Two roads diverged at thirty-five, and I - I took the one less travelled by, and that has made all the difference.
Monday, June 23
MENUNGGU GILIRAN
Entah mengapa hari ini saya teringat akan seorang Makcik yang saya temui di HUKM, Cheras setahun yang lalu.
"Lama betul kena tunggu ya," saya menegur seorang wanita tua yang duduk di tepi kerusi saya di hospital. Saya sudah hampir 3 jam menunggu di luar bilik untuk berjumpa specialist di HUKM, Cheras. Keadaan yang biasa bagi orang yang biasa berkunjung ke situ.
Hanya saya dan Makcik Melayu yang berbaju kurung dan bertudung itu yang masih sabar menunggu di situ. Pesakit lain sudah beredar ke kafeteria. Kebetulan waktu itu sudah hampir tengah hari.
"Ya, memang begini keadaannya di sini. Anak dari mana?"
"Saya dari SP, ganti Mak ke sini untuk ambil ubat. Mak tak boleh datang," saya tersenyum sambil menerangkan mengapa saya menunggu di hadapan pintu yang rata-ratanya dilalui pesakit tua.
"Oh begitu. Mak anak ni sakit apa?"
"*SLE."
"Ahh, sama lah dengan Makcik," dia masih meneruskan perbualan. "Makcik dah lebih sepuluh tahun berulang-alik ke sini."
"Oh, kira makcik lebih lama kena penyakit ini daripada mak saya."
"Semua pekerja di sini kenal Makcik. Macam celebriti. Hampir setiap minggu datang ke sini. Hari ini nak check darah, lusa kena pula check dada. Dah jadi pelawat tetap hospital tapi apa nak buat, kita kan sakit," katanya lalu ketawa.
Saya memandang muka Makcik itu. Orangnya kecil, raut wajahnya tenang. Walaupun ceritanya agak menyedihkan, dia masih kelihatan ceria dan tersenyum manis.
"Makcik datang ke sini dengan siapa? Seorang diri?"
" Anak lelaki Makcik hantar dengan kereta. Dia kerja jadi Makcik uruskan diri sendiri di sini. Petang nanti bila dah tamat kerja dia datanglah jemput pulang."
"Oh begitu. Makcik hebat juga, kuat bergerak lagi."
"Makcik dah tua, dah hampir 65, hehehee... tetapi kalau tak bergerak lagi teruklah keadaan Makcik nanti. Kata doktor kena banyak exercise agar sendi ini longgar. Ubat toksah nak cakap dah, banyak. Terasa diri ini macam stor ubat pula, hari-hari tujuh lapan jenis ubat kena telan. Inipun syukur arwah suami Makcik dulu kerja gomen, dapatlah ubat percuma di sini."
"Ya, sama dengan Mak saya, Makcik. Mak saya pun kerja gomen dulu. Penyakit SLE ini mana ada penawar, telan ubat steroid saja."
"Hahahaa... ya betul tu. Apa nak buat, nak hidup. Dulu doktor kata boleh hidup 5 tahun saja tapi Makcik dah hidup 8 tahun. Siapa nak sakit, kan?"
Saya tersenyum melihat Makcik yang peramah itu.
"Inipun sebab kuat makan ubat, muka bulat macam sekarang. Jadi awet muda pula, tak nampak kedut, hehehee.."
Saya ikut ketawa. Ubat-ubat daripada steroid yang dimakan akan menyebabkan muka pesakit menjadi bulat dan kulit menjadi tegang. Secara langsung kelihatan seolah-olah awet muda.
"Anak tau tak, di rumah kadang-kadang rasa bosan. Anak lelaki dua orang tu faham-faham sahajalah, belum kahwin. Makcik juga yang uruskan rumah. Orang kata tak baik sapu sampah malam-malam tapi Makcik sapu juga kalau ketika itu badan tak sakit. Bersih tak bersih entahlah, heheheee.. "
"Wah, kira Makcik kuatlah, masih boleh sapu sampah," saya memuji.
"Sapu macam budak-budak, tak larat. Tak gerenti bersih," dia ketawa semula.
"Makcik masak di rumah?"
"Ya, masak juga. Mana boleh makan masakan luar, banyak yang tak boleh makan. "
"Cepat-cepatlah suruh anak Makcik tu kahwin. Nanti adalah menantu tolong masakkan."
"Itupun kalau ada yang nakkan anak Makcik," dia ketawa geli hati.
Jururawat bertugas membuka pintu dan memanggilnya.
"Ah, Makcik masuk dulu. Jumpa lagi," dia menepuk-nepuk tangan saya lalu bangun perlahan-lahan dari kerusi. Dengan langkah lambat dan berhati-hati, dia berjalan masuk ke bilik specialist itu.
Saya kagum dengan semangat kental Makcik itu. Dia masih mampu tersenyum dan berjenaka. SLE satu penyakit yang tiada penawarnya. Ubat yang ada hanyalah steroid penahan sakit. Sebagai anak seorang pesakit SLE, saya memang faham keadaan pesakit yang boleh dilanda kemurungan kerana pergerakan menjadi terhad.
Bagaimanakah Makcik itu boleh menghadapi sakit dan kelemahan tubuh badannya yang diserang penyakit itu lebih daripada 10 tahun lamanya, dan masih sabar dan ceria pada hari itu?
Sudah tentu terdapat rahsia di sebalik senyuman manisnya.
Sudah tentu banyak air mata yang jatuh membasahi pipi ketika keseorangan dan dicengkam kesakitan yang amat teruk pada waktu malam.
Sudah tentu rindu untuk berjalan, berlari-lari anak semakin terasa apabila melihat orang lain sihat dan cergas.
Namun dia masih tersenyum dan berbual mesra dengan orang di sekelilingnya.
Setiap kali saya sakit, saya teringatkan wajah ceria dan sabar Makcik di hospital itu. Kalau dia masih mampu tersenyum dan berjenaka ketika sakit, mengapakah saya perlu bermuka masam dan kelihatan sedih?
*SLE= Systemic lupus erythemathosus, an autoimmune disease (http://www.medicinenet.com/systemic_lupus/article.htm)
image: http://thestar.com.my/metro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Kak Aliya, saya bersimpati dengan mak kak Aliya. Tolong kirimkan salam saya padanya. Saya doakannya sentiasa tabah. "Assalammualaikum makcik. Mak cik tabah ya. Macamanapun, makcik bertuah ada anak yang baik dan solehah.." hehe :)
ReplyDeleteAda seorang kenalan saya yang mengidap penyakit ini ketika usia masih muda. Penyakit ini dikatakan punca dia sukar mendapat zuriat.
Sakit itu sebenarnya suatu nikmat. Kerana dunia, kita tak nampak nikmat itu.
Salam,
ReplyDeleteTerima kasih. Mak mengidap SLE sudah hampir 9 tahun; 4 tahun lebih lama dari jangkaan doktor. Dia memang tabah. Organ yang diserang adalah paru-paru, maka jika saya bersin pun, saya tidak berjumpa Mak. Takut berjangkit padanya, susah sembuh. Hanya HUKM dan Hospital Penang yang mempunyai specialist utk pesakit begini, tetapi doktor di HUKM lebih mesra pelanggan.
Saya bersimpati ngan mak akak..Saya jgk salah seorang pengidap sle. Hanya org yang rase je tau mcm mane. saya da nampak da mase dpn saya yg bakal gelap. namun ape2 saye trima ngan redha segala yang berlaku. semua tu ade hikmah sebaliknya..
ReplyDeleteSalam gardist,
ReplyDeleteBersabarlah dengan ujian ini, ya. Allah swt hanya akan menguji umat yang dikahsihiNya dengan ujian berat, untuk menghapuskan dosa dan meningkatkan iman kita padaNya. Semoga Allah swt anugerahi Jannah kepada gadist atas kesabaran menghadapi ujian penyakit ni. Ramai pesakit sle yang menjalani hidup yang berkualiti walaupun terpaksa bergantung kepada ubat doktor. Cubalah berkunjung ke blog kakak ni, yang banyak memberi pengajaran kepada akak juga ..http://onebreastbouncing.blogspot.com/