Wednesday, April 30

MASAK MASAK

"Kena tumbukkah, makcik? Bukan kerisik tu goreng saja?" Makcik Nah ketawa.
"Nak masak lauk ni kena tumbuk kerisik tu sampai keluar minyak."
"Ooh begitu.."
Saya angguk. Tugas pembantu dapur jatuh ke tangan saya semenjak saya menumpang di rumah Makcik Nah yang tidak pernah berkahwin itu. Bosan dengan bilik asrama, saya diketemukan dengan Makcik Nak yang baik hati. Itu juga kali pertama saya buat kerisik. Maklum sahaja masakan Cina tidak mengandungi kerisik; saya memang tidak pernah belajar memasaknya. Di situ juga bermulaya episod saya belajar memasak masakan Melayu.

"Ikan ini nak buat apa?"
"Bagaimana masak?"
Pening apabila ke pasar pagi. Kalau dahulu saya ke gerai orang Cina kini selepas memeluk Islam saya berkunjung pula ke gerai orang Melayu. Masalahnya saya tidak pandai menamakan ikan-ikan dalam bahasa Melayu. Saya lebih banyak menggunakan bahasa 'tunjuk ini itu' dengan penjual ikan. Tambahan pula dalam keluarga saya ikan jarang menjadi hidangan utama berbanding dengan ayam atau daging. Yang saya kenal hanya ikan bawal dan ikan kembung. Keluarga saya pula pantang makan daging lembu, jadi saya memang tidak tahu tentang cara memasak orang Melayu. Selama ini saya hanya tahu menjamu selera, tidak pandai pula menjadi chef.

Saya bukannya hendak masak masakan Melayu setiap hari, tetapi bosan juga asyik masak masakan Cina yang serupa. Oleh kerana kebanyakan masakan Cina yang saya tahu melibatkan daging khinzir, saya terpaksa mencari alternatif lain untuk memasak ikan dan ayam. Sekali-sekala hendak menukar selera. Sekali-sekala hendak mencuba masakan baru.

"Orang Melayu Penang bukan pandai memasakkah?" usik pekedai itu.
"Memang saya dari Penang tetapi saya bukan orang Melayu."
"Adik ni orang apa pula?"
" Saya orang Cina."
" Alhamdulillah... dah lama memeluk Islam?"
"Baru saja. Erm, jadi bagaimana nak masak ikan kering ini?"
Saya pelajar yang baik. Formulanya mudah sahaja. Kalau hendak tahu resipi memasak daripada orang Melayu, mengaku sahaja diri bukan orang Melayu, hehehee. Selalunya saya akan mendapat petua memasak secara percuma.

"Apa ini?"
"Makan dulu," saya duduk sambil melihatnya makan.
Sup rumpai laut yang dimasak itu asing bagi suami tetapi itulah yang saya sering makan. Teh wolfberry yang dibuat itu sering diminum oleh orang Cina tetapi juga asing kepada orang Melayu. Dessert daripada gingko nut satu hidangan khas orang Cina juga baru kepada suami yang dibesarkan dalam keluarga Melayu.

Memasak masakan Cina yang halal bukannya susah tetapi kena kreatif. Daging diganti dengan ayam. Kicap dan ramuan yang biasanya digunakan terpaksa digantikan dengan kicap dan ramuan yang disahkan halal. Rasanya berbeza lalu terpaksa pula mengagak sukatan kicap dan garam supaya mendapatkan perasa yang diingini.
Di samping itu, ramuan kering seperti jintan putih, jintan manis, halba, kunyit dan sebagainya pula agak asing bagi saya yang lebih kerap memasak cara stir-fry daripada memasak kari dan gulai. Oleh kerana tinggal jauh daripada keluarga, saya tidak mempunyai sifu untuk mengajar cara memasak ala Melayu. Suami walaupun pandai memasak juga sibuk dengan kerjanya. Terpaksalah saya melakukan eksperimen secara sendirian. Jikalau tidak berapa sedap pun, telan sahaja. Mujurlah sudah banyak buku resipi yang diterbitkan, maka tidaklah bosan asyik makan masakan yang sama :P

image photo: feastmalaysia.blogspot.com, http://www.foodsubs.com/, http://www.flicker.com/

3 comments:

  1. Assalamualaikum Puan Aliya,

    Tahniah. Puan telah memilih Islam sebagai cara hidup. Semoga Puan akan istiqamah dengannya. InsyaAllah saya akan selalu melawat blog ini. Isinya menarik untuk dikongsi.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam wbt,
    En.Mohd Halim,
    Terima kasih kerana sudi melawat blog saya ni. Segala pujian bagi Allah swt yang memberi ispirasi kepada kita untuk menulis dan berkongsi pengalaman.. semoga dpaat membantu insan lain.

    ReplyDelete
  3. I'm not muslim and I luv chinese food. My fav is xinjiang food, esp the lamb...soooo tasty, and of course i can go with my muslim friends coz its 100 % halal

    ReplyDelete