Sunday, August 8

MASUK ISLAM KERANA..?

"Dah berapa tahun memeluk Islam?"
"4 tahun," saya menjawab.
"Suami Melayu, ya?"
"Ya," saya menjawab, tetapi dengan kurang senang.
Interview berakhir dengan soalan itu.
Agaknya apa reaksinya jikalau suami saya bukan Melayu? Teruskan lagi dengan persoalan bagaimana belajar Islam kerana kedua-dua suami-isteri bukan Melayu?
Bagaimana pula kalau si penyoal tahu bahawa saya bercerai kemudian memeluk Islam, menjanda seketika kemudian kahwin semula? Mungkin lagi hebat sangkaannya kecuali dia mendapat maklumat yang sahih daripada saya sendiri!

Itulah cabaran yang selalu dihadapi oleh seorang wanita mualaf yang bergelar isteri, apabila bergaul dengan masyarakat.
Apabila mereka tahu saya adalah saudara baru, pasti persoalan tentang keturunan/bangsa suami akan timbul.
Dan malangnya, interview seringkali berakhir apabila mereka tahu bahawa suami saya berbangsa Melayu.

Mengapa mereka bertanya?
Ada 2 kemungkinan:
1. Kerana menganggap suami berbangsa Melayu sudah tentu dapat membimbing isteri mualaf dalam selok-belok agama Islam.
2. Kerana kebiasaan wanita memeluk Islam untuk berkahwin dengan lelaki Melayu.

Maka, secara tidak langsung, akan timbullah dalam minda mereka [yang mungkin akan diluahkan dalam perbualan seterusnya dengan kawan dan keluarga] bahawa saya memeluk Islam kerana mahu berkahwin dengan lelaki Melayu [pembaca blog ini tahu bahawa sangkaan ini tidak benar]

Tetapi.. kalau benar pun, apa salahnya?
Terdapat banyak jalan ke arah Islam, dan salah satu daripada jalan itu adalah melalui perkahwinan.
Itu tak salah. Allah berikan hidayah kepada setiap daripada kita Muslimin dan Muslimat dalam pelbagai cara, dan salah satu daripadanya adalah kerana berhasrat mendirikan rumahtangga dengan bersuamikan seorang lelaki Muslim.

Bagi saya, tak ada satu pun jalan ke arah Islam yang lebih mulia daripada yang lain.
Alhamdulillah kalau wanita itu sendiri yang memilih untuk memeluk Islam, tanpa calon suami menanti. Sudah tentu pengetahuannya tentang Islam sudah banyak dan akidahnya lebih kukuh.
Alhamdulillah juga kalau wanita lain sudah ada calon suami beragama Islam. Tindakan wanita yang memilih untuk memeluk agama Islam dan meninggalkan agama anutannya sejak dilahirkan itu untuk berkahwin dengan seorang lelaki Islam patut dipuji, dan seharusnya dia terus dibimbing dalam Islam, untuk menjadi seorang Muslimah yang baik dan isteri solehah. Hubungan yang berakhir dengan satu ikatan pernikahan yang bakal menambahkan umat Rasulullah saw adalah satu kebaikan yang patut digalakkan.
Malangnya, di kalangan masyarakat kita, masih ada tanggapan negatif terhadap saudara baru/mualaf yang mendirikan rumahtangga dengan orang Melayu. Pengislaman mereka sering dipandang serong dengan tuduhan mereka masuk Islam kerana berkahwin. Keikhlasan mereka dipersoalkan. Mungkin bukan secara lisan tetapi mungkin melalui mimik muka, gosip dan sangkaan buruk.

Janganlah mudah menuding jari pada isteri-isteri yang baru memeluk Islam itu, walaupun benar mereka didorong dengan hasrat mahu berkahwin. Apabila selesai mereka ucap 2-kalimah syahadah, tugas berat dipikul oleh masyarakat Islam sekeliling yang sepatutnya membantu dan membimbing mereka mengenai Islam. Kalau si isteri tidak tahu solat, tidak berpuasa, tidak tinggalkan amalan jahiliahnya, tidak tahu akan kewajipan menutup aurat maka dosa-dosa itu turut dipikul oleh suami dan ahli keluarga suami yang gagal membimbingnya. Kalau isteri tidak tahu membaca al-Quran, tanggungjawab terletak pada bahu suami.
Tetapi kalau anda tahu masalahnya yang gagal dibimbing oleh suaminya sedangkan anda mampu mengajarnya walaupun sepatah ayat al-Quran tetapi tidak melakukannya, anda mungkin akan dipersoal di akhirat nanti!

Isteri yang bergelar saudara baru seperti saya menghadapi banyak cabaran dan buruk sangka daripada masyarakat sekeliling. Yang bukan Islam sudah tentu akan menganggap isteri memeluk Islam kerana mahu berkahwin [tanggapan ini lebih mudah mereka terima daripada kemungkinan bahawa dia sebenarnya memang tidak percaya lagi pada agama anutan keluarga turun-temurun dan masih tidak berpunya]. Itu bagi saya tak mustahak, kerana apa sahaja yang disangka/digosip oleh mereka bukan Islam itu tidak akan melemahkan akidah dan pegangan saya pada Islam.

Namun, apabila seorang Melayu Islam menuduh perkara yang sama terhadap saya, bahawa saya 'kurang ikhlas' memeluk Islam tanpa usul periksa dan seterusnya bercakap di belakang saya [sudah biasalah, mengapa ramai manusia suka bercakap di belakang dan tak berani bercakap terus-terang di depan?], apa tanggapan saya padanya dan masyarakat Melayu amnya?
Kalau saya baru memeluk Islam dan belum kukuh lagi akidah, boleh kecewa dan imam goyah jadinya.
Kalau saya jenis yang tebal muka [ya, sayalah tu] saya buat tak tahu saja, kerana mustahil nak tutup mulut orang. Baik pun saya, buruk pun saya. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui perkara sebenarnya.
Bayangkan banyaknya saham percuma yang saya kutip kerana buruk sangka orang lain!
[Oleh itu, kalau tak pasti lebih baik diam]

22 comments:

  1. Semuga pencarian keredhaan Nya lebih menyenangkan perasaan...dari gangguan-gangguan kecil yang menambahkan saham percuma yang juga mungkin menggoyahkan iman?

    ReplyDelete
  2. Salam

    Terima kasih.. Satu pkongsian yg baik!

    ReplyDelete
  3. masuk islam kerana berkahwin adalah salah satu cara diberikan hidayah. itu pendapat saya yg jahil.

    ReplyDelete
  4. kuat kan semangat...klu orang tu tahu islam sebenar, tak mungkin ianya mencebik sedemikian...sesungguh orang yang menghina orang lain ,belum cukup sifat keislaman nya...mudah-mudahan puan sabar dalam meniti dunia baru puan..

    ReplyDelete
  5. Salams kak. Usahlah diendahkan sgt tanggapan2 mereka tu. Memadailah dgn Allah S.W.T mengetahui sebab sebenar akak memeluk Islam. Be strong! :)

    ReplyDelete
  6. Kita semua perlu bersemuka untuk menjelaskan isu sebenar. Mungkin saudara baru boleh menubuhkan satu persatuan? Antara aktivitinya ialah mengadakan dialog/ceramah kepada masyarakat awam.
    Saya ingin jemput puan ceramah di Parit Buntar selepas raya nanti. "saudara baru-tanggapan silap terhadap mereka. Apa realitinya?". Boleh? Nanti saya confirm lain by phone

    ReplyDelete
  7. Waalaikumussalam Wan Sharif,
    Kata-kata orang saya tak simpan dalam hati, sebab hati ini terlalu berharga untuk diisi dengan perkara yang tak bermanfaat seperti itu :)
    Saya berkongsi pengalaman di sini, semoga menjadi sumber kekuatan/motivasi kepada adik-adik mualaf yang lain, yang mungkin dipandang rendah [dikata macam-macam]kerana memeluk Islam untuk berkahwin.

    ReplyDelete
  8. Ummul, Slave of Almighty, Aida,Azie
    Ummul: InsyaAllah I will :)Hopefully, so would my sisters in Islam
    Slave of Almighty: Waalaikumussalam, segala pujian kpeada Allah SWT yang mengilhamkannya.
    Aida: Saya setuju, berkahwin satu cara berdakwah kepada bukan Islam.
    Azie: Saya setuju. InsyaAllah, semoga adik-adik saya begitu juga :)

    ReplyDelete
  9. Waalaikumussalam Hajar,
    InsyaAllah, semoga kekuatan itu berterusan.. kerana iman itu boleh turun naik :) Thanks for your support

    ReplyDelete
  10. joe penang,
    Bukankah saudara baru sudah ada persatuan seperti PERKIM? :P
    InsyaAllah, lebih mudah jikalau emel saya saja, sebab telefon saya banyak yang untuk call-out, bukan call-in, hehehe..

    ReplyDelete
  11. Salam auntie. Semoga Allah memberkati kehidupan yang mencabar autie lalui. biar apa persepsi manusia, Allah maha mengetahui =) kan kan.

    anyway. Im a chinese+malay+indian. mother tounge malay. XD . so ade la kawan saya yang serumpun disini. walaupun bukan revert. tapi saya sangat menghargai diri macam auntie ni =)

    Salam pertemuan. walaupun saya dah masuk blog auntie berkali2. tapi ayub malu tegur.

    so. HI and SALAM!

    ReplyDelete
  12. Waalaikumussalam a.j,
    Terima kasih kerana memberi komen di sini akhirnya :)
    Semoga Allah SWT memberkati kita semua dan terus membimbing di jalan yang lurus, ameen

    ReplyDelete
  13. Salam...

    Salah satu jalan Allah swt memudahkan muallaf memeluk Islam ialah diberi Jodoh dengan Muslim... Kerana kehidupan sebagai muallaf bukan senang dikekalkan tanpa dorongan dan bimbingan pasangan. Inilah takdir Allah swt yang Maha Berkuasa. Wallahuallam

    ReplyDelete
  14. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

    Notable dedicated Muallaf's such as your dear self are like tempered steel.

    The more heat you receive ; the better and stronger you will be.

    Most so called Born Muslims are like Iron Ore. They tend to melt down and liquefy when the heat is on.

    So stay your course and be the leader that Allah Subhanahu Wa Ta'ala has deemed you to be.

    My best wishes to you and your beloved ones.

    Ramadhan al Mubarak dear Lao She.

    ReplyDelete
  15. Waalaikumussalam Ikhwan,
    Benar, tetapi perlulah mendapatkan seorang suami/isteri Muslim yang benar-benar boleh mendorong serta membimbing ke jalan lurus.

    ReplyDelete
  16. Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh, sifu.
    InsyaAllah, ameen. Thanks for your support :)

    ReplyDelete
  17. Salam Sis,

    Setiap pengalaman yang Sis kongsikan telah memberikan semangat utk saya menempuhi kehidupan sebagai seorang saudara baru. Saya sendiri pun diklasifikasikan sebagai seorang Muslimah yang "tidak ikhlas" dan "bukan seperti Muslim yang lain". Cara hidup dan budaya kita yang tidak bercanggahan dengan Islam telah dipersoalkan, malah dicemuh oleh born Muslim... Hati saya sedih tapi Allah Maha Mengetahui... Yang penting saudara baru itu sendiri tahu dirinya ikhlas memeluk agama Islam...

    ReplyDelete
  18. Waalaikumussalam SophiAquellah,
    Allah Maha Mengetahui.. bersyukurlah kerana kita diberi hidayah olehNya dan dipilihNya menjadi umat Islam.. dan bersabarlah, kerana mereka sesetengah born Muslim yang tidak memahami itu sendiri yang bermasalah.

    ReplyDelete
  19. Terima kasih untuk pengalaman ini.

    Saya sedang berkawan dengan seorang laki Muslim. Setelah 8 tahun kami berkawan, baru-baru ini dia menyatakan hasratnya untuk memperistrikan saya dn hasrat itu saya sampaikan pada kedua orang tua saya. Seperti dijangka mereka menentang, malah tidak berminat untuk mengenali atau berjumpa dengan dia.

    Saya dianggap ingin Islam kerana ingin berkahwin. saya akui saya mahu memeluk Islam kerana saya ingin berkahwin dengan dia. Tapi jauh di lubuk hati saya, saya sudah meminati Islam cuma tidak tahu bagaimana ingin mula mendalaminya. (Saya seorang penganut Kristian Katolik). Saya juda dalam dilema sekiranya kedegilan saya ini, kerana tiada restu dari orang tua saya, mampukah perkahwinan ini bertahan lama.

    Maaf kerana menulis terlalu panjang. Saya sedang mengalami tekanan perasaan kerana kemelut ini. Terima kasih

    ReplyDelete
  20. May ann,
    Tak salah sebenarnya jikalau mahu memeluk Islam kerana ingin berkahwin dengan lelaki muslim. Sebab saudar tidak menyatakan lokasi saudari, saya tak boleh syorkan NGO yang sesuai untuk dibuat rujukan dan tempat bertanya.
    Hanya Allah sahaja tempat mengadu dan mendapatkan perlindungan, sebab tiada siapa pun yakin dan pasti perkahwinannya akan kekal selama-lamanya. Tak kiralah dengan restu atau tanpa restu ibu bapa. Hanya Allah yang maha menentukan.
    Saya doakan agar saudari tenang dan diberi kekuatan untuk membuat keputusan yang terbaik demi kebahagiaan dan masa depan saudari sendiri.

    ReplyDelete
  21. suami saya berkahwin lagi. saya reda kerana dia berkahwin untuk bimbing dan didik madu saya yang baru masuk islam. walaupun hati merasa sakit seperti kehilangan sesuatu, tapi saya percaya ini satu ujian dari Allah. saya cintakan islam.. Allah tidak akan menguji hambanya di luar batas kemampuannya. Saya reda kerana Allah, kerana cintakan Islam dan sayangkan suami saya..

    ReplyDelete