Saturday, June 7

KASIHAN ADIK-ADIK SAYA

"Dah makan?"
" Belum"
"Belum? Sibuk dengan kerja ya?"
"Belum lapar lagi."
" Pastikan makan juga, susah kalau sakit gastrik nanti."
Saya menegur teman sebilik yang sedang sibuk membuat assignmentnya. Dia membalas dengan anggukan.
Selama lebih setahun menjadi penghuni tetap asrama di USM sebelum bertemu jodoh dengan suami saya sekarang, saya bertuah kerana dapat berkongsi bilik dengan mahasiswi-mahasiswi lepasan STPM yang baik hati, rajin dan kuat beribadah.

"Makan sikit saja?"
"Cukuplah... tak lapar sangat."
Saya meneliti makanan yang dibeli oleh Lina. Hanya ikan kembung seekor, sambal dengan nasi bungkus separuh. Kalau di kantin asrama, harganya kira-kira RM1.80.
Tanpa perlu berkata apa-apa, saya tahu apa yang difikirkannya.
Teman-teman sebilik saya yang saya anggap sebagai adik, hampir semuanya berasal dari keluarga berpendapatan sederhana dan rendah. Adik-beradik mereka pula ramai yang masih bersekolah.

Dengan wang PTPTN yang ditolak bayaran pengajian semester dan sewa asrama itulah mereka cuba hidup tanpa meminta elaun tambahan daripada ibu bapa di rumah. Sekiranya boleh mengurangkan belanja, mereka sanggup makan sedikit sahaja. Mereka sanggup berjalan jauh sedikit ke kantin lain untuk membeli makanan yang lebih murah. Saya palign kasihan melihat Lina yang berasal dari Sarawak. Setiap cuti semester perlu membeli tiket kapal terbang untuk pulang ke rumah. Dia yang paling banyak mengikat perut, tetapi dia juga yang paling rajin solat berjemaah, dan paling ceria di antara adik-adik saya.

Sebagai penghuni tetap asrama yang tidak pulang ke rumah pada cuti semester (kerana tiada rumah yang hendak dituju), saya juga pernah tinggal dengan adik-adik dari Kelantan dan Trengganu yang bekerja di kilang pada cuti semester untuk mendapatkan wang lebih sebagai belanja tambahan.
"Tak rindukah pada keluarga di kampung?"
"Rindu kak Aliya tetapi kalau balik kampung sekarang, susah nak dapat kerja sementara di sana. Sekurang-kurangnya kalau di sini boleh juga dapat beberapa ratus ringgit sebulan. Cukuplah untuk buat belanja utuk semester depan serta membeli sedikit hadiah untuk keluarga di kampung nanti."
Saya perhatikan hadiah-hadiah yang dibeli mereka sebelum pulang ke kampung dengan wang hasil titik peluh mereka. Baju untuk mak, gelang untuk mak, buah pala untuk keluarga, juga hadiah untuk ayah dan adik-adik. Bertuah ibu bapa yang membesarkan mereka.

Saya tabik adik-adik yang berfikiran begitu. Rajin mencari wang pada usia muda tanpa membebankan kedua-dua ibu bapa di kampung. Sanggup mengikat perut sendiri demi mencari ilmu dan mendapatkan segulung ijazah. Mereka tidak seperti beberapa mahasiswa-mahasiswi yang saya kenal yang tidak pandai menguruskan wang yang ada (membeli handphone baru, baju baru, mekap baru, sms berpanjangan, menghadiri jamuan dan program sana sini, dll) sehingga perlu meminta elaun tambahan setiap bulan daripada ibu bapa yang sudah kesesakan menguruskan ekonomi rumahtangga dengan wang gaji yang terhad.

Pada pembukaan pengajian semester yang baru nanti, sudah tentu adik-adik saya itu akan semakin terasa peritnya hidup. Sekiranya dahulu boleh membeli sebungkus nasi dengan harga RM1.90, tidak mungkin mereka dapat mengulanginya tanpa perlu mengurangkan salah satu daripada lauk yang biasa dipilih (gejala kekurangan zat makanan mungkin berlaku untuk jimatkan kos). Wang untuk belanja pengajian tetap tidak berubah, malah mungkin sewa asrama akan semakin meningkat. Wang pengangkutan bas komuter di universiti mungkin akan meningkat lagi. Belanja untuk fotostat nota-nota dan membeli buku-buku teks dan rujukan juga mungkin bertambah. Padahal wang PTPTN yang diperuntukkan setiap semester tetap tidak berubah.

Ibu bapa di rumah sudah mengeluh dengan kenaikan harga barangan keperluan. Mereka tidak mungkin dapat memberikan elaun tambahan kepada adik-adik ini tanpa mengurangkan peruntukan kepada anak-anak lain yang juga memerlukan bantuan dan perhatian sewajarnya.

Bagaimanakah adik-adik saya itu hendak survive dalam kegawatan ekonomi sekarang?

No comments:

Post a Comment