"Ishh, teruk betul. Dah buat mengaku sajalah. Kesian bini dia."
"Hilang respek kat dia tu."
"Dah tak ada orang lain dah ker?"
Macam-macam komen kedengaran. Saya baca, saya dengar. Alhamdulillah kebanyakannya sebelum Ramadhan maka tak sakitlah telinga dan mata dengan komen-komen tersebut.
Ragam manusia, suka membuat andaian berdasarkan apa yang didengari dan dibaca terutamanya apabila melibatkan kehidupan dan amalan orang lain. Lebih-lebih lagi berita yang hanya diceritakan oleh satu pihak sahaja, yang dieksplotasikan oleh pihak lain yang mencedok di air keroh. Jarang sekali ada komen yang positif atau membina yang disumbangkan oleh mereka yang bertindak balas terhadap berita begitu.
Tabiat manusia, suka melihat sesuatu kejadian berdasarkan kacamata sendiri. Kacamata yang terhasil daripada pengetahuan sedia ada, pengalaman hidup, berita yang diterima dan emosi sendiri. Kacamata yang digunakan bukan semestinya tepat fokusnya. Ada kala ia kabur, retak atau kotor. Namun itu juga yang dipakai untuk melihat sesuatu senario. Untuk menilai satu tindakan manusia. Dan kita dengan mudahnya marah dan menuding jari apabila melihat sesuatu yang janggal pada penglihatan kita.
Keadilan yang dilihat daripada kacamata kita tidak semestinya yang sama seperti yang dilihat daripada kacamata orang lain.
Kemewahan bagi kita tidak semestinya yang sama seperti yang dilihat oleh orang lain.
Kebahagiaan bagi kita juga tidak selalunya seperti yang diidamkan oleh orang lain.
Power kacamata setiap orang berlainan, bentuk kacamata itu berlainan, bahan untuk menghasilkan kacamata itu juga berlainan.
Kita cenderung melihat apa yang kita mahu lihat sahaja.
Kalau yang hendak dicari itu habuk, maka habuklah yang akan dilihat walaupun sezarah habuk kecil di atas sehelai baju putih.
Kalau yang hendak dilihatnya adalah butang baju, maka itu yang akan dilihatnya dahulu, dan dinilainya butang itu berdasarkan pengetahuan sedia ada tentang butang baju.
Mana mungkin akan menghasilkan gambaran yang sama bagi semua orang yang berkacamata apabila benda yang hendak dilihatnya tidak sama?
Buruk padahnya apabila kita menggunakan hanya kacamata kita sendiri untuk menilai sesuatu. Kemudian menyatakan sesuatu secara penilaian hanya berdasarkan kacamata kita sehingga melukakan hati orang lain.
Buruk padahnya apabila kita menggunakan kacamata kita saja untuk melihat sesuatu perkara. Kemudian memberi komen negatif dan menyebarkan cerita tersebut hanya berdasarkan perkara yang dilihat dan didengari. Tanpa menemubual pihak yang terbabit secara langsung hanya membuktikan diri kita sendiri yang bersikap berat sebelah dan tidak adil.
"Ahh, tapi memang dah sah dia yang bersalah!" [dia dah disabitkan kesalahan di mahkamahkah?]
"Kalau tak ada angin, takkan pokok bergoyang?" [hanya pokok tumbang yang tidak bergoyang lagi la]
"Tak solat? Hoi, kamu tak tahukah tak sah puasa kalau kamu tak solat? Dah besar panjang tapi masih tak mahu solat?"
Aduh, sampai begitu sekali. Terngangalah mereka yang dengan jujur mengaku tidak mengerjakan solat 5 waktu sehari.
"Tak sah puasakah kalau tak solat? Camtu baik tak puasa langsung la, buat penat saja!" mungkin itu reaksi mereka yang baru berniat berusaha untuk mengerjakan solat pada bulan Ramadhan.
Alangkah ruginya. Bila kita bersikap kasar dan menilai hanya dari satu aspek, tindakan yang terhasil mungkin bukan yang terbaik. Umpama membuang daun kering pada pokok tetapi lupa untuk menyiramnya.
Mengapa tidak cuba melihat sesuatu daripada kacamata mereka pula?
"Eh, puasa. Tak baik cakap begitu, nanti hanya tinggal lapar dan dahaga."
Alhamdulillah, ada pihak yang lebih mengawal lidah ketika bulan Ramadhan. Dengan alasan berpuasa. Alangkah baiknya jikalau amalan mengawal lidah itu diteruskan selepas Ramadhan, sehingga ke akhir hayat. Semacam bersikap hipokrit pula apabila berusaha mengawal tingkahlaku dan percakapan ketika bulan Ramadhan tetapi sebaik sahaja Syawal, bermulanya pok-pek-pok-pek semula tentang itu dan ini.
Kononnya kacamata itu dijaga supaya sentiasa bersih dan berfokus pada yang positif pada Ramadhan sahaja.
Sebaik-baik kacamata yang digunakan untuk melihat sesuatu perkara adalah yang berasaskan al-Quran dan hadith. Untuk mendapatkan fokus yang tepat, cermin yang bersih dan bingkai yang kuat, kita perlulah sentiasa memastikan ilmu yang ada mencukupi dan pemikiran kita sendiri sentiasa bersih dan bersandar pada ajaran agama.
Bukan pada sentimen umum masyarakat.
Bukan pada pergolakan emosi sendiri.
Bukan pada ego yang meluap-luap.
Bukan pada kecenderungan untuk menghukum dan bukan membimbing.
Sebaliknya kita perlu ikut suruhan Allah swt sebagaimana yang terkandung dalam kitab al-Quran, dan pada contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw yang terkandung dalam hadith.
Sekiranya kita hanya mengutip pahala pada bulan Ramadhan tetapi menabur dosa pada bulan-bulan lain, alangkah sedihnya!
No comments:
Post a Comment