Friday, April 18

MUNGKIN BERLAKU KEPADA ANAKKU

Waktu rehat di sebuah sekolah rendah pada hari ini.

"Mengapa menangis?"
Budak India Tahun 1 itu menangis teresak-esak di tepi tangga. Waktu itu waktu rehat dan pelajar-pelajar sedang berkeliaran di kaki lima bilik darjah.
"Saya berak dalam seluar. Saya tak boleh cuci, tandas tak ada air."
Alahai... patutlah dia menangis. Kesian.

Saya melawat ke sekolah.
Riuh-rendah pelajar dan masalah sebegini bukan lagi asing kepada saya.
Dua minit lalu, saya sudah terdengar kawan-kawan Dinesh riuh memanggil cikgu di dalam bilik guru bahawa dia menghadapi masalah. Saya tunggu berdekatan kerana tidak mahu terlibat. Pelik. Tidak seorang pun guru yang keluar menyiasat.
Si Dinesh terus menangis.

Bayangkan kalau anak yang sedang menangis di tepi tangga sekolah itu anak anda.
Bayangkan pula sekiranya anda ialah Dinesh.
Seluar kotor. Busuk. Malu kerana kawan-kawan riuh memperkatakan keadaan anda.
Nak duduk tidak selesa. Nak basuh tidak tahu bagaimana.
Stres.

"Nak tisu?"
Saya menghulurkan satu paket tisu kepadanya.
Dia menggelengkan kepala.
"Saya tak boleh basuh. Tandas tak ada air," dia terus merengek.
Dalam kasihan, saya turut kagum dengan kefasihan berbahasa Melayunya. Lancar. Tidak tersekat-sekat sepertimana yang sering dihadapi oleh pelajar India Tahun Satu.

"Ok, teacher bawa Dinesh ke tandas, ya.. kalau betul tandas tak ada air, kita pergi ke tandas lain."
"Tapi cikgu kata, tandas lain tak boleh pergi."
"Teacher bawa Dinesh. Jangan takut."
Dia berhenti menangis. Kelegaan terpancar di wajahnya.
Kami berjalan ke tandas murid di belakang sekolah.
Saya membuka pintu tandas pelajar lelaki. Kosong.
"Ha, tandas ini ada air. Tengok!"
Saya menunjukkan air yang mengalir daripada hos getah di dalam kubikel tandas.
Dinesh segera masuk ke dalam kubikel. Saya menyuruhnya menutup pintu dari dalam.
Dia menguruskan keadaan dirinya tanpa meminta bantuan saya.
Berdikari sungguh pelajar ini.
Rupa-rupanya dia hendak membasuh dengan air di dalam tong besar tetapi tong itu kering tanpa air. Mungkin keadaan rumahnya begitu. Dia tidak tahu bahawa paip di dalam kutikel tandas turut mengalirkan air bersih maka dikatakannya tandas tiada air.

Alahai pelajar zaman sekarang.
Menjadi cikgu yang sebenarnya lebih mencabar daripada tugas mengajar di dalam bilik darjah.
Menguruskan pelajar sekolah rendah amat memerlukan empati, simpati, kasih sayang, kesabaran dan keprihatinan.
Berapa cikgu yang sanggup membantu mencuci seluar pelajar yang kotor dengan tahi?
Berapa cikgu yang sanggup membantu pelajar dengan bajunya yang kotor dengan muntah?
Berapa cikgu yang sanggup mengangkat dan membantu menyedarkan kembali pelajar yang jatuh pengsan?
Berapa cikgu yang sabar menguruskan pelajar berkelakuan pelik di dalam kelas tanpa mencemaskan pelajar-pelajar lain?
Kes-kes seperti di atas sudah lazim berlaku kepada pelajar Tahun Satu yang baru memasuki dunia pendidikan formal di sekolah.

Di dinding sebuah sekolah tertulis kata-kata peringatan:
Sekolahku duniaku
Kelasku rumahku
Pelajarku anakku


Dalam pada saya membantu Dinesh tanpa pengetahuan cikgunya, saya terfikir juga:
Apakah akan berlaku kepada Dinesh sekiranya saya berniat jahat terhadapnya?

No comments:

Post a Comment