"Inilah kursus pertama saya hadiri selama berjam-jam tanpa rasa penat, mengantuk atau bosan."
Ramai mengangguk setuju. Alhamdulillah, kami semua berjaya menamatkan latihan ESQ165 setelah 3 hari mengembara bersama-sama. Bila tiba di dewan pada hari pertama, masing-masing belum kenal. Alhamdulillah. Bila tinggalkan dewan itu pada akhir perpisahan, ramai yang saling berpelukan. Hilang rasa segan, rasa sombong, rasa mementingkan diri sendiri.
Saya tidak akan menerangkan satu persatu apa yang saya lalui selama 3 hari, selama 20 jam di dalam dewan itu. Biarlah mereka yang berminat mengalami perjalanan itu sendiri. Berbeza dengan kursus dan latihan lain, ESQ menawarkan satu pengalaman, satu latihan berbentuk 'inside out' dengan membawa kita mengenali siapa Pencipta kita dahulu sebelum mendedahkan bagaimana membina kehidupan yang benar-benar bahagia. Bagi yang Muslim pula, bagaimana menjadi Muslim yang terbaik.
Cukuplah untuk saya katakan, ia satu pengalaman yang berharga kerana menambahbaik segala yang ada, menjernihkan beberapa kekeruhan, dan menimbulkan kesedaran tentang banyak perkara yang sering membelenggu diri baru-baru ini. Terima kasih banyak-banyak kepada rakan-rakan ESQ yang mengajak, terutama kepada Kak Maryam dan saudara Mazlan yang menjadikan hasrat saya dan suami ke program tersebut menjadi kenyataan (malangnya suami tidak dapat bersama kali ini kerana hal 'urgent').
Syukur dan segala pujian bagi Allah swt yang sentiasa mendengar doa dan permintaan saya yang kerdil ini. Pengisian demi pengisian yang diberikanNya kepada saya secara berkala, semasa saya memerlukan sesuatu yang baru, lebih menyedarkan diri yang lemah dan sering lalai ini akan kebesaranNya dan kasih sayangNya.
Saya doakan semoga mereka yang menghadiri latihan ESQ165 berjaya merealisasikan segala yang diterima dalam latihan tersebut untuk menjadi manusia yang lebih baik (kerana ada yang bukan Islam turut menjadi peserta), Muslim yang lebih berkualiti dan anggota masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan bertimbang rasa..
No comments:
Post a Comment