Saturday, August 15

BERSENDIRI

'Tak sunyikah tinggal seorang diri?"
"Dah biasa."
"Kalau suami outstation, Aliya buat apa di rumah? Anak belum ada lagi, kan."
"Oh, banyak yang saya buat. Berkemas rumah, membaca, surf internetlah.."
"Eee, kalau saya, tak seronoklah. Saya dah biasa dengan bunyi bising, kalau sehari tak cakap dengan orang lain, rasa peliklah. Tak takutkah tinggal seorang diri?"
"Takut pun tak boleh buat apa, berserahlah. Kalau berhati-hati, kunci rumah dengan baik, insyaAllah selamat.."
Saya tersenyum.
Saya tahu maksudnya. Kebanyakan wanita tidak suka tinggal bersendirian di rumah. Takut. Bosan. Sunyi. Tak ada teman bersembang. Tiada hiburan.
Tapi saya tak kisah. Semenjak kecil saya dilatih untuk menghargai suasana bersendirian. Maklumlah keluarga saya kecil; adik beradik tak ramai. Bila bersendirian, saya suka membaca. Saya suka membuat kerja tangan. Saya suka melukis dan mengarang.
Dan alhamdulillah itulah latihan yang Allah berikan kepada saya, kerana setelah memeluk Islam dan dipulaukan oleh ahli keluarga, saya terpaksa tinggal bersendirian di asrama universiti.
Perancangan Allah swt sungguh teliti.
Kalau saya tidak biasa bersendirian, sudah tentu saya telah merana ketika terpaksa menghabiskan cuti panjang 2 bulan seorang diri tanpa teman-teman rapat di kampus universiti.
Kalau saya tidak pandai menggunakan waktu yang terluang, sudah tentu saya mudah dihasut agar menyesal memeluk Islam, kerana terpaksa bersendirian berbulan-bulan lamanya.
Sebaliknya, saya menggunakan masa yang banyak itu untuk mendalami ilmu agama Islam; saya pergi ke perpustakaan, saya layari laman web Islam, saya membaca buku-buku agama Islam ketika bersendirian di dalam bilik.

Kebanyakan hari-hari besar saya lalui bersendirian.
Pada Hari Raya Haji saya yang pertama sebagai orang Islam, saya bersendirian di asrama universiti.
Pada Tahun Baru Cina saya yang pertama sebagai orang Islam, saya juga bersendirian di asrama.
Pada hari-hari tertentu, saya bersendirian di rumah kerana memahami tugas suami yang sibuk.
Saya juga bersendirian di rumah selama 45 hari ketika suami menunaikan haji di Makkah.
Saya bersyukur. Syukur atas segala kekuatan yang diberikanNya yang membolehkan saya tempuhi suasana tersebut dengan sabar dan tabah.
Saya akui, memang sunyi. Tetapi kesunyian itu satu nikmat juga, kerana ia melatih diri untuk berfikiran positif, melatih diri untuk sentiasa bersandar padaNya. Kesunyian yang mencengkam jiwa mereka yang tidak biasa tinggal seorang diri, merupakan satu nikmat bagi saya.
Kerana ia membuat saya lebih bersyukur apabila dapat bersama orang yang dikasihi, dan teman-teman.
Kerana kesunyian ketika bersendirian menjadi saya seorang yang lebih reflektif, dan memberi peluang saya merenung masa lalu saya dan segala tindakan yang lalu. Juga memberi peluang saya melihat ke hadapan dan merancang strategi. Apabila diri sentiasa dikelilingi manusia lain dan hiruk-pikuk duniawi, bila ada masa itu merenung diri?
Bersendirian di rumah memberi kesedaran bahawa diri ini akan bersendirian juga akhirnya, ketika dimasukkan ke liang lahat.
Nikmat manusia yang telah belajar hidup bersendiran amat besar, alhamdulillah.
Saya boleh switch-off dan menumpukan perhatian kepada kerja apabila keadaan bising di sekeliling mengganggu konsentrasi mereka yang lain.
Ketika orang lain sibuk bersembang di tepi, saya boleh meneruskan kerja tanpa sebarang masalah.
Saya tidak terlalu bergantung kepada manusia lain untuk keperluan harian, atau untuk berasa gembira dan puas hati.
Sebaliknya, saya belajar bersandar pada Allah swt untuk keperluan hidup, dan menyedari bahawa segala yang ada di dunia inilah cabang-cabang rezeki anugerahNya - harta, pekerjaan, keluarga, suami, dan kawan-kawan.
Kasihan mereka yang menganggap satu kekurangan atau sesuatu yang luar biasa apabila terpaksa bersendirian di rumah. Mereka belum memahami.
Mereka sebenarnya terlalu bersandar pada ahli keluarga sehingga merasakan diri tidak sempurna atau kurang sesuatu apabila dibiarkan bersendirian di rumah, dan mengadu sunyi. Ibu-ibu yang tinggal bersendirian apabila anak-anak telah dewasa dan berkeluarga sendiri. Isteri-isteri yang baru dinikahi dan terlalu bergantung kepada suami untuk menemani di rumah.
Pilihan di tangan kita untuk menggunakan masa dengan sebaik-baiknya. Kita boleh mengadu sunyi atau kita boleh menggunakan masa bersendirian itu dengan beribadah atau menambah ilmu. Tambahan lagi, wanita Islam digalakkan berada di rumah jikalau tiada urusan penting di luar rumah. Oleh itu, gunakanlah masa yang terluang itu dengan sebaik-baiknya.
Berapakah banyak masa yang anda luangkan untuk diri sendiri dan untuk Allah, jikalau dibandingkan masa yang diberikan untuk melayan kerja dan keluarga?

4 comments:

  1. Terima kasih pd Allah terutamanya
    dan terima kasih Kak Aliya

    Entry kali ni membuka mata saya bhw loneliness bukanlah satu perkara yang negatif sebab saya selalu bersendiri..bende tu menyebabkan saya rasa lonely..stress sgt..tp InsyaAllah,pasni saya akan jadikan waktu saya bersendiri tu sbg waktu yg bermanfaat mcm kak Aliya buat... :)

    ReplyDelete
  2. Raudhah, syukur alhamdulillah. Gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum

    Salam Ramadan

    Dari kecil, being the youngest, saya selalu berseorangan. Sampai satu ketika, ambil result srp berseorangan, begitu juga dengan result spm, masuk ITM pun parents tak hantar, ujian terbesar bila melanjutkan pelajaran ke UK, seorang juga.

    Walaupun bermasyarakat dan berkawan saya selalu end up alone. Im happy and thankful dengan segala apa yang dirancangNYA.

    Pengajaran: Dengan bersendirian lah masa saya dapat 'komunikasi' dgn ALLAH, dapat saya mengadu etc. Bila diambil roh dari jasad kita, roh kita pun keseorangan, bila dihisab juga, kita sendiri akan mengalaminya dan menerima takdir yang terakhir itu. So, being alone is never an issue for me, Alhamdulillah. :)

    Adakala saya rasa nak tegur saja teman2 yang selalu komplen mereka rasa lonely. huhu. Enjoy it! tak begitu Kak Aliya?

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam 5th_E,
    Benar tu. Tahniah kerana berjaya melihat dari persepsi ini.
    Kebanyakan orang takut dengan kesunyian kerana selalu dikelilingi kawan dan keluarga. Sikap terlalu bergantung kepada orang lain untuk menemani hanya akan menyebabkan diri kurang yakin untuk hidup berdikari.

    ReplyDelete