Friday, August 21

BULAN RAMADHAN VS BULAN HANTU LAPAR (edited)

"Mengapa ada bendera berwarna-warni di sepanjang jalan?" tanya suami saya.
"Oh, itu menandakan sudah masuk bulan ke7, bulan untuk perayaan Hantu Lapar la, 'Bang."
"Mengapa ada bendera pula?"
"Bendera dipacak di tepi-tepi jalan supaya menjadi panduan arah kepada hantu-hantu itu untuk ke khemah-khemah hiburan pada waktu malam, misalnya khemah yang adakan konsert dan opera Cina," saya terangkan.
"Oh, hantu pun boleh sesatkah?"
"Mengikut fahaman orang Cina, hantu pun macam manusia juga, cuma dah mati, boleh sesat. Bendera berwarna warni menjadi panduan arah kepada hantu tersebut ke tempat hiburan."

Semasa saya berjalan pulang ke kedai semalam, saya ternampak satu senario yang sudah lama saya tidak berikan perhatian.
Kelihatan lilin-lilin merah dan colok dibakar di hadapan rumah.
"Oh, sudah masuk bulan Hantu Lapar rupa-rupanya!"
Saya sudah hampir terlupa. Maklumlah setelah memeluk Islam, saya lebih kerap meneliti kalendar kuda untuk bulan-bulan Islam, dan bukan lagi tarikh dalam kalendar Cina. Tambahan lagi. keluarga Cina saya tidak lagi meminta saya pulang untuk upacara menyembah nenek moyang pada bulan ke7.
Tatkala umat Islam bakal menyambut Ramadhan esok dan berpuasa wajib selama sebulan, penganut fahaman Buddha dan Tao pula sudah beberapa hari menyambut bulan ke7 kalendar Cina. Lebih dikenali dengan istilah 'Hungry Ghost Festival' atau perayaan hantu lapar.


"Mengapa orang Cina bakar lilin dan colok di luar rumah?"
"Oh, itu kerana orang Cina berfahaman Buddha dan Tao percaya bahawa bulan ke 7 mengikut kalendar Cina, pintu neraka akan terbuka dan hantu-hantu akan berkeliaran selepas senja hingga subuh. Biasanya keluarga beragama Buddha akan menyiapkan makanan untuk disembah kepada roh nenek moyang ketika ini. Ada roh orang mati yang tidak disembah oleh keluarganya maka ia akan merayau-rayau mencari makanan pada bulan ini. Hantu-hantu yang lapar ini dipercayai akan menimbulkan kacau-bilau sepanjang bulan ke7 ni."

"Oh, kira orang Cina percaya pada hantu lah?"
"Percaya tu percayalah juga tetapi hantu Cina tak ada nama, tak macam hantu Melayu yang bermacam-macam jenis. Orang Cina pantang, hantu apapun cuma diberikan nama 'kwei'. Orang fahaman Buddha dan Tao bukan setakat percaya wujudnya hantu malah hantu-hantu lapar itu akan diberi layanan khas supaya mereka tidak mengganggu orang yang masih hidup. Sebab itulah kamu akan nampak ada rumah orang Cina yang menyalakan lilin merah dan colok di depan rumah, serta buat sembahan makanan seperti kuih dan nasi."
"Untuk apa semua itu? Takkan untuk hantu lapar?"
"Benar tu. Untuk menjamu hantu-hantu lapar yang berkeliaran supaya mereka tidak masuk ke dalam rumah dan mengganggu orang yang tinggal di situ. Kadang-kadang kertas emas juga akan dibakar kerana dipercayai roh itu akan dapat menerimanya di neraka untuk digunakan di sana."

"Tahun lalu dekat rumah kami, ada orang Cina yang buat jamuan besar-besaran, macam ada daging salai, ada colok besar, mengapa ya?"
"Oh, itu biasanya untuk taukeh dan peniaga. Mereka adakan jamuan daging khinzir bakar dengan kepercayaan bahawa apabila menjamu roh nenek moyang mereka dan hantu-hantu lapar, mereka akan mendapat ganjaran dan rezeki yang lebih baik kelak. Lagipun ada yang takut bahawa roh mereka yang telah dianiayai ketika hidup akan kembali membalas dendam pada bulan ke7 ini, maka untuk mengelakkan malapetaka, lebih baik menjamu hantu-hantu ini dengan harapan yang hidup tidak akan diganggu."

"Benarkah ada hantu lapar pada bulan ini?"
"Entahlah, tapi itulah kepercayaan orang Cina yang diperturunkan zaman berzaman. Saya ingat lagi, setiap kali bulan ke7, nenek dan mak tok akan melarang kami kanak-kanak keluar rumah selepas senja, takut bertembung dengan hantu atau diikuti oleh benda itu pulang ke rumah. Langsung tak boleh pergi berkelah atau berenang. Setiap kali ada berita kemalangan pada waktu malam atau berita orang lemas, nenek akan kaitkan dengan bahaya pada bulan ke7 ini. Perkahwinan memang dilarang pada bulan ini kecuali untuk mereka yang berani."

"Tak ada kawalan ke atas hantu-hantu lapar itu pada sepanjang bulankah?"
"Ada.. itu tugas Phor Thor Kong atau Raja Neraka. Ia akan disembah kerana dipercayai akan mengawal semua hantu lapar yang dilepaskan ke dunia. Wajahnya menakutkan, hitam dan lidahnya panjang. Itu kepercayaan orang Cina berfahaman Tao tetapi kisah penganut Buddha agak berlainan."

"Ada kelainan ker?"
"Ada. Penganut Buddha percaya pada cerita seorang pengikut Buddha yang melihat ibunya yang sangat sombong dan kedekut ketika hidup, menderita menjadi hantu lapar yang tidak pernah kenyang di neraka. Beliau berusaha beribadat dan membuat amal sehingga ibunya berjaya diselamatkan daripada menjadi hantu lapar. Terharu dengan kesungguhan Mu Lian, Buddha telah membenarkan roh-roh hantu lapar untuk ke dunia mencari makanan. 15 bulan 7 hari kebesaran memperingati kejayaan Mu Lian menyelamatkan ibunya daripada terus menjadi hantu lapar."

Ironi sungguh keadaan tahun ini.
Ketika orang Islam mula berpuasa pada waktu siang kerana patuh pada suruhan Allah swt yang mewajibkan puasa ke atas semua umatNya, pada waktu yang sama ada golongan lain yang akan menjamu roh nenek moyang mereka dengan pelbagai hidangan.
Ketika orang Islam memenuhi masjid dan surau dengan ibadah solat terawih dengan tujuan mendekatkan diri pada Allah swt, orang beragama Buddha dan Tao pula akan ke panggung terbuka di kawasan-kawasan majoriti Cina untuk berhibur menyaksikan 'kotai' [konsert dan opera Cina], sambil berhati-hati meninggalkan barisan pertama di panggung itu kosong kerana itu dikhaskan untuk hantu-hantu lapar yang mahu berhibur.
Umat Islam percaya pada bulan Ramadan [1 Ogos - 1 September 2011] segala syaitan akan dirantaikan daripada mengganggu manusia mengerjakan ibadat. Ironinya, golongan penganut Buddha dan Tao pula percaya pada bulan7 [31 julai- 28 September 2011] ini hantu-hantu lapar akan berkeliaran.
Hmmm... mungkinkah makhluk tersebut hanya akan mengganggu orang kafir yang percaya pada kehadirannya saja sepanjang bulan7 tahun ini?

Umat Islam menanti-nantikan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat, dan berbelanja menyediakan pelbagai juadah bersahur dan berbuka puasa. Khemah-khemah bazaar Ramadhan sudah tentu akan didirikan di sepanjang jalan pada bulan ini.

Orang fahaman Buddha dan Tao pula menerima kedatangan bulan ke7, bulan Hantu Lapar sebagai sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Mereka berbelanja menjamu dan melayan hantu-hantu lapar dalam keadaan yang agak takut dan terpaksa. Khemah-khemah dan pentas khas juga akan didirikan di tepi jalan untuk upacara keagamaan dan kotai.
Jangan terkejut jikalau pada bulan ini, ada satu jalan yang dipasang khemah Bazaar Ramadhan dan di jalan sebelahnya pula dipasang khemah untuk menyembah Phor Thor Kong.
Kitakan rakyat Malaysia.
Inilah dunia sekarang yang kepelbagaian.
Bertuahnya kita di bumi Allah!
Semua ada. Semua peristiwa boleh dilihat dan direnung.
Semoga kita terus diberi taufik dan hidayahNya.
Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih bermakna, lebih mendekatkan kita padaNya, mengeratkan lagi tali siratulrahim dan mengajar kita apa ertinya kita menganut Islam dan bergelar hambaNya.
Selamat bersahur, dan Selamat Berpuasa.
images: from the stated sites

13 comments:

  1. Salam Aliya,

    thank you for this post. Menarik! Betul cakap Aliya, rakyat Malaysia untung dapat melihat pelbagai adat resam. It makes our lives much more colorful!

    Selamat berpuasa Aliya, maaf zahir dan batin :-)
    -aieen

    ReplyDelete
  2. selamat berpuasa kak Aliya..keep blogging ya...

    ReplyDelete
  3. salam ramadhan aliya.. thanks berkongsi cerita yg menarik. dulu saya tertanya2 utk apa semua itu, kita barulah saya tahu. org d msia baru sudah bersahur, kami baru mula berterawih. moga ramadhan kali ini penuh bermakna bagi kita semua insyaallah

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam aieen,
    Selamat berpuasa to you and your family too.
    I'm sure this Ramadhan will be a new experience for you too :)

    ReplyDelete
  5. Waalaikumussalam armouris, neesa,dafffodil,

    amouris,terima kasih atas maklumat. Selamat berpuasa.
    neesa_jun,Thanks and selamat berpuasa to you too.. insyaAllah I will :)
    Daffodil, ameen. Bagaimana pengalaman berpuasa di sana?

    ReplyDelete
  6. k alia, nak tanya ..camne org Buddha atau Tao tahu yang 'Hantu lapar' dah makan makanan yg mereka hidangkan?
    Pasal saya ada jugak nampak makanan, buah2an berserta colok yg terletak di tepi2 jalan area rumah saya. Saya cuma nampak semut je yang makan. Bila hujan, air bertakung. Last2 pekerja sapu sampah bersihkan makanan2 yang dah rosak itu.

    ReplyDelete
  7. Uji, kata tok saya, tuhan2 yang disembah dan roh orang mati[spt hantu lapar] bukan makan makanan seperti cara kita manusia makan. Zat makanan akan dihisap tanpa kita lihat. Makanan untuk roh orang mati & tokong boleh diambil untuk dimakan tetapi makanan hantu lapar memang akan diambil oleh manusia, kerana takut kena bala.Biasanya akan dibiarkan begitu saja di tepi-tepi jalan.
    Satu cara yang pernah saya lihat orang lakukan adalah dengan melambung 2 keping duit syiling di hadapan colok yang dibakar separu. Bila kedua-dua duit syiling itu tunjukkan permukaan yang berbeza di atas lantai, itu tandanya sudah makan.Entahlah, itulah yang diberitahu kepada saya.

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum,

    Artikel ini dah dikemaskini diKBP!

    Terima kasih dan hantarlah lagi sekiranya ada artikel-artikel menarik untuk dikongsi bersama.

    co|bloggerspenang

    ReplyDelete
  9. Salam Dharma,

    that's really interesting..but i guess there are some misinfo here to be edited.

    Cina tak buat pasai takut ya,tapi lebih kepada belas kasihan because these 'wandering spirits' tak macam moyang kita yg dapat persembahan dari cucu cicitnya. Wandering spirits tidak bertuah, tidak terjaga. maka,kami yg murah rezeki ni menunaikan tanggungjawab keagamaan kami utk mengamalkan kasih sayang kepada 'mereka yg tidak bernasib baik'.

    one interesting note..ya..pertembungan kepercayaan! Cina percaya bulan tujuh pintu neraka terbuka untuk roh-roh yg dosa kecil keluar berjoli & roh2 yg mati teraniaya keluar utk menuntut bela..Islam plak kata hantu2 akan dirantai...

    baru2 ni,masa ramadhan bertembung ngan bulan 7,orang yg bermata 'special' nampak juga roh2 dlm keadaan yg sgt mengharukan 'makan' persembahan...[there's a photo taken recently..and it captured 'something' in it..wanna see?]

    next,orang Buddhist tidak percaya Buddha 'membenarkan' roh utk keluar..itu dah dicamp[ur dgn kepercayaan adat Cina...

    Msykt Buddha [mazhab Mahayana saja] hanya percaya sekadar cerita si Mulian menyelamatkan mendiang maknya dari seksa kelaparan di neraka dengan bersedekah kepada sami-sami segala keperluan asas mereka. Ini dengan harapan berkongsi pahala besar yg diterima dari sedekah ini kepada roh moyang dan roh2 di neraka.

    ReplyDelete
  10. salam..
    sy agak tertarik dgn mualaf nie..
    bleh x crita cmna bleh dpt hdayah n memeluk islam..
    maybe ada "peristiwa" yg bleh trgak hati nk convert..
    bleh share x??
    tq..

    ReplyDelete
  11. waalaikumussalam HiGHNeSS FiQ,
    Panjang ceritanya.. nak tahu boleh baca dari awal blog ini [label journey]atau hadiri salah satu ceramah saya.. nanti saya poskan link

    ReplyDelete
  12. Kalau nak tunjukkan kebaikan ajaran agama milik kita tak perlu singgung keyakinan umat lainnya. Terkadang kita tersesat oleh apa yang nampak luaran saja & bukan azas ajaran pada amnya.

    ReplyDelete
  13. RTOGOG,
    Artikel ini tidak ditulis untuk mempersendakan pegangan agama orang lain, tetapi untuk memberitahu orang Melayu Islam khasnya tentang fahaman kepercayaan kaum Cina Taoist dan Buddhist secara general, yang mana mungkin generasi muda Cina sendiri pun tidak tahu mengapa mereka lakukan upacara tersebut. Tanya pada sami Taoist dan tokong Cina, mereka juga akan syorkan adakan persembahan untuk roh-roh seperti yang dinyatakan di sini.
    Penjelasan sampurna iaitu pegangan mazhab Mahayana ada benarnya dari segi kisah Mulian. Ia terkandung dalam kitab agama Buddha yang pernah saya baca. Kepercayaan asas pengikut Buddha sangat simple tetapi sekarang telah dicemari dengan adat tradisi Cina sehingga masyarakat Cina sendiri terkeliru, lalu adakan pelbagai bentuk sembahan seperti yang saya nyatakan di atas.

    ReplyDelete