Saya diperhatikan orang. Beberapa pasang mata terutama mata wanita memandang dari jauh. Mengukur dari hujung rambut ke hujung kaki. Ahhh, pedulikanlah. Saya berlagak seperti biasa walaupun tahu ada yang memerhati. Bila saya membalas renungannya, dia kelihatan kurang selesa, hahaha.
"Awak anak tuan rumahkah?" akhirnya seorang wanita bertanya ketika saya hulurkan laksa Penang kepadanya. [hidangan tambahan beberapa jenis selain daripada nasi minyak].
"Bukan, saya menantunya," jawab saya sambil memberikan senyuman MonaLisa saya.
Terbeliak matanya, hehehee..lepas tu, mesti hebahkan kepada yang lain. Saya tak kisah. Lagipun suami dah siap beri petua dan amaran supaya berjaga-jaga bila balik kampung, hehehe.
Menantu istimewa ini jarang kelihatan di rumah mentua pada siang hari, tambahan mentua sendiri pun berada di kedainya. Kalau balik kampung pun, tidak lama kerana rumah mentua sebenarnya dekat dengan tempat bekerja saya; boleh singgah sekejap sebelum pulang ke rumah sendiri. Hanya waktu malam sahaja saya dan suami menziarah dan duduk lebih lama. Oleh itu, ramai orang kampung yang tidak kenal saya sebagai menantu kepada mertua saya. Oleh itu, pada majlis kenduri seperti hari inilah, saya berpeluang bertemu dengan orang kampung dan saudara-mara sebelah suami.
Menantu misteri yang bukan lagi misteri ini, tidak seperti menantu-menantu lain, tidak melangsungkan kenduri kahwin di rumah mentua. Saya dan suami mengambil keputusan tidak mahu menyusahkan orang tua, lalu memilih untuk melakukannya di restoran yang terkenal dengan masakan ala Cina tetapi halal, dan para jemputan pun terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat yang rapat sahaja. Tambahan ketika itu, saya masih melanjutkan pelajaran di universiti, dan kenduri kahwin kami pula dilangsungkan pada pertengahan minggu peperiksaan [alhamdulillah, beres juga].
Untuk menyenangkan semua pihak, kami mengambil keputusan uruskan perkahwinan kami tanpa hantaran pengantin ala Melayu yang lebih kepada menunjuk-nunjuk dan membanding-banding dewasa ini, dan tanpa adat minum teh ala Cina yang bakal memakan masa lama kerana saudara-mara ramai dan banyak karenah. Wang yang tidak digunakan untuk hantaran boleh digunakan untuk melancong dan berbulan madu, hehehe. Malah, semua perkara kami berdua uruskan sendiri dan ahli keluarga hanya perlu hadirkan diri untuk majlis kenduri berkenaan. Yang penting bagi saya dan suami, adalah berkat Allah swt ke atas perkahwinan kami, walimatul'urus yang dilakukan mengikut syariat Islam, dan restu ahli keluarga terutama orang tua kami. Bila teringat balik betapa mudah, relaks dan ringkasnya kenduri kahwin saya berbanding dengan adik ipar yang agak 'hebat', saya tersenyum sendiri. Bagi saya, besar atau kecil majlis perkahwinan bukan ukurannya [itu hanya ukuran pandangan mata manusia sahaja]; yang lebih penting adalah kebahagiaan bersama sebagai suami isteri sehingga ke akhir hayat.
Mula-mula pening juga dengan suasana kenduri perkahwinan orang Melayu ini. Banyak yang perlu diuruskan, daripada bertunang, memilih pakaian, pakaian tema untuk keluarga pengantin, majlis akad menikah, membuat hantaran, bertukar hantaran, menyiapkan bunga telur dan beg cenderamata, sehinggalah ke hari kenduri dengan acara kompang, bunga manggar dan sebagainya. Kata orang itu adat Melayu, perlu diikuti kalau tidak mahu dikata orang. Wang lebih banyak diperhabiskan untuk memuaskan hati pelbagai pihak dan menutup mulut orang. Entahlah... syukur saya dah melepasi tahap itu.
Majlis perkahwinan Cina pula berbeza dan kurang dari segi penampilan dan menjaga hati para jemputan. Mungkin sebab falsafah di sebalik majlis itu berbeza; Melayu untuk merapatkan siratulrahim manakala Cina untuk meraikan pengantin baru. Angpau dengan minima RM20 yang diberikan bertujuan untuk mengucapkan tahniah serta membantu pengantin membayar meja makan di restoran [yang tidak hadir pun perlu bagi angpau atas semangat setiakawan]. Hanya baru-baru ini sahaja pengantin Cina memberikan cenderahati seperti cawan dan kek buah kepada jemputan, itupun ditempah terus dari kedai atau hotel. Ketiadaan bahan hantaran seperti pakaian, alatan mekap, makanan untuk ditukarkan bermakna pengantin dan ahli keluarga kedua-dua belah pihak mempunyai lebih banyak masa untuk merancang program menjelang majlis perkahwinan. Tapi bagi yang kaya dan mampu, pengantin Cina mesti naik kereta besar, makan di hotel mewah, pakai pakaian baru dan beberapa salinan dalam tempoh 2 jam, foto hebat dan canggih, serta barang kemas pengantin mesti baru, banyak dan mahal. Memikirkan adik saya yang masih bujang, Mak saya pernah menyuruhnya berkahwin di luar negara sahaja untuk mengelakkan perbelanjaan perkahwinan yang tinggi, hehehe...[itupun wallahu'alam, girlfriend pun belum ada]
Berbalik kepada kenduri adik ipar..
Suami saya sibuk ke sana sini untuk membantu menguruskan kenduri kahwin adik bongsunya. Alhamdulillah,semangat gotong-royong masih tinggi dalam keluarga suami. Yang empunya diri, pandai-pandailah melayan diri dan membantu dalam suasana kenduri orang Melayu. "Pandai-pandailah bawa diri, k," pesan suami.
Alhamdulillah selesai satu lagi majlis perkahwinan. Bertambah seorang lagi menantu mentua saya. Tambah seorang lagi adik ipar dalam keluarga suami saya yang besar itu. Semoga perkahwinan mereka diberkati Allah swt dan berbahagia adik ipar bongsu saya itu dengan isterinya sehingga ke akhir hayat, ameen.
sebagai org Johor yg sgtlah letih kendurinya, saya selalu impikan kenduri kawin yg sgt simple.. dan saya suke statement "ahli keluarga hanya perlu hadirkan diri untuk majlis kenduri berkenaan".. sgt meraikan dan xmenyusahkan keluarga
ReplyDeleteseronok baca kisah kenduri kak aliya :)
ReplyDeleteAwis Qarni,
ReplyDeleteHuhuhu.. tak pernah hadir ke kenduri kahwin orang Johor tetapi boleh bayangkan apabila melihat foto kahwin kawan dari Muar.Semua perkahwinan yang ikut adat 100% memang meletihkan, tak kira bangsa apa. Kalau nak jaga hati semua orang dan tutup mulut semua pihak, kita ahli keluarga yang teruk dan poket kosong.Apa-apa pun, pilihlah jalan sederhana, yang penting pengantin dan ahli keluarga selesa dan tidak ada yang bermasam muka selepas selesai kenduri, bukan?
Ummu Auni Afif,
ReplyDeleteSeronok? hehehe.. insyaAllah nanti saya ceritakan pengalaman berkahwin ikut adat Cina pula.. bolehlah buat perbandingan.