Saturday, July 11

CABARAN PENCERAMAH WANITA

"Ya Allah.. apa nak buat ni?"
Saya tarik nafas panjang, dan teruskan memandu seorang diri. Peta kecil yang dilakar oleh suami [sebelum beliau ke Kota Bharu semalam] menjadi panduan, dan gambaran peta yang saya lihat dalam internet masih dalam ingatan tetapi dah ditentukanNya, saya tetap sesat. Saya silap memilih selekoh, lalu tiba di satu tempat yang saya tahu memang bukan tempatnya. Bila berpatah balik ke jalan utama, saya sedar rupa-rupanya saya telah membuat satu pusingan besar tanpa menjumpai papan tanda bangunan yang hendak dituju. Maklum saja, belum pernah tiba di situ.

Mujurlah saya keluar rumah awal, dalam hati dah berdoa agar kali ini tidak perlu melalui ujian sebelum tiba di tempat ceramah. Tapi nampaknya diri ini perlu melalui ujian sekali lagi. Pelik bin ajaib, setiap kali hendak menyampaikan ceramah, saya akan diuji dengan kepayahan untuk ke tempat ceramah. Ceramah pertama di USM, jalan ditutup menyebabkan saya dan suami terpaksa mengambil jalan lain yang lebih jauh. Ceramah kedua di UiTM, kami terpaksa berkejar ke lapangan terbang kerana kesesakan lalu lintas di atas Jambatan Pulau Pinang. Ceramah ketiga di sekolah semalam, ceramah bermula lewat 10 minit kerana PA system. Hari ini pula, tanpa suami di sisi, saya sesat jalan. Hendak berhenti bertanya jalan, risau kerana saya memandu seorang diri; jikalau tertanya yang berniat jahat, susah lain pula.

Syukur alhamdulillah, zaman ini sudah ada handfon. Saya berjaya juga tiba di An-Nadhoh Inn pada 3.50 petang setelah dipandu arah oleh seorang pakcik yang dihantar oleh pihak penganjur.
Hujan telah berhenti. Oh, besar juga kawasan tersebut. Sebuah surau dan sebuah rumah tumpangan.

Bagaimana dengan ceramah? Alhamdulillah, seperti sebelumnya, setelah diuji dengan kepayahan ke tempat ceramah [dan bersabar menghadapinya], saya berjaya menyampaikan dengan baik. Mungkin itulah hikmah di sebalik ujian ke destinasi. Kali ini berceramah [berkongsi pengalaman hidup sebenarnya] dalam keadaan duduk, dalam majlis yang kurang formal. Pendengar pula kaum wanita yang kebanyakannya mengikuti Qiamulail pada malam ini. Waktu yang diberi 1 jam, diikuti dengan sesi soal-jawab. Saya pula yang "control" diri supaya tidak emosional, apabila melihat di hadapan saya ada beberapa kakak yang mengesat air mata ketika saya berceramah.

Bukan mudah hendak menyampaikan ceramah berkisarkan pengalaman hidup sendiri rupanya! Kalau lemah mengawal diri, ceramah tidak dapat diteruskan kerana penceramah sudah sob-sob-sob dengan mata yang bengkak, huhuhuu. Maklumlah penceramah wanita yang berhati lembut.

Saya memilih untuk tidak bersolek langsung pada kali ini kerana slot ceramah selepas solat Asar. Dapatlah bersolat jemaah dengan mereka dahulu. Ini lagi satu cabaran untuk penceramah wanita, kerana perlu berhati-hati dalam penampilan diri. Pakaian warna apa, jenis apa, dan tudung apa, tambahan jika perlu berwuduk dan bersolat sebelum sesi ceramah sendiri. Pakaian perlu sesuai dengan suasana. Kena tahu siapa pendengar dan di mana. Kain telekong perlu bawa bersama. Lelaki tidak perlu peningkan kepala dengan soal ini; cukup sekadar pakaian bersih bergosok dan kopiah di kepala. Tapi wanita? Mengingatkan diri adalah seorang Muslimah, seorang isteri, seorang anak, seorang menantu, dan berada di situ pun dengan izin Allah banyak membantu saya, alhamdulillah.

Syukur pada hari ini saya berpeluang berjumpa dengan ramai lagi wanita Islam. Syabas kepada pihak penganjur - Pn.Zarifah dan sahabat-sahabatnya yang bertungkus-lumus menyediakan segala persiapan. Kata mereka, ini sudah kali ke4 mereka menganjurkan Qiamulail di An-Nadhoh Inn, dan mereka teruja kerana para penceramah yang dijemput kali ini berjaya menyampaikan dalam slot yang diberi.

Hujan rahmat yang turun selepas solat Asar berterusan sehingga malam. Saya tidak dapat bersama mereka berqiamulail pada kali ini kerana ada kerja lain yang perlu diselesaikan segera pada hujung minggu ini. Terima kasih kepada Kak Ila yang berbesar hati menjadi pemandu arah pula [saya ikut keretanya] untuk saya pulang dengan selamat ke rumah.

Saya doakan agar Allah swt permudahkan segala urusan mereka di An-Nadhoh Inn pada malam ini dan keesokan hari, ameen.

Nota: Lupa nak minta tolong kakak-kakak untuk ambilkan gambar saya ketika berceramah, kamera tertinggal dalam beg tangan, huhuhuuu... perlu tunggu sedekah para hadirin yang telah mengambil foto saya :)

2 comments:

  1. Assalammualaikum.
    Teringat pada pengalaman public speaking saya pada kursus induksi yang lalu. Juga bercerita tentang pengalaman sendiri. Audiens menangis mendengar public speaking saya.
    Kalau saya sebagai pendengar ceramah Kak Aliya, sudah tentu saya akan menangis juga. (Kerana membacanya di blog ni pun dah buat saya menangis!)
    Ya, kita ni berhati lembut kak..

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam Humyrah,
    Ya, kita semua yang telah diujiNya ada cerita sendiri. Kak Aliya boleh agak apa yang Humyrah kongsi dengan audiens, akak juga tentu akan menangis sama!
    Semoga kita tabah dan sabar menghadapi ujian hidup

    ReplyDelete