Monday, August 17

PEMBESAR SUARA

"La, kenapa kuat sangat ni?"
Saya mengeluh. Semenjak berpindah ke rumah kecilku hampir 2 tahun yang lalu, saya ada love-hate relationship dengan pembesar suara masjid. Masjid itu jaraknya kira-kira 200 meter dari rumah tetapi ada masanya kedengaran seolah-olah ia bersebelahan dengan rumah.
Perasaan saya bercampur baur; lega dan gembira ketika mendengar laungan azan yang kuat dan jelas dari situ, terutama ketika bulan Ramadhan; perasaan geram ketika mendengar bunyi-bunyi lain dari pembesar suaranya, terutamanya selepas subuh dan maghrib.
Maafkan saya yang jahil ini tetapi setahu saya, hanya azan yang dizinkan dilaungkan melalui pembesar suara masjid. Tujuannya pun untuk memberitahu waktu solat dan mengajak umat Islam menunaikan solat di masjid.
Pembesar suara masjid bukan untuk tujuan memperdengarkan bacaan al-Quran sebelum dan selepas subuh ke seluruh kampung atau kawasan persekitaran, juga bukan untuk tujuan memperdengarkan kuliah subuh sehingga 20-30 minit lamanya. Tindakan itu hanya mengundang kemarahan orang. Menganggu orang yang tidur. Mengejutkan bayi-bayi yang baru lahir dan anak-anak kecil yang sedang nyenyak tidur. Menganggu konsentrasi para pelajar yang hendak mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan.

Tapi bukankah baik mengingatkan orang ramai tentang agama dengan memperdengarkan bacaan al-Quran dan khutbah melalui pembesar suara?
Siapa kata?
Rasulullah saw tidak mengajar kita untuk berbuat begitu. Al-Quran dan hadith tidak mengesyorkan begitu. Bahkan jikalau kita teliti ajaran Islam, haram hukumnya mengganggu orang lain. Dan bunyi kuat dari pembesar suara itu memang menganggu konsentrasi orang pada perkara lain.
Kerana bunyi itu menganggu, akibatnya orang yang diganggu itu akan marah. Marah pada orang yang sedang membaca atau berceramah dengan kuat menggunakan pembesar suara, marah pada pengurusan masjid berkenaan yang membenarkan ia dipasang dengan begitu kuat, dan [nauzubillah] mula bersangka buruk pada ajaran Islam itu sendiri, terutama orang yang bukan Islam.
Orang yang memperdengarkan suaranya melalui pembesar suara itu mungkin merasakan dirinya bakal mendapat pahala, tetapi mungkin yang diterimanya adalah bala.
Mengapa? Sebab tindakan itu mengundang kemarahan orang lain yang diganggu dengan kekuatan pembesar suara itu.
Ibu-ibu yang keletihan mungkin mengeluh dan marah kerana terpaksa melayan semula anak-anak yang dikejutkan dari tidur dengan bunyi kuat selama beberapa minit setiap waktu subuh.

Orang bukan Islam yang tinggal berdekatan masjid boleh menerima laungan azan 5 kali sehari kerana memahami bahawa itu suruhan agama Islam.
Tetapi mereka tidak faham mengapa kuliah Subuh juga perlu dikuatkan melalui pembesar suara, seolah-olah orang Islam yang tidak hadir untuk solat subuh boleh mendengar kuliah dengan selesa di rumah mereka yang jaraknya 100 meter dari rumah [percayalah, saya pernah dengar separuh daripada kuliah Subuh jam 6 pagi itu hanya melalui pembesar suaranya, dan rumah saya itu di tingkat5, 5 minit dari masjid itu! Mereka yang tinggal lebih dekat dengan masjid sudah tentu mendengar bunyi yang lebih kuat lagi]
Saya juga tidak faham mengapa ada pihak masjid yang membenarkannya.
Bukan semua orang yang akan mengerjakan solat subuh di masjid.
Bukan semua orang akan mengerjakan solat subuh atau maghrib pada waktu yang sama dengan mereka yang di masjid berkenaan.
Wanita lebih afdhal mengerjakannya di rumah.
Bayangkanlah ketika kita sedang mengerjakan solat subuh atau solat maghrib, konsentrasi kita sedikit sebanyak terganggu kerana bunyi kuat dari pembesar suara masjid?
Sedangkan ketika hendak mengerjakan solat di rumah, kita menutup semua peralatan seperti Tv dan radio. Bagaimana hendak menutup bunyi dari pembesar suara yang dipasang dengan kuat?
Kadang-kadang kemudahan elektronik disalahgunakan.
Kononnya hendak mengembangkan syiar Islam, tetapi cara begini bukanlah mengikut sunnah Rasulullah.
Memaksa pihak lain mendengar bacaan dan kuliah subuh melalui pembesar suara yang sengaja dipasang dengan kuat dari masjid pada awal pagi hanya memberi gambaran seolah-olah Islam tidak bertimbangrasa pada keperluan orang lain. Tidak menghormati hak jiran.
Semoga pihak pengurusan masjid lebih prihatin akan hal ini kelak.

19 comments:

  1. Assalamualaikum Puan Alia,
    Bayangkanlah pula yang saya ini : rumah saya betul-betul sebelah surau. Hanya sebatang lorong yang memisahkan. Benar, adakalanya keheningan pagi terganggu oleh kuliah subuh, ketika kita mahukan sedikit ketenangan. Itu sajalah masa tenang yang ada.

    Kalau dapat ustaz yang menarik penyampaiannya, sekali sekali oklah juga. Kena ustaz yang asyik semua orang salah, dia saja yang betul, penat juga mendengarnya.

    Ya, saya juga fikirkan apa reaksi orang bukan Islam di sekeliling kawasan kejiranan kami (jumlahnya tak ramai, tetapi mereka masih jiran).

    Kalau nak diikutkan pada zaman Nabi SAW, Bilal bin Rabah melaungkan azan tak guna pembesar suara. Tapi, masih ramai yang datang ke masjid. Sekarang pembesar suaranya amat canggih tetapi tak padan dengan jumlah jemaah yang sudi hadir.

    Wallahu'alam.

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Pandangan non-muslim kepada keadaan ini ialah orang Islam tidak bertimbang rasa dan mengganggu. Maka mereka rasa Islam mengajarkan begitu.

    Non-muslim juga merasakan seolah-olah Islam ialah agama yang mengajak ke arah keburukan. Ini juga akan menyebabkan orang non-Muslim untuk menjauhi Islam.

    Saya tahu kerana saya juga pernah berfikir begitu. Ayah saya masih berfikir begitu. Keluarga saya masih berfikir begitu. Jangan terkejut jika saya kata dulu saya pernah gunting wayar kat masjid dekat rumah saya kerana terlalu bising.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum..
    Ini lah yang terjadi jika kita hidup dalam masyarat berbilang kaum dan agama... ada saja yang tidak kena.. itu tak boleh ini tak boleh...
    bagi saya ada pro dan kontra nya...
    "Tapi bukankah baik mengingatkan orang ramai tentang agama dengan memperdengarkan bacaan al-Quran dan khutbah melalui pembesar suara?" quote Pn Aliya..
    kan ada dalil mengatakan orang2 beriman kena sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain..
    mana tau daripada pembesar suara itu kita dapat sedikit ilmu agama walaupun tidak perlu ke masjid atau surau...
    ini cuma pandangan saya, saya bukanlah bijak pandai dalam agama jadi kalau ada kesilapan harap diberi tunjuk ajar

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum,

    Dulu saya pernah tinggal dekat dengan surau. Alhamdulillah dapat dengar tazkirah dari surau. Sebagai wanita yang lebih afdal solat di rumah saya sangat bersyukur. Tentu surirumah2 yang sikit masa menghadiri majlis2 ilmu sebab menjaga anak2 kecil gembira kerana masih berpeluang mendengar ceramah dari surau. Bagus juga perdengarkan bacaan Quran dan ceramah tapi dengan kekuatan bunyi yang hanya "sedap didengar" bukan terlalu kuat.

    Kalau pengumuman berulangkali gotong royong di surau hingga seperti di asrama sekolah memang tak patutlah.

    Adakah kak Aliya dengan sangat yakin kata begini?

    "Tapi bukankah baik mengingatkan orang ramai tentang agama dengan memperdengarkan bacaan al-Quran dan khutbah melalui pembesar suara?
    Siapa kata?
    Rasulullah saw tidak mengajar kita untuk berbuat begitu. Al-Quran dan hadith tidak mengesyorkan begitu."

    Masa zaman Rasulullah saw tiada internet untuk berdakwah melalui blog.

    masa zaman Rasulullah dah ada pembesar suara ke?

    ReplyDelete
  5. Waalaikumussalam Sakinah,
    Laungan azan memang dibolehkan melalui pembesar suara kerana tujuannya mengajak orang ramai ke masjid menunaikan solat.
    Tetapi penggunaan pembesar suara dengan kuat untuk tujuan lain spt ceramah, kuliah dll sehingga mengganggu ketenteraman jiran-jiran yang tinggal di sekitar masjid atau surau terutama pada waktu subuh adalah dilarang. Itu bukan kata saya tetapi telah diputuskan oleh para ulama sejak dahulu lagi. Dalam Islam, hak jiran untuk tidak diganggu dengan bunyi yang kuat tetap perlu dihormati.
    Sekiranya hendak mendengar ceramah dari surau perlulah pergi ke surau atau masjid. Tidak sesuai mengharapkan kuatnya bunyi pembesar suara sehingga tidak perlu ke sana. Kuatnya pembesar suara [selain laungan azan] seperti untuk kuliah dan ceramah masjid sepatutnya hanyalah untuk mereka di dalam dewan masjid itu sahaja.
    Mungkin kamu gembira dapat mendengar ceramah dengan selesa di rumah melalui pembesar suara dari masjid, tetapi kamu akan marah juga jikalau kamu antara ibu-ibu baru bersalin yang anak kecilnya menangis tanpa henti terkejut dengan bunyi kuat dari pembesar suara yang sama.
    Islam mengajar kita menghormati hak jiran.

    ReplyDelete
  6. Waalaikumussalam zed,
    Apakah tujuan pembesar suara dipasang di masjid dan surau? Bukankah supaya lebih ramai orang dapat mendengar laungan azan dan segera menunaikan solat berjemaah di sana? Itu tujuannya - untuk melaungkan azan.
    Bukan untuk dipasang degan kuat semasa bacaan al-quran dan kuliah subuh sehingga ada jemaah lelaki yang memilih untuk tidak pergi ke rumah Allah, sebab sudah selesa dengar dari rumah sendiri.

    ReplyDelete
  7. Waalaikumussalam Nisah,
    Memang stres bukan, kita yang nak buat ibadah dengan cara kita sendiri tetapi dipaksa mendengar kuliah subuh yang lebih banyak komen negatif daripada komen membina. Susah nak fokus ketika solat dan membaca al-quran.Ibarat dipaksa mendengar radio kuat dari rumah jiran ketika kita hendak mengulangkaji pelajaran untuk exam.
    Reaksi bukan Islam seperti komen ahong memang saya setuju.

    ReplyDelete
  8. Waaalaikumussalam ahong,
    I quote Dr.Danial,"The product is good but the service is poor.."

    ReplyDelete
  9. saya setuju dengan kenyataan Pn Aliya tujuan pembesar suara adalah untuk melaungkan azan. tapi bagi pendapat saya, kalau semasa kuliah subuh kan ia memberitahu pada kita ada majlis ilmu yang berlangsung di masjid@surau tersebut. soal jemaah lelaki tidak pergi ke rumah Allah sebab sudah selesa dengar dari rumah sendiri, itu kena tanya iman masing-masing. tapi bagi saya sekiranya saya terdengar kuliah subuh dari pembesar suara, saya tau ada majlis ilmu dan akan pergi ke masjid@surau tersebut. seperti yang saya katakan perkara ini ada pro dan kontra nya, saya bukan bijak pandai dalam agama, ini cuma pandangan saya. kalau kata2 saya buat Puan Aliya marah saya minta maaf. :)

    ReplyDelete
  10. Zed,
    Cubalah Ziarah surau atau masjid secara berkala supaya dapat baca poster-poster yang tertampal tentang kuliah-kuliah agama di situ.Rugilah kalau sampai lewat, apabila terdengar kuliah subuh melalui pembesar suara :)
    Tak marah atau kecil hati pun, tak semestinya perlu bersetuju dalam semua hal. We can agree to disagree.
    Hmmm, 8.30 malam ni ada kuliah hadis Ustaz Hussein Yee di Kompleks Masyarakat Penyayang, Penang..

    ReplyDelete
  11. setuju ngan aliya..
    tapi
    bab agama ni memang sensitif sikit
    lebih2 lagi kalau yang menegur orang2 masjid tu
    orang2 muda

    ReplyDelete
  12. Saya rasa saudara saudari hanya melihat isu penggunaan pembesar suara ini dari perspektif saudara/saudari sahaja (Muslims). Saudara saudari tidak melihatnya dari perspektif orang bukan Muslim.

    Bayangkan begini, jika setiap hari saudara atau saudari diganggu dengan ceramah dari kuil berhampiran rumah saudara saudari. Ceramah agama Hindu setiap hari selama beberapa jam. Bukan saja tak paham tentang ceramah itu, malah dalam bukan dalam bahasa ibunda saudara-saudari. Adakah kita akan suka? Kita pada masa tu akan hanya anggap bahawa ianya mengganggu.

    Bagi saya sebagai seorang muslim, adalah amat penting untuk menghormati hak orang lain samada muslim atau non-muslim. Ini adalah satu keperluan asas yang dianjurkan oleh Islam.

    Isu pembesar suara ini bukan isu tentang azan menggunakan pembesar suara. Jika azan tu ada khilafnya. Isu sekarang ialah penggunaan pembesar suara di luar (bukan dalam) masjid atau surau untuk tujuan ceramah/kuliah dan sebagainya.

    P/s kepada Sakinah: Pembesar suara mengganggu orang lain. Internet dan blog tidak mengganggu.

    ReplyDelete
  13. Very well said Hong !

    I totally agreed, as you said ''Bagi saya sebagai seorang muslim, adalah amat penting untuk menghormati hak orang lain samada muslim atau non-muslim. Ini adalah satu keperluan asas yang dianjurkan oleh Islam.''

    ReplyDelete
  14. Assalamualaikum wbt.

    Rasulullah saw pernah melarang sahabat radiallahu anhum ajmain daripada membaca al-Quran dengan kuat kerana ia boleh mengganggu orang lain.

    Ini sudah jelas bukan.

    Azan memang disyariatkan dengan kuat bahkan kita akan menentang orang bukan Islam yang menentang azan dilaungkan dengan kuat.

    Tetapi bacaan al-Quran, kuliah agama, zikir, doa dan sebagainya tidak disuruh dikuatkan hingga mengganggu orang ramai. Menganggu wanita-wanita yang beribadah di rumah, menganggu bayi-bayi yang sedang tidur, mengganggu orang yang sedang study, mengganggu jiran-jiran yang bukan Islam dan lain-lain.

    Buat apa sibuk dipertahankan benda-benda yang bukan diajar oleh Rasulullah saw bahkan telah jelas dalil yang melarangnya. Sedangkan membaca al-Quran dengan kuat pun Rasulullah saw larang.

    ReplyDelete
  15. Assalamualaikum wbt.

    Syukran atas penjelasan saudara Abu Usamah. Alhamdulillah.

    Mungkin entri ini memberitahu apa yang saya tidak tahu bukan mengingatkan apa yang saya sudah tahu. Mungkin bagi orang lain pun begitu. Mungkin Kak Aliya patut letak "ulama" itu dalam entri bukan dalam komen. Terima kasih Kak Aliya.

    ReplyDelete
  16. Waalaikumussalam Masri,
    "Rasulullah saw pernah melarang sahabat radiallahu anhum ajmain daripada membaca al-Quran dengan kuat kerana ia boleh mengganggu orang lain."
    Terima kasih atas penjelasan. Harap dapat berikan hadis tersebut.

    ReplyDelete
  17. Ahong,
    Agree with you.
    Alhamdulillah, one advantage of being a Muslim revert is that we can see issues from many angles because we were non Muslims before.

    ReplyDelete
  18. Assalamualaikum.

    Saya kira hadith yang mungkin dimaksudkan oleh Masri itu ialah hadith berikut yang mafhumnya:

    Diriwayatkan daripada Abu Sai'd Al-Khudri bahawa Nabi s.a.w. beriktikaf di masjid lalu baginda mendengar orang-orang mengeraskan suara dalam bacaan Al-Quran, maka beliau pun membuka tabir dan bersabda "Ingatlah bahawa kamu semua sedang bermunajat dengan Tuhannya, maka janganlah sebahagian kamu mengganggu sebahagian yang lain dan janganlah pula sebahagian kamu mengeraskan suara mengatasi yang lain dalam bacaan Al-Quran."
    Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Dawud, An-Nasa-i, Al-Baihaqi serta Al-Hakim yang menyatakan hadith ini sah menurut syarat-syarat Al-Bukhari dan Muslim.

    Wallahu a'lam.

    ReplyDelete
  19. Waalaikumussalam rizal,
    Terima kasih atas perkongsian maklumat tadi :)

    ReplyDelete