Friday, July 17

LEBIH DARI DO-RE-MI

Sudah lama saya tidak menyanyi dengan mikrofon. Berapa lama? Sejak saya memeluk Islam.
Tetapi saya 'buka puasa' semalam, atas permintaan pelajar. Setelah menjadi pengadil pertandingan menyanyi yang disertai pelajar sempena Minggu Bahasa Inggeris peringkat sekolah[yang menyibukkan saya sepanjang minggu ini], mereka meminta teacher pula untuk menyanyi. Ya lah, kita yang menjadi pengadil pertandingan, perlu juga membuktikan bahawa kita berilmu dalam aspek nyanyian dan muzik, barulah ada kredibiliti, bukan?

Saya diminta menyanyi sementara guru lain sibuk mengira markah para peserta yang mengambil bahagian. Oleh kerana diadakan di dalam dewan bertutup dan berlangsir, saya beranikan diri, lagipun di hadapan hanyalah pelajar. Mulakan dengan sebuah lagu B.Inggeris, kemudian mereka minta pula lagu B.Cina. Saya penuhi permintaan. Sengaja saya nyanyi dengan perlahan, dengan harapan di luar sana, orang yang mendengar akan menganggap itu nyanyian pelajar perempuan! Memang pun suara saya lembut dan seperti orang muda, maka agak mudah untuk menyamar. Balik semula ke bilik guru, buat lagak biasa; orang tanya, saya katakan pertandingan menyanyi dah selesai.

Sehingga petang ini..
"Kawan kita ni pandai berahsia. Saya dengar suara orang nyanyi semalam.. tu kali pertama saya henti bila dengar orang menyanyi, dan tengok melalui tingkap dewan.. rupa-rupanya cikgu aliya!"
Aduh, malu bila Cikgu Fauzi [bukan nama sebenar] memuji di dalam bilik guru. Guru-guru lain mendengar saja, kerana yang terlibat dalam pertandingan semalam hanya beberapa orang.
Saya diam saja, tak berani hendak menyampuk. Tidak sedar rupa-rupanya Cikgu Fauzi mengintai ketika saya menyanyi sambil memegang mike.
Habis! Harap-harap tindakan saya menyanyi akan dilupakannya. Takut pula nanti saya dijemput menyanyi di khalayak ramai pada masa akan datang.

Di sekolah sekarang, saya masih 'maintain low profil'.
Tidak mahu nanti dituduh sengaja mem-promote diri. Sudahlah sekarang pun ada spy yang membuat laporan tentang keburukan saya [tanpa diminta] kepada orang lain, dengan tujuan jahat. Saya tidak pasti siapa orang berhati busuk itu, tetapi jika saya berjaya kesan, awas dia!
Oleh kerana mahu ketenangan, beberapa kemahiran tertentu saya yang telah diketahui oleh guru sekolah lama, tidak saya nyatakan di sekolah sekarang. Sekarang pun saya sudah sibuk; tak perlulah mencari kesibukan baru pula.

Seperti yang saya nyatakan dalam ceramah, saya suka menyanyi. Sebelum memeluk Islam, saya juga suka berkaraoke dan menyanyi dalam koir. Bila dah pencen dari koir, saya jaga suara dengan menyanyi sendirian di tempat tertutup. Tapi apabila mendalami agama Islam, saya dapati ada larangan menyanyi untuk wanita Islam. Maka saya amat berhati-hati; nyanyian hanya dikhaskan untuk tujuan mengajar dan nasyeed, bukan untuk menghibur. Juga bukan untuk mendapat publisiti dan dipuji.

Rasa berdosa pula menyanyi dengan mikrofon semalam, kerana ada lelaki yang terhenti langkahnya mendengar nyanyian saya. Astaghfirul'alazim :(

No comments:

Post a Comment