Sunday, May 18

GURU BUKAN LILIN

"Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi hidup orang lain."
Mahukah anda menjadi lilin?
Sanggupkah membakar diri sendiri untuk orang lain?
Banyak manakah pengorbanan yang perlu dilakukan seorang guru demi anak muridnya?

"Saya tak tahan mengajar di situ. Sekolah kecil di Perak itu amat memerlukan cikgu Bahasa Cina sedangkan saya sendiri tidak tahu berbahasa Cina. Rumah saya pula jauh dari sekolah dan saya tiada kenderaan sendiri. Saya mohon bertukar ke sekolah lain yang berdekatan dengan rumah tetapi permohonan saya tidak dilayan oleh pegawai itu dengan alasan tiada cikgu Bahasa Cina yang mahu ke sekolah itu. Takkan selama dua tahun PPD masih tidak berjaya menukarkan cikgu yang layak untuk menggantikan saya di sekolah itu? Nonsense! Saya tidak peduli, saya beritahu guru besar meminta dia sendiri yang mengajar pelajar semua subjek dalam Bahasa Cina yang sepatutnya saya ajar kerana saya memang tidak tahu membaca tulisan dalam Bahasa Cina. Bila permohonan saya buat kali ketiga tidak dilayan, saya hampir berputus asa. Saya hampir-hampir hendak meletakkan jawatan."

"Apa yang cikgu buat selanjutnya?"

"Awak tahukan bila orang dah tertekan dia akan buat apa sahaja? Saya pernah terfikir hendak membakar bangunan sekolah itu. "

"Mana sikap adil yang sepatutnya ada pada seorang pegawai PPD yang beragama Islam? Saya tahu dia pilih kasih kerana terlalu ramai kroninya yang dengan begitu mudah mendapat kenaikan pangkat menjadi guru besar walaupun tidak layak dan ditempatkan mengajar di sekolah-sekolah pilihan. Saya hanya berdoa agar dia mendapat balasan atas penganiayaannya terhadap guru-guru lemah seperti saya yang dibiarkan mengajar bertahun-tahun di sekolah luar bandar yang kurang memerlukan khidmat kami, dan permohonan pertukaran kami seolah-olah dibuang ke dalam bakul sampah sahaja. "

Saya diam, sekadar mengangguk.

"Saya ada seorang pelajar lelaki yang malas. Dia anak manja. Setiap hari kena denda dengan saya kerana tidak menyiapkan kerja sekolah. Pada hari itu dia buat hal lagi. Saya sudah lama bersabar dengannya. Saya geram, saya cubit tangannya."

" Pernahkah cikgu mencubit pelajar itu sebelum ini?

"Tidak, saya memang tidak suka mendenda pelajar dengan cara fizikal tetapi entah mengapa , pada hari itu saya memang stres. Bayangkanlah jika awak di tempat saya. Keluar rumah jam 6.30 pagi, tunggu bas awam di stesen bas sehingga 7.20 pagi, tiba di sekolah pukul 7.50 pagi. Mengajar pelajar yang tidak mahu belajar, dan mengajar di sekolah yang tidak memerlukan perkhidmatan awak. Kemudian tunggu bas lagi pada pukul 2 petang di tengah-tengah jalan yang panas dan berdebu tanpa tempat berteduh... sampai di rumah sudah pukul 3 petang. Semua semata-mata kerana pegawai PPD tidak mahu melayan permohonan pertukaran saya selama dua tahun dengan alasan tiada cikgu Bahasa Cina yang layak menggantikan tempat saya. Saya marah kerana PPD boleh tempatkan cikgu baru yang baru keluar mengajar di sekolah-sekolah bandar, mengapakah tidak boleh tempatkan seorang cikgu baru menggantikan saya di sekolah itu? "

"Apa yang berlaku kepada pelajar itu, cikgu?"

"Pada malam itu, guru besar menelefon saya. Dia memberitahu saya bahawa makcik pelajar itu yang mengasuhnya membuat aduan bahawa saya cubit pelajar itu sehingga lebam tangannya. Keesokannya, saya dipanggil ke pejabat. Memang saya mengaku saya cubit pelajar itu tetapi setahu saya tidaklah sehingga lebam begitu. Kalau teruk, sudah tentu saya ataupun cikgu dan pelajar lain akan perasan keadaan tangannya sebelum tamat waktu persekolahan. Lagipun saya mengajar dia pada waktu pertama sebelum rehat, sekiranya lebam sudah tentu kesannya akan jelas kelihatan menjelang tengah hari. Memang saya dengan makciknya tidak sehaluan, jadi saya tidak tahu apa yang berlaku selepas dia pulang ke rumah."

" Saya tidak mengaku saya yang mencederakan pelajar itu sehingga begitu tetapi saya dipaksa juga untuk mengaku di khalayak ramai, di hadapan orang-orang kampung. Guru besar hendak menutup kes ini supaya tidak diperbesarkan. Sejak peristiwa itu saya tidak menghiraukan pelajar itu, biarkan dia buat apa yang dia suka sahaja. Lagipun ibunya sendiri berkata dia tidak kisah anaknya bodoh dan tidak pandai belajar, jadi buat apa saya perlu susah payah nak didiknya? Terus terang saya tidak halalkan segala ilmu yang saya berikan kepadanya. Saya sakit hati dengan guru besar. Sejak peristiwa itu, kalau saya sakit demam sedikit pun, saya terus tidak hadir ke sekolah, biar guru lain atau guru besr sendiri yang menggantikan saya mengajar. Berbulan-bulan lamanya saya hanya menumpukan perhatian kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPSR. Pelajar-pelajar lain saya suruh buat latihan bertulis sahaja. Saya akan mengajar mereka yang berminat untuk belajar. Mereka yang tidak mahu belajar saya hantar kepada guru besar, biar dia yang pening melayan karenah mereka. "

Cikgu itu tersenyum.

"Sekolah tidak boleh menghukum saya kerana saya tetap menjalankan tugas utama saya di sekolah iaitu mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Saya lakukan begitu setiap hari. Kalau bas lewat, saya sampai ke sekolah pada pukul 8.30 pagi. Saya eri alasan saya tiada kenderaan sendiri dan terpaksa bergantung kepada pengangkutan awam yang tidak tepat masanya. Tepat jam 1.00 petang, saya melangkah pulang. Permohonan pertukaran ke sekolah lain saya tetap hantar ke PPD dan JPN. Agaknya guru besar sendiri yang stres melihat perubahan saya daripada seorang guru yang rajin kepada jenis yang tidak kisah, maka tahun berikutnya saya ditukarkan ke sekolah yang dekat dengan rumah saya. Lagipun kes saya iaitu guru yang disalahtempatkan di sekolah yang tidak memerlukan perkhidmatan saya sudah sampai kepada pengetahuan pegawai atasan di pihak Kementerian Pelajaran, maka pegawai PPD yang korup itu terpaksa menurut perintah ketuanya. "

"Ketika saya mengajar di sekolah itu, prestasi pelajar dalam UPSR amat memberangsangkan tetapi selepas saya berpindah, saya diberitahu bahawa prestasi pelajar semakin merosot. Mungkin ini satu kebetulan atau mungkin ini balasan kepada guru besar dan penduduk di situ."

Dan cikgu yang bermuka manis itu mengakhiri kisahnya.

No comments:

Post a Comment