Thursday, April 24

BUKAN MELAYU CELUP

"Lucky you are with us, so we can be considered a balanced group. One Indian, one Chinese and one Melayu Celup (Fake Malay)!"
Susie suka mengusik saya.
Saya hanya ketawa apabila dia menggunakan istilah itu. Dia pun tahu bahawa saya masih belum mengamalkan sepenuhnya budaya hidup orang Melayu. Malah Susie banyak membantu saya semenjak saya memeluk Islam, dan mencari-cari teman untuk membuat projek berkumpulan bersama-sama.

Masyarakat kita memang suka melabel. Pantang lihat orang lain, cepat sahaja memberi label kepadanya - lawa, seksi, kacak, kaya, gemuk, kurus, sombong, egoistik, rajin, malas dan sebagainya.

Kita bukan sahaja suka melabel bahkan mudah berprasangka. Kita suka perkara yang mudah dikategori. Sekiranya terdapat orang yang tidak memenuhi kriteria umum, mulalah kita memberi komen. Kadang-kadang tabiat ini berlaku tanpa disedari.
"Dia Melayukah Cina? Cakap Cina tetapi pakai baju kurung."
"Amboi seksinya! Tak malu betul! Mesti banyak teman lelaki."
"Mak oi tudung litup, baju kurung labuh. Mesti pengikut parti dot-dot-dot."
" Tak senyum sikit pun. Sombongnya!"
"Rajin dia tu, mesti hendak bodek bos kita."
"Dia peluk Islam, mesti sebab nak kahwin."
"Dia berkopiah dan bertasbih. Mesti orang alim."

Saya tahu ada yang menganggap saya ini sudah meninggalkan budaya Cina kerana sering berbaju kurung dan menutup aurat. Namun begitu, bukan semua wanita berbaju kurung adalah Melayu, dan bukan semua yang menutup aurat adalah Melayu. Terdapat juga wanita Melayu yang berpakaian lebih seksi daripada yang bukan Melayu, dan melepaskan rambutnya mengerbang macam pontianak. Sebenarnya pakaian hanyalah sebagai penutup badan, dan pakaian yang paling baik terutamanya kepada seorang wanita Islam ialah yang menutup auratnya. Kalau terdapat baju tradisional Cina yang sesuai, murah dan menutup aurat untuk saya sudah tentu saya akan memakainya. Malangnya tiada yang sesuai setakat ini, maka baju kurung juga yang menjadi pilihan untuk tujuan rasmi.

"Tak payahlah pakai tudung. Nanti orang fikir saya dating dengan wanita Melayu."
Adik saya masih hendak testing kakaknya ini apabila saya mencari-cari tudung yang sesuai sebelum keluar dari rumah.
Saya diam sahaja. Kalau keluar dengan Mak dan Adik, baju kurung bukan pilihan saya kerana identiti keMelayuannya. Jubah pun dianggap KeArabian. Hanya blause panjang, atau T-shirt lengan panjang yang akan saya pakai, sekali dengan tudung, stokin tangan dan stokin kaki.
Adik rimas. Mak juga rimas tengok saya hanya menampakkan wajah dan tapak tangan, tetapi mereka tidak menyuarakannya.
Saya pun tidak peduli akan pendapat mereka.
Tentu mereka menganggap saya berpakaian begitu kerana takutkan suami. Sebenarnya suami saya bertindak sebagai penasihat dan pendorong untuk saya hidup mengikut cara Islam, dan dia tidak pernah memaksa saya. Saya sudahpun menutup aurat sebelum menikahinya.

Saya bukan Melayu. Juga bukan Melayu celup. Saya tetap Cina. Wanita Cina beragama Islam.
Malah sehingga sekarang saya tidak dapat memikirkan apakah budaya dan cara hidup yang saya amalkan sekarang yang boleh mengkategorikan saya sebagai orang Melayu.

Memakai baju kurung? Sudah lama saya pakai, malah amoi-amoi lain pun ramai yang pakai sekarang.
Makan dengan jari? Keluarga Mak saya sudah lama makan dengan jari kerana hidup lama di kampung.
Makan sambal belacan? Nyonya Cina memang kuat makan sambal belacan yang pedas-pedas. Batu giling zaman moyang masih disimpan di rumah Mak.
Bercakap Melayu? Semua rakyat Malaysia tahu bercakap B.Melayu pada hari ini.
Berkain batik? Nyonya Cina memang secara tradisi berpakaian kebaya batik. Malah dalam keluarga saya, batik digunakan sebagai kain basahan.
Apakah budaya dan cara hidup orang Melayu yang sebenar-benarnya Melayu?

Apabila saya memeluk Islam, tidak pernah terlintas dalam minda saya untuk bertukar dari bangsa Cina menjadi bangsa Melayu dan mendapat "hak-hak istimewa" bangsa ini.
Apalah sangat itu semua sedangkan yang berharga sekali merupakan syurga yang menanti bagi yang bertakwa kepadaNya.

Ramai yang menganggap saya kini Melayu, tambahan selepas bersuamikan orang Melayu.
Biarlah, masyarakat masih perlu pendedahan dan pendidikan, walaupun kini sudah hampir 60 ribu rakyat Malaysia terdiri daripada orang Islam yang bukan Melayu.

3 comments:

  1. Suami saya berkawan dengan seorang anak mualaf. Dia selalu bercerita perihal yang lebih kurang sama seperti Kak Aliya.

    Saya rasa label-melabel ni macam satu penyakit. Mungkin mereka dah tak ada perkara yg lebih bermanfaat untuk difikirkan(?)

    ReplyDelete
  2. Melabel-label manusia ni penyakit keturunan, huhuhu..kalau orang tua jenis yang suka hobi ini,anaknya akan mewarisinya. Kalau ibubapa jenis pendiam, anak pun kurang la sengatnya. Sebenarnya hobi ini berlaku di kalangan masyarakat tak kira bangsa apa pun, orang Cina pun tidak kurang hebatnya!

    ReplyDelete
  3. Salam, Biarlah mereka terjun dengan labu-labunya. Ysng penting pandangan Allah pada kita. Islam bukan bereti Melayu, melayu bukan bermakna Islam dah sekarang ni. Sebenarnya, bangsa Cina lebih awal memeluk agama Islam dari kami kaum melayu. Kalau ikut sejarah, kami yang melayu ni mualaf...

    ReplyDelete