Tuesday, August 25

JEJAK KASIH, JEJAK GURU

Ogos 2007 [saya sambung belajar di USM]
"Asal mana?"
"Batu Kurau, kak."
"Batu Kurau? Sekolah rendah di mana?"
"SK Toh Sajak, kak."
Bermulanya sesi suaikenal dengan roommate baru. Bila mendengarkan nama sekolah lama, hati saya mula berdebar-debar. Jangan-jangan..
"Hmm, masa di sekolah dulu, kenal tak seorang cikgu Cina, Teacher Yeoh?"
"Kenal.. tapi dia tak mengajar kelas saya. Teacher Yeoh ****."
Saya tersenyum lebar sambil melambai-lambai tangan ke arahnya. Matanya sudah terbeliak.
"Teacher Yeoh? Ya Allah! Patutlah bila tengok foto di pintu, macam kenal saja."
Syukur juga, saya tidak pernah mengajarnya secara langsung. Cuma mungkin pernah uruskannya atau bercakap dengannya dalam rutin seorang guru sekolah rendah. Tak segan sangatlah bertemankan seorang bekas pelajar saya sendiri sebagai roommate di asrama universiti. Kalau sah dia bekas pelajar saya yang pernah saya tegur, yang pernah saya denda, huhuhuu... susahlah. Alhamdulillah diberikanNya seorang bekas pelajar yang baik.
Saya mahasiswi tahun akhir, dia pula baru masuk sebagai freshie. 36 tahun dengan 20 tahun. Guru dengan bekas murid berkongsi satu bilik di asrama. Memang tidak dirancang
"Jangan panggil teacher atau cikgu. Panggil kak Aliya saja, tau."
Dia ketawa. Seronoknya bertemankan seorang yang sentiasa ceria seperti Siti Khadijah.

Saya tidak pernah impikan dapat berjumpa dengan bekas pelajar saya semula, lebih-lebih lagi setelah saya memeluk Islam dan bertukar nama. Bertudung banyak mengubah penampilan diri saya.
Sekiranya dahulu sebelum bergelar Muslimah, mudah untuk mereka menegur saya di mana-mana, kini bukan mudah untuk cam saya lagi setelah bertahun-tahun tidak berjumpa. Tambahan bukan semua tahu bahawa saya telah memeluk Islam. Tapi alhamdulillah ada yang berjaya cam saya.

Ogos 2006
Tabik kepada Zamira [bekas pelajar tahun 4, berjumpa kembali semasa dia berumur 20 tahun], yang pertama sekali menegur saya. Dari jauh dia berdiri dan merenung saya, dan apabila saya lalu di hadapannya, dia menegur.
"Boleh saya tahu, ini Teacher Yeoh **** kah?"
"Ya, saya."
"Teacher.. saya Zamira. Err, mengapa teacher pakai tudung?" dia teragak-agak.
"Saya dah peluk Islam."
Terus dipeluknya saya dengan erat. Saya yang tergamam. Pertemuan yang tidak disangka-sangka.
Alhamdulillah, kini beliau sudahpun mendapat ijazahnya. Seronok jumpa semula bekas pelajar yang berjaya dalam bidang akademik, lebih-lebih lagi yang berjaya dalam hidup mereka.

Ogos 2009
Alhamdulillah, Ramadhan menjanjikan keisitimewaan dalam hidup saya seperti sebelumnya.
"Saya Ahmad Zaman."
Satu artikel dalam blog ini telah berjaya menemukan saya dengan bekas pelajar saya dari sekolah pertama saya mengajar.
Walaupun hanya sedikit sahaja sumbangan saya, saya bangga dan bersyukur. Ada juga pelajar sekolah yang terpencil itu yang berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading.
"Saya Wardah, kakaknya.. "
Emel yang baru diterima menyebabkan saya tersenyum sepanjang hari. Wajah manisnya semasa berumur 11 tahun masih dalam kenangan saya. Alhamdulillah seronok rasanya mendapat berita daripada bekas pelajar. Sesungguhnya rezeki daripada Allah tidak terkira.

Menakjubkan, walaupun sudah lebih sepuluh tahun, bekas pelajar yang ditemui masing-masing masih ingat nama Cina saya. Tindakan mereka yang cuba menghubungi saya semula setelah membaca blog ini begitu menginsafkan. Terasa diri ini amat kerdil di hadapanNya. Allah swt yang menemukan saya kembali dengan mereka. Kalau saya bertindak melampaui batas sebagai guru atau mengajar ala kadar dulu, mungkin mereka tidak akan langsung menegur saya kini. Sekiranya dahulu mereka ingat saya sebagai seorang guru Cina yang pernah mengajar mereka, kini selepas mereka menemui saya semula, mereka akan ingati saya pula sebagai guru mereka yang telah memeluk Islam. Dan mana tahu, berapa di antara mereka yang telah mendoakan saya secara tidak langsung ["Teacher, peluklah Islam!"] ? Dan insyaAllah pertemuan semula kami, walaupun ada yang sekadar melalui internet, akan sentiasa mengingatkan saya supaya sentiasa melayan para pelajar dengan baik.

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, saya doakan kesejahteraan semua bekas pelajar saya, walaupun di mana sahaja mereka berada. Kalau panjang umur, bolehlah berjumpa kembali.

1. SK Lerek, Kuala Berang, Terengganu
2. SK Toh Sajak, Batu Kurau, Perak.
3. SK Pengkalan Aur, Taiping, Perak.
4. SMK Sg Nibong, Pulau Pinang

nota: Maaf, gambar lama tak dapat dimasukkan kerana semua foto sudah disimpan dalam kotak dan belum di-scan ke dalam komputer

4 comments:

  1. suka baca ntri yang ini...

    ReplyDelete
  2. Aslmualaikum

    ramadhan Kareem. Alhmdulilah. mgkin berkat doa anak2 murid yg meminta kpd Allah supaya cikgu dikurniakan hidayahNya.

    Alhmdulilah.

    Ukhwah itu dihati dan akan kekal selamanya.

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam kl citizen
    Terima kasih.Semuanya dengan kekuasaan Allah.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussala yusuf mujahidin,
    Mungkin. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.Apa pun saya amat bersyukur kerana dapat hidup sebagai orang Islam.

    ReplyDelete