Monday, April 27

MENAHAN MAAF

Pada satu hari, dua sahabat baik berselisih faham. Puncanya hanya satu kesilapan kecil di satu pihak, tetapi ia merupakan perkara besar kepada pihak yang satu lagi. Apabila menyedari kesilapan yang dilakukannya, sahabat yang pertama, Ahmad segera mendekati sahabatnya Borhan untuk meminta maaf. Berkali-kali Ahmad yang menghargai persahabatan mereka itu meminta maaf tetapi Borhan hanya diam membatu. Masam mukanya, tiada sepatah perkataan yang keluar dari bibirnya. Akhirnya setelah puas cuba memujuk namun gagal, Ahmad yang kecewa membawa diri dan terputuslah persahabatan yang terjalin.
Apabila ditanya kepada Borhan mengapa dia masih tidak mahu memaafkan Ahmad walaupun Ahmad sudahpun mendekatinya dan meminta maaf, jawabnya, "Aku kecil hati dengan perbuatannya itu."
"Kecil hati?"
"Ya, benar. Aku kecil hati dengan sikapnya yang tidak menghormati saya."
"Bukankah dia sudah meminta maaf padamu? Mengapa masih tidak mahu memaafkannya?"
"Ya, benar...tapi aku mahu mengajarnya."
"Sampai bila kamu mahu mengajarnya? Bukankah dia sudah sedar kesilapannya, sebab itu dia telah datang meminta maaf?"
"Tapi aku belum bersedia memaafkannya!"

MasyaAllah!
Mengapa jadi seperti itu?Mengapa Ahmad menahan maaf?
Mengapa Ahmad enggan memaafkan sahabat baiknya Borhan yang telah datang meminta maaf padanya?
Pernahkah perkara begitu berlaku kepada nada?
Adakah anda Ahmad atau Borhan?

Borhan menahan maaf kerana dia belum bersedia memaafkan Ahmad.
Dia telah menahan dirinya daripada memaafkan sahabatnya.
Pada pendapat anda, siapakah yang jiwanya lebih merana?
Adakah apabila menahan maaf, maka akan masalah akan menjadi lebih baik atau lebih buruk?

Mungkin Borhan berpendapat dia memrlukan masa untuk memaafkan Ahmad.
Mungkin Borhan menganggap kesalahan Ahmad kepadanya terlalu besar, maka maaf itu ditahan.
Namun ketika marah itu, adakah Borhan mengingat kembali segala kebaikan Ahmad lakukan kepadanya selama persahabatan mereka? Adakah segala kebaikan itu tidak seberat kesalahan yang dilakukan oleh Ahmad tadi jikalau ditimbang pada neraca?
Sedarkah apa yang sebenarnya menahan diri Borhan daripada memaafkan Ahmad?

Yang menahan Borhan daripada memaafkan Ahmad adalah EGO!
EGO berkata,"Aku lebih penting! Aku lebih baik kerana aku telah menjadi mangsa perbuatannya. Aku berhak menahan maaf."
Hati berkata,"Aku sayang dia sebenarnya. Aku mahu memaafkan dia.."
EGO berkata,"Tunggu dulu! Pastikah kamu bahawa dia sudah menyesal? Cukupkah masa untuk dia menyedari kesalahannya kepadamu?"
Maka EGO menahan hati daripada menerima maaf. EGO mengajar hati untuk menjadi keras dan menjadi pendendam. "Dia melukakan hatiku, maka inilah masanya aku balas kesalahannya itu. Aku tak mahu bercakap dengannya. Aku tak mahu bertemu wajah dengannya. Aku tidak mahu memaafkannya sekarang. Tunggulah sehingga hatiku sejuk dahulu, tunggu sehingga dia benar-benar menyesal akan kesalahannya kepadaku dahulu barulah aku akan memaafkannya. Aku mahu dia sakit dan susah sebagaimana dia menyakiti hatiku!"

Maka EGO mengembang dalam hati. EGO menahan hati yang lembut itu daripada memaafkan kesalahan orang lain. EGO menampakkan dirinya seolah-olah berpangkat lebih tinggi daripada orang yang "bersalah itu" "Aku mahu mengajar anakku.. isteriku.. suamiku.. sahabatku..."EGO memberi alasan.
Tapi...
bukan dengan cara menahan maaf!
bukan dengan cara berkeras hati.
bukan dengan cara mahu membalas dendam.
bukan begitu caranya!

Melayan EGO dengan menahan maaf hanya akan mengeraskan hati sendiri, menutup pintu hati daripada kasih sayang sejati, iaitu kasih sayang Allah swt. Apabila kita enggan memaafkan kesalahan orang lain kepada kita, bagaimana kita mahu Allah swt Yang Maha Mengetahui dariapda memaafkan dosa-dosa kita sendiri?
Ketika kita menahan maaf, bersikap keras hati menerima kehadiran orang lain yang dirasakan telah menyakiti hati, bagaimana kita mahu Allah swt bersikap pemurah dan mengasihani terhadap diri kita?
Sebagaimana Allah swt menjadikan kita, Allah juga menjadikan orang lain di dunia ini dan mereka juga menyembahNya.
Mungkin mereka yang kamu tahan diri daripada memaafkan dan menerima dirinya semula dalam hidup kamu, telahpun mengadu kepada Allah swt bahawa kamu masih enggan memaafkannya, maka Allah swt telah memaafkannya dosanya kepada kamu?
Tetapi dosa kamu kerana enggan memaafkannya masih belum langsai?

Renunglah sejenak.
Janganlah menjadi orang yang rugi.
Memberi maaf satu bentuk sedekah yang baik, menenangkan jiwa dan merapatkan siratulrahim.
Maka berilah maaf, hulurkan maaf itu dan eratkan siratulrahim supaya kamu terus dikasihi Allah.

Jikalau kamu Ahmad, maafkanlah Borhan atas perbuatannya... doakan agar hatinya kembali lembut kepadamu, agar dia segera mendapat petunjuk dan hidayah supaya EGO yang menjadi penghalang itu dapat disingkirkan daripada bertapak di hati saudaramu yang dikasihi itu. Kerana orang yang menahan maaf bukannya bahagia tetapi merana hati dan jiwanya. Hanya mereka yang melaluinya akan mengerti.

Surah asy-Syura 42:43 bermaksud,
Tetapi barang siapa bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia

2 comments:

  1. salam, rasanya karakter yg dibawakan bertukar watak; susah la nak respon.hehe

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam, mekyam. Haahahahaa, tahniah kerana prihatin! Saya tukar nama mereka maka jadilah split personalities sperti tu :P
    Terima kasih banyak-banyak. Saya dah betulkan dalam pos ini.

    ReplyDelete