Two roads diverged at thirty-five, and I - I took the one less travelled by, and that has made all the difference.
Saturday, April 4
TUMPANG
Dahulu
"Cikgu, saya nak tumpang ke sekolah..bas tinggalkan saya!"
Merah padam muka saya menahan malu tetapi apakah daya, terpaksa. Cikgu Mohd Danial, guru Biologi Tingkatan 6 sekolah saya, yang tinggal berdekatan rumah, sekadar mengangguk. Dia faham.
Semenjak berpindah ke rumah yang jauhnya 25 minit dari sekolah, saya menghadapi masalah pengangkutan pergi-balik sekolah. Pakcik pemandu bas sekolah kadang-kala terlupa mengambil saya, kerana rumah saya yang letaknya agak jauh dari jalan utama. Apabila melihatkan bas tersebut memecut meninggalkan kawasan perumahan tanpa berhenti mengambil saya, terpaksalah saya mencari jiran-jiran yang berkereta yang sudi membawa saya ke sekolah. Jangankan motosikal, basikal pun tiada di rumah. Kami orang susah; ayah dan mak awal-awal pagi lagi sudah keluar rumah. Saya terpaksa menguruskan diri sendiri.
Waktu itu, tak pernah terlintas di kepala untuk ponteng sekolah. Hati hanya risau kerana tiada kenderaan untuk ke sekolah. Jikalau hendak menaiki bas awam, saya perlu berjalan kaki selama 20 minit ke jalan utama dan kemungkinan besar akan hanya tiba di pintu sekolah 1 jam kemudian. Mahu tak mahu, semata-mata kerana mahu ke sekolah untuk belajar, saya terpaksa menebalkan muka meminta bantuan orang lain.
"Cikgu, saya nak tumpang ke Bakar Arang?"
Waktu pulang selepas mesyuarat kelab, saya juga terpaksa memberanikan diri meminta menumpang kereta guru. Syukur, Cikgu Abu Bakar Awang tidak pernah mengecewakan harapan saya. Jikalau tidak, saya perlu berjalan selama 20 minit ke stesen bas pada jam 2 petang kerana bas awam yang lalu di hadapan sekolah hanya sejam sebuah.
Pada ketika itu, saya yang masih belum Islam tidak tahu bahwa rupa-rupanya tindakan saya seorang pelajar perempuan yang menumpang kereta guru lelaki merupakan sesuatu yang "kurang elok.". Sekiranya mereka tahu pun, mereka tidak pernah menyuarakan hal itu kepada saya. Mereka kurang bercakap, dan saya yang duduk di tempat duduk belakang kereta sekadar senyap membisu sehingga diturunkan di lokasi yang sesuai.
Nasib saya tidak selalunya baik. Kadang-kadang terpaksa berjalan kaki seorang diri dari sekolah ke stesen bas di bawah panas terik matahari. Ketika itu timbul perasaan sedih mengenang nasib diri apabila sebuah demi sebuah kereta yang dinaiki rakan-rakan sekelas saya lalu dalam arah yang sama tetapi tidak berhenti. Hanya sebuah sahaja yang selalu menumpangkan saya, dan rakan itulah yang akhirnya menjadi pelajar terbaik SPM sekolah saya.
Pada ketika itu berjalan menggalas beg sekolah itu juga, saya bertekad tidak akan menjadi seperti mereka-mereka yang sekadar memandang keluar dari tingkap kereta ibu bapa mereka setiap minggu. Saya mahu mencontohi sikap Cikgu Danial dan Cikgu Abu Bakar, malah jikalau boleh, lebih baik lagi.
Sekarang
"Ha, nak balik? Jom, cikgu tumpangkan ke tepi jalan, tak payah naik bas seorang diri," saya ajak selepas aktiviti petang.
Dia segan tetapi akhirnya mengalah apabila kereta saya berhenti di perhentian bas.
"Dah lama tunggu? Bas masih belum sampai?" Saya bertanya yang sedang menunggu seorang diri di situ.
"Lama juga."
"Naiklah. Tunjuk mana saya nak turunkan kamu nanti."
"Terima kasih cikgu."
Dia melambai-lambai dengan ceria apabila saya meninggalkannya di tepi jalan menuju ke kedai ibunya.
Saya pun ceria. Agaknya itulah perasaan Cikgu Danial dan Cikgu Abu Bakar, yang pernah menumpangkan saya dahulu tanpa meminta apa-apa bayaran.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
assalamualaikum
ReplyDeletecerita akak mengingatkan saya pada zaman sekolah dulu... saya bersekolah di sekolah cina yg sejam perjalanan dari rumah... pernah sekali saya ditinggalkan bas time balik sekolah petang, jadi dekat maghrib saya masih depan sekolah, tak tau nak buat apa, panik sebab baru drjh 1... nak call rumah, time tu kampung kami belom ada line telefon, handphone belum wujud kot (1989)... nsib saya baik sebab ada seorang aunty (mak kepada pelajar lain yg bukan sekelas dan saya tak kenal) datang dan temankan saya... dia tak fasih berbahasa melayu, dan saya time tu belum fasih mandarin, cam ayam itik kami bersembang, sampai lepas isyak baru orang tua saya datang ambik ^_~
i havent had the chance to help anyone with my car, yet. but i've helped my mum with her groceries, tho. =)
ReplyDeleteSalam Puan Aliya,
ReplyDeletePengalaman banyak mengajar kita erti kehidupan. Pengalaman menghadapi kesukaran menyedarkan kita tentang keperluan untuk membantu orang yang dalam kesusahan.