Monday, June 22

BE POSITIVE

"Aliya, **** nak jumpa sekarang!"
Arahan yang diberikan agak mengejutkan; tetapi saya seperti biasa cool saja, walaupun langkah ke pejabat dipercepatkan.
Dalam kepala berfikir.. Ada pelajar barukah? Ada kes disiplin pelajarkah? Ada kursus yang perlu dihadirikah? Ada ibu bapa nak jumpa sayakah?

Ahhh, semuanya ternyata meleset. Rupa-rupanya ketidakhadiran saya di sekolah pada Sabtu lepas menjadi tandatanya banyak pihak. Salah saya juga; keadaan yang amat sibuk pada minggu lalu, menyebabkan saya tidak berkesempatan memberitahu sekali lagi kepada pihak pengurusan tentang syarahan saya yang bakal diadakan itu. Surat pelepasan untuk saya ke UiTM sudah lama dihantar dan diluluskan oleh pihak pengurusan sebenarnya. Tiada masalah, cuma ada sedikit salah faham dalam komunikasi.

Lagipun, saya sengaja tidak mahu membesar-besarkan hal saya ke UiTM sebagai penceramah bebas. Hanya segelintir sahaja di sekolah yang tahu aktiviti sampingan saya ini [menulis blog dan memberi ceramah]. Di sekolah, saya lebih suka hanya dikenali sebagai guru biasa. Keeping a low profile, hehehe.

Tapi biasalah, rambut sama hitam hati lain-lain. Saya tidak mahu menuduh siapapun. Ia isu yang kecil tetapi bakal menimbulkan fitnah sekiranya tiada tindakan awal diambil. Mujurlah pihak pengurusan cepat bertindak. Mulut-mulut orang yang mengata dan jari-jari yang menuding susah hendak dikawal. Saya disoal dan saya berikan jawapan sambil tersenyum. Kes berpihak pada saya. Kasihan pihak pengurusan yang sibuk dengan pelbagai perkara yang memerlukan perhatian mereka, ditambahkan pula dengan perkara yang remeh begini.

Yang saya kesalkan adalah, tiada sesiapapun yang datang bertanya mengapa saya tidak hadir ke sekolah pada hari Sabtu lepas. Sehingga sekarang. Tiada sms atau panggilan telefon susulan untuk mendapatkan kepastian. Bukannya susah untuk menelefon atau mengirim sms; lagipun nombor telefon semua staf sekolah telah siap dicetak dan diedarkan kepada semua. Namun hanya aduan yang disampaikan kepada pihak pengurusan, terhadap mereka-mereka yang tiada. Apakah mereka yang mengadu itu berjumpa dan bertanya kepada orang yang berkenaan? Bagi saya tiada.

Saya percaya gejala ini berlaku di mana-mana institusi. Cuma saya harap keadaan ini akan berkurangan, insyaAllah. Semua orang ada hal masing-masing; sekiranya mahukan kepastian,bertanyalah. Berhubunglah dengan baik. Bukankah semua yang beragama Islam bersaudara? Mengapa hanya berkata-kata di belakang tetapi mendiamkan diri bila bertemu muka? Bukankah itu sifat hipokrit?

Dalam dunia yang serba canggih, banyak yang boleh dilakukan; telefon, sms, emel dan bertemu muka ke muka. Elakkan daripada cepat berburuk sangka. Saya sikit pun tak marah dengan perkembangan ini, cuma saya terkilan. Tidak pernah dan tidak berniat bermusuh dengan sesiapapun tetapi nampaknya ada yang kurang senang dengan saya. Nampaknya ada ujian dan cabaran baru sekembalinya saya dari Segamat.

Alhamdulillah, Allah swt membantu dalam hal ini. Entah mengapa suara saya mendesak saya membeli sedikit cenderahati untuk dibawa balik ke sekolah. Dodol dari Segamat. Tak boleh bawa balik durian Segamat, dodol pun jadilah.
Dengan 2 kotak dodol yang siap berbungkus plastik kecil, saya edarkan.
"Durian Segamat tak boleh dibawa naik kapal terbang. Ni saya bawa dodol durian, rasalah, sedap..."
"Aliya buat apa di Segamat?"
"Saya dijemput sampaikan ceramah di UiTM pada Sabtu lepas."
Ahhh.. terpaksalah saya hebahkan aktiviti yang dilakukan di sana, agar mereka tahu mengapa saya tidak hadir ke sekolah. Tidak boleh berahsia lagi. Saya ceritakan rasa syukur dapat berjumpa dengan begitu ramai saudara baru di sana dan rahmat Allah yang mengizinkan saya menyampaikan syarahan di sana.

Saya tahu selepas ini akan bertambahlah cabaran baru apabila semakin banyak mata-mata memandang dan menilai diri yang serba kekurangan ini. Tak apalah. Cabaran dan ujian adalah nikmat Allah yang tidak ternilai. Saya bersyukur kerana mampu bersabar dengan keadaan ini. Kalau dulu sebelum Islam, saya mungkin telah marah dan mencari siapa dalangnya, tetapi kini saya serahkan kepada Allah untuk menghakimi. Dialah yang Maha Adil. Ini juga pengajaran kepada saya untuk lebih berhati-hati.

Ya Allah, jauhilah saya dari sifat sombong dan riak. Saya tidak mahu menunjuk-nunjuk dan membesar diri. Saya lebih senang hidup dalam low profile tetapi sekiranya segala peristiwa yang berlaku dan bakal berlaku ketentuanNya untuk mendidik saya dan memperbaiki diri saya, saya redha. Saya ingin menjadi Muslimah yang cemerlang, isteri yang solehah, guru yang cemerlang, dan anak yang baik.

Saya mohon keampunanNya dan bimbinganNya.

5 comments:

  1. Assalamualaikum Kak Aliya. Bersabarlah dengan ujian yang mendatang. Apabila langkah akak semakin laju di dalam medan da'wah, semakin besar dan mencabar ujian yang bakal datang. Begitulah lumrah seorang pejuang. Kakchik doakan perjuangan Kak Aliya akan sentiasa mendapat perlindungan dari Allah SWT.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum puan,
    moga terus tabah & cekal menempuh medan dakwah ^_^

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam kakchik,
    Saya dah sedia maklum akan hal ini, tetapi saja malas nak ambil tahu pada awalnya. Ada pihak yang sengaja mahu laga-lagakan saya dengan orang lain. Tak mengapa,mereka yang akan hidup tidak tenang. Hanya orang penting saja yang akan sentiasa berada dalam pemerhatian orang, hehehe... maka sah saya penting bagi mereka, bukan?
    Saya berserah sepenuhnya pada Allah Yang Maha Berkuasa. Ujian tetap ada, semua pun atas ketentuanNya.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam fakhruddin,
    Terima kasih.. ameen

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum

    got similar experience at my old work place. everybody is rumor-mongering machines. things getting worse because i'm minority and i'm kind of quite type. hate those backstabbers. get life losers. mind your own business.

    wasalam

    ReplyDelete