Wednesday, July 1

HIDUP DENGAN KONTROVERSI

Saya sudah lali dengan kontroversi. Semenjak lahir lagi, sudah didedahkan dengan kontroversi.
Ayah mahukan anak lelaki tetapi yang lahir adalah anak perempuan sebagai anak sulung. Walaupun Mak Tok berjaya meredakan suasana dan memanjakan saya, saya tahu Ayah tidak pernah berpuas hati sehingga adik lelaki saya lahir 9 tahun kemudian. Dan hari ini, ayah masih tidak berpuas hati, kerana anak-anaknya telah memilih jalan hidup bertentangan dengan kehendaknya.

Pendaftaran saya untuk belajar di sekolah pun tidak terlepas daripada kontroversi. Saya cucu dan anak saudara perempuan pertama dalam keluarga yang didaftarkan di sekolah aliran Inggeris. Tatkala sepupu lain ke sekolah aliran Cina, saya diberi gelaran "Kera Inggeris"kerana lebih pandai berbahasa Inggeris berbanding dengan Mandarin. Itu satu gelaran yang amat menjengkelkan. Saya balas dendam dan berjaya menutup mulut makcik-makcik saya dengan mendapat keputusan terbaik berbanding sepupu-sepupu saya dalam semua peperiksaan sekolah dan kerajaan.

Ketika saya melanjutkan pelajaran di kolej perguruan, teruk keluarga saya dimarahi. Kononnya saya tidak patut memilih bidang perguruan kerana berpotensi dalam bidang lain. Namun saya sendiri yang memilih untuk bekerjaya dalam bidang ini. Saya katakan kepada Mak, biarlah mereka kata apa sahaja, bukannya kami hutang mereka apa-apa; baik hutang budi atau hutang harta. Biarpun banyak pihak yang mengutuk tetapi tiada satu yang ingin menghulurkan bantuan ketika kami memerlukan. Ah, saudara mara! Apabila saya muncul sebagai pelajar terbaik dalam kelas, sekali lagi Mak berbangga.

Seterusnya, saya memilih untuk melangsungkan perkahwinan pertama dengan suami pertama dalam keadaan yang cukup sederhana. Kami tidak berhutang dengan bank mahupun dengan sesiapa. Akibatnya saya dikutuk di belakang kerana persiapan yang dikatakan kurang meriah. 'Bagaikan kahwinkan orang gaji saja!' begitulah celaan yang didengari. Saya pekakkan telinga. Yang penting, saya mulakan hidup berumahtangga tanpa bebanan hutang berpuluh-puluh ribu.

Ketika saya membuat keputusan bercerai dengan suami pertama kerana tidak lagi sehaluan [dan atas sebab-sebab lain yang saya enggan dedahkan di sini], sekali lagi saya dimarahi Ayah kerana dikatakan menconteng arang di muka orang tua saya. Namun saya teruskan juga keputusan saya, walaupun selepas itu saya terpaksa mengikat perut untuk beberapa ketika. Saya tidak kekok membahasakan diri sebagai janda atau 'divorcee' dan sehingga saya berkahwin semula, saya gunakan gelaran "Cik" atau "Miss"dan semua dokumen. Pedulikan apa tanggapan masyarakat pada saya. Mereka tidak pernah alami segala yang telah saya lalui.

Ketika saya memeluk agama Islam, saya ditekan oleh pelbagai pihak, terutama yang mempersoalkan tujuan saya memeluk agama suci ini. Saya berlagak biasa sahaja kerana saya sudahpun bersedia dari segi mental dan emosi untuk menghadapi segala kemungkinan. Alhamdulillah, kontroversi dan tuduhan yang dilemparkan tidak mematahkan semangat saya untuk menjadi Muslimah yang baik. Walaupun saya sering berseorangan selepas memeluk Islam, ia hanya menjadikan saya lebih kuat dari segi emosi dan rohaniah. Alhamdulillah.

Ketika saya membuat keputusan menerima pinangan suami sekarang, selepas solat hajat dan solat istikarah serta diyakinkan dengan mimpi, saya tahu jalan yang saya pilih ini bakal menjadi lebih ceria dan menarik. Ada pihak yang mempertikaikan mengapa saya melangsungkan perkahwinan dengan cepat dan ringkas. Itu hak saya dan suami. Yang penting, kami tidak berhutang, dan kami lakukan mengikut syariat Islam. Orang lain nak kata, itu bukan lagi masalah kami. Yang penting, kami mendapat restu orang tua.

Saya tersenyum apabila kawan saya menyatakan sesuatu pada saya hari ini. "Ah, saya tak marah pun, " saya nyatakan padanya. Alhamdulillah, marah saya sekejap sahaja selepas memeluk Islam. Saya tidak mahu marah dan dendam bersarang di dalam hati. Dia risau saya akan berkecil hati dengan tegurannya. Katanya mereka yang lain sudah mula bergosip kerana tidak suka dengan beberapa tindakan saya yang dianggap kurang sesuai. Saya tidak sedikit pun berkecil hati, malah saya berterima kasih padanya kerana bersikap jujur dengan saya. Dia seorang sahaja yang berani datang menegur saya ketika yang lain hanya tahu mendiamkan diri di hadapan tetapi berkata-kata di belakang. Mungkin mereka lupa atau tidak tahu budaya Cina; orang Cina bersikap 'direct' dalam percakapan, dan tidak suka teknik berlapik atau 'berpusing-pusing sebelum sampai ke destinasi'. Buang masa; masa itu emas, huuhuhu.

Mungkin saya melihat sesuatu perkara tidak seperti cara orang lain melihatnya. Mungkin cara saya menjalankan sesuatu perkara masih belum dapat diterima oleh kebanyakan orang yang sudah ada 'standard sistem of procedures' yang selalu diikuti mereka. Mungkin kerana saya jarang melibatkan diri berbual kosong kerana gemar menghabiskan waktu membuat kerja lain, maka mereka kurang mengenali saya yang sebenar? Hahaha, biarlah. Kadang-kadang ada perkara yang lebih baik dirahsiakan.

Kadang-kadang saya merasa agak lucu, kerana banyak pihak yang seolah-olah lupa atau tidak menyedari bahawa saya di sebalik tudung labuh dan pakaian menutup aurat hanya berumur 2 tahun 11 bulan sebagai seorang Muslimah. Saya masih seperti seorang kanak-kanak yang bertatih belajar cara hidup Islam sedangkan mereka sudah lama dewasa. Patutnya mereka yang menegur saya jika tidak berpuas hati dengan tindakan saya. Takkan pula saya secara otomatik menjadi seperti mereka selepas memeluk Islam? Takkan saya secara otomatik berfikiran seperti mereka? Lagipun saya memang tidak mahu menjadi Melayu, berfikiran seperti Melayu dan berkelakuan seperti Melayu, hehehe! Saya bahagia menjadi Cina beragama Islam.

Saya tergelak. "Saya tak layaklah melabur dalam PNB," saya beritahunya.
"Mengapa?" dia hairan.
"Awak lupakah, saya bukan orang Melayu. PNB hanya terbuka kepada Bumiputera la.."
Hahahahaaaa... ramai yang lupa sebenarnya bahawa saya masih berketurunan Cina, walaupun setelah memeluk Islam. Masalah ini mungkin kerana mata saya tidak sepet!

Kontroversi.. hidup lebih menarik dan mendewasakan dengan kontroversi yang datang tanpa diduga. Saya? Saya sudah biasa, dan semua perkara bagi saya hanya perkara kecil, walaupun mungkin dianggap besar bagi mereka yang tidak biasa mengalami konflik dan kontroversi dalam hidup. Lupakah kita bahawa semua perkara yang berlaku ditentukan oleh Allah, dan semua hal adalah dibawah urusanNya?
Semua pengalaman yang saya alami itulah yang telah mematangkan dan memberi kekuatan kepada saya, sehingga membentuk peribadi saya hari ini.
Alhamdulillah...

nota: Banyak merepek nampaknya dalam pos ini.. saja nak luahkan kerana teman hidup saya di luar negeri.

10 comments:

  1. salam... sekadar mencelah... anggaplah segala yg berlaku ujian utk kita berlapang dada & bersangka baik... sbg muhasabah atas kekurangan diri yg tak pernah sempurna... mudah2an ada ruang utk mengeratkan silaturrahim sesama muslim... dan mendoakan sesama kita semua utk menjadi hambaNya yang disayangiNya.. Ameen..

    (just my 2 cents)

    ReplyDelete
  2. Assalammualaikum Kak Aliya,

    Best jugak kontroversi sebenarnya.. orang akan tengok cara kita handle; cara yang tenang atau melatah. Kadang-kadang kita tak tahu yang orang akan hormat kita setelah dia lihat cara kita tu..

    Hidup saya pun selalu berkontroversi.

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. salam aliya...

    hidup ini memang penuh kontroversi
    kadangkala bukan kita yang mencari
    tapi, orang lain yang pandai2 memberi :)

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum kak liya. Sy mmg suka menjenguk ke laman blog ni. Amat menarik. Cuma tidak kesempatan bertegur. Bimbang kalau -kalau tiada feedback. Tapi semlm saya mimpi kak liya dtg. Ikshh. W/pun saya tahu dia hanya mainan tidur. tapi saya mahu juga bertandang dan bertegur.

    Kontroversi. Saya alami juga kerana saya berkahwin ketika saya masih belajar. Dan suami pula bekerja biasa-biasa. Dan hinggalah mcm mcm isu. Tapi saya hanya tersenyum.

    ReplyDelete
  6. Waalaikumussalam Myzwar,& Humyrah,
    Tak marah pun atau terkilan dengan apa yang berlaku, sebab saya percaya ada hikmah di sebaliknya.Hanya tersenyum MonaLisa kerana menyedari diri ini Very-Important-Person rupanya, hehehe.. sehingga ada pihak yang begitu berminat dengan segala yang saya lakukan. Kalau saya tidak penting, masakan ada pihak yang mahu mengambil tahu? Buang masa, bukan, untuk ambil tahu hal orang lain?
    Humyrah, setuju sangat. Saya tak cepat melatah, tetapi kasihan juga pada pihak lain yang sudah lama di'nilai'kan.

    ReplyDelete
  7. salam,

    pada pendapat saya, setiap bangsa itu ada kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. sebab itu Tuhan menciptakan pelbagai bangsa, agar dapat saling belajar dan memperbaiki kelemahan diri. kata HAMKA, hidup ini sebuah sekolah, tempat kita belajar sehingga meninggal dunia. setiap yang berlaku pasti ada yang dapat kita pelajari. dan pengalaman yang pahit itu bukankah sebaik-baik guru?

    wallahu'alam.

    ReplyDelete
  8. Waalaikumussalam kakseroja & shu,
    Yang memberi itu, diucapkan terima kasih..kerana memberi peringatan,menjadikan hidup lebih menarik, dan memberi "hadiah" kepada kita :)Padahal kita sikit pun tak rugi.

    shu, insyaAllah akan ada feedback.Mimpi akan saya? Huhuh, semoga kita berpeluang bertemu di dunia nyata, ya.

    ReplyDelete
  9. Waalaikumussalam,
    "saya memang tidak mahu menjadi Melayu, berfikiran seperti Melayu dan berkelakuan seperti Melayu, hehehe! Saya bahagia menjadi Cina beragama Islam."
    Mengapa?
    Sebab tujuan saya memeluk Islam BUKAN untuk menjadi Melayu!
    Saya memeluk Islam untuk menjadi umat Islam, Muslimah, mukmin, hamba Allah.. yang tidak terikat dengan mana-mana adat dan budaya mana-mana bangsa yang bercanggah dengan syariat Islam.
    Prioriti saya adalah hidup sebagai umat Islam sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah [insyaAllah], bukan sebagai saudara baru bangsa Cina atau 'Melayu celup' yang hanya ikut telunjuk orang lain. Di Malaysia, orang Cina dan bangsa lain juga banyak kelemahannya tetapi mereka tidak berada di bumi Allah dengan label orang Islam? Kita pula bagaimana?
    Ya, saya akui, saya agak kritikal selepas memeluk Islam. Yang saya pelajari tentang Islam banyak bercanggah dengan yang saya alami melalui pergaulan dengan masyarakat Melayu Islam.Mahu tidak mahu, suka atau tidak, kita perlu akui orang Melayu sinonim dengan agama Islam, orang lain akan nilai Islam melalui sikap dan tingkahlaku orang Melayu. Jika Melayu kuat, Islam akan terserlah. Orang lain tidak lihat dari segi cara hidup mualaf Islam kerana bilangan mualaf di negara kita masih sedikit, walaupun selepas 51 tahun merdeka.
    Saya juga kritikal pada bangsa saya sendiri, dengan adat Cina dan amalan yang kurang logikal, sebagaimana saya telah nyatakan dalam pos yang lalu.

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum

    i'm a controversial person myself. the harder i try to avoid, more controversies will come. don't know why, so i just let it be.

    Wasalam

    ReplyDelete