Thursday, July 2

MOTOR DAN LAKSAM

"Pakcik, ini hadiah ikhlas daripada saya!" saya hulurkan bungkusan hadiah yang berbalut kepadanya pada hari terakhir saya di sekolah itu.
Kelihatan wajahnya berubah, matanya berkaca. Saya cepat-cepat minta diri, dengan alasan ada kerja lain.
Pakcik seorang pekerja am di sekolah saya yang pertama, SK Lerek. Umurnya ketika itu kira-kira awal 50-an. Orangnya kecil, kurus dan bercakap dengan loghat Trengganu yang pekat. Rumahnya nun jauh di dalam kawasan Felcra Kg Lerek, berdekatan Kuala Berang. Apabila mengetahui saya ada masalah pengangkutan balik dari sekolah [tumpang guru besar tetapi kadang-kadang terpaksa uruskan cara pulang dari sekolah apabila guru besar keluar awal untuk mesyuarat] pakcik dengan murah hati menawarkan khidmatnya menumpangkan saya ke jalan besar. Tiada bas atau teksi yang lalu lalang di situ. Untuk keluar dari kampung terpencil itu, penduduk menggunakan motosikal atau menumpang lori balak. Itu tahun pertama saya mengajar, 1993. Saya bukan sahaja belum menerima gaji, malah tiada lesen memandu. Lesen menunggang motosikal lagi lah tiada - haram anak-anak Mak menunggang motosikal, sebab Mak fobia melihat penunggang motosikal yang cedera parah di bilik pembedahan.

"Cikgu, mari.. pakcik tumpangkan."
Saya melihat Jamilah, kawan saya telah siap membonceng motosikal Ustazah Halimatun. Hanya saya yang terkial-kial tanpa kenderaan.
Jika berjalan kaki sejauh kira-kira 5 km melalui jalan estet kelapa sawit, ia bakal mengambil masa 30 minit. Ada risiko berserempak dengan ular dan harimau [2 ekor lembu orang kampung dibaham harimau pada tahun itu].
Mahu tak mahu, demi keselamatan diri dan untuk pulang ke rumah sewa di pekan Kuala Berang, saya bonceng motosikal buruk Pakcik.

Bermulalah episod membonceng motosikal. Setiap kali kami tersangkut di sekolah tanpa kenderaan, saya akan membonceng motosikal Pakcik manakala Jamilah membonceng motosikal Ustazah. Pakcik bawa perlahan. Apabila tiba di jalan besar, barulah Ustazah akan pulang ke rumahnya, sementara saya dan Jamilah menanti teksi atau kereta sapu di wakaf. Pakcik pula akan pulang semula ke kampung.
Saya pada mulanya cuba memberi sedikit bayaran saguhati kepada Pakcik kerana sudi menumpangkan saya tetapi dia menolak.
"Tak pa, cikgu. Dekat ajo," begitulah katanya setiap kali.
Saya segan tetapi terpaksa menerima jasa baik Pakcik yang menganggap saya sebagai anak, menghormati saya sebagai guru yang dihantar mengajar anak kampungnya.
Yang saya mampu berikan hanyalah terima kasih dan sehelai kain pelekat sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan.

"Cikgu, makanlah..tak cukup tambah lagi!"
Saya diam. Terkejut. Sebuah mangkuk besar penuh dengan laksam dihulurkan kepada saya. Itulah kali pertama saya disajikan dengan laksam berkuah putih, yang tidak pernah saya makan seumur hidup saya. Demi menjaga hati MakLong yang berumur 40-an dan berasal dari Kelantan, saya paksa diri untuk makan sehingga licin mangkuk laksam tersebut. Bila dia hendak menambah lagi untuk saya, saya menolak. Terlalu kenyang. Kerana MakLong, saya menjadi suka pada laksam, heheheee.
MakLong pengusaha kantin sekolah. Makanan yang dimasaknya,tak kiralah nasi berlauk ikan masin dan kacang panjang, kari lemak ayam kurma, nasi lemak, nasi dagang atau roti canai, sedap-sedap belaka. Tak ramai pelanggannya, hanya 71 pelajar dan 7 orang guru. Namun begitu, MakLong seorang yang pemurah; nasi dan lauk dicedok dengan sesuka hati oleh kami guru-guru bujang yang kelaparan. Harga makanan tetap sama, tak kira berapa banyak yang kami makan. Dia tidak berkira. Asalkan kami berselera makan masakannya, dia akan tersenyum riang. Saya pula selalu mengangguk saja apabila MakLong bercakap. Kurang faham, kerna longhat Kelantannya sangat pekat. Mungkin sebab saya selalu mengiakan segala percakapannya, dan sebab saya seorang sahaja guru bukan Melayu di situ, saya mendapat layanan istimewa MakLong. Semua bertambah. Saya tidak kisah, sebab memang masakannya sedap! Malah, kuah ikan bilisnya [untuk nasi lemak] masih belum dapat ditandingi sehingga hari ini.
"MakLong, ini untuk MakLong," saya juga berikan bungkusan hadiah kepadanya.
MakLong tersenyum lebar memegang bungkusan tersebut.

Bungkusan hadiah ketiga diberikan kepada guru besar yang memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada kami, barisan guru baru lepasan maktab perguruan, untuk memajukan prestasi pembelajaran pelajarnya. Alhamdulillah berkat doa semua dan usaha pelajar sendiri, keputusan UPSR melonjak 30% pada tahun 1994 sehingga mendapat perhatian PPD.

Entah mengapa hati tiba-tiba sayu apabila mengenangkan mereka. Bila sebut sahaja Trengganu [banyak berita tentang negeri itu baru-baru ini], ingatan saya akan kembali ke sebuah sekolah kecil dan terpencil di tengah-tengah ladang kelapa sawit. Sudah 16 tahun saya tidak ke sana. Belum ada rezeki untuk menziarahi kampung tersebut dan bertanyakan khabar mereka. Masih hidupkah Pakcik, MakLong dan bekas guru besar saya itu? Bekas pelajar saya dari sekolah tersebut sudahpun berumur 28 tahun, mugkin ramai yang sudah berkeluarga.
Saya hanya mampu berdoa agar Allah swt memberi rahmat kepada mereka yang begitu banyak membantu seorang amoi yang berseorangan di sana satu ketika dahulu.

Nota: Pakcik Haron kembali ke rahmatullah 10 tahun yang lalu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

6 comments:

  1. Assalamualaikum

    as for the food you said here its really good. its our (i mean east coast folks) staple diet, regardless what race you're. we really, really loved sea food or sea food based like laksa, laksam, otak-otak or sata. not to forget keropok lekor. we love sea food as the southern states and creoles (in USA) loves BBQ and grilled meats.

    the only problem is when you're lived in town area like where i'm living (kuantan), the food tend to corrupt. not the food itself actually, but the food operators.

    i can feels the local east coast signature dishes are not as good as it was 15 or 20 years ago. especially here in kuantan where many outsiders from west coast residing here. some of them got involved in food business, try to immitate our food and modified it, to less then acceptable result.

    i think terengganu is more pristine food than kuantan.

    _______________________________

    kak Aliya,

    you get quite a melancholy on this one. maybe sometime you need to walk down the memory lane yourself.

    its maybe our sense of 'missing' the things which are now forever gone.

    i sometime also have that feelings comes. one of the bitter sweet memories happened to me, that its memory keep coming to me even in my dream was when i'm was in matriculation.

    i enrolled into iium in mid 1990's, at pantai baru, near UM, where is now maktab perguruan institut bahasa. it was closed down since. our economy was really thriving well then. its was the time of no worry, almost carefree. we got our scholarship, no worry of paying back.

    i still have my youth then. now when i'm looking back there are some little memories i'm cherished, and much, much more memories i'm regretting it. regret the foolishness when i'm was young.

    sometime when i'm going to kl, i still pay a visit there and other places that i'm used to lived. most things i used to know now was gone, but i still can see it in my dream.

    sorry kak Aliya for getting sentimental tonight. maybe its a price to pay for getting older.

    Wasalam

    ReplyDelete
  2. salaam kak Aliya..

    terharu sy membaca kisah ini..
    baik sungguh pak cik dan mak long itu..
    susah nak jumpa sekarang

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam azlan,
    Yeah, I'm growing older, huhuhu..and that place is so far away from home. The school still exists although with a different administration.InsyaAllah, I'll pay a visit one day, if I can get my other half to join me.Anyway, I'd be organizing a class reunion soon, once my house is ready. It's been 21 years since I met my former schoolmates, the Chinese, Malays, Indians,etc.Would be great to meet again.

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam imminent peace,
    Thanks for forwarding me those emails, great read.
    Benar, susah nak jumpa orang yang ikhlas seperti pakcik dan MakLong. Saya suka berkawan dan berbual dengan 'guru-guru' seperti mereka kerana banyak yang ilmu boleh dipelajari.

    ReplyDelete
  5. Salam uji,
    So do I, really miss them.

    ReplyDelete