Friday, May 2

PI MAI PI MAI DOK KAT JAMBATAN

Satu sahaja perkataan yang boleh saya fikirkan. Letih.
Berulang-alik dari Semenanjung ke Pulau Pinang melintasi Jambatan Pulau Pinang sungguh meletihkan. Tambahan apabila terlibat dalam kesesakan di atas jambatan, waktu perjalanan 30 minit boleh menjadi hampir sejam lamanya.

Saya bukan pemandu yang profesional, bahkan saya ibarat pemandu yang baru mendapat lesen memandu. Saya baru sahaja mula memandu kembali setelah hampir tiga tahun tidak memandu apabila kereta lama diambil balik bekas suami. Parking kereta pun masih belum cekap. Syukur alhamdulillah Allah swt mengizinkan saya membeli kereta baru. Oleh kerana terdesak kerana tugas, terpaksalah saya memandu semula dan berulang-alik dari rumah ke sekolah sekarang seorang diri. Bertolak dari rumah awal, bertolak pulang dari sekolah pula dilewatkan semata-mata untuk mengelak daripada kesesakan di atas jambatan ketiga terpanjang di dunia.

Bukannya mudah memandu kereta pada waktu senja. Perjalanan yang lama di atas jambatan yang panjang itu sungguh membosankan kalau terpaksa memandu seorang diri. Setelah berurusan dengan pelajar-pelajar nakal di sekolah dan bermain psikologi dengan mereka sepanjang hari, saya tidak suka memandu kereta di tengah-tengah kesibukan lalulintas di atas jambatan yang sesak dengan kenderaan. Kini dengan pembinaan yang sedang dijalankan, kenderaan terpaksa bergerak dengan lebih perlahan. Apabila hujan lebat, jambatan itu menjadi tempat yang membahayakan kerana kemalangan sering berlaku.

Kata orang, kalau nak tahu sama ada kita mahir memandu ataupun tidak, pandulah di Pulau Pinang, Sungai Petani atau Kuala Lumpur. Di sana, jarang terdapat pemandu yang sanggup memberi laluan kepada pemandu lain. Segala-galanya perlu cekap dan pantas; tangan kena cepat memutar stereng, kaki kena cepat menekan pedal brek dan pedal minyak, diri pula kena berani menggerakkan kenderaan ke hadapan mencari ruang dalam kesesakan lalu lintas. Di samping itu, makanan dan air mineral harus sentiasa ada di dalam kenderaan; sudah ramai yang terpaksa berbuka puasa di atas Jambatan Pulau Pinang setiap bulan Ramadhan.

Mungkin Dia sengaja menguji saya dengan menetapkan bahawa saya terpaksa berulang-alik pergi-balik menggunakan jambatan itu sekarang. Saya terpaksa mengaku, saya banyak bergantung padaNya apabila memandu. Doa dan zikir tetap tidak dilupakan tatkala memandu dalam kesesakan yang teruk. Hanya padaNya diserahkan segala harapan, diceritakan segala keresahan dan kebimbangan. Hanya Dia yang Maha Mengetahui. Hanya Dia yang Maha Berkuasa, yang menentukan segalanya. Maka saya pun bertolak pergi dengan 'Bismillah',lalu kembali dan keluar daripada kereta dengan ucapan 'Alhamdulillah'.

"Cikgu dari mana?"
"Sungai Petani."
" Jauhnya! Berulang-alikkah dari sana?"
"Ya, rumah saya di sana. Dari rumah saya ke sini satu jam setengah."
"Cikgu Mina dari Kepala Batas. Pn. Lim pula dari Kulim."
" Kami dah biasa, sudah bertahun-tahun berulang-alik dari sana ke sini. Sekolah-sekolah di tempat kami sudah tiada kekosongan."
" Mengapa tidak tinggal di pulau ini sahaja?"
" Suami dan anak-anak di sana. Biasalah, kita isteri-isteri yang lebih banyak berkorban."
Saya menghormati mereka yang sanggup memandu jauh seorang diri demi tugas dan mencari rezeki membantu keluarga. Mungkin tidak lama lagi saya akan menjadi anggota kumpulan itu, walahu'alam.

image photo: www.backpackingmalaysia.com

No comments:

Post a Comment