Sunday, August 23

CABARAN

"Tambah dalam list kena buat."
Setiap Ramadhan, semenjak saya memeluk Islam, menjanjikan satu pengalaman yang berbeza. Ramadhan pertama saya berpuasa di asrama, tahun kedua dan ketiga berpuasa dengan suami di rumah sewa, dan alhamdulillah tahun ini [ setakat inilah] saya dan suami dalam proses berpindah ke rumah baru.
Banyaknya kerja nak bereskan!
Jangan tanyalah bagaimana keadaan rumah kami. Alhamdulillah masih terurus walaupun hampir sebahagian daripada barangan rumah sudah dibungkus untuk dibawa ke rumah baru. Syukurlah, rumah baru tidak berapa jauh dari rumah sekarang, cuma hujan beberapa hari ini menyulitkan proses pemindahan barang.
Bukan mudah untuk menguruskannya pada bulan Ramadhan tetapi apakan daya - kita merancang dan Allah swt yang menentukan. Rancangan untuk berpindah sebelum Ramadhan terpaksa ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Hasilnya, kami perlu cepatkan proses perpindahan pada cuti sekolah ini, supaya sempat berkemas sebelum sekolah berbuka semula di samping mahu menumpukan perhatian pada ibadah pada bulan Ramadhan.
Syukurlah saya dan suami sihat dan masih bertenaga. Mengangkut barang dari tingkat5 ke tempat letak kereta memang agak meletihkan ketika berpuasa, tambahan saya dilarang mengangkat benda yang berat setelah dibedah baru-baru ini. Alhamdulillah atas segala kekuatan dan kesabaran yang diperolehi dariNya pada bulan yang berkat ini.

"Sahur nak makan apa, yang?"
Aduh, saya kadang-kadang lupa tabiat orang Melayu yang suka bersahur dengan nasi berlauk. Bagi saya, cukuplah kalau beberapa keping roti sandwich dan secawan air Milo panas serta beberapa gelas air kosong. Itulah tabiat saya ketika tahun pertama berpuasa lengkap semasa tinggal di asrama universiti. Maklumlah tidak boleh memasak di dalam asrama. Itupun sudah cukup bagi saya, sudah mampu bertahan sehingga buka puasa 14 jam kemudian.
Hanya apabila bergelar isteri, bermulanya cabaran menyediakan makanan untuk bersahur pada jam5 pagi. Syukurlah suami jenis yang memahami dan ringan tulang membantu; tidak adil sekiranya membandingkan saya dengan Muslimah-Muslimah lain yang sudah berpuluh-puluh tahun bangun pada awal pagi untuk menyediakan makanan untuk bersahur.

"Nak masak apa untuk buka puasa?"
Satu lagi yang membingungkan. Kalau bersahur perlu cepat supaya sempat habiskan makanan dan minuman sebelum azan subuh, kita biasanya suka menyediakan pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Tapi masalahnya, bolehkah makanan yang disediakan itu dihabiskan sebelum masuk waktu subuh esok hari?
Perlulah mencongak-congak dan berbelanja dengan berhemah. Tak mahulah bila Ramadhan badan berisi, bila Syawal badan makin membulat pula :P

"4 kali salam.. ingat!"
"Huh?"
"Dah lupa?"
Aduh, maklumlah ini baru Ramadhan ketiga saya ikut suami mengerjakan solat terawih berjemaah di masjid. Saya mengaku, saya ingat-ingat lupa caranya, tambahan pula saya masuk ke ruang solat wanita tanpa teman. Tak ada tok guru di sebelah untuk mengingatkan cara yang betul. Maka, terpaksalah mendengar 'ceramah' suami dalam perjalanan ke masjid, yang kelihatan risau akan 'pelajarnya' yang masih belum dapat diploma amali solat sunat. Pandai-pandai sendirilah kalau masuk ke ruang solat itu lewat daripada orang lain. Dalam diam, saya cuba tenangkan diri 'Tak mengapa, Allah Maha Mengetahui." Lagipun, saya baru Islam 3 tahun, huhuhu. Masih kurang latihan amali.

Bila nak pindah ke rumah baru, tak pasti lagi. [banyak lagi perlu dibereskan dahulu]
Bila nak siap semak skrip jawapan peperiksaan pelajar, tak pasti lagi. [perlu pindah dahulu baru boleh fokus]
Hanya yang saya pasti, ibadat puasa tidak akan ditinggalkan, walaupun letih dengan pelbagai urusan lain.
Yang pasti, ibadah sunat pada bulan Ramadhan tetap akan dilakukan, insyaAllah.
Yang nak dielakkan, pembaziran makanan dan membuang masa dengan perkara yang kurang berfaedah.
Semoga segala urusan yang dirancang berjalan dengan lancar dan semoga bulan Ramadhan tahun ini membawa pelbagai rahmat kepada kita semua.

Selamat berpuasa!
Yeah.. dah selesai 2 hari berpuasa..semoga ibadah kita itu diterimaNya.

8 comments:

  1. sibuk ya cuti sekolah ni? tak ambil perksa PTK?
    apa pun moga Allah permudahkan dan beri kekuatan

    ReplyDelete
  2. Selamat berpuasa, the author

    ReplyDelete
  3. Terima kasih,kl citizen. Memang sibuk sakan, PTK belum ambil kerana baru terima lantikan 32-41. InsyaAllah nanti, target sekali ambil dapat 4-4, hahaha

    ReplyDelete
  4. Assalamu'alaikum Cikgu...
    Selamat berpuasa, semoga ibadah kita diterimaNya...

    ReplyDelete
  5. seronok dgr pengalaman saudara baru berpuasa.. ialah .. tak sama dgn muslimah yg lain kan.. seorrang mualaf di pejabat saya bagitau, dia boleh tahan lapar.. tapi tak tahan tak hisap rokok.. cabaran bagi dia.. selamat berpuasa.. alhamdulillah dapt lagi kita menyahut ramadhan tahun ini

    ReplyDelete
  6. Salam Zoora,
    Seorang ustaz pernah berkata, belum ada orang Islam mati kerana berpuasa tetapi ramai yang mati kerana terlebih makan, hehehe.
    Memang berbeza kerana saudara baru tidak pernah ada latihan berpuasa seperti Muslim yang dibesarkan dalam keluarga Islam. Hanya iman dan ihsan saja yang memberi kekuatan untuk terus berpuasa dari subih hingga senja.
    Selamat berpuasa.

    ReplyDelete
  7. Merokok itu haram...
    Tak kira puasa atau tidak...

    ReplyDelete