Saturday, June 27

MARKAH

"Mari masuk, nanti mak bapa kamu datanglah.." saya memanggil pelajar yang berdiri di pintu.
"Cikgu, pukul berapa sekarang? Bapa saya kata akan datang selepas pukul 1."
"Sekarang baru 1.10 petang, kejap lagi sampailah," saya cuba tenangkan pelajar yang kelihatan semakin gelisah.

Hari ini ada program khas di sekolah. Ibu bapa atau waris dijemput ke sekolah untuk menerima kad pelaporan anak-anak dan bertemu dengan guru. Inilah peluang untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian kepada masalah pembelajaran anak-anak. Saya menunggu kehadiran mereka. Alhamdulillah, sambutan agak menggalakkan.

Ibu bapa yang hadir kebanyakannya mempamerkan wajah yang agak tertekan. Risau keputusan peperiksaan anak menghampakan. Para pelajar apatah lagi; takut dimarahi kerana gagal dalam beberapa mata pelajaran. Tugas saya adalah untuk menenangkan mereka dan memberikan kata-kata motivasi agar mereka pulang dengan harapan baru, di samping membincangkan sebarang masalah yang mungkin dihadapi oleh pelajar.

"Ambil sendiri kad kamu, serahkan kepada mak/ayah kamu," saya berikan arahan sambil tersenyum memerhatikan tangan-tangan yang menggeletar menghulurkan kad pelaporan kepada ibu bapa mereka, di hadapan saya selaku guru kelas. Jikalau selama 6 bulan mereka agak cuai ataupun lupa akan tanggungjawab sebagai pelajar dan anak, insyaAllah hari ini saya mahu mereka sedar tugas mereka sebagai anak kepada ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk pelajaran anak-anak. Melihat sendiri wajah hampa ibu bapa yang menerima kad dan mendengar komen guru kadang-kadang mampu menginsafkan pelajar.

Pada hari ini, saya berpeluang mengenali lebih dekat lagi pelajar saya dan masalah yang mereka hadapi dalam pelajaran. Alhamdulillah banyak perkara yang dibincangkan. Banyak cadangan dan nasihat yang disampaikan, pertemuan serampang dua mata dengan satu tujuan - kejayaan akademik, pemupukan sahsiah dan peningkatan motivasi anak-anak untuk berjaya dalam pelajaran.

"Banyakkan solat sunat, belajar dengan teknik yang betul, rajin bertanya guru dan berikan perhatian semasa pembelajaran. Sebaik-baiknya bacalah doa dahulu sebelum menjawab soalan peperiksaan supaya hati lebih tenang ketika peperiksaan." Itu nasihat saya kepada pelajar pintar. Kepada pelajar bertaraf galus, cara pendekatan yang berlainan pula diperlukan.

Teringat saya satu persoalan yang ditujukan oleh seorang bapa." Bagaimana hendak memberi nasihat kepada anak-anak supaya mereka mahu belajar tanpa disuruh? Saya tak dapat pantau mereka setiap masa. "

Ahhh, siapa boleh jawab? Mungkin jawapan anda lebih baik daripada yang saya berikan.

No comments:

Post a Comment