Friday, June 27

* AYU BINTI ABDULLAH

Tahun 2004.

Saya termenung.
Salinan sijil kelahiran masih di tangan.
Di antara kelebihan menjadi guru darjah adalah mengetahui maklumat diri para pelajar di bawah jagaannya. Namun maklumat yang tertera pada salinan sijil kelahiran itu tidak lengkap. Akhirnya saya memanggil pelajar itu.

"*Ayu tinggal dengan siapa sekarang?"
"Nenek."
"Mak di mana?"
"Mak di KL."
"Ooo, di KL. Mak Ayu selalu balik ke kampung tak? Kalau Mak ada Teacher nak jumpa."
"Mak jarang balik."
"Mak Ayu sibuk kerja di KL ya?"
"Dia kata dia malu nak balik."
"Ooo... erm, bapa Ayu di KL juga?"
"Ayu tak ada bapa," sayu jawapannya.

Saya memandang muka Ayu. Cantik dan menawan. Rambutnya yang mencecah bahu lembut dibelai. Umurnya hanya 8 tahun tetapi dari jawapannya, saya tahu keadaannya hidupnya yang mengharapkan kasih sayang nenek tua yang menjaganya. Mak Ayu melahirkannya di Kedah, meninggalkannya di kampungnya di Perak, lalu merantau ke Kuala Lumpur. Kasihan Ayu.Ikutkan hati, ingin sekali saya memeluk Ayu ketika itu. Namun sebagai guru, saya perlu bersikap profesional; tidak boleh terlalu beremosional dengan pelajar. Susah nanti.

Ayu di antara pelajar yang bijak dalam kelas saya. Prestasinya memberangsangkan.Kawan-kawannya ramai. Hidupnya sederhana.
Namun...
Tahukah Ayu akan asal-usulnya?
Fahamkah dia mengapa emaknya malu balik ke kampung?
Adakah orang-orang kampung yang mengetahui latar belakangnya berbisik-bisik sesama sendiri?
Bagaimanakah dia memohon kad pengenalan ketika umurnya 12 tahun?
Bagaimanakah keadaannya bila dewasa?
Bolehkah dia memohon kerja di jabatan kerajaan?
Apakah reaksi bakal suami dan keluarga apabila dia hendak mendirikan rumahtangga?

Ayu tidak berdosa.
Mak Ayu mungkin ya, mungkin tidak.
Sekurang-kurangnya Ayu masih hidup.
Boleh bercakap, berlari, dan belajar di sekolah.
Namun yang pasti, bapa kandung Ayu menanggung dosa besar.
Tahukah bapa Ayu tentang kewujudan anak gadis itu, yang sepatutnya memanggilnya "Abah?"
Terfikirkah bapa Ayu akan kemungkinan wujudnya janin yang akan menjadi seorang manusia ketika melakukan perbuatan terkutuk itu?
Hanya Allah swt yang Maha Mengetahui.

Ayu meninggalkan bilik guru.
Saya terpaksa berbincang dengan guru data.
Maklumat diri Ayu tidak lengkap untuk dimasukkan ke dalam komputer.
Salinan sijil kelahiran Ayu saya masukkan semula ke dalam fail.

Nama: Ayu
Nama bapa: TIDAK DIKETAHUI


* bukan nama sebenar

2 comments:

  1. Assalammualaikum Kak Aliya.
    Sebenarnya ibubapa kena berjuang untuk anak mereka. Kasihan Ayu. Apalah yang dia faham..

    Saya ada seorang kawan yang masih belum mendaftarkan kelahiran anaknya hingga anaknya dah berusia 2 tahun. Kesilapan ibubapa yang berkahwin secara sindiket di luar negara. Status anaknya tidak diterima oleh JPN. Kompleks sungguh..

    Kalau akak dapat jumpa mak Ayu, apa yang akak nak katakan padanya?

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam
    Humyrah,
    Ya, kadang-kadang ibu bapa yang membuat salah, anak yang menjadi mangsa. Saya tak akan kata apa-apa, saya akan ceritakan kehebatan Ayu dalam pelajarannya, kebaikan Ayu terhadap kawan-kawannya..
    terpulanglah kepada Mak Ayu untuk berbincang.
    Pada pendapat saya, orang Islamlah yang banyak menjadi mangsa birokrasi di negara kita. Anak kecil yang tidak berdosa tetapi sejak lahir dilabel sebagai anak tanpa diketahui siapa bapanya dalam sijil kelahiran, anak luar nikah dll, sedangkan agama Islam tidak pernah menyuruh kita berbuat demikian. Stigma masyarakat. Alahai! Kasihan budak-budak itu!

    ReplyDelete