Tuesday, June 9

ADAT KAHWIN CINA I

Menjelang perkahwinan yang pertama, lama dahulu
[yang berakhir dengan perceraian]:

"Kenapa baju baru sikit saja?" Mak Tok bertanya apabila memeriksa almari baju saya.
Aduhai, itu juga yang dia komen. Pakaian di dalam almari harus pakaian baru kesemuanya, mengikut adat Cina. Dari baju biasa kepada pakaian dalam, semua mesti baru. Berapa banyak yang perlu saya sediakan,untuk dilihat oleh semua hadirin ke rumah saya kelak?
"Cukuplah tu, duit yang ada dah banyak digunakan untuk beli set perabot tidur ni," saya jawab, ringkas.
Orang Cina mewajibkan set perabot tidur yang baru untuk pengantin. Tidak boleh set lama yang telah ditiduri, kerana ia dianggap permulaan baru untuk pengantin, walaupun sudah lama bernikah.Satu pantang larang yang akan menyebabkan pasangan pengantin dimarahi jikalau melanggar adat. Sehingga malam perkahwinan, tiada sesiapapun dibenarkan duduk di atas katil itu kecuali kanak-kanak. Itupun mujurlah keluarga kami tidak begitu mengikut falsafah fengshui; kalau tidak berasaplah berpuluh-puluh ringgit membeli peralatan seperti lilin merah, bekas buang air kecil, anak patung dan sebagainya yang dipercayai mampu menjamin kesejahteraan pengantin. Mujur juga tidak dimasukkan sepasang ayam jantan dan ayam betina di bawah katil mengikut adat tradisi Cina - mana yang keluar dulu itulah jantina anak sulung, hahaha. Hanya adat berguling di atas katil oleh kanak-kanak yang lahir pada tahun naga dan ular yang diamalkan atas persetujuan semua, dengan kepercayaan bahawa akan mudah mendapat cahaya mata [wah, punya seronoklah sepupu-sepupu saya itu berguling dan melompat di atas katil baru, ahah].

"Ha? Kena telan bulat-bulat? Tak boleh kunyah?"
Saya disuruh telan bulat-bulat kuih ee atau dong yuen [ bebola tepung] yang dibuat khas untuk upacara menyembah roh nenek moyang malam menjelang hari perkahwinan. Meja kecil diletakkan pelbagai jenis makanan hidangan untuk menjamu roh nenek moyang dan memohon restu mereka. Mujurlah Mak sengaja buatkan kuih ee itu kecil, kalau tidak, tercekiklah pengantin perempuan menelan kuih.
"Isshh, budak ni! Telan saja, ingat jangan kunyah," marah Mak Toh lagi.
Adat menyikat rambut pengantin perempuan [setiap sikatan dibaca ayat khas untuk kebahagiannya] turut dilakukan walaupun Mak sendiri kurang memahami, huhuhu. Semua harus dilakukan tepat pukul 12 tengah malam menjelang hari perkahwinan. Saya juga disuruh memakai pakaian tidur yang serba baru dan berwarna merah jambu. Mak Tok yang ada menjadi penghulu, untuk memastikan kesemua adat dilakukan dengan sempurna. Aduh!



Hidangan pertama di majlis perkahwinan Cina


Dahlah keletihan masih terasa kerana majlis perkahwinan pihak pengantin perempuan dilakukan pada malam yang sama, mengikut adat Cina. Semua jemputan hadir di restoran yang ditempah khas untuk majlis perkahwinan, dengan satu meja bulat 10 orang. Hidangan tiada nasi putih tetapi 8 atau 12 jenis lauk-pauk; mesti ada hidangan ayam, ikan, udang, daging, mee, nasi goreng, sirip ikan yu, dan sayur-sayuran. Habis satu hidangan, baru satu hidangan lain akan dibawa masuk. Hidangan akhir barulah pencuci mulut. Mak ayah tidak membayar pihak restoran sehingga tamat kenduri; barulah dihimpunkan semua angpau yang diterima daripada hadirin, dikira dan wang angpau digunakan untuk membayar pihak restoran.[dengar kata, ada baki angpau beberapa ribu lagi, rezeki Mak, hehe]

Keesokan paginya, apabila siap bersolek dan berpakaian pengantin, duduklah saya di dalam bilik menanti kehadiran pengantin lelaki. Makcik-makcik, kawan-kawan perempuan serta sepupu perempuan membuat markas di dalam bilik pengantin, bersama saya. Siap sahaja pengantin lelaki tiba dalam kereta mewah [dia akan disambut oleh saudara lelaki pengantin perempuan, dan pengantin lelaki wajib memberi angpau kerana tugas membuka pintu kereta, hehehe] dia akan disambut keluarga pengantin perempuan dan bermulalah urusan tawar-menawar.

"Buka pintu, pengantin lelaki dah tiba!" pengapit lelaki berteriak apabila tiba di hadapan bilik pengantin.
"Tak boleh, kena bayar cukai pintu dulu," balas pihak perempuan di sebalik pintu.
"Nah, ambillah angpau ini," diselitkan angpau melalui lubang di bawah pintu.
"Ini tak cukup, nilai pengantin perempuan lebih daripada jumlah ini," balas pihak perempuan.
Maka akan disuruhnya pengantin lelaki melakukan pelbagai adegan untuk memujuk pihak perempuan untuk membuka pintu. Sengaja dipermain-mainkan kontigen lelaki - pakaikan lampin pada patung, minum susu daripada botol susu, telan telur ayam mentah, menyanyi, dan sebagainya dan dilaporkan melalui telefon bimbit oleh saudara lelaki pengantin perempuan yang memerhati. Berpeluhlah pengantin lelaki dan kontigennya melakukan segalayang disuruh kerana kegagalan membawa pulang pengantin perempuan satu kegagalan misi dan memalukan! Akhirnya kata sepakat dicapai, sekeping angpau besar diselitkan lagi, diambil dan diagih-agihkan kepada 'para penjaga pintu', lalu pintu bilik pengantin pun dibuka.

"Mana anak khinzir yang dibakar?" tanya Mak Tok kepada Mak apabila menyedari pengantin lelaki tidak membawa hantaran mengikut adat.
Aduh, pening apabila Mak Tok asyik membangkitkan isu ini. Pihak keluarga pengantin, tanpa pengetahuan Mak Tok, telah bersetuju untuk tidak membawa hantaran anak khinzir itu kerana siapa nak makan? Bukan sedikit; seekor siap dengan kepala dan ekor! Bayangkanlah seekor anak khinzir dibawa dalam kereta/ van dan diletakkan betul-betul di hadapan pintu masuk ke rumah. Tak jijikkah? Namun demi untuk memuaskan hati Mak Tok yang kuat dengan adat, sekeping angpau yang agak besar dihulurkan sebagai ganti anak khinzir itu, huhuhu. [sampai hari ini, Mak akan bangkitkan isu ini apabila menyebut tentang kahwin, hahaha]

Upacara menyembah roh nenek moyang dilakukan oleh pasangan pengantin diikuti dengan upacara minum teh. Teh dihidangkan kepada saudara mara yang lebih tua, mengikut pangkat dan keluarga. Ibu bapa pengantin dahulu, kemudian Mak Tok, pakcik-pakcik sebelah ayah, diikuti oleh sebelah ibu, dan akhirnya sepupu yang telah berkahwin. Senyuman dan kata-kata manis dihulurkan bersama secawan teh, dan gelaran pangkat yang perlu digunakan untuk setiap ahli keluarga yang lebih tua akan disebut untuk pertama kali oleh pengantin. Memang pening ketika itu! Berpeluh-peluh asyik membengkokkan badan smbil menghulurkan secawan teh kepada mereka yang berkenaan. Sebagai balasan, angpau besar akan dihulurkan sebagai simbol penerimaan perkahwinan mereka [kadang-kadang barang kemas akan diberikan dalam angpau]. Akhir sekali barulah saudara mara yang belum berkahwin diberikan angpau oleh pengantin lelaki; kali ini penerima angpau pula wajib memanggil pengantin lelaki dengan gelaran pangkat yang sesuai. Para hadirin pula akan dijamu dengan kuih muih tradisional yang ditempah untuk hari perkahwinan.

Saya telah melantik sepupu perempuan yang masih bujang menjadi pengapit pengantin yang menjaga baju pengantin saya dan menyimpan angpau bagi pihak saya [angkat kain yang labuh supaya tidak kotor]. Pengapit pengantin perempuan mengikut adat Cina wajib saudara pihak perempuan- tidak boleh kawan atau dari pihak lelaki.Begitu juga, pengapit pengantin lelaki wajib dari saudara lelakinya yang bertanggungjawab membawa angpau bagi pihak pengantin lelaki.

Apabila memakai baju pengantin yang labuh yang ada fishbone[alatan untuk membuat baju itu kembang], bukan senang hendak naik ke dalam kereta. Kena ada kemahiran yang hanya boleh dilakukan selepas mendapat nasihat 'seng-kek-erm [mak andam Cina]. Dengan iringan hon kereta menandakan akan berangkat, maka kami pun meninggalkan perkarangan rumah menuju ke rumah pengantin lelaki. Mengikut adat, ibu bapa dan Mak Tok tidak boleh mengiringi. Hanya makcik pakcik yang membawa hantaran yang perlu pergi mengiringi pengantin perempuan. Banyak adat istiadat masih menanti untuk dilakukan di rumah pengantin lelaki. Aduh!

image:
http://4.bp.blogspot.com/_1tlHrEKUrko/SU9I8I2usVI/AAAAAAAAPzs/b8VmGY1sjzg/s400/dong+yuen5.JPG http://farm1.static.flickr.com/46/146265797_cd2b6bfe95.jpg
http://i.ehow.com/images/GlobalPhoto/Articles/4835659/ChineseWeddingTeasetTraditional2_ http://nimrodel.net/wp-content/uploads/2009/03/barbie-wedding-dress-elizabeth-taylor.jpg

6 comments:

  1. owh...camni upenye konsep perkahwinan chinese..hehe.good info =)

    ReplyDelete
  2. haha sy penah attend weeding sedara...
    time tu punya la beratur panjang nk kutip angp0w...
    sampai ja turn kena halau sebap pangkat sy lagi tua dari pengantin...
    xberhak dapat... sepatutnya sy yg kena bagi angp0w...
    agak memalukan... tp xpa. ihihihi

    ReplyDelete
  3. good girl, saya banyak belajar daripada pengalaman sendiri dan membantu ketika perkahwinan saudara mara, tambahan Mak Tok saya kuat dengan pegangan adat Cina.

    ReplyDelete
  4. pemilik ini punya blog,
    Ayoyo, gitu kah? Takpa, semoga bahagia dipanggil ikut pangkat oleh orang yang lebih tua tetapi pangkat lebih rendah dalam keluarga. Ia satu kelebihan :)

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum kak. saya nak minta kebenaran untuk mengambil sedikit maklumat yang akak telah kongsikan dalam blog ini untuk kerja projek sekolah saya. harap akak izinkan saya. terima kasih. :)

    ReplyDelete
  6. Assalam...saya mohon izin utk mengambil sedikit maklumat dan gambar untuk assigntment...harap sangat diizinkan

    ReplyDelete