Sunday, May 11

TIDAK SALAH MERAIKAN IBU

Saya terima satu emel dari seorang kawan. Bunyinya begini:

Kepada semua baca kisah asal usul pengertian "HARI IBU" yang sebenar. Kalau kita sambut hari ibu bermakna kita juga merayakan hari "IBU PADA TUHAN" yang menjadi amalan orang GREECE terdahulu. Ini semua sumber dari kristian dan sudah tentu memesongkan akidah kita. Kalau dulu saya juga terikut ikut merayakan hari ibu tapi sekarang bila dah tahu tak akan saya buat begitu lagi dan juga pada anak anak akan saya beritahu. Jadi kewajipan saya adalah untuk beritahu semua agar JANGAN SAMBUT HARI IBU, kalau kita kasih sayang dan ingat jasa ibu sebaiknya sentiasa mendoakannya tak perlu cuma pada hari hari tertentu saja, setiap hari mendoakannya adalah sebaiknya dan dituntut.
Harap di sebarkan kepada kawan-kawan atau saudara mara tentang sejarah HARI IBU ini.


Golongan yang menyebarkan emel ini mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka. Namun begitu, kami yang menerima mel juga mempunyai hak untuk memilih sama ada hendak menurut ataupun tidak.
Kebiasaanya masyarakat kita jika forward-mengforward berita ini tidak mengharapkan balasan yang berbentuk kritikan. Sesiapa yang menerima emel yang dihantar harus akur dan diharap bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan. Sekiranya tidak bersetuju pun tidak diminta menjawab dan mengemukakan pendapat yang bercanggah dengan pendirian mereka,

Inilah masyarakat kita hari ini.
Belum bersedia untuk berbincang dan bertukar pendapat dalam hal-hal sedemikian.
Pernahkah anda menerima emel yang cuba mengharamkan penggunaan perkataan 'bye' dalam Bahasa Inggeris?
Pernahkah anda menerima emel atau sms meminta agar kita memboikot perniagaan tertentu dengan alasan ia menyokong orang Yahudi?
Sekiranya kita kurang bersetuju dan memberikan hujah kita, adakah mereka akan berterima kasih? Mungkin kita pula yang akan dituduh sebagai orang yng itu dan ini, dan dimarahi dengan kata-kata kesat yang begitu mudah dikeluarkan daripada mulut orang Melayu hari ini.
Inilah masyarakat kita hari ini yang mengaku memperjuangkan Islam tetapi masih kurang menghormati hak individu untuk bersuara dan mengemukakan pendapat yang berbeza, selagi tidak menyimpang dari ajaran Islam.

Ingin saya soal mereka-mereka yang pernah mengirimkan emel tersebut: Adakah Hari Ibu juga perayaan agama sama seperti perayaan Hari Krismas, Hari Easter atau Hari Good Friday yang disambut oleh orang Kristian?
Saya percaya masyarakat kita yang menyambut Hari Ibu tidak pernah sekali mengaitkan keraian ini dengan agama Kristian.
Kita menyambut Hari Ibu kerana ingin menunjukkan penghargaan kita kepada orang yang begitu banyak berjasa kepada kita.
Adakah jikalau kita menyambut dengan cara membawa ibu keluar bersiar-siar atau makan hidangan khas di restoran maka kita sudah terpesong akidah?
Semua yang dilahirkan ke dunia ini mempunyai ibu masing-masing.
Bagi saya, terpulanglah kepada si anak bagaimana dia hendak menunjukkan penghargaannya kepada si ibu yang telah melahirkannya, menjaganya, melindunginya, mendidiknya, dan menyayanginya lebih daripada nyawanya sendiri.
Anak-anak yang soleh akan sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka.
Anak-anak yang soleh akan sentiasa memuliakan si ibu, dan berusaha menggembirakannya pada setiap masa.
Namun demikian, sekiranya si anak hendak memilih satu hari khas dalam setahun untuk menunjukkan penghargaannya kepada ibunya, mengapa perlu dihalang, ditegah dan diharamkan?

Mungkin hari Ahad inilah selain daripada Hari Raya semua anak yang bekerja dan belajar di tempat lain dapat berkumpul bersama-sama ibu mereka. Mungkin hari Ahad ini jugalah si ibu yang bekerja di luar rumah dapat berehat bersama keluarga kerana tiada majikan yang prihatin akan memaksa staf wanita mereka bekerja pada Hari Ibu sedunia.
Mungkin pada hari Ahad inilah tawaran istimewa dan menu istimewa disediakan di restoran-restoran dan kedai-kedai.
Banyak kemungkinannya.
Yang pasti, si ibu akan tersenyum bahagia dilayan mesra oleh anak-anak.

Sambutan Hari Ibu tidak semestinya pada hari Ahad kedua pada bulan Mei.
Terpulang kepada anak-anak untuk menentukan tarikh istimewa bagi keluarga mereka. Terpulanglah kepada mereka bagaimana perlu menunjukkan penghargaan mereka terhadap ibu mereka. Jika tidak mahu menghadiahkan kek kerana si ibu sedang menguruskan badan, bolehlah dibuat masakan lain. Jika tidak mahu membazirkan wang membeli hadiah untuk ibu, boleh sedekah wang kepada badan kebajikan atas nama si ibu. Bukankah masyarakat kita masyarakat yang amat kreatif?

Sebenarnya banyak perkara dan sambutan dalam masyarakat kita yang berasal daripada budaya lain. Kalau Hari Ibu dikaitkan dengan agama kristian, bagaimana pula dengan Hari Bapa, Hari Guru, Hari Kebangsaan, Hari Ulangtahun Kelahiran atau Birthday, Hari Ulangtahun Perkahwinan, Hari Pekerja dan Hari Wanita?
Bukankah semua itu orang barat yakni orang kristian yang terlebih dahulu menyambutnya?
Sekiranya kita menyambut Hari Kebangsaan dengan mengibarkan bendera sana sini, mengapa kita perlu mengharamkan sambutan Hari Ibu?
Sekiranya kita meraikan hari lahir kita atau hari ulangtahun perkahwinan kita, mengapa kita tidak boleh meraikan ibu kita?
Hari Ibu tidak boleh disamakan dengan Hari Kekasih ataupun Hari April Fool yang terang-terang menggalakkan maksiat dan cubaan mengaibkan orang lain.

Saya tetap akan menyambut Hari Ibu bersama ibu saya, walaupun kami tidak lagi seagama dan menyembah tuhan yang sama.
Niat saya adalah untuk menggembirakan ibu dan mendekatinya. Lagipun berbuat baik kepada ibu bapa dituntut oleh Islam.
Mungkin ada yang akan berkata bahawa "niat tidak menghalalkan cara".
Terpulanglah.
Anda mempunyai hak untuk bersuara dan membuat keputusan sendiri.
Begitu juga saya.
Wallahu'alam.

Pandangan Dr. Abdul Fattah ‘Asyur :“Perayaan hari Ibu tidak boleh dikatakan salah satu hari raya bagi umat Islam. Namun demikian, ia tetap dikira sebagai satu peluang untuk perlu diambil untuk menzahirkan kemuliaan kepada ibu, di dalam masa yang sama tidaklah menafikan kewajipan anak ini pada hari-hari yang lain. Dan sekiranya dipilih satu hari untuk anak-anak masing-masing memuliakan ibu mereka dengan cara tersendiri, maka itu tidaklah dicegah oleh hukum syarak. Bahkan kita mengadakan sambutan ini sebagai memenuhi perintah Allah s.w.t.”

image: http://islamicink.files.wordpress.com/2007/04/sisters1.jpg

3 comments:

  1. Saya masih percaya bahawa Hari Ibu adalah sesuatu yang perlu diraikan. Kerana Ibu sangat istimewa.. Perlu ada hari untuk insan seperti itu. Berlainan dengan hari kekasih. Bagi saya, meraikannya hanyalah sia-sia. Sesetengah org suka exaggerate.

    ReplyDelete
  2. kak aliya, nani suke sgt-sgt entry kak aliya yg ni! boleh nani link-kan dr blog nani nnt? please, please, please??

    ReplyDelete
  3. boleh aje, nani... semoga sihat dan ceria selalu.

    ReplyDelete