Saturday, April 5

PEMBEDAHAN

"Bila operation mak? Mak di wad mana sekarang?"
Saya berkejar ke hospital. Mak dijadualkan menjalani pembedahan dalam masa sejam lagi. Syukur kerana pembedahan dilakukan pada hujung minggu, maka saya boleh menemani Mak selepas pembedahannya.
Mak sudah hampir setahun merana kesakitan kerana kakinya yang patah tidak sembuh seperti yang dijangkakan. Pembedahan awal gagal dan doktor menasihati agar pembedahan susulan untuk menggantikan besi dilakukan setahun kemudian, kerana badan Mak lemah.

Saya kerap berhubung dengan Mak melalui telefon. Kami bersembang tetapi Mak masih tidak mahu dilihat bersama saya. Dia tidak suka saya bertudung. "Macam perempuan tua, rambut cantik ditutup pula," dia bersungut. Dia masih susah menerima hakikat bahawa saya sudah memeluk Islam dan mengamalkan cara hidup Islam. Mungkin juga dia malu dilihat bersama saya.

Adik yang menyampaikan berita pembedahan Mak itu. Dia tidak dapat menjaga dan menemani mak di wad pesakit khas kerana dia lelaki. Kami tahu bahawa malam pertama selepas pembedahan amat kritikal kerana sebarang komplikasi yang berlaku boleh menyebabkan maut. Sudah menjadi kewajipan saya sebagai anak untuk menjaga Mak. Saya sanggup, tetapi sudikah Mak menerima kehadiran saya yang bertudung ini? Entah-entah lagi marah dia melihat kelibat wajah saya.

Lega. Mak hanya tersenyum hambar melihat saya yang mengangkat beg baju berjalan masuk ke biliknya. Bilik pesakit khas itu mempunyai sebuah katil pesakit, sebuah kerusi pelawat dan sebuah meja kecil, dan ia disambungkan ke sebuah bilik air. Bilik Mak agak esklusif kerana Mak pesakit istimewa. Umur Mak yang lanjut dan penyakit yang mak hidapi meningkatkan risiko jangkitan kuman, dan doktor amat berhati-hati.

Pembedahan mengambil masa hampir 5 jam. Saya mengajak Adik makan di kantin.
"Hmm, mereka sedang memandang ke arah kita," komen Adik dalam bahasa Cina. "Tentu mereka sedang mengagak apa hubungan kita. Tentu mereka fikir saya makan dengan perempuan Melayu."
"Biarkan," saya menjawab tenang. "Awak takutkah dilihat makan semeja dengan saya yang bertudung ni?"
"Eh, tak takutlah," jawab satu-satunya adik saya itu. Nampaknya dia sudah semakin matang. "Cuma kalau awak tak menutup kepala lagi senang laaa."
Oleh kerana Mak masih sensitif akan tudung, saya berselendang menutup kepala agar kelihatan lebih moden dan bukan terlalu kemelayuan. Selendang panjang yang tebal dan blaus dipilih dengan teliti untuk mencerminkan wanita Islam yang moden tetapi masih menutup aurat. Syukur juga kerana Adik sudah banyak berubah. Kalau dahulu dia mempunyai tanggapan negatif terhadap Melayu dan Islam, kini hasil daripada pergaulan adik yang semakin baik dengan staf perempuan Melayu di pejabatnya menyebabkannya lebih bersikap terbuka terhadap perubahan penampilan diri kakaknya.

Sebenarnya menjaga Mak di hospital sudah menjadi satu rutin bagi saya semenjak dia patah kaki. Saya sudah biasa keluar masuk hospital terutama di HUKM. Urusan dengan pihak hospital dan menunggu giliran mengambil ubat di farmasi bukan lagi satu perkara luar biasa bagi saya dan Adik. Bezanya semenjak menjadi Muslimah, saya bertambah satu tanggungjawab, iaitu menunaikan solat 5 waktu sehari semalam. Saya terpaksa bertanya jururawat bertugas tentang lokasi surau di hospital berkenaan.
"Nak pergi ke mana dengan beg plastik tu?" Mak bertanya apabila melihat saya menuju ke pintu. Beg plastik yang saya galas mengandungi telekong, serkup tudung dan kain sembahyang.
" Nak sembahyang," saya menjawab ringkas. "Nanti saya balik ke sini, 10 minit saja."
Mak mengangguk faham.

Bilik Mak dingin pada waktu malam. Saya tidak berani tidur lama kerana perlu menjaga keadaan 'drip' Mak supaya tiub itu tidak dimasuki udara. Tiba-tiba mesin di tepi katil Mak berbunyi.Saya melompat bangun. Beg 'drip' mak sudah kosong. Mak menekan butang kecemasan. Tiada respon walaupun tiga kali tekan. Saya terus bergegas ke meja kaunter pada jam 3pagi untuk memanggil jururawat bertugas. Cemas. Tiada jururawat di kaunter! Ke manakah mereka?
"Nurse, mesin mak saya berbunyi. Tolong datang tengok," saya meminta salah seorang
jururawat yang memberi ubat kepada pesakit lain di wad umum.
Syukur. Keadaan terkawal. 'Drip' baru diberikan dan mak tidur semula. Saya duduk menunggu fajar menyingsing. Jantung masih berdenyut kencang.

Keesokan pagi, Mak bersembang dengan saya sementara saya berkemas. Nampaknya dia tidak marah saya lagi kerana memeluk Islam. Sebagai bekas jururawat yang lama berkhidmat di hospital itu, Mak masih mempunyai ramai kawan dalam kalangan staf hospital. Saya tahu Mak tidak akan kesunyian di situ tanpa anak-anaknya di sisi. Selepas solat subuh, saya pun ke kantin untuk bersarapan dan membeli kuih untuk Mak.
Saya kembali ke bilik ketika beberapa jururawat Melayu, kawan-kawan lama Mak datang menziarahinya.
"Eh, siapa ni?"
Jururawat-jururawat itu memandang saya yang bertudung dengan penuh tanda tanya.
"My daughter, anak saya" Mak menjawab selamba.
Mereka terkejut.
Saya tersenyum.
Syukur alhamdulillah, akhirnya Mak mengaku juga saya sebagai anaknya di khalayak ramai.

8 comments:

  1. I always enjoy your writing. You've given me insight not only into the world of a new muslim but the general non-muslim perceptions toward muslim. Please continue...

    runner from kuantan

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum kak alya..
    I really like your blog...it gives me the view of Islam from a revert's perspective.Keep up the good work.Hope you can explain further about Islam to your non-muslim friends and relatives.I also pray to Allah that your mother will get well soon.Allah will reward you for your service/kindness to your mother although she is not a muslim.

    ReplyDelete
  4. semoga saudari diberi kekuatan dan dikuatkan iman. amin.

    ReplyDelete
  5. Salam Aliya,
    Saya suka membaca kisah² awak. Semoga awak di rahmati Allah.

    ReplyDelete
  6. Waalaikumussalam warahmatulah,
    Thanks for your kind comments. Terima kasih banyak-banyak. Alhamdulillah mak saya dah boleh berjalan semula walaupun tak selincah dahulu, dan mulai menerima saya dan suami saya sebagai anak dan menantunya yang beragama Islam. Semoga terbuka hatinya dan hati adik saya kepada Islam.

    ReplyDelete
  7. Puan Aliya,

    Membaca penghujung entri ini membuatkan saya turut gembira dan besyukur..

    Terima kasih kerana melawat gerai PTS (bersama suami).

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum
    Encik Faris,
    Terima kasih kerana meluangkan masa melayan kami. Saya gembira dan bersyukur :)

    ReplyDelete