Tuesday, May 13

RINGGG KLIK KLIKK

"Awas pelajar kelas tu, mereka sangat nakal," Cikgu itu memberi saya amaran ketika saya bersedia untuk pergi ke Kelas Tingkatan Dua 'Terbelakang' menggantikan seorang guru yang bercuti sakit.
Itu waktu pertama persekolahan sesi petang. Saya berjalan masuk ke dalam bilik darjah yang baru ditinggalkan pelajar Tingkatan Empat dari sesi pagi. Seperti biasa keadaan di dalam bilik kotor dan berhabuk. Kertas-kertas dan sampah sarap bersepah di atas lantai.
Saya berdiri menunggu mereka masuk ke dalam bilik.

Mereka melangkah masuk seorang demi seorang.
Mereka tidak menghiraukan saya dan saya pun tidak bersuara. Saya ingin melihat apa tindakan mereka selanjutnya. Memang itulah kali pertama saya berada di bilik bersama pelajar-pelajar dari kelas itu.
Mereka mempunyai rutin khas iaitu membersihkan bilik darjah. Secara spontan, mereka mula mengangkat kerusi ke atas meja.
Salah seorang pelajar lelaki menyapu sampah di dalam bilik sementara rakan-rakan sekelasnya berdiri di tepi meja masing-masing.
Laju dia menyapu. Rajin dan bersungguh-sungguh.

Saya berdiri memerhatikan mereka tanpa berkata apa-apa. Biarlah mereka bertenang dahulu, duduk dengan selesa dahulu sebelum saya mula mengajar.
Namun saya tidak sedap hati melihat pelajar-pelajar lelaki di barisan belakang mula berkumpul bersama-sama membentuk beberapa kumpulan kecil.
Dari meja guru di hadapan, saya memerhati keadaan mereka.

Pelajar-pelajar lelaki di belakang mula tolak-menolak di antara satu dengan yang lain. Suara mereka semakin keras kedengaran.
Saya bersuara menyuruh mereka berdiri di meja lain yang masih kosong di hadapan bilik darjah tetapi arahan saya tidak dihiraukan. Saya berjalan ke belakang dan berjaya meleraikan mereka. Namun begitu, apabila saya kembali ke meja guru, mereka berkumpul semula di belakang. Nampaknya mereka sudah mula hendak mencetuskan pergaduhan.

Saya melakukan sesuatu yang tidak pernah saya lakukan selama ini.
Saya mencapai beg tangan.
Telefon bimbit yang diprogramkan di dalam keadaan 'senyap' segera dikeluarkan.
Saya menekan butang telefon. Kamera telefon berfungsi. Dengan segera saya menghalakan telefon ke arah para pelajar yang sedang berkumpul di belakang.
Saya hanya perlu menekan butang kamera telefon sekali sahaja. Pelajar terkejut. Rakan-rakan di hadapan segera memberi isyarat untuk menyedarkan mereka bahawa tindakan mereka sedang dirakam.
Mereka segera bersurai dan kembali ke meja masing-masing.

"Saya tahu kamu sudah penat berdiri. Tolong turunkan kerusi dan duduk di tempat kamu."
Mereka menurut arahan.
Alhamdulillah, saya tidak menghadapi sebarang masalah lagi sepanjang tempoh 40 minit bersama-sama pelajar-pelajar berkenaan.
Mereka memberikan kerjasama. Mereka dapat memberikan pendapat yang baik. Beberapa orang merupakan ahli sukan yang mewakili sekolah. Mereka mungkin lemah dalam bidang akademik tetapi mereka masih boleh diajar dan dibimbing menjadi insan yang berguna kepada agama, masyarakat dan negara. Guru hanya perlu banyak bersabar dengan karenah mereka.

Saya bersyukur kerana berjaya menghalang kemungkinan berlakunya pergaduhan di antara mereka pada hari itu. Pada hari itu, tiada pelajar kelas yang didenda kerana bergaduh. Nampaknya sebuah telefon bimbit yang mempunyai fungsi kamera digital amat berguna kepada seorang guru di sekolah.

4 comments:

  1. Puan Aliya,
    Ini adalah sebahagian dari pertolongan Allah yang tidak disangka-sangka. Siapa sangka kelas yang begitu boleh dijinakkan dengan hanya 'ring klik klik' sahaja.

    ReplyDelete
  2. Assalammualaikum
    Sis Aliya,
    Selamat Hari Guru! Semoga Allah memberi kita kesabaran dan kekuatan mendidik anak-anak Malaysia.

    ReplyDelete
  3. Aliya, Happy Teachers Day!!

    ReplyDelete
  4. Happy Teachers' Day and Selamat Hari Guru to all teachers in Malaysia!
    Anyone who teaches even a single word to another, is a teacher..
    Those who can't, critic;
    Those who can, and dare - teach :D

    ReplyDelete