Mereka ketawa.
"Saya pilih untuk anak dan pangkat."
"Wang dan diri."
"Wang dan wanita!" katanya diikuti dengan gelak ketawa.
"Kena kerja, tak kerja tak dapat gaji. Tanpa wang, nak hidup macam mana?"
Betul, kerja itu penting tetapi persoalannya adalah.. kerja untuk apa?
Kerja untuk gaji dan wang? Untuk membiayai kehidupan sendiri dan anak-anak? Untuk cepat naik pangkat? Untuk kepuasan sendiri? Untuk hiburan? Untuk dapat peluang berjumpa wanita/lelaki yang diminati?
"Bosan aku!!! Pagi pergi kerja, petang balik rumah, malam letih tidur, esok ulang perkara yang sama hari-hari..Rutin yang membosankan."
"Tensen aku! Teruk-teruk aku kerja tetapi kena marah dengan bos!Aku bertahan semata-mata kerana takut dibuang kerja!"
"Geramnya..! Anak orang lulus peperiksaan, anakku pula balik dengan keputusan gagal. Teruk aku kerja siang malam, buat OT, tapi anakku jadi mat rempit, kena buang sekolah beberapa kali. Untuk apa aku kerja teruk, untuk mereka juga!"
"Pengarah tak hargaiku. Bila aku disuruh buat projek, aku buat sungguh-sungguh tetapi dia tak naikkan pangkat aku pun. Dia naikkan pangkat orang lain yang dok goyang kaki di ofis.Pengarah pilih kasih!"
Pernah alami keadaan kerja yang merimaskan? Pagi mesyuarat, petang mesyuarat, malam pun dipanggil mesyuarat? Apabila diri sendiri berasa malas untuk ke tempat kerja, dan menanti tibanya cuti hari Ahad? Wang gaji yang diterima hanya mampu dipegang untuk beberapa hari sebelum habis digunakan membayar bil-bil, kad kredit dan pelbagai keperluan lain? Berasa diri kerja semata-mata untuk dapatkan gaji pada hujung bulan? Kerja harian seperti satu rutin yang bukan lagi menyeronokkan tetapi membebankan? Stres di tempat kerja menyebabkan kaki berasa berat untuk melangkah keluar pintu pada awal pagi menuju ke pajabat? Sudah tiada kepuasan bekerja, sudah hilang rasa 'ummph' kerana berada di tangga gaji mati? Sudah tidak tahan dengan gosip pejabat yang menyebabkan mahu bertukar tempat kerja atau berhenti kerja?
Untuk apa saya bekerja?
Kerja untuk dapatkan wang gaji bukan lagi sesuatu yang menyeronokkan kerana wang tidak pernah cukup di tangan. Dulu mula kerja gaji RM1000 cukup-cukup makan tetapi sekarang gaji RM5000 masih perlu berhutang.
Kerja untuk menyara kehidupan keluarga, hanya menyeksakan batin apabila anak isteri bukan sahaja tidak berterima kassih bakan melakukan perkara yang menyakitkan hati.
Kerja untuk kepuasan sendiri, hanya menjadi slogan kosong apabila diri tidak puas melihat orang lain pula yang menerima pujian, dinaikkan pangkat sedangkan sumbangan sendiri tidak pernah dihargai ketua.
Kerja untuk apa yang boleh membahagiakan diri sendiri? Yang boleh memotivasikan untuk mahu terus menyumbang dan menyumbang?
Bagaimanakah nak lepaskan diri daripada belenggu ini yang melemahkan semangat untuk bekerja? Pada pagi hari, awal-awal sudah terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas yang teruk. Belumpun tiba di pejabat tekanan darah sudahpun melambung naik kerana berhadapan dengan pemandu yang tidak bertimbangrasa.
Oh, saya sendiri pernah alami tetapi alhamdulillah, saya cepat menyedari dan berjaya mengatasi permasalahan ini dengan rahmatNya.
Renunglah. Pertama, apakah tujuan kita bekerja?
Adakah kerja yang kita lakukan itu merupakan sumber rezeki yang halal? Bukankah kita semua sebagai orang Islam mahu sampai ke Syurga Firdaus?
Tapi bagaimana hendak menuju Syurga Firdaus itu ?
Allah menyatakan dalam surah al-Maidah 5 ayat 35 yang bermaksud,
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadanya dan berjihadlah di jalannya supaya kamu mendapat keuntungan (kejayaan)."
Mudah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah dan berjihad di jalanNya. Kerja kita sendiri merupakan satu jihad.
Malangnya ramai antara kita yang belum sedar. Kita selalu menganggap bahawa mendekatkan diri kepada Allah perlu berada di masjid, berzikir, berdoa dan mendirikan solat. Berjihad perlukan pengorbanan masa. Sebenarnya semua itu boleh kita lakukan juga di tempat kerja.
Maksud saya, berkerjalah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh kerana Allah swt. Ketahuilah bahawa setiap titik peluh dan masa yang kita sumbangkan semasa bekerja, juga jalan jihad yang dijanjikan pahala.
Apabila kita mulakan kerja dengan namaNya, mulakan kerja harian dengan persepsi bahawa saya bekerja untuk mendapat berkat Allah swt, untuk mendapat rezeki halal dariNya, insyaAllah segala kerja yang dilakukan akan menjadi lebih mudah dan lancar. InsyaAllah kita akan lebih mampu memberikan yang terbaik apabila kita menyedari untuk mendapatkan rahmatNya, kita sebenarnya perlu bekerja untuk Allah swt.
Oleh itu, mengapa sedih apabila orang lain yang dinaikkan pangkat? Mengapa risau apabila bonus belum diberikan? Mengapa geram apabila bos tidak menghargai sumbangan kita? Bukankah sebenarnya segala kebaikan yang kita lakukan semasa hidup sudahpun dicatat malaikat untuk dibentangkan di padang masyar? Yakinlah kepada Allah swt bahawa setiap kerja yang dilakukan dengan ikhlas kerana mahukan keredhaanNya akan dibalas dengan kebaikan pada hari pembalasan.
Janganlah kita terlalu obses dengan kerja sehingga kita lupa bahawa pekerjaan yang kita ada pada hari ini sebenarnya satu amanah yang diberikanNya kepada kita.
Jangan kita terlalu menyayangi jawatan dan pangkat kita sehingga kita bersikap sombong dan asyik mengejar kenaikan pangkat sehingga kita lupa untuk bersikap prihatin, adil dan penyayang terhadap pekerja lain.
Jangan pula kita terlalu mengejar wang sehingga kita lalai menjalankan tanggungjawab terhadap ahli keluarga sendiri, mengabaikan kesihatan diri dan kurang bersyukur padaNya.
Surah ar-Ra'd ayat 11 bermaksud,
"Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri."
Apakah yang perlu dilakukan?
Mengikut Aa Gym(2007), seorang perlu...
"Bersemangat dan bekerja dengan gigih, disertai ilmu yang cukup.. bekerja dengan jujur, amanah, tanggungjawab, adil, dan cermat. Jangan risau dengan hasil pekerjaan tetapi perlu risau apabila tidak dapat bekerja dengan baik, tidak bersungguh-sungguh, tidak tekun dan lalai dalam kerja.Allah tidak akan sia-siakan orang yang bekerja dengan baik".
Betulkan niat kita dalam menjalankan sesuatu pekerjaan. Ihsan. Semasa tiada orang lain yang melihat dan menghargai kerja yang kita lakukan, yakinlah bahawa Allah swt sentiasa melihat dan menghargai setiap kebaikan yang kita hulurkan. Tiada satupun kebaikan dan usaha kita, umat Islam, yang akan menjadi sia-sia apabila kita bekerja dengan niat keranaNya. Hargailah masa yang diberikanNya kepada kita, kekalkan fokus kita pada keredhaan Allah dan insyaAllah semangat untuk terus tekun berusaha dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan akan berterusan.
Ingatlah Surah al-Jumu'ah 62 ayat 10, yang bermaksud..
"Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di bumi; carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung."