Ketika itu saya baru berumur 14 tahun. Ramai kawan rapat saya yang beragama Kristian dan mereka kelihatan sangat gembira. Bahan bacaan kegemaran saya juga banyak mengisahkan keluarga orang putih yang beragama Kristian. Maka saya beranggapan alangkah baiknya jika saya turut menjadi orang Kristian.
Mudah sahaja menjadi penganut Kristian. Berbekalkan sebuah Bible, sekeping kertas yang merupakan pengakuan menerima Jesus sebagai 'Lord' atau Tuhan, dan kawan-kawan beragama Kristian menjadi saksi, saya sudah dikira memeluk agama itu. Saya hanya perlu mengikut setiap patah perkataan yang diucapkan oleh kawan saya, bahawa saya mengaku Jesus sebagai anak Tuhan, dan penyelamat roh saya. Selepas itu kami berdoa bersama-sama. Saya masih boleh membayangkan meja pelajar dan kerusi kayu di sebuah bilik darjah di sekolah, tempat berlakunya peristiwa itu.
Mak mengesyaki tindakan saya mendekati agama ini tetapi dia tidak membantah, tidak juga menyokong. Saya dari awal-awal lagi merahsiakan daripada ayah kerana tahu ayah akan mengamuk. Malah saya tidak menunjukkan apa-apa perubahan di hadapan keluarga saya. Apabila saya diminta bersembahyang di hadapan berhala, saya condongkan sedikit badan saya dan sekadar menghayunkan colok beberapa kali sebelum memacakkannya ke dalam bekas colok. Pada waktu malam sebelum tidur, saya akan berdoa seketika dalam keadaan duduk.
Saya juga menghadiri kelas Bible Study untuk kanak-kanak dan remaja di gereja. Biasanya kelas tersebut dijalankan pada waktu pagi hujung minggu. Sebuah van akan ke rumah untuk mengangkut penumpang. Kepada Tok saya katakan saya ke kelas tuisyen. Hanya Mak yang mengetahui segala tindak-tanduk saya tetapi dia tidak menghalang. Mungkin bagi Mak, tindakan saya tidak membahayakan. Saya bukannya bergaul dengan budak-budak jahat. Kehadiran saya sebagai orang baru di gereja Baptist diterima dengan baik. Saya tidak pernah ditanya mengapa saya memilih agama Kristian. Walaupun saya tidak pernah menghulurkan walau sesen pun untuk membayar tambang van ke gereja, perkara itu bukan penghalang bagi mereka terus mengajar saya tentang ajaran agama Kristian. Saya pula berasa seronok kerana dapat belajar 'Bible Study' bersama-sama kawan-kawan saya. Kelas dikendalikan oleh orang dewasa. Selain daripada belajar, kami turut diajar menyanyi lagu-lagu gereja yang menarik, serta diberi makanan dan minuman sebelum dihantar pulang pada waktu tengah hari. Saya dilayan dengan mesra.
Dua tahun kemudian, saya beralih ke gereja Methodist mengikuti kawan-kawan lain. Saya menyertai Methodist Youth Fellowship atau singkatannya MYF. Keahliannya terbuka kepada remaja. Kami bertemu pada hari Sabtu petang. Sekali lagi saya menipu dengan memberi alasan ke kelas tuisyen, sedangkan saya berjalan ke gereja. Dalam MYF kami bertukar-tukar pendapat, berkongsi masalah, menyanyi beramai-ramai, berdoa, dan membuat lawatan ke tempat-temat lain. Saya turut menyertai dua ekspedisi sambil belajar agama Kristian kelolaan gereja. Kami melawat gereja di bandar berdekatan, mengadakan aktiviti kerohanian dan lawatan ke tempat-tempat menarik. Saya hanya perlu mendaftarkan diri; semua perbelanjaan dibiayai pihak gereja.
Mereka melayan saya dengan mesra sehingga saya sendiri kekok kerana tidak pernah dilayan sebegitu rupa. Gereja sentiasa dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti 'usrah', makan bersama, latihan koir untuk persembahan setiap hari Ahad, perkahwinan, dan sebagainya.
Saya turut menyertai beberapa aktiviti yang dijalankan seperti memberi risalah Kristian dari rumah ke rumah. Kami satu kumpulan remaja akan membawa risalah bersaiz poket dan memasukkan setiap risalah ke dalam pos-box di hadapan rumah orang bukan Islam. Di samping itu, saya juga menyertai nyanyian choral pada musim perayaan Krismas. Tidak pernah kami dimarahi, dihalang menyertai segala aktiviti yang dirancangkan, atau ditegur dengan kasar oleh orang Kristian yang lebih dewasa. Sebaliknya mereka sentiasa membantu dan menasihati kami dengan cara berhikmah. Setiap warga gereja bertanggungjawab menyampaikan ajaran Kristian kepada orang lain. Berbanding remaja Melayu Islam, remaja Kristian kelihatan lebih bersungguh-sungguh dalam usaha dakwah mereka. Malah saya diajar bahawa menKristiankan orang lain bermakna kita sayang kepadanya, kita memberi peluang kepadanya untuk bersih daripada dosa dan dapat pergi ke syurga; begitulah fahaman mereka. Tidak hairanlah apabila kawan-kawan saya bersungguh-sungguh dalam usaha mereka mendekatkan saya kepada ajaran agama mereka.
Walaupun memang seronok menjadi Kristian, saya masih belum bersedia dibaptiskan. Tiga buah gereja dengan fahaman Kristian yang berbeza saya lawati. Saya hairan mengapa agama Kristian begitu rumit sedangkan penganutnya mengaku menyembah tuhan yang sama. Mengapakah rahi dan paderi gereja Katolik tidak boleh berkahwin sedangkan pastor atau paderi gereja lain boleh berkelurga? Mengapakah gereja Katolik mempunyai patung Jesus pada salib manakala gereja-gereja lain tiada? Mengapakah pula terdapat patung Mary ibu Jesus dalam gereja Katolik sedangkan Bible melarang Kristian menyembah berhala?
Saya keliru. Banyak persoalan yang tidak berjawapan. Bible yang dibaca sehingga ke muka surat akhir lebih mengelirukan saya. Akhirnya saya berhenti pergi ke gereja.
Saya keliru. Banyak persoalan yang tidak berjawapan. Bible yang dibaca sehingga ke muka surat akhir lebih mengelirukan saya. Akhirnya saya berhenti pergi ke gereja.
No comments:
Post a Comment