

Alhamdulillah raya tahun ini berjaya menemukan saya dengan ramai kenalan lama [semoga akan ada pertemuan lagi selepas ini]. Kalau semalam saya berjaya berjumpa sekali lagi dengan Ras setelah lebih 2 dekad, hari ini saya diizinkan Allah swt untuk bertemu semula dengan orang yang lama saya rindui.
Siapa?
Orang yang saya menumpang di rumahnya pada Aidilfitri saya yang pertama sebagai orang Islam.
Tidak lain dan tidak bukan dengan Makcik Nah.

Ceritanya begini.
Sudah lama saya ingin ke rumah Makcik Nah di Jelutong tetapi kerana kesibukan kerja dan ditambah lagi dengan saya yang belum cekap memandu kereta di jalan Penang yang sibuk, saya hanya boleh berdoa agar suami saya ada kelapangan untuk menemani saya ke sana suatu hari nanti. Hasrat di hati mahu berjumpa di rumahnya, sambil memperkenalkan suami dengan keluarga di sana. Yalah, ketika majlis perkahwinan kami, Makcik Nah tidak hadir.
Sudah lama membebel pada suami tetapi masih belum berkesempatan untuk pergi menziarah ke rumah itu.

"Aliya, awak ada di rumah sekarang?" telefon Cikgu Zakiah, kawan baik saya.
"Ada, bila kau nak mai ni?" dah beberapa jam saya sabar menunggu di rumah.
"Mai la ke rumah Dr.R dulu, di lorong sebelah rumah awak saja. Kami semua di sini."
Ah, rupa-rupanya rumah bekas dekan pusat pengajian saya semasa di universiti, Dr AR [yang saya berterima kasih kerana sudi menumpangkan saya di rumah kakaknya Makcik Nah untuk Aidilfitri saya yang pertama] tidak jauh dari rumah baru saya! Jalan kaki pun sampai. Saya memang tahu kami tinggal di taman perumahan yang sama tetapi oleh kerana sudah 4 tahun tidak ke rumahnya, saya tidak pasti lokasinya. Maklumlah dulu saya hanya menumpang kereta orang ke situ.

Kehadiran saya disambut dengan mesra. Sudah 3 tahun tidak bertemu. Ada yang sudah berkahwin. Kanak-kanak kecil yang didukung 3 tahun lepas kini sudah masuk tadika. Seronok melihat perkembangan mental dan fizikal mereka. Saya bersendirian kerana suami belum pulang dari urusan di luar.

"Makcik masih ingat saya?"
Saya bersalaman dengan makcik-makcik di situ. Ya, mereka semua masih ingat.
"Aliya tinggal di lorong belakang saja?" mereka pun terkejut.
"Saya baru pindah, masuk rumah masa Ramadhan."

Akhirnya dapat berjumpa sekali lagi dengan Makcik Nah dan saudara-maranya yang lain di rumah bekas dekan saya. Keluarga yang besar. Mereka datang berkonvoi kereta dari Tanjung [pulau Penang]. Saya menjemput ke rumah saya tetapi mereka sudah mempunyai program lain yang padat.

Syukur pada kasih sayang Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui.
Alhamdulillah.. alhamdulillah...alhamdulillah.

RUMAH & RAYA

Syukur alhamdulillah... selesai sudah satu lagi urusan.
Saya dan suami mengadakan rumah terbuka buat julung kalinya selepas perkahwinan kami di rumah baru kami di Permatang Pauh. Tak jemput semua orang; hanya pelajar saya, dan ahli keluarga sahaja. Sebab ini kali pertama saya adakan rumah terbuka Aidilfitri [belum ada pengalaman, katakan..] kami belum bersedia adakan secara besar-besaran. Tambahan pula rumah terbuka orang Cina ringkas sahaja, hanya biskut. Tak ada makanan berat seperti orang Melayu dan orang India. Peralatan di rumah pun belum lengkap, maklumlah baru berpindah tak sampai sebulan ke rumah sekarang ni.
Oleh itu, kami hadkan tetamu [maaf ya kerana tak jemput]. Makanan pun untuk kira-kira 50 orang sahaja.

Siapakah yang hadir?
10 pelajar Tingkatan 5 saya yang adventurous, sanggup bermotosikal kira-kira 30 minit dari rumah ke sini.
Mak dan adik lelaki saya.
Mak dan ayah mertua saya, serta ipar-ipar dan anak-anak saudara.
Semua pertama kali ke rumah kami, ada yang sesat sedangkan mudah sahaja untuk ke rumah saya dari depan Politeknik P.Pauh.
Riuh satu rumah dengan orang dewasa dan kanak-kanak, hahaha..

Dan saya tersenyum lebar apabila seorang daripada rakan sekolah saya yang tidak saya jumpa selepas tamat SPM 1988, Ras muncul di hadapan rumah. Terpisah selama 21 tahun, jumpa balik melalui Facebook tahun ini, dan alhamdulillah berjumpa secara live di rumah saya. Apa lagi, sembang sakanlah kami berdua. Nak catch-up dengan kisah hidup kami dan rakan-rakan lain untuk 21 tahun. Satu kejutan lagi apabila saya mendapati salah seorang adik ipar saya rupa-rupanya telah mengenalinya hampir sedekad yang lalu tetapi terputus hubungan.. jumpa lagi di rumah saya. Ha, lagilah kuat sembang.. sampai beberapa 'port' sebelum dia berangkat pulang. [dari kiri mak mertua saya, Ras, empunya diri, hehehe]

Mujur makanan lebih daripada cukup. Nasi beriani, ayam masak merah, dalca, jelata [resipi suami], nasi himpit, agar-agar, biskut-biskut raya, antara yang dihidang. Seronok bila tengok anak-anak saudara saya makan kenyang [bukan senang nak puaskan hati mereka] selepas puas bermain di taman permainan kanak-kanak di hadapan rumah.

Bila semua dah pulang, kami berdua berkemas. Tak disangka-sangka saya terlebih dahulu terlelap. Letih juga adakan rumah terbuka ala Melayu, hehehee..

InsyaAllah tahun depan Tahun Baru Cina kami akan adakan rumah terbuka lagi, mungkin lebih besar lagi kalau rezeki bertambah... sudah tentu menu masakan Cina pula :)

Friday, September 18

HANTAR

Alangkah cepatnya masa berjalan! Ramadhan sudah bersiap-siap untuk meninggalkan keluarga Ahmad. Dia hadir menumpang di rumah Ahmad sekali dalam setahun yakni hanya selama 30 hari dalam setiap 365 hari.Alhamdulillah keluarga Ahmad menyambut baik kehadiran Ramadhan di dalam keluarga mereka. Malah mereka memeluk cium Ramadhan ketika ia melangkah masuk ke dalam rumah mereka.
"Eh, ehhh... Ramadhan ini mulia dan penuh keberkatan.. kita kena sambut dia dengan baik."
Maka berpusu-pusulah orang kampung datang menyambut Ramadhan.
Malah mereka memohon hari cuti supaya dapat bersama-sama menyambut kehadirannya di kampung itu.
Kata Ramadhan, ia hanya akan berada di situ selama 30 hari.

Orang-orang kampung teruja. Mereka mendengar dengan teliti cara-cara terbaik untuk mereka mendapat keberkatan Allah melalui pendekatan kepada Ramadhan.
Mereka suka pada minggu pertama kehadiran Ramadhan. Ah, Ramadhan penuh keberkatan. Mereka pergi menemuinya beramai-ramai di masjid. Penuh ruang solat sehingga ada yang terpaksa bersolat di luar dewan solat.
Pada minggu kedua, ada yang tidak hadir. Rutin yang berulang-ulang mungkin menjemukan sesetengah pihak. Mereka letih dan mengantuk kerana tidak cukup tidur. Maklumlah, Ramadhan mewajibkan semua orang kampung berpuasa ketika kehadirannya di situ.
Pada minggu akhir Ramadhan di kampung itu, bilangan mereka yang bersolat jemaah di masjid boleh dibilang dengan jari.
Orang kampung memberi alasan letih kerana sudah beberapa minggu berpuasa. Ada yang sibuk membeli-belah dan menyiapkan kuih raya. Masing-masing mengaku sibuk dengan persiapan menyambut Syawal.
"Jangan merajuklah Ramadhan, Syawal pun penting juga," mereka berkata. Baju baru, kasut baru, sarung baru, langsir baru, karpet baru, ohhhh... itu penting untuk menyambut kedatangan Syawal.
Ramadhan tidak kisah dengan kebendaan seperti itu, dan Ramadhan tidak kecil hati. Ramadhan lihat pakcik makcik berebut-rebut berbaris di kaunter pembayaran kompleks membeli-belah. Ramadhan lihat anak-anak kecil leka membakar mercun dan para remaja sibuk dengan permainan komputer. Ramadhan diam.
Laila datang dan pergi. Para malaikat turun dan naik semula. Dan Ramadhan bersiap-siap untuk beredar pulang. Esok adiknya Syawal pula akan menziarah orang kampung.
Ramadhan menjenguk ke ruang tamu. Anak remaja leka menonton tv, sibuk mengirim sms kepada kawan-kawan mengucapkan selamat hari raya.
Ramadhan menjenguk ke dapur. Mak-mak sedang sibuk membuat ketupat dan rendang, sambil bersembang da bergurau senda. Pak-pak pula sibuk membakar lemang. Ramadhan sudah siap untuk ke pintu. Sudah tiba untuk beredar. Tak adakah yang akan menghantar Ramadhan? Tiada ucapan selamat tinggal untuk Ramadhan? Tiada tangisan rindu dan pelukan kasih sayang?
Oh, mereka sibuk. Esok hari raya puasa.
Tiba-tiba seorang tua yang bongkok menyapa Ramadhan. Dihadiahkan Ramadhan dengan selawat, dan dihantarnya ke pintu dengan tangisan taubat nasuha.
"Selamat tinggal Ramadhan. Tak tahulah sama ada kita dapat bertemu lagi pada tahun hadapan..." kata orang tua itu dengan linangan air mata.
Ramadhan tersenyum.

Tuesday, September 15

GASTRIK

Ya Allah..!

Saya segera ke bilik air. Habis keluar segala makanan yang diambil semalam. Muntah buat kali pertama dalam Ramadhan. Perit rasanya pada awal pagi. Belum lagi sahur.

Syukur alhamdulillah makanan untuk sahur berjaya disediakan juga walaupun saya sendiri hanya mampu menelan sedikit sahaja nasi dan sayur yang dihidang.

Rasa seperti wanita alah mengandung sahaja. Mual. Tak bersemangat untuk memuat apa-apa pun kerana risau terpaksa bergegas ke tandas sekali lagi. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berjumpa doktor.

"Gastrik," kata doktor muda itu sambil menekan perut saya.

"Kamu kena pantang makan kalau boleh sehingga raya ke2. Elakkan kopi, teh, makanan pedas, berempah, masam, masin, minuman bergas. Cuba makan lebih kurma semasa membuka puasa."

Dalam hati, saya membayangkan laksa yang dimakan semalam setelah kuahnya dipanaskan. Mungkinkah itu puncanya?

Inilah kali pertama dalam 4 tahun saya mengalami sakit ketika bulan Ramadhan. Teruk juga rasanya. Selepas tengah hari barulah reda sedikit rasa mual itu. Kalau orang tua, sudah tentu akan katakan saya diserang 'angin'.

Syukur berkat doa kepada Allah swt, saya berjaya bertahan sehingga waktu berbuka puasa walaupun masih kurang sihat.

Nampaknya terpaksalah saya lebih berhati-hati ketika berbuka puasa selepas pengalaman ini.

Monday, September 14

SELAMAT HARI RAYA

Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua pengunjung blog ini.
Semoga ibadah Ramadhan kita pada tahun ini diterimaNya.
Bergembiralah bersama keluarga tercinta dalam menyambut Aidil Fitri tahun ini.
Maaf zahir dan batin daripada saya atas segala kesilapan sepanjang menulis pos dan komen dalam blog ini.

Sunday, September 13

MENJALIN UKHWAH

"Assalamualaikum.."
Saya teragak-agak. Hujan renyai-renyai menyambut kedatangan kami berdua pada pagi itu. Jiran saya Kak La memberhentikan keretanya di tepi surau.
"Ramai juga yang ada ni," saya berfikir apabila melihat kelibat sekumpulan wanita di dalam surau itu.
Kedatangan kami disambut dengan mesra, tambahan pula sebagai orang lama Kak La dikenali ramai di situ.
"Ustazah lewat sikit," kata salah seorang daripada mereka.
Sebagai orang baru, saya diamkan diri. Surau itu dihias dengan kemas. Saya kira ada kira-kira 20 orang wanita di situ. Saya diberikan salinan doa-doa.
Itulah kali pertama saya menghadiri usrah di surau di kawasan perumahan yang menjadi kediaman baru saya. Surau itu khabarnya aktif, dan adalah satu sebab saya dan suami memilih untuk menetap di situ.
"Cikgu Aliyakah?" sambil bersalaman salah seorang daripada wanita di situ menegur.
Aduh, nama saya sampai sebelum empunya diri?
"Ya, bagaimana tahu nama saya?" saya tersenyum.
"Aliya bagi ceramah kan? Saya baca dalam blog Prof Kamil," jelas wanita berwajah manis kepada saya.
Saya mengangguk saja. Terkedu lidah. Rupa-rupanya ada yang sudah menanti-nantikan kehadiran saya.

Alhamdulillah usrah berjalan lancar. Semuanya Muslimah yang menetap di taman perumahan tersebut. Ustazah pula diimpot dari kawasan berdekatan. Banyak juga yang saya belajar dan diperingatkan semula dalam 1 jam setengah itu. Seronok pula dapat belajar sambil mengenali jiran tetangga yang ada.

Dalam hati, saya bersyukur. Bukan mudah untuk mendapat jiran-jiran yang baik. Daripada pergaulan saya dengan mereka dalam tempoh yang singkat itu, dapat dirasa kemesraan mereka. Saya diam mendengar mereka berbual tentang keinginan dan kesungguhan mereka untuk mengerjakan solat terawih. Saya dengar bagaimana mereka pernah gotong-royong mengadakan jamuan makan pada hujung bulan. Ternyata mereka yang tinggal berdekatan rumah saya sudah lama berkawan baik.

Dan saya bersyukur sekali lagi. Saya orang baru tetapi kehadiran saya disambut dengan begitu mesra. Rumah-rumah mereka ditunjukkan kepada saya oleh Kak La ketika dalam perjalanan pulang dari surau. Sangat dekat, berjalan kaki pun sudah sampai ke rumah mereka. Dan saya bertuah kerana Kak Lah jiran sebelah rumah sahaja. Sesungguhnya Allah swt mengatur segalanya dengan sempurna bagi saya. Semoga saya dapat mengenali mereka dengan lebih dekat dan menjalin ukhwah yang baik dengan mereka. Mereka sudah berkeluarga dan sibuk tetapi pada hujung minggu mereka sanggup meluangkan masa untuk berhimpun belajar agama Islam di surau. Dan kehadiran saya dialu-alukan.

Setelah beberapa kali saya cuba mendekati JIM yang bergerak di bandar ini tetapi masih disambut dingin oleh anggota Muslimahnya sehingga sekarang [saya sudah merajuk kerana respon lambat, banyak karenah penapisan] saya gembira kerana akhirnya Allah swt memberikan saya ganti yang lebih baik. Harapan saya, semoga jalinan ukhwah yang terbina ini akan menjadi semakin kukuh dan berkekalan.

Nota: Surau sudah merancang jamuan hari raya pada bulan depan. Hmm.. nyonya ni nak bawa makanan apa, ya?

Friday, September 11

BAHASAKU BAHASAMU

"Cubalah guna bahasa yang lebih sopan."
"Lebih sopan? Bagaimana? Saya rasa saya dah cukup sopan tadi"
"Agak kasar sebenarnya."
"Eh, takkan begitu sekali. Saya sikit pun tak marah dia."
"Tapi bahasa awak agak keras."
"Tentulah... saya serius dan sedang berikan peringatan padanya."
"Namun.. gaya awak agak keras, bahasa awak agak kasar."
"Keras.. kasar? maksud awak keras dan kasar dari penilaian orang Melayu?"
"Errr... adakah beza penilaian orang Melayu dengan orang bangsa lain?"
"Mestilah ada. Kita kan dibesarkan dalam persekitaran yang berbeza, adat dan budaya yang berbeza? Mana boleh sama standardnya? Bagi saya, saya sudah sopan pada wanita itu tadi tapi bagi awak saya bersikap kasar. Saya nilai diri saya ikut standard orang Cina, awak pula nilai saya ikut standard orang Melayu. Gred penilaian yang berlainan."
"Oh.. ya tak ya juga.."
"Kalau saya bercakap bahasa Melayu dengan penterjemahan terus daripada bahasa Cina, awak lagi akan tuduh saya bercakap kasar. Orang Cina jarang guna cakap berlapik. Kurang bercakap tak serupa bikin; kalau kami kata hitam, maka hitamlah. Masa itu wang, maka struktur ayat yang digunakan ringkas dan terus pada sasaran. Tak banyak pusing-pusing macam gaya bahasa Melayu. Sebab itu bila saya bercakap Melayu ikut gaya bahasa Cina, awak anggap saya bercakap kaar. Sebenarnya saya hanya menyampaikan maksud tanpa bahasa berlapik, ikut gaya Cina."
"Agaknyalah.. saya agak terkejut mendengar perbualan awak dengan ibu bapa awak. Kalau anak Melayu sudah tentu orang kata kurang ajar."
"Tapi bagi orang Cina, itu cara biasa. Mungkin nampak kasar dan kedengaran seolah-olah keras tetapi kami jujur. Tak banyak kipas-mengipas atau membodek. Maaf jika saya katakan, ada orang yang bermulut manis di depan kita tetapi di belakang, fulamak... berbisa... itu lagi bahaya."
" Takkan awak tak mahu belajar bercakap dengan lemah-lembut?"
"Hello kawan.. mungkin awak tak percaya jika saya katakan di kalangan keluarga Cina saya, saya antara cucu tok yang selalu dipuji kerana sopan dan bermulut manis, terutama dengan orang tua. Ikut piawaian orang Cinalah, bukan piawaian Melayu. Oleh itu, janganlah selalu suka menilai gaya bahasa dan percakapan orang bukan Melayu dengan menggunakan skala piawaian orang Melayu. Tak adillah begitu. Sudah tentu awak akan lihat banyak kecacatan orang bukan Melayu. Lagipun bukan mudah untuk seseorang yang dibesarkan dalam suasana orang Cina untuk menggunakan 100% gaya bahasa orang Melayu bila berkomunikasi."
"Minta maaflah ya. Baru saya sedar rupa-rupanya saya bersalah kerana menilai awak dengan cermin orang Melayu. Sepatutnya saya fahami dulu mengapa awak bercakap begitu."
"Tak mengapa, saya tak cepat kecil hati. Cuma sebelum mengutuk perbuatan atau percakapan orang lain terutamanya mereka yang bukan sebangsa dengan awak, ingatlah bahawa adat dan budaya mereka berlainan dengan awak punya. Oleh itu, sudah tentu akan berlaku sedikit konflik atau pertembungan. Mungkin cara dia lakukan itu diterima dalam masyarakatnya tetapi dia tidak sedar dalam masyarakat lain, cara itu dianggap tidak elok dan biadap. Kalau saya salah, tolonglah tegur dengan cara yang berhikmah. Janganlah pula cepat buruk sangka. Kita perlulah berusaha untuk memahami orang lain sebelum mengharapkan orang lain memahami diri kita."

Pertembungan 2 adat dan budaya merumitkan keadaan dan boleh menimbulkan salahfaham jika kita selalu anggap kita sahaja yang betul, tanpa mengambil kira sudut pandangan pihak lain. Boleh berlaku di mana-mana dan dengan siapa-siapa saja. [Syukur alhamdulillah ibu mertuaku pun Cina Muslim].

Thursday, September 10

HARI INI

Memang Ramadhan keempat bagi saya ini terasa lain benar. Mungkin kerana saya masih letih mengemas rumah dan belum membiasakan diri dengan persekitaran baru. Peralatan di rumah masih belum lengkap sedangkan syawal sudah hampir. Masalah peribadi yang lain pula sedikit sebanyak menganggu konsentrasi. Alhamdulillah dengan kurnia dan rahmatNya. Masih dapat bertahan dan bersabar.

Minggu ini saya diingatkan dengan satu kebenaran, iaitu kita tidak boleh bergantung pada orang lain, kerana mereka akan mengecewakan kita. Tak kiralah ibu bapa, suami, isteri, anak, adik-beradik atau sahabat baik kita. Jangan harapkan apa-apa daripada mereka jikalau diri ingin bahagia. Lebih baik kita bergantung pada Allah swt. Belajar berdikari dengan erti kata yang sebenar - kerana akhirnya kita tetap akan berseorangan. Jikalau orang lain memberi, terimalah dengan syukur. Bagi diri kita pula, berilah setakat yang mampu diberi tetapi jangan harapkan apa-apa balasan. Jikalau kita ditipu atau dimungkiri janji, serahkan urusan itu kepada Allah yang Maha Adil. Kita belajar daripada pengalaman itu, dan teruskan hidup kita.

Wednesday, September 9

CENGIH

"Tak sangka la, teacher cengih.."
Terdengar komen pelajar ketika saya lalu di hadapan mereka. Muka merah padam menahan sabar, tambahan bila teringatkan diri sedang berpuasa.
"Cepat.. dah tak nak buat, ikut saya ke pejabat sekarang juga!"
Dia berjalan dengan langkah malas. Terpaksa. Dipaksa. Saya tak peduli, dalam hati kalau sah dia larikan diri, akan saya buat laporan bertulis sahaja sebagai bukti dia melanggar peraturan sekolah, iaitu tidak menghormati guru. Sudahlah dia enggan menjawab soalan percubaan spm yang sepatutnya diambil bulan lalu. Pelajar ponteng tegar. Malas saya hendak melayan sebenarnya tetapi memandangkan masa depannya mungkin terjejas sekiranya dia tidak mendapat keputusan memuaskan dalam spmnya yang mungkin berpunca daripada kelalaiannya tidak mencuba jawab soalan percubaan, saya minta dia buat. Namun dia menolak.
Saya tak kisah kalau pelajar nakal. Tak kisah kalau pelajar malas. Tak kisah pun kalau pelajar tak bawa buku ke sekolah. Asalkan bila diberi kerja, mereka cuba untuk menjawab; kalau bukan semua, sekurang-kurangnya tahu teknik menjawab soalan. Tambahan peperiksaan sudah hampir.
Bila terdapat mereka yang hanya jasad sahaja ada di dalam kelas tetapi fikiran melayang entah ke mana, dan buat 'derk' saja bila ditegur, hati mulalah panas. Berlagak macam pandai tetapi langsug tidak mahu menjawab soalan yang diberi. Masa peperiksaaan pula hadir sesuka hati. Bila berbincang dengan ibu bapanya, ibu bapa pula mengaku tidak berupaya mengawal anak mereka sendiri.
Tatkala anak-anak Cina dan India sibuk menyiapkan diri sebaik-baiknya menghadapi peperiksaan awam, ada pula mereka itu yang masih leka dibuai mimpi. Memberi alasan letih kerana berpuasa. Kasihan guru-guru yang berusaha meningkatkan prestasi mereka tetapi mereka tidak mahu membantu diri sendiri.
Apa nak jadi dengan remaja Melayu?
Pada masa seorang pelajar Melayu cemerlang dengan 20A, beratus-ratus pelajar Melayu yang hanya lulus 2-3 mata pelajaran peringkat SPM. Bagaimanakah masa depan mereka?

Sudahlah diri letih mengajar dari pagi hingga petang dalam keadaan berpuasa [kering tekak mengajar dengan suara kuat], jumpa pula pelajar bermasalah begitu. Syukur juga sedang berpuasa; bolehlah menahan sabar. Cengih pun cengihlah.. kalau dulu pelajar kata teacher gebu, sekarang dapat gelaran teacher cengih pun, ok lah, hahahaa..

Sunday, September 6

MERCUN

"booOOOMMM!"
Terkejut saya. Ah, rupa-rupanya kanak-kanak sedang bermain di taman permainan di hadapan rumah. Ada kira-kira10 orang pelajar sekolah rendah. Riuh-rendah mereka membakar mercun di tepi jalan. Ada yang menyakat kawan.
Saya perhatikan sekeliling. Tiada orang dewasa yang mengawasi. Naluri seorang guru [dan ibu?] segera timbul. Siapa yang akan bertindak sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini? Kereta dan motosikal jiran-jiran lalu lalang di situ. Sambil menyapu halaman rumah, saya menjeling ke arah mereka.


Hairan, dari mana mereka dapat mercun tu?
Kalau zaman saya kanak-kanak, tak ada pula mercun bunyi kuat begitu. Yang banyak hanya bunga api. Tahun 9oan mengajar di kampung-kampung sekali sekala terdengar bunyi meriam buluh. Sekarang mercun bising yang diseludup masuk ke dalam negara itulah yang digemari kanak-kanak. Memekakkan telinga. Boleh diserang sakit jantung kalau ia meletup berdekatan kita.
Di taman kanak-kanak ada bunyi mercun. Di bazar ramadhan ada bunyi mercun yang sama. Di sekolah pun ada pelajar nakal yang sengaja mencabar guru disiplin dengan membakar mercun yang sama.

Sakit hati bila tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi kuat mercun dan hilai ketawa kanak-kanak. Sepanjang hari sabar berpuasa tetapi boleh mula marah bila mercun dibakar terus-menerus berlaku tanpa henti. Paling menggeramkan, mereka memilih untuk membakar mercun di hadapan rumah orang lain, bukan rumah sendiri. Ibu bapa mereka pula buat tak kisah asalkan rumah sendiri bersih.
Tak kira anak orang Melayu, anak orang Cina atau anak orang India. Bila bab mercun, semua serupa.

Bermain mercun bukan budaya orang Islam. Tetapi setiap kali Ramadhan semakin banyak mercun yang dibakar, terutama bila sudah hampir penghujungnya.
Bising. Buat orang terkejut bila ia tiba-tiba dibakar berdekatan rumah. Mengganggu orang yang sedang membaca al-Quran dan mengerjakan solat. Menganggu orang yang sibuk menyediakan juadah berbuka puasa. Merangsang kemarahan orang yang diganggu. Menimbulkan perasaan geram dengan jiran tetangga yang tidak mengawasi anak-anak mahupun menasihati anak-anak mereka supaya bermain di tempat yang lebih lapang agar tidak menganggu orang.

Ramadhan adalah bulan suci untuk bertaqwa pada Allah swt, berpuasa, membaca al-Quran serta mengeratkan siraltulrahim. Ia bulan untuk beribadat.
Di manakah fungsi bermain mercun yang berbunyi kuat dalam aktiviti bulan Ramadhan ini?

Ahhh.. kanak-kanak, biasalah. Mereka berseronok saja!
Berseronok banyak caranya. Ibu bapa dan penjaga perlu juga meneliti cara mereka berseronok agar tidak terjerumus dengan gejala negatif, dan mengundang kemarahan orang ramai.
Sabar sajalah.. ni kan bulan Ramadhan.
Sabar memang sabar tetapi lu fikirlah sendiri... membakar mercun atau membiarkan anak-anak bermain mercun pada bulan Ramadhan ini bakal mendapat pahala atau menambah dosa kecil? Sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak menjadi orang yang soleh/solehah.

Friday, September 4

SUSAH TAK BERPUASA?

Alhamdulillah tahun ini saya berpuasa buat kali keempat sebagai Muslimah.
Banyak pengalaman yang dilalui ketika berpuasa sebagai seorang saudara baru, dan juga sebagai seorang isteri.

"Aliya, bagaimana pengalaman berpuasa? Susah tak?"
"Alhamdulillah setakat ini, ok."
Saya bersyukur kerana saya kurang menghadapi masalah untuk berpuasa ketika Ramadhan. Mungkin kerana saya mulakan hasrat memeluk Islam dengan berpuasa terlebih dahulu. Kebiasaannya boleh bertahan sehingga waktu berbuka puasa.

"Susahlah berpuasa.. lapar," keluh seorang saudara baru yang berpuasa buat pertama kalinya.
Nasihat saya kepada mereka yang baru berpuasa sebagai orang Islam, jangan tunggu sehingga bulan Ramadhan baru hendak mula berpuasa. Ramai nonMuslim yang sengaja menanti sehingga bulan Ramadhan untuk memeluk Islam secara rasmi dengan alasan lebih afdhal, tetapi bukan semua yang sudah berlatih berpuasa sebelum itu. Bila diri sudah beragama Islam, sudah pasti wajib berpuasa keesokan hari [jika ucap syahadah selepas maghrib]. Tiada alasan untuk tangguh puasa. Bagi yang tidak bersedia sudah pasti hebat cabarannya! Menjelang tengah hari perut sudah berkeroncong, tekak sudah kering tetapi diri perlu tunggu 7 jam lagi sebelum berbuka puasa.

Yang saya lakukan ketika tahun pertama sebagai Muslimah, sebelum bulan Ramadhan:
1. Sentiasa beringat bahawa diri akan berpuasa kerana taat pada Allah tidak lama lagi
2. Sentiasa berdoa agar Allah swt berikan kekuatan dan kesabaran untuk berpuasa pada hari tersebut
3. Berlatih berpuasa dengan puasa sunat selepas memeluk Islam, sekurang-kurangnya sehari sebulan sehingga Ramadhan, untuk membiasakan diri dengan amalan ini. Tambahkan amalan berpuasa sunat pada bulan Rejab dan Syaaban sebagai persediaan untuk Ramadhan.

Semasa berpuasa sunat pula:
4. Tidur awal supaya badan tidak cepat letih berpuasa keesokan hari.
5. Mulakan hari pertama berpuasa sunat dengan lambatkan sahur. Makan makanan berfibre tinggi, kurma dan minum air secukupnya. Tak lalu makan pun telan saja. Programkan minda bahawa selepas subuh adalah haram untuk makan dan minum lagi.
6. Sibukkan diri dengan aktiviti yang kurang lasak sepanjang hari supaya tiada masa untuk fikirkan makan minum. Bila sudah balik ke rumah dan perut sudah meragam, berehatlah di bilik tidur.
7. Baca al-Quran dan terjemahannya untuk kekuatan rohani. Elakkan daripada mendekati mereka yang suka bergosip.
8. Solat tepat pada waktunya
9. Tinggalkan bekas makanan dan minuman di rumah atau simpan di tempat yang tersorok
10. Beritahu rakan bahawa saya berpuasa apabila diajak ke kafeteria. Pilih untuk ke perpustakaan atau kedai buku ketika rehat.
11. Berbuka puasa dengan kurma, air dan makanan panas yang sesuai. Jangan makan berlebihan.
12. Berazam untuk memperbaiki amalan puasa pada hari berpuasa seterusnya.

Selamat menjalani ibadah puasa.

Thursday, September 3

ADA APA UNTUK BUKA PUASA?

"Kak, belilah.. kuih ada, nasi ada.."
Saya menziarah ke bazaar Ramadhan dekat rumah semalam. Maklumlah baru berpindah, belum sempat nak ke pasar pagi kerana masih sibuk berkemas.

Rupa-rupanya bazaar Ramadhan yang disangka kecil agak besar juga. Gerai-gerai dibuka sepanjang jalan dekat taman perumahan. Yang menjual pula sama ada penduduk situ atau mahasiswa-mahasiswi dari UiTM atau politeknik berdekatan. Riuh. Sesak. Macam pesta terutama selepas 6 petang. Tapi makanan yang dijual lebih kurang sama saja. Nasi ayam. Nasi berlauk. Kuih-muih. Pelbagai jenis air minuman. Murtabak. Roti john.

"Had.. had.. limit.." saya cuba kawal diri. Azam tahun ni tidak mahu terlebih beli. Maklumlah semua nampak sedap dan menggiurkan tatkala perut kosong dan tekak kering. Berapa banyaklah yang boleh dimakan oleh saya dan suami apabila berbuka puasa?

Masalah bila pergi ke bazaar Ramadhan, nafsu untuk makan meningkat. Kalau boleh nak beli setiap jenis yang ada, tambahan lagi makanan yang memang jarang dijumpai kecuali pada bulan Ramadhan. Bila dan beli dan berbuka puasa, tak mampu nak habiskan. Esok lepas sahur masih ada berbaki. Akhirnya membazir kecuali sempat dihabiskan ketika buka puasa seterusnya.
Puasa kerana Allah swt. Untuk mengawal nafsu. Tetapi kalau siang kawal nafsu, bila berbuka puasa asyik makan tanpa kawalan, kurang berkesanlah puasa kita itu.
Oleh itu perlulah kita sentiasa beringat-ingat - Dapatkah saya habiskan semua makanan yang ada ni?

Percaya tak kalau saya katakan sebelum peluk Islam, hanya sekali saja saya ke bazaar Ramadhan?
Sebabnya saya dibesarkan di bandar dan tidak pernah didedahkan dengan suasana bazaar Ramadhan sehinggalah saya berpindah ke rumah berdekatan taman perumahan yang 90% didiami orang Melayu. Satu kali itupun saya terpaksa keluar cari makanan kerana sudah bosan memasak. Ha, ketika itulah baru kenal ayam percik, laichikang ala Melayu, murtabak, soto,
roti john, dan sebagainya. Kejutan besar!
Dalam pemikiran saya ketika itu, sebagai nonMuslim, mengapa perlu bersesak-sesak di bazaar Ramadhan semata-mata untuk beli makanan masakan orang Melayu sedangkan boleh beli makanan di kedai Cina? Biar saja mereka yang berpuasa beli, lagipun susah nak parking kereta. Hampir semua yang ada di situ orang Melayu. Akhirnya saya tak pergi ke bazaar itu lagi.

Kini situasi berlainan.
Saya ke Bazaar Ramadhan untuk mencari makanan yang jarang dapat dimakan ketika hari biasa terutama masakan negeri Kelantan. Bila pulang lewat sehingga tidak sempat memasak di rumah, tambahan hanya dua orang saja yang nak makan. Lebih menjimatkan masa dan kos. Hendak membantu Muslim lain yang berniaga mencari rezeki halal di bulan Ramadhan. Mahu meninjau keadaan di sesuatu kawasan serta komuniti di situ. Berekreasi sambil menjamu mata melihat pelbagai jenis makanan dan kreativiti para peniaga di situ.

Terdetik dalam hati, kalau saya berniaga di situ, apakah makanan yang akan sesuai dengan selera orang Melayu?

Wednesday, September 2

PUASA TAK?

"Teacher..."
"Yes?"
Dia memberi isyarat makan dengan tangan. Ishhh! Saya menggeleng kepala.
"Puasa tak?"
Dia tersengih.
"Puuuuaaaasaaaaa..." jawabnya.
"Orang yang tak puasa sama ada dia bukan Islam atau dia belum akil baligh," sengaja saya provoke untuk melihat reaksi mereka.
"Eee, teacher... saya orang Islam."
"Kenalah puasa.. kamu lelaki mana ada cuti puasa seperti perempuan,"
Diam. Masih tersengih. Tetapi boleh dibaca daripada riak wajah mereka bahawa mereka berkemungkinan akan berbuka puasa sebelum waktunya.

Walaupun sudah di sekolah menengah, masih ada pelajar yang disyaki tidak berpuasa. Pelajar Melayu lebih jujur dan kurang bercakap bohong. Tambahan semalam adalah hari pertama sekolah dibuka selepas Awal Ramadhan, maka ramai yang masih belum menyesuaikan diri dengan suasana belajar ketika sedang berpuasa wajib.
Ramai yang mengantuk. Ada yang terus terlena terutama selepas tengah hari.
Aktiviti pembelajaran perlu disesuaikan supaya mereka boleh menumpukan perhatian.

Teringat ketika saya mengajar di sekolah rendah. Anak-anak kecil lebih bersemangat untuk berpuasa. Mungkin kerana bersaing dengan rakan sebaya. Malu jikalau kawan-kawan dan cikgu mendapati mereka tidak berpuasa. Takut disisihkan daripada ahli keluarga lain yang berbuka puasa kelak kerana tidak dapat bertahan sehingga waktu maghrib. Mahu mengutip duit raya kerana berpuasa sebulan Ramadhan. Semua itu menjadi dorongan untuk mereka berpuasa atau berlatih puasa. Walaupun ketika itu saya belum Islam, kerana segan dituduh oleh pelajar tahun Satu"Eh, teacher tak puasa!" saya turut bertahan lapar dan dahaga sehingga pulang semula ke rumah.

Malangnya, bila melangkah ke sekolah menengah, sudah kurang atau tiada langsung motivasi daripada ibu bapa untuk mereka berpuasa. Ibu bapa pun kurang ambil tahu atau menganggap anak-anak teruna dan anak dara mereka sudah tahu kewajipan masing-masing. Malangnya anak-anak ini masih perlu diawasi. Kesedaran diri amat penting ketika ini, kerana jika rendah iman, kurang penghayatan agama, dan adanya hasutan kawan-kawan jahat yang turut membuka puasa awal, tenatlah keadaan mereka. Ketika inilah, tarbiyah dan motivasi diri oleh ibu bapa perlu ditanam dalam jiwa anak-anak muda itu supaya mereka sedar kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan. Perlu diterangkan juga bagaimana mengawal nafsu makan dan minum, nafsu amarah dan sebagainya supaya tidak mencemarkan amalan berpuasa. Kalau ibu bapa gagal dalam hal ini, berkemungkinan anak-anak tidak akan memahami keperluan berpuasa dalam Islam.

Tapi bukankah sekolah sudah ada subjek Pendidikan Islam?
Benar, ada. Malah ada ustaz dan ustazah yang hebat-hebat mengajar mereka.
Ada ceramah sempena bulan Ramadhan untuk menyedarkan pelajar tentang kewajipan berpuasa. Ada program solat dhuha dan zohor berjemaah. Ada program tadarus al-Quran.
Namun, berapa jamkah cikgu mengajar di sekolah berbanding dengan waktu ibu bapa bersama anak-anak di rumah?
Yang bersahur dengan anak-anak itu siapa?
Yang menyediakan makanan dengan anak-anak itu siapa?
Yang berbuka puasa dengan anak-anak itu siapa?
Yang mengajak anak-anak untuk mengerjakan solat berjemaah di masjid itu siapa?

Mengapa ketika anak-anak masih kecil, digalakkan dengan janji duit raya jika berpuasa lengkap, dijanjikan dengan amalan berbuka puasa beramai-ramai untuk anak-anak yang berpuasa sehingga ke waktu maghrib tetapi apabila mereka masuk ke sekolah menengah mereka sudah semakin diabaikan? Tak tanya lagi sama ada mereka berpuasa. Kurang kisah kalau mereka tidak bangun sahur. Kerana mereka sudah besar dan sepatutnya tahu menguruskan diri sendiri?
Badan mereka besar tetapi jiwa mungkin belum besar, dan iman mungkin masih lemah. Mereka masih perlu dibantu supaya amalan berpuasa dengan baik pada Ramadhan dapat diteruskan sehingga ke akhir hayat.

"Kamu berpuasa, pagi ni sahur tak?"
Selalu saya tujukan soalan begini kepada pelajar lelaki kerana mereka lebih berisiko tinggi.
Boleh dibaca daripada riak wajah mereka siapa yang akan bertahan sehingga waktu berbuka dan siapa yang berisiko tinggi.
Hmmm, nampaknya perlu adakan slot motivasi dan sebagainya untuk membantu mereka sebelum saya mula mengajar setiap hari.
Aduh, itu belum lagi sentuh bab berpuasa tetapi tidak bersahur, dan berpuasa tetapi tidak solat.