"Kalau orang bukan Islam tanya kamu, mengapa dia tidak boleh masuk syurga, apa yang akan kamu katakan padanya?"
"Oh, itu mudah sahaja. Bukankah dalam al-Quran, Allah telah bahawa orang-orang kafir akan menjadi bahan bakar di neraka kerana mereka tidak beriman pada Allah? Hanya orang Islam sahaja yang boleh masuk syurga."
"Walaupun orang Islam itu telah banyak berdosa berbanding orang kafir?"
"Allah telah berjanji bahawa orang Islam akan masuk ke syurga, cuma mungkin dia perlu menerima hukuman atas dosa-dosanya dahulu, baru diterima masuk ke syurga. Tapi orang kafir, sebab mereka tidak beriman pada Allah dan Rasul, hanya neraka tempat mereka."
"Nanti kata orang kafir, mereka juga banyak buat amal dan bantu orang lain semasa hidup di dunia. Takkan itu semua tidak diambil kira, bukankah orang Islam selalu kata Allah Maha Adil? Apakah yang harus kita terangkan kepada mereka sekiranya mereka bertanya?"
"Al-Quran menyatakan bahawa amalan orang kafir seperti debu-debu yang berterbangan, banyak mana pun amal jariah yang mereka lakukan, tidak akan diterima kerana mereka berdosa besar tidak menyembah Allah Yang Esa. Segala amalan baik mereka adalah sia-sia kerana mereka bukan orang Islam."
"Hmmm.. kalau awak orang kafir yang mendengar jawapan ini, adakah awak akan terima dengan senang hati?"
"Errr.. tak. Kalau saya orang lain, mungkin saya akan marah."
"Mengapa akan marah? Bukankah penerangan yang diberikan itu bersandarkan pada al-Quran?"
"Ya, benar tetapi bukan itu yang saya mahu dengar. Saya tidak mahu diberitahu saya akan pasti masuk neraka kerana saya bukan Islam, dilabel kafir pula tu."
"Bagus jawapan awak. Nampaknya awak sedar bahawa apabila orang bukan Islam bertanya tentang Islam, dia tidak mahu diberitahu bahawa dia salah menyembah tuhan, dan dia akan masuk neraka. Mungkin kepada orang Islam, kita boleh gunakan cara khutbah dengan bersandarkan ayat-ayat al-Quran, tetapi kepada orang bukan Islam yang baru nak kenal Islam, penggunaan ayat-ayat al-Quran yang bersifat menghukum hanya akan menakutkan mereka. Akibatnya mereka akan lari daripada kita."
"Oh, patutlah jiran saya yang Hindu itu tak datang rumah saya dah, selepas saya cakap tentang Islam kepadanya! Tapi.. bagaimana nak jawab persoalan tadi kepada orang kafir?"
"Untuk menerangkan kepada orang kafir mengapa semua amalannya sia-sia dan dia tidak dapat masuk syurga atas amalan baiknya, kita boleh umpamakan sebuah neraca. Sebelah semua amalan baik orang kafir seperti menderma, membantu orang, baik hati dan sebagainya. Sebelah lagi adalah 2 kalimah syahadah. Bagi Allah, semua amalan orang kafir tidak seberat 2 kalimah syahadah yang menjadi pegangan hidup orang Islam. 2 kalimah syahadah walaupun ringkas sahaja ayatnya, amat berat dan penting untuk dunia dan akhirat. Orang Islam yang beriman pada Allah dan mengaku Nabi Muhammad sebagai Rasulullah, serta yang patuh kepada segala suruhanNya dan amalkan segala rukun Islam dengan sebaik mungkin adalah orang yang dikasihi Allah yang Maha Mencipta. Sebab itu Allah berikan syurga sebagai balasan untuk orang Islam yang baik, kerana mengasihi orang yang mematuhi suruhanNya. Sebaliknya Allah marah pada mereka yang tidak mahu beriman padaNya, dan tidak menerima segala amalan baik yang mereka lakukan. Oleh itu, kalau hendak masuk ke syurga, perlulah beriman pada Allah, yakni mengucap 2 kalimah syahadah dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas, berusaha hidup sebagai orang Islam, barulah segala amal jariahnya akan diterima Allah swt, walaupun sebesar biji sawi."
"Kira kena banyak berikan contohlah ya."
"Ya, lebih banyak gunakan analogi dan contoh-contoh apabila menerangkan Islam kepada golongan yang belum Islam. Jangan cepat menghukum. Kita perlu hakis tanggapan salah orang kafir bahawa Islam agama yang banyak menghukum. Sebenarnya Islam mudah diamalkan, dan banyak kelebihannya berbanding agama dan kepercayaan lain. Cuma kita perlu selalu bersabar ketika berdakwah kepada mereka yang bukan Islam."
"Oh, begitu.."
"Lagi satu, kenali adat dan budaya mereka. Misalnya mengapa ada penganut Hindu dan Buddha tidak makan daging lembu. Apabila kita dekati mereka dan bertanya tentang amalan mereka, secara tidak langsung kita akan lebih banyak pengetahuan tentang cara hidup mereka. Perspektif kita tentang mereka juga akan berubah. Berkawan dengan mereka dahulu baru selitkan usur-unsur ajaran Islam melalui amalan baik seperti menjamu makan, menziarah orang sakit, minta izin untuk solat ketika sedang bermesyuarat, dan sebagainya dahulu, sambil terangkan konsep amalan-amalan tersebut mengikut Islam; jangan gopoh nak berdakwah tarik masuk Islam kecuali dia nyatakan minat. Mungkin akan menakutkan dia sahaja."
"Ya betul tu.. kita jarang dekati mereka yang bukan Islam walaupun mereka kita jumpa hari-hari di tempat kerja, jiran dan pasar.Lebih selesa bergaul dengan orang sebangsa dan seagama saja."
"Carilah peluang, bukannya susah. Menerangkan mengapa berbeza doa yang diamalkan semasa kita bersin dan menguap juga satu bentuk dakwah yang menarik kalau kena caranya, sebab orang kafir tidak ada amalan ini."
"Oooo.. baru hari ini saya tahu."
"Bila dah tahu, gunakan dengan bijak."
panduan yang sangat berguna untuk semua..
ReplyDeletebaru2 ni ada buat program Young Muslim Intellectual untuk remaja di USM . Program ni ala2 DMM hari tu..ada juga kami bawa remaja2 berdakwah di lapangan seperti yg kami pernah buat semasa DMM hari tu...alhamdulillah objectivenya tercapai, tapi masa berada di lapangan , kebanyakan remaja berjaya mendapat feedback dari mad'u tentang agama islam, tapi tak buka ruang untk perkenalkan islam kepada mad'u..ini yg saya fikirkan bila kami pulang dari dakwah di lapangan...tapi kena berhati2 jugak sebabnya takut2 non muslim ni berdebat pulak dengan remaja ...nanti lain pulak ceritanya...
apapon kita seharusnya mempersiapkan diri dengan ilmu untuk menghadapi pelbagai situasi seperti situasi di atas tu...insyaALLAH mudah untuk kita mendekati mad'u dan mudah untuk kita menyampaikan yg haq kepada mereka...wallahua'lam...
kak aliya, salam. oh nani sangat teruja membaca post ini!! meremang bulu roma kejap. best betul. i'm copying this to share with my frens and many more tau! (don't worry, i'll definitely credit you and your blog!!)
ReplyDeletesalam.. nice entry.. nak copy paste nak blog saya boleh erk??? :)
ReplyDeleteWaalaikumussalam limaumaniss, Nani & moja de guevara,
ReplyDeleteEntry ini hasil perbincangan baru-baru ini. Alhamdulillah kalau dapat membantu sesiapa yang memerlukan.
Bagus la ada program Young Muslim Intellectual itu. Banyakkan membaca bahan-bahan yang dapat meningkatkan pengetahuan tentang agama Islam dan juga agama serta kebudayaan bangsa lain.Yang suka mengajak berdebat biasanya yang beragama Kristian.
Dipersilakan Nani. Best itu di mana?
Moja, boleh copy paste tetapi kenalah nyatakan sumbernya :)