Friday, September 11

BAHASAKU BAHASAMU

"Cubalah guna bahasa yang lebih sopan."
"Lebih sopan? Bagaimana? Saya rasa saya dah cukup sopan tadi"
"Agak kasar sebenarnya."
"Eh, takkan begitu sekali. Saya sikit pun tak marah dia."
"Tapi bahasa awak agak keras."
"Tentulah... saya serius dan sedang berikan peringatan padanya."
"Namun.. gaya awak agak keras, bahasa awak agak kasar."
"Keras.. kasar? maksud awak keras dan kasar dari penilaian orang Melayu?"
"Errr... adakah beza penilaian orang Melayu dengan orang bangsa lain?"
"Mestilah ada. Kita kan dibesarkan dalam persekitaran yang berbeza, adat dan budaya yang berbeza? Mana boleh sama standardnya? Bagi saya, saya sudah sopan pada wanita itu tadi tapi bagi awak saya bersikap kasar. Saya nilai diri saya ikut standard orang Cina, awak pula nilai saya ikut standard orang Melayu. Gred penilaian yang berlainan."
"Oh.. ya tak ya juga.."
"Kalau saya bercakap bahasa Melayu dengan penterjemahan terus daripada bahasa Cina, awak lagi akan tuduh saya bercakap kasar. Orang Cina jarang guna cakap berlapik. Kurang bercakap tak serupa bikin; kalau kami kata hitam, maka hitamlah. Masa itu wang, maka struktur ayat yang digunakan ringkas dan terus pada sasaran. Tak banyak pusing-pusing macam gaya bahasa Melayu. Sebab itu bila saya bercakap Melayu ikut gaya bahasa Cina, awak anggap saya bercakap kaar. Sebenarnya saya hanya menyampaikan maksud tanpa bahasa berlapik, ikut gaya Cina."
"Agaknyalah.. saya agak terkejut mendengar perbualan awak dengan ibu bapa awak. Kalau anak Melayu sudah tentu orang kata kurang ajar."
"Tapi bagi orang Cina, itu cara biasa. Mungkin nampak kasar dan kedengaran seolah-olah keras tetapi kami jujur. Tak banyak kipas-mengipas atau membodek. Maaf jika saya katakan, ada orang yang bermulut manis di depan kita tetapi di belakang, fulamak... berbisa... itu lagi bahaya."
" Takkan awak tak mahu belajar bercakap dengan lemah-lembut?"
"Hello kawan.. mungkin awak tak percaya jika saya katakan di kalangan keluarga Cina saya, saya antara cucu tok yang selalu dipuji kerana sopan dan bermulut manis, terutama dengan orang tua. Ikut piawaian orang Cinalah, bukan piawaian Melayu. Oleh itu, janganlah selalu suka menilai gaya bahasa dan percakapan orang bukan Melayu dengan menggunakan skala piawaian orang Melayu. Tak adillah begitu. Sudah tentu awak akan lihat banyak kecacatan orang bukan Melayu. Lagipun bukan mudah untuk seseorang yang dibesarkan dalam suasana orang Cina untuk menggunakan 100% gaya bahasa orang Melayu bila berkomunikasi."
"Minta maaflah ya. Baru saya sedar rupa-rupanya saya bersalah kerana menilai awak dengan cermin orang Melayu. Sepatutnya saya fahami dulu mengapa awak bercakap begitu."
"Tak mengapa, saya tak cepat kecil hati. Cuma sebelum mengutuk perbuatan atau percakapan orang lain terutamanya mereka yang bukan sebangsa dengan awak, ingatlah bahawa adat dan budaya mereka berlainan dengan awak punya. Oleh itu, sudah tentu akan berlaku sedikit konflik atau pertembungan. Mungkin cara dia lakukan itu diterima dalam masyarakatnya tetapi dia tidak sedar dalam masyarakat lain, cara itu dianggap tidak elok dan biadap. Kalau saya salah, tolonglah tegur dengan cara yang berhikmah. Janganlah pula cepat buruk sangka. Kita perlulah berusaha untuk memahami orang lain sebelum mengharapkan orang lain memahami diri kita."

Pertembungan 2 adat dan budaya merumitkan keadaan dan boleh menimbulkan salahfaham jika kita selalu anggap kita sahaja yang betul, tanpa mengambil kira sudut pandangan pihak lain. Boleh berlaku di mana-mana dan dengan siapa-siapa saja. [Syukur alhamdulillah ibu mertuaku pun Cina Muslim].

9 comments:

  1. Orang Melayu ni, style percakapan mereka macam orang British.:P

    ReplyDelete
  2. I stumbled upon your blog while blog hopping. And I found the bahasa Melayu used soooo nice yet alien at the same time.

    Terkejut saya buat seketika apabila mendapati penulis blog ini seorang guru. Patutlah, bila saya membaca entry ini, teringat saya time sekolah menengah dahulu. Rindu sikit pon ada kepada guru Bahasa Melayu.

    Rasa malu pon ada kerana seorang Cina lebih fasih dalam bahasa melayu. Tapi mungkin di Singapura, penguasaan bahasa melayu tidak begitu relevant - especially in an English speaking world that we live in.

    Dan rasa sedih pon ada. That our Prime minister speaks a more fluent malay that most of us as evident during his National Day speech in Malay. Nanti bila Singapura ada PM Melayu yang pertama, insyaallah, kurang menghairankan jika beliau tidak fluent dalam Bahasa sendiri.

    Cikgu, 'piawaian' tu apa? haha!

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Apapun tak kira bangsa ugama warna kulit mata biru mata hitam mata bulat mata bujur, hidup kemek hidung mancung..asalkan tidak prejudice..

    Bak kata org fizik cahaya adalah kebenaran. From narrowminded to broadness, and From prejudice to tolerance. Bak cahaya dari satu titik menjadi berkembang.

    Bak kata Dr. Ary Ginanjar Agustian pula, berpikir mesti melikar dgn mengingat sifat2 asma Allah swt Pencipta seluruh alam. Kita adalah roh yg perlu tunduk pdNya, sudah mengaku ketika Allah bertanya pd kita di alam surga sblm dihantar ke Bumi (dlm perut ibu) "Bukankah Aku tuhanmu?" Lalu Roh kita menjawab" Ya, kami bersaksi". Allah Maha Benar juga Maha Santun atau sopan. Maka kalau ikut kata hati mahu benar saja tp tidak cari kesopanan universal maka tak universal atau tak berhikmah.

    saya tak tau la saya tak dgr Kak aliya tegur org itu mcmana utk judge, mungkin org itu lebih sensitif. terus terang saya tak mau stereotype sapa2 tapi saya kenal org cina lain, lain tanggapan nya mungkin lebih mengutamakan kesopanan dlm percakapan, maksudnya mesti lembut sikit tak boleh tinggikan suara lebih2 spt dlm keadaan marah. Universally manusia tak suka nada marah. menurut ahli sufism pula, melanggar sifat tuhan spt marah, prejudice, mahu berpecah dsb boleh menyebabkan dunia betambah panas.

    ReplyDelete
  5. Dunia bertambah panas maksudnya hukum alam pun boleh terjejas kalau manusia melanggar sifat tuhan. Things cannot work harmoniously la maksudnya kot. ahli fizik yg mengkaji quantum fizik n ahli sufi yg terangkan. Wallahua'lam.

    ReplyDelete
  6. Salam,

    Piawaian in English means 'Standard'
    Maksudnya piawaian ialah sesuatu yang ditentu untuk digunakan sebagai kayu ukur perbandingan nilai-nilai tertentu.

    Yang terbaik ialah menggunakan nilai-nilai Islam sebagai kayu ukuran/piawaiannya. :)

    Antara perkara yang saya boleh bezakan antara cara percakapan orang Cina dan Melayu antaranya ialah intonasi. Orang Cina kadang-kala suka meninggikan suaranya tetapi sebenarnya ia tidak menunjukkan bahawa marah/tak sopan. Bagi orang Melayu kalau tinggi sikit suara tu maksudnya marah atau kurang sopan. Bagi orang Cina, sopan-santun itu adalah diukur lebih dalam perbuatan dan berbanding dalam percakapannya. Orang Cina banyak mementingkan moral terutamanya ketaatan dan hormat kepada ibu-bapa dan orang yang lebih tua.

    Yang saya tulis diatas tu dari piawaian orang Melayu mengikut pandangan saya. Kalau ikut piawaian orang Cina, orang Melayu tu cakap terlalu lembut dan kadang-kadang berbelit-belit/ berlapik sehingga tak faham apa yang hendak disampaikan. Cara percakapan yang terlalu lembut tu kadang-kala seolah-olah orang Melayu itu acuh tak acuh tentang apa yang hendak disampaikan (tak cukup perasaan). Ada sesetengah orang Melayu suka cakap belakang-belakang. Contohnya nak menegur tentang kesilapan kena menggunakan pihak ke-3. Itupun diberitahu secara berlapik.

    Kadang-kala cara bercakap secara berlapik orang Melayu boleh mengelirukan. Saya sendiri kadang-kala terperangkap kerana salah faham tentang penyampaian yang berlapik-lapik ini. Hahaha. Saya sampai sekarang sekali-sekala akan keliru.

    Miss01, saya tak faham la macamana manusia nak melanggar sifat Allah sebab sifat Allah tu kekal, yang berubah itu sifat kita manusia sahaja. Mungkin Miss01 maksudkan kita melanggar 'Undang-undang dari Allah'? Mungkin saya salah faham lagi.

    Percakapan orang British adalah tidak berlapik seperti orang Melayu...

    ReplyDelete
  7. salam cikgu,
    hehe..belajar jugak budaya orang lain, biar tak salah faham..tak gaduh2..mujur gak dua orang tu nak berbaik semula..hehe

    ReplyDelete
  8. terima kasih, ahong.

    First time saya dengar perkataan "piawaian". Part cara percakapan orang Melayu tu... saya sangat sangat setuju. Apa salahnya jikalau apa yang ditegur suatu yang benar.

    Tapi kalau disindir, pon tak terima. Susah juga nak jaga hati orang melayu. Kalau mereka jaga hati orang bukan melayu pon ok jugak. Tapi saya rasa the chances of that happening is very rare. haha.

    "Masa itu wang, maka struktur ayat yang digunakan ringkas dan terus pada sasaran." dan "kipas mengipas" .... haha... lucu jugak entry ni!

    ReplyDelete
  9. Waalaikumussalam semua,
    Bahasa termasuklah intonasi dan penggunaan perkataan yang sesuai. Kita perlu sedar bukan semua orang mempunyai perbendaharaan kata yang banyak, kahsnya bukan Melayu yang bercakap dalam B.Melayu. Salah faham boleh muncul bila satu pihak berkata dan pihak yang satu lagi terlalu sensitif, dan tidak meminta kepastian akan maksud yang hendak disampaikan.
    Terima kasih ahong kerana memberi penjelasan yang panjang lebar. Saya susah sikit nak online sekarang kerana line internet di rumah agak lambat dan sering terputus-putus. Terpaksalah tulis dengan cepat.
    Marzuki, istilah membodek dalam bahasa Cina Kantonis ialah 'mengilap kasut'.. hahaha

    ReplyDelete