Sunday, May 25

CUTI LAGI?

"Cuti?"
"Ya, cuti."
"Macam berpakat pula kita semua," kata kawan saya sambil tersenyum simpul.
Kami tergelak.
Istilah ' naik bendera Jepun', 'red flag', 'cuti solat' atau 'having the P' sering digunakan untuk menggantikan perkataan haid atau menses yang kurang sedap didengari.
Memang salah satu perbezaan di antara Muslimin dan Muslimah adalah keadaan 'bercuti seminggu' daripada mengerjakan solat.

Sebelum memeluk Islam, saya kurang prihatin tentang perkara ini.
Yalah, agama Buddha dan Tao yang dianuti keluarga saya turun-temurun tidak mempunyai peraturan tertentu tentang tatacara wanita yang sedang dalam haid. Begitu juga dengan agama Kristian yang pernah saya anuti secara curi-curi. Wanita yang dalam tempoh 'cuti' masih boleh mengerjakan sembahyang. Mereka masih boleh keluar masuk tokong dan gereja sesuka hati. Walaupun ada di antara kawan-kawan saya yang beragama Buddha mengelakkan diri daripada pergi ke tokong ketika dalam tempoh 'bercuti', bilangan mereka amatlah kecil sekali. Apabila bersih daripada haid, tiada pula ritual mandian tertentu yang perlu dilakukan. Selama 35 tahun, sya hanya mandi biasa selepas bersih daripada haid, sebelum saya memeluk Islam.

"Aduh, tensennya. Bila nak dapat solat semula?"
Saya masih teringat bulan-bulan awal saya 'bercuti' selepas memeluk Islam. Pada permulaannya saya berasa lega kerana tidak perlu bangun awal untuk mengerjakan solat subuh. Namun selepas beberapa hari, rasa rindu untuk sujud padaNya di sejadah semakin mencengkam jiwa.
"Sabarlah. Ini pun ketentuanNya, terima dan patuh akan suruhanNya," begitulah nasihat yang diberikan kepada saya.
Saya agak rimas. Bukan sahaja saya tidak dapat mengerjakan solat, saya tidak berlatih membaca surah-surah ringkas kerana kata ustazah, wanita yang 'bercuti' mesti mengikuti beberapa peraturan seperti tidak boleh masuk ke masjid, tidak boleh solat, tidak boleh berpuasa, dan tidak boleh membaca al-Quran.
Alhamdulillah, saya tidak mengalami masalah PMS, senggugut atau kemurungan seperti sesetengah wanita. Hanya perlukan bajet yang agak banyak untuk membeli stok tuala wanita :P.

"Haiyah... camne ni?"
Saya pula kelam-kabut apabila perlu mandi hadas besar buat pertama kalinya dalam hidup saya. Saya mengucapkan khalimah syahadah ketika dalam keadaan 'bercuti' maka ustazah telah menyuruh saya agar membersihkan diri dengan mandi 'wajib' selepas itu. Secara teorinya saya tahu tetapi saya tetap was-was ketika perlu melakukannya sendirian di bilik air. Berkali-kali saya meneliti gambar-gambar dan arahan yang diberikan dalam buku tentang cara mandi hadas besar sebelum saya melangkah ke bilik air. Maklum sahajalah, saya tinggal di asrama pelajar. Sudahlah kami terpaksa menunggu giliran, siapa pula yang senang untuk memberi arahan langkah demi langkah cara untuk mandi dengan betul kepada saya dalam bilik air? Huhuhuu... sama ada saya melakukannya dengan betul ataupun tidak ketika itu, hanya Allah Yang Maha Mengetahui dan Allah juga Yang Maha Pengampun.

Saya memandang sejadah dan telekung yang tergantung di ampaian. Rindu tetapi masih belum masanya untuk menggunakannya lagi. Hanya dendangan bacaan al-Quran daripada mp3 yang mengisi ruang rumah saya pada minggu ini. Saya suka mendengarnya kerana membantu menenangkan jiwa. Saya masih sabar menanti saat tempoh 'cuti' saya tamat untuk bulan ini. Juga masih sabar menanti saat saya boleh mengerjakan solat terus-menerus selama 9 bulan sebelum 'bercuti panjang', sesuatu yang tidak belum pernah saya alami :)

8 comments:

  1. subhanallah!
    pandangan akak terhadap hal berikut sungguh berlainan...
    alangkah indahnya jika semua fikiran muslimah begitu...
    sepanjang kehidupan saya yang jauh lebih kurang tempohnya dari akak, inilah kali pertama saya mendengar pandangan sebegitu...
    terbitan akak kali ini membuka minda saya.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum
    Allah telah memberikan rahmat-NYA bukian sahaja kepada cikgu bahkan kepada orang Islam lain.
    Dengan Pandangan cikgu, boleh mengubah cara berdakwah yang mungkin kurang berkesan sebelum ini...
    Moga terus istiqamah :)

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum k.aliya..
    i was a silent reader. selalu baca sini tapi belum pernah comment..

    sy tertarik dengan semangat dakwah akak. sebetulnya, bukan usia dalam islam itu yg diambil kira dalam dakwah tapi pemahaman itu kuncinya. mabruk!!

    semoga terus hebat mendidik ye cikgu..;)
    betul, cara k.aliya describe 'rindunya' solat sewaktu cuti tu sgt mengagumkan. saya sendiri rase malu (T_T).. hu3..

    wassalam..

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam,
    Segala pujian bagi Allah swt... yang berkuasa atas segalanya. Akak menulis untuk berkongsi, dan sememangnya akak suka menulis walaupun memakan masa:)
    Alhamdulillah sekiranya penulisan ini menjadi satu bentuk dakwah Islamiah kpd org lain, juga yang mampu dibuat setakat ini.
    Sebenarnya idea banyak tetapi sebelum setiap post, akak akan mengambil masa untuk 'mengeram' idea itu dahulu, jika idea itu tetap hidup, barulah akak akan teruskan.

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum
    kak aliya..
    ni silent reader jugak.. =)
    selalu datang jenguk blog akak
    seronok baca pengalaman akak, sebelum, dan selepas masuk Islam
    semoga Allah tetapkan hati dan iman kita dalam rahmat iman dan Islam.. ameeen
    teruskan menulis~

    ReplyDelete
  6. Seronoknya saya membaca pengalaman Kak Aliya yang satu ini..

    Jujurnya bagi saya, waktu ber'cuti' ini adalah waktu yang menyebabkan saya rindu untuk bersolat. Menyebabkan saya tak mampu nak solat malam dsbgnya. Tp tak apalah, semua ada hikmahnya.

    9 bulan tanpa cuti adalah waktu yg seronok. Walaupun kadang2 tak larat, solat duduk saja pun tak apa. (Saya pernah solat semasa alami contraction. Adoii..). Bila dalam nifas pula, alahai.. rasa tak best & lemah sangat. Saya doakan Kak Aliya dapat alami juga nanti!

    ReplyDelete
  7. aslm wbt

    ramai menyatakan bhw apabila cuti peluang utk beribadah sudah terhakis

    1) meninggalkan solat ketika 'cuti' adalah satu ibadah.

    Ini kerana ia adalah satu bentuk ketaatan kita kpd Allah, sebgmana meninggalkan perbuatan zina walaupun hati bergelodak mahu melakukannya akan memberinatijah pahala, begitu juga meninggalkan solat ketika 'cuti' walau hati merinduinya.

    2) banyak lagi ibadah yang boleh dilakukan.

    okey , cth wkt subuh kita tak solat subuh. boleh gunakan wkt itu utk berzikir, berdoa, membaca buku2 agama, hadith, tafsir etc.

    dan byk lagi.

    jd tiada alasan 'cuti' itu menghalang ibadah.

    ReplyDelete
  8. Waalaikumussalam,
    Sarah,
    Ya, akak sedar ramai silent reader di blog ini, alhamdulillah yang akhirnya memberi juga komen. Kamsia (terimakasih) atas doa.. ameen.

    Humyrah,
    Memang pelik bukan, waktu 'sihat' kadang-kadang lewat solat kerana sibuk menguruskan banyak hal lain tetapi bila dah time 'cuti' alahai.. rindu bukan main lagi, hehehee.
    Cuti 9 bulan? Ameen, itu kalau diizinkanNya :)

    Masri,
    Ya benar kata awak tu. Memang ketika 'bercuti' pun boleh beribadah kepadaNya tetapi selagi tak dapat mengerjakan solat, tak puaslah... macam kehilangan sesuatu :)

    ReplyDelete