Saturday, April 5

BUKA ATAU TUTUP


"Ustazah, camne ni? Bolehkah saya buka tudung?"
"Saya tak pastilah tetapi kalau bertudung bererti dia tak nak jumpa saya."
Tudung. Tudung hanya sehelai kain penutup kepala. Bagi yang tidak memakainya atau memakai sekadar kerana disuruh atau sebagai uniform kerja, mereka tidak berasa apa-apa kelainan tanpa tudung di kepala.
Saya mengambil keputusan bertudung kepala seminggu selepas memeluk Islam. Kawan-kawan terkejut dengan perubahan ini. Ketika menyarungkan tudung di kepala pada pertama kalinya, saya telah bertekad tidak akan keluar di khalayak ramai tanpanya.
Namun Allah swt menguji jua.

Mak sakit. Ubatnya dari Hospital UKM sudah hampir habis. Dia pula tidak dapat turun ke KL kerana kecederaan kaki masih belum pulih.
Akhirnya saya dipanggil pulang.
Tugas saya ialah menemui mak, mengambil segala dokumen yang diperlukan dan pergi ke HUKM untuk menguruskan pemindahan data perubatan mak ke hospital berdekatan.
Mak tahu saya mampu melakukannya. Saya sudah biasa menemani mak ke HUKM sebelum saya memeluk Islam.
"Tapi jangan pakai tudung ketika balik ke rumah." Itu pesan mak.
Aduh.

Dilema. Nak berjumpa mak kena buka tudung. Tak berjumpa mak siapa lagi yang boleh diharap untuk menguruskan perubatan mak itu. Adik bekerja sementara saya ketika itu masih bercuti panjang.
Saya cuba memujuk tetapi tidak berjaya. Adik juga enggan memandu saya ke rumah jika saya bertudung dalam kereta.
Pelbagai nasihat diberikan oleh kawan-kawan dan ustazah.
Ada yang kata pakai terus walaupun tahu mak akan marah, ada yang benarkan buka ketika berada di rumah, ada pula yang berkata boleh buka hanya ketika di depan mak.
Ada yang menyifatkan tindakan yang bakal saya ambil itu sebagai darurat.
Pening.
Solat tahajjud. Solat isytikarah.

Akhirnya saya mengambil keputusan berjumpa mak.
Saya bertolak ke kampung halaman. Menutup aurat. Sampai di pekan, saya menelefon adik. Masuk kereta, saya berselendang panjang tanpa serkup kepala. Apabila menjejak kaki masuk ke rumah buat pertama kali selepas memeluk Islam, barulah saya menarik selendang menampakkan rambut dan memenuhi syarat yang dikenakan oleh mak.

Walaupun itulah kali pertama berjumpa setelah sekian lama, mak tak marah saya. Tak tanya langsung mengapa dan kenapa saya memilih untuk meninggalkan agama dan kepercayaan keluarga. Mak sekadar menyatakan keadaan kesihatannya sendiri dan menyerahkan dokumen perubatannya untuk saya bawa ke HUKM.
Saya melihat mak terhenjut-henjut bergerak dengan tongkat besinya. Hanya Allah swt yang Maha Mengetahui perasaan saya melihat mak dalam keadaan begitu.
"Cepat pergi sebelum bapa kamu pulang," Mak mengarahkan kami berdua meninggalkan rumah. "Nanti bergaduh pula kamu berdua anak beranak. Silap hari kamu dipukulnya pula."

Selesai berbincang, adik memandu saya semula ke stesen bas.
"Hentikan saya depan tandas awam," saya memohon kerjasamanya. Adik mengangguk faham.
Saya menyarung kembali tudung dengan kemas, barulah saya menaiki bas untuk pulang. Beg berisi dokumen perubatan mak saya genggam dengan erat.
Semoga itulah kali pertama dan kali terakhir saya membuka tudung di khalayak ramai.
Semoga diampuniNya.

p/s: Saya berjaya membawa pulang segala yang diperlukan oleh mak dari HUKM. Syukur alhamdulillah bekalan ubat yang diberikan oleh pakar perubatan sana melebihi jangkaan kami. Mak tersenyum puas.


image: iluvislam.com

No comments:

Post a Comment