"Teacher..."
"Yes?"
Dia memberi isyarat makan dengan tangan. Ishhh! Saya menggeleng kepala.
"Puasa tak?"
Dia tersengih.
"Puuuuaaaasaaaaa..." jawabnya.
"Orang yang tak puasa sama ada dia bukan Islam atau dia belum akil baligh," sengaja saya provoke untuk melihat reaksi mereka.
"Eee, teacher... saya orang Islam."
"Kenalah puasa.. kamu lelaki mana ada cuti puasa seperti perempuan,"
Diam. Masih tersengih. Tetapi boleh dibaca daripada riak wajah mereka bahawa mereka berkemungkinan akan berbuka puasa sebelum waktunya.
Walaupun sudah di sekolah menengah, masih ada pelajar yang disyaki tidak berpuasa. Pelajar Melayu lebih jujur dan kurang bercakap bohong. Tambahan semalam adalah hari pertama sekolah dibuka selepas Awal Ramadhan, maka ramai yang masih belum menyesuaikan diri dengan suasana belajar ketika sedang berpuasa wajib.
Ramai yang mengantuk. Ada yang terus terlena terutama selepas tengah hari.
Aktiviti pembelajaran perlu disesuaikan supaya mereka boleh menumpukan perhatian.
Teringat ketika saya mengajar di sekolah rendah. Anak-anak kecil lebih bersemangat untuk berpuasa. Mungkin kerana bersaing dengan rakan sebaya. Malu jikalau kawan-kawan dan cikgu mendapati mereka tidak berpuasa. Takut disisihkan daripada ahli keluarga lain yang berbuka puasa kelak kerana tidak dapat bertahan sehingga waktu maghrib. Mahu mengutip duit raya kerana berpuasa sebulan Ramadhan. Semua itu menjadi dorongan untuk mereka berpuasa atau berlatih puasa. Walaupun ketika itu saya belum Islam, kerana segan dituduh oleh pelajar tahun Satu"Eh, teacher tak puasa!" saya turut bertahan lapar dan dahaga sehingga pulang semula ke rumah.
Malangnya, bila melangkah ke sekolah menengah, sudah kurang atau tiada langsung motivasi daripada ibu bapa untuk mereka berpuasa. Ibu bapa pun kurang ambil tahu atau menganggap anak-anak teruna dan anak dara mereka sudah tahu kewajipan masing-masing. Malangnya anak-anak ini masih perlu diawasi. Kesedaran diri amat penting ketika ini, kerana jika rendah iman, kurang penghayatan agama, dan adanya hasutan kawan-kawan jahat yang turut membuka puasa awal, tenatlah keadaan mereka. Ketika inilah, tarbiyah dan motivasi diri oleh ibu bapa perlu ditanam dalam jiwa anak-anak muda itu supaya mereka sedar kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan. Perlu diterangkan juga bagaimana mengawal nafsu makan dan minum, nafsu amarah dan sebagainya supaya tidak mencemarkan amalan berpuasa. Kalau ibu bapa gagal dalam hal ini, berkemungkinan anak-anak tidak akan memahami keperluan berpuasa dalam Islam.
Tapi bukankah sekolah sudah ada subjek Pendidikan Islam?
Benar, ada. Malah ada ustaz dan ustazah yang hebat-hebat mengajar mereka.
Ada ceramah sempena bulan Ramadhan untuk menyedarkan pelajar tentang kewajipan berpuasa. Ada program solat dhuha dan zohor berjemaah. Ada program tadarus al-Quran.
Namun, berapa jamkah cikgu mengajar di sekolah berbanding dengan waktu ibu bapa bersama anak-anak di rumah?
Yang bersahur dengan anak-anak itu siapa?
Yang menyediakan makanan dengan anak-anak itu siapa?
Yang berbuka puasa dengan anak-anak itu siapa?
Yang mengajak anak-anak untuk mengerjakan solat berjemaah di masjid itu siapa?
Mengapa ketika anak-anak masih kecil, digalakkan dengan janji duit raya jika berpuasa lengkap, dijanjikan dengan amalan berbuka puasa beramai-ramai untuk anak-anak yang berpuasa sehingga ke waktu maghrib tetapi apabila mereka masuk ke sekolah menengah mereka sudah semakin diabaikan? Tak tanya lagi sama ada mereka berpuasa. Kurang kisah kalau mereka tidak bangun sahur. Kerana mereka sudah besar dan sepatutnya tahu menguruskan diri sendiri?
Badan mereka besar tetapi jiwa mungkin belum besar, dan iman mungkin masih lemah. Mereka masih perlu dibantu supaya amalan berpuasa dengan baik pada Ramadhan dapat diteruskan sehingga ke akhir hayat.
"Kamu berpuasa, pagi ni sahur tak?"
Selalu saya tujukan soalan begini kepada pelajar lelaki kerana mereka lebih berisiko tinggi.
Boleh dibaca daripada riak wajah mereka siapa yang akan bertahan sehingga waktu berbuka dan siapa yang berisiko tinggi.
Hmmm, nampaknya perlu adakan slot motivasi dan sebagainya untuk membantu mereka sebelum saya mula mengajar setiap hari.
Aduh, itu belum lagi sentuh bab berpuasa tetapi tidak bersahur, dan berpuasa tetapi tidak solat.
Assalamualaikum kak aliya,
ReplyDeletetentu sangat mencabar bagi budak2 tu berpuasa.. tapi seawal waktu kecillah mereka dididik untuk berpuasa dan ibadah yang lain. bagi kita yang dah besar pun tapi baru belajar puasa mencabar juga. kalau sehari mungkin ok tapi sebulan. Alhamdulillah Allah beri kekuatan kepada kita :) belum wish lagi kak aliya.. selamat menjalani ibadah puasa ramadhan :)
Waalaikumussalam Sakinah,
ReplyDeleteBeruntung mereka yang dilatih berpuasa sejak zaman kanak-kanak, kerana akan menjadi kebiasaan untuk bangun bersahur sebelum berpuasa. Malang bagi mereka yang bila dewasa, ada pula yang tinggalkan puasa. Bagi saudara baru perlulah berlatih dengan puasa sunat dahulu sebelum bulan Ramadhan, supaya lebih bersedia dari segi mental, emosi dan jasmani.
Selamat menyambut bulan Ramadhan.. bagaimana keadaan menyambut Ramadhan dengan suami :)