"Dah puas orang pejabat agama nasihat dia.. tapi dia masih tak mau," kata makcik itu.
"Tak taulah apa yang menarik dia balik ke agama asal.." cerita seorang kawan saya tentang jirannya yang murtad.
Saya diam. Sudah banyak cerita tentang saudara baru wanita khasnya yang didapati kembali ke agama asal selepas kematian suami Melayu. Banyak pula dikaitkan dengan percintaan dengan lelaki bangsa dan agama lain sehingga wanita tersebut meninggalkan Islam.
"Sudah tentu salah lelaki itu... jahat," biasanya itulah komen yang saya dengari.
Saya diam.
Sebelum mengetahui cerita sebenar, lebih baik diam. Tiadanya gunanya menyalahkan lelaki ketiga sebagai punca wanita itu keluar agama Islam. Tak baik juga jikalau tuduh wanita tersebut dahulu hanya peluk Islam untuk berkahwin dengan lelaki Melayu, dan lemah imannya.
Semua yang komen menyalahkan wanita itu dan teman lelaki nonMuslimnya hanyalah spekulasi dari sudut pandangan orang Islam... yang lahir dalam keluarga Islam.
Saya memilih untuk diamkan diri ketika orang sekeliling berkata hairan dan mengutuk mereka kerana setelah 4 tahun bergelar Muslimah saudara baru, saya lebih mengetahui keadaan.
Mengapa ada Muslimah di kalangan saudara baru yang akhirnya keluar Islam setelah diceraikan suami atau setelah kematian suami?
Banyak kemungkinannya:
1. Dia tidak pernah diberi bimbingan tentang Islam oleh suaminya serta keluarga suaminya. Mungkin kelas agama yang diwajibkan ke atasnya semasa mula-mula memeluk Islam itu satu-satunya kelas agama yang pernah dihadirinya. Solat tak pandai, mahu belajar mengaji susah nak dapatkan ustazah yang mahu mengajar orang dewasa [angkat tangan siapa yang tahu tempat mengajar iqra untuk orang dewasa di taman perumahan anda], dan sibuk pula dengan urusan rumahtangga dan anak-anak. Cara hidup mungkin juga tidak banyak berubah walaupun setelah memeluk Islam.
Majlis ilmu jarang dihadiri kerana tiada kenderaan atau terlalu jauh dari rumah. Mungkin suami tidak mengizinkan atau tidak mahu menemani. Mungkin juga ada yang kaitkan majlis ilmu di masjid dan surau sebagai pengikut Islam yang ekstrimis sehingga tidak mahu turut serta. Akibatnya banyak perkara yang dia tidak tahu dan tidak dapat bimbingan, tambahan lagi jikalau suami sendiri seorang yang kurang didikan agama.
2. Kurang penerimaan oleh keluarga Islam. Boleh juga berlaku di kalangan mereka berketurunan bukan Melayu yang dijadikan anak angkat oleh keluarga Melayu, dibesarkan dalam keluarga Melayu sehingga pandai mengaji al-Quran tetapi masih dipandang serong oleh sesetengah ahli keluarga angkatnya [berlaku kepada seorang kawan saya]. Kata-kata kesat dan pelbagai tuduhan boleh menyakitkan hati sesiapa yang berada pada paras iman yang lemah ketika itu.
3. Pertembungan budaya dari segi amalan harian, bahasa, hidangan makanan antara saudara baru dengan keluarga suami Melayu sedikit sebanyak perlukan sokongan dan bantuan suami. Sekiranya suami kurang memainkan peranan untuk mendekatkan isteri dengan keluarganya, dan bertindak sebagai orang tengah menyelesaikan sebarang konflik, ia hanya akan menambah tekanan kepada isteri baru itu. Bukan mudah menyesuaikan diri dengan adat dan budaya Melayu di kampung dalam masa yang singkat.
4. Kesensitifan saudara baru dipandang ringan.
Ramai yang tidak suka apabila dikatakan memeluk Islam untuk berkahwin, walaupun kadang-kadang hakikatnya benar. Ramai yang tidak suka ditanya mengapa dia memilih Islam oleh orang yang tidak dikenalinya. Bagi saya pula, saya masih kurang selesa apabila orang yang tidak dikenali tiba-tiba bertanya saya tentang penerimaan keluarga saya yang masih nonMuslim, selepas itu terus nasihat supaya saya bersabar. Bagi kebanyakan kami, isu kami memeluk Islam adalah sangat peribadi, dan terpulang kepada kami sama ada untuk berkongsi atau tidak.
Ada yang pula melontar tuduhan seolah-olah kami tidak tahu jaga adab Melayu. Hello, peluk Islam bukan mesti jadi Melayu tetapi masyarakat sini suka anggap begitu; jangan harap kami nak sangat jadi instant Melayu.. kami bukan mi Maggi.
Ada juga suami yang tidak menyokong hasrat isteri untuk pulang ke kampung halamannya ketika perayaan budayanya sendiri seperti Deepavali atau Tahun Baru Cina. Ini menambah tekanan kepada isteri baru yang terpaksa bersabar tanpa dapat bersama ahli keluarga pada masa perayaan tersebut.
5. Saudara baru bersifat idealist.
Mahu tak mahu, harus sedar bahawa ramai saudara baru melihat Islam dari sudut yang berbeza dari masyarakat, terutamanya yang telah mengkaji al-Quran sebelum memeluk Islam.
Apabila orang Islam di sekelilingnya yang dianggapnya kuat beragama masih gagal menurut ciri-ciri yang digariskan dalam al-Quran dan hadis, mudahlah mereka menjadi keliru dan kadang-kadang kecewa kecuali selalu berdampingan dengan orang alim.
6. Kurang keprihatinan masyarakat
Kadang-kala susah nak kata. Saudara baru yang lebih 10 tahun memeluk Islam ada yang masih tak pandai mengaji, tak pandai baca doa dalam Arab, tetapi pihak suami dan keluarganya menganggapnya sudah OK kerana sudah lama beragama Islam. Akibatnya dia sendiri menjadi malu untuk belajar agama.
Bagi yang bekerja dengan kerajaan, alhamdulillah kerana kerap berhubung dengan orang Islam lain. Tetapi bagi yang bekerja swasta dengan bukan Islam atau menjadi suri rumah 24 jam? Di manakah kumpulan sokongan dan ukhwah Islamiyah mereka?
Rekod di jabatan agama pula tidak dikemaskini, tiada follow-up oleh pihak yang bertanggungjawab. Apabila berlaku masalah rumahtangga, kepada siapakah harus dia rujuk?
Mahu mengadu kepada keluarga suaminya, belum tentu mereka akan membantunya. Mahu meminta bantuan keluarganya yang nonMuslim, mereka akan menyuruhnya kembali ke agama asal. Muslimah saudara baru tersepit.
Perkahwinan yang berakhir dengan perceraian [ bagi saya, suami yang menceraikan isteri saudara baru mendedahkan kelemahannya sendiri sebagai pemimpin keluarga Islam] akan mendedahkan wanita itu kepada situasi yang mencabar kemampuan dan mengugat keimanannya.
Kematian suami pula diikuti dengan perebutan harta oleh waris-waris juga boleh mendedahkan Muslimah itu kepada satu situasi yang penuh tekanan, terutamanya apabila tiada sokongan dan bantuan daripada keluarga arwah suami.
Tiada seorang Muslimah saudara baru yang apabila memeluk Islam akan menyimpan hasrat di dalam hatinya untuk menjadi murtad suatu hari nanti. Tentu ada sebab-sebab lain yang menjadi punca kekecewaannya terhadap orang Islam di sekelilingnya dan pencetus hasratnya untuk kembali ke agama asal.
Begitu mudah sekali untuk kita menyalahkan pihak ketiga atau lelaki lain sebagai punca dia menjadi murtad. Lupakah kita akan tanggungjawab kita sebagai saudara seagama untuk membantu, melindungi dan membimbingnya?
assalammualaikum
ReplyDeletesaya bersetuju betul ngan aliya... semua itu adalah penyebab. juga, hidayah hanyalah hak Allah.. sebagai insan, setelah berusaha menyedarkan, kita wajib berdoa untuk sauddara2 kita itu
tiap kali bukak blog kak Aliya ni, ade je cerita2 n idea2 baru.. thanx for this post.. banyak memberi kesedaran
ReplyDeletetidak dinafikan pelbagai faktor luaran terpaksa mereka hadapi.. biar apa jua cabaran & kesusahan... selebihnya terletak pada individu itu.. berusaha mencari hidayah.. kerana hidayah adalah anugerah Allah tidak ternilai.. mencontohi pengorbanan Bilal bin Rabah, Ammar bin Yasir dan keluarganya.. mudah2an ianya bukan alasan utk 'Dia Keluar'... muslim juga perlu laksanankan tanggungjawab sbg khalifah utk menyeru kpd kebaikan & cegah kemungkaran.. wallahua'lam..
ReplyDeleteSalam,
ReplyDeleteSaya kagum dgn semangat kak Aliya membendung keadaan ini drp berleluasa & menyedarkan masyarakat islam ttg peranan masing-masing:-)
Salam.
ReplyDeleteSaya mencadangkan MRC ni ditubuhkan secara rasmi dan dicari dana. Insya Allah PAKSI Parit Buntar Sedia membantu.
Sebelum ini pemuda Patani, Ust Farhan dll pernah datang berceramah dan meminta derma bantuan. Alhamdulillah. Ada la sedikit sebanyak.
Nanti saya call puan nak confirmkan tarikh, insya Allah
Waalaikumussalam semua,
ReplyDeleteBenar, hidayah milik Allah, dan diberikannya sepada sesiapa sahaja yang diinginiNya. Perlu juga kita dilantik sebagai kahlifah Allah di bumi, maka juga tanggungjawab kita untuk menasihati dan membimbing mereka yang lain.
Saya hanyalah salah seorang hambaNya.
Waalaikumussalam joe penang,
ReplyDeleteSaya akui, bukan mudah mengendalikan sesuatu kelab yang bergerak hanya dalam alam maya. Kita hanya boleh berharap mereka membaca emel dan pos yang dikirimkan.
InsyaAllah akan diadakan satu perjumpaan dengan semua ahli nanti.