Monday, June 30

TETAP BERSYUKUR

"Aliya kena jalani pembedahan."
"Hah?"
Keadaan kesihatan yang tidak menentu kebelakangan ini menyebabkan saya agak lemah. Pagi tadi suami saya mengajak ke klinik. Walaupun keberatan hendak pergi (saya memang malas berjumpa doktor), saya terpaksa akur dengan kehendak suami. Tak boleh bantah.

Berita yang disampaikan oleh doktor wanita itu agak mengejutkan.
Namun begitu, ia berjaya menjawab beberapa persoalan kesihatan yang saya alami beberapa bulan yang lalu.
Terus-terang, saya memang tidak bersedia menerima berita itu.
Sekiranya ada alternatif, saya tidak mahu menjalani pembedahan.
Dalam keadaan terkejut, saya berjaya mengawal perasaan.
Lagipun kata doktor, keadaan saya baru di peringkat awal.
Bukannya penyakit kritikal.

Banyak yang perlu dilakukan sekarang.
Banyak yang perlu dirancang.
Semuanya bergantung kepada tahap kesihatan saya.
Semuanya bergantung kepada kehendakNya.

Saya mempunyai dua pilihan.
Bertanya "Mengapa saya?" atau "Mengapa sekarang?"
Saya lebih suka bertanya soalan yang kedua.

Semua berlaku atas ketentuanNya.
Mungkin sekaranglah masa yang sesuai.
Saya tetap bersyukur.

Alhamdulillah ia bukanlah penyakit kritikal. Saya masih boleh bergerak ke sana ke sini walaupun kini perlu lebih berhati-hati. Tidak boleh terlalu stres. Tidak boleh terlalu cergas (alamak, bagaimana ni? Kawan-kawan selalu berkata saya berjalan macam lipas kudung ).

Alhamdulillah saya sudah tamat pengajian universiti. Kini saya boleh mengambil cuti sakit melebihi 2 minggu, sekiranya saya memerlukan masa untuk pulih semula daripada pembedahan (selama 3 tahun pengajian,tidak pernah mengambil cuti sakit melebihi 2 hari).

Alhamdulillah saya sudah berbaik semula dengan Mak dan Adik saya. Mak pula seorang bekas jururawat yang boleh memberi nasihat dan memperkenalkan doktor-doktor yang sesuai kepada saya (rupa-rupanya doktor wanita saya itu pun kawan baik Mak)

Alhamdulillah saya mempunyai pendapatan tetap sebagai guru, maka saya tidak perlu risau akan belanja perubatan di hospital awam (layak wad kelas satu)

Alhamdulillah saya ditempatkan bekerja berdekatan dengan pejabat suami, maka memudahkan urusan kami (tak perlulah berjauhan beratus-ratus kilometer)

Banyak lagi yang saya harus berasa bersyukur kerana keadaan saya sekarang lebih baik dan stabil berbanding ketika saya mula-mula memeluk Islam.

Bersangka baik pada Allah swt.
Bersabar dengan setiap ujian yang menimpa.
Berdoa dan bertawakkal padaNya.
Mudah hendak dilafazkan, senang untuk ditulis tetapi masih susah hendak dilaksanakan.
InsyaAllah saya akan sihat semula seperti biasa.
Semoga Allah swt permudahkan segala urusan kami.. ameen.

6 comments:

  1. Assalamualaikum Aliya,

    InsyaAllah saya pasti Aliya dapat melalui keadaan sekarang dengan redha dan tabah. Kita sama2 berdoa. Seorang kawan pernah melalui saat genting antara hidup dan mati dan kami tidak putus2 berharap pada-Nya. Alhamdulillah, selepas sepuluh hari di hospital, dia sembuh. Doktor juga takjub dengan apa yang berlaku. Semuanya atas izin Allah. Doktor juga kata kawan kami itu amat kuat semangatnya untuk sembuh, dan dia berusaha untuk melawan dari dalam akan penyakitnya itu. Subhanallah. Saya percaya Aliya seorang yang kuat, insyaAllah.

    ReplyDelete
  2. Semoga aliya cepat sembuh dan di berikan kesihatan yg berpanjangan.

    Dilimpahkan kesejahteraan olehNya sepanjang masa. Ameen.

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam wbt,
    Terima kasih atas doa dan motivasi yang umi jah & kassim selamat berikan. InsyaAllah.. saya pun ingin sembuh seperti sedia kala. Keadaan sekarang agak kurang selesa dan sedikit sebanyak akan mengganggu kerja saya. Ia satu penyakit, tetapi mungkin juga satu rahmat. Wallahu'alam.

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. Assalammualaikum
    Saya mungkin tak dapat memahami apa yang Kak Aliya rasa..tapi saya harap saya dapat.

    Doa saya bersama akak.

    ReplyDelete
  6. Waalaikumussalam,
    Thanks for your kind words, Humyrah.

    ReplyDelete