Thursday, August 28

SAREE, KEBAYA, & PURDAH

"Hari ini ada apa-apa special.. awak pakai saree?"
Pensyarah India itu terkejut melihat saya.
Saya tersengih. Bukan mudah hendak berpakat dengan kawan sebilik saya, untuk sama-sama memakai saree ke kuliah. Maklum sahaja, saya tidak mempunyai saree sendiri, maka coli ketat dan kain saree yang sesuai untuk saiz badan saya terpaksa dicari.
Saya memang hendak mencuba memakai saree sebelum memeluk Islam. Kalau boleh semua pakaian tradisi hendak saya cuba pakai, malangnya saya hanya berpeluang memakai cheongsam dan saree di khalayak ramai.
Kain sepanjang 3 ela itu dilipat dengan kemas dan dililit keliling badan. Mujurlah kawan saya itu pakar dalam pemakaian saree, maka proses pemakaian mengambil masa hanya 5 minit.
Bagaimana rasanya memakai saree?
Ohhh... Saya rasa sungguh anggun. Oleh kerana kain saree yang dililit itu dilipat dengan ketat pada bahagian pinggang, saya hanya boleh berjalan perlahan-lahan dengan postur yang tegak supaya kelihatan menawan.
Bahagian pinggang perlu ditutup dengan teliti. Semuanya kelihatan mudah tetapi sebenarnya tidak. Patutlah wanita India jarang memakai saree kerana hanya wanita yang mempunyai postur yang baik dan bersifat lemah-lembut yang mampu bertahan lama memakainya.
Kini kalau memakai saree pun hanya untuk tontonan suami tercinta :)
Saree menutup aurat? Tentu sekali tidak.
Ada wanita Islam yang memakai saree? Ada.

"Mengapa tak jahit kebaya saja?"
"Tak nak la.. terlalu seksi, hehehee.."
"Alahh.. perempuan Melayu pun pakai kebaya, takkan awak Cina tak boleh?"
"Itu mereka, saya lain. Lagipun tak selesa pakai kebaya di khalayak ramai, nampak bentuk badan."
"Tak sangka awak ni kolot fikiran."
"Bukan kolot tetapi menjaga aurat. Baju kebaya yang menampakkan bentuk badan tak menutup aurat, bukan? Mana boleh pakai di khalayak ramai?"
Memang benar, selepas memeluk Islam, baju kebaya yang ada tidak pernah dipakai di luar rumah. Saya sendiri tak ada keinginan pula untuk memakainya di khalayak ramai.
Kebaya menutup aurat? Juga tidak.
Ada wanita Islam memakai kebaya? Ramai.

"Ishh, terkejut saya. Ingatkan apa tu."
"Mengapa?"
"Itu.. malam-malam pakai begitu, hampir pengsan saya dibuatnya."

Saya ketawa kecil. Patutlah Dina(bukan nama sebenar) mengadu. Di hadapan kami, terdapat dua orang wanita keturunan Arab yang berpurdah hitam. Hanya mata mereka yang kelihatan. Mereka merupakan isteri-isteri para pelajar universiti yang berasal dari Timur Tengah, dan menetap di rumah kelamin berhampiran dengan asrama saya. Setiap petang dan malam, mereka akan keluar bersiar-siar dengan anak-anak dalam keadaan berpurdah hitam. Mereka berbahasa Arab dan mengasingkan diri daripada kami.

"Tak panaskah mereka tu menutup semua kecuali mata yang kelihatan?"

"Tak tahulah tetapi saya agak mereka tak rasa panas. Mungkin kain hitam yang mereka pakai tu selesa untuk dipakai dalam cuaca kita yang panas. Saya tak tahulah sebab saya tak pernah berpurdah. Belum ada peluang nak cuba."

"Mereka tu Arab, oklah. Itu budaya mereka. Yang aku tak faham, mengapa ada orang kita sendiri yang nak sangat pakai purdah tu? Nak sangat jadi Arab, sedangkan diri masih Melayu."

"Eh, mengapa awak kata begitu? Bukankah memakai purdah itu juga sebahagian daripada pemakaian Islam?"

"Itu untuk orang Arab sebab sana panas dan berdebu. Mana boleh samakan dengan Malaysia ni? Aku hairan gak, mengapa nak tutup semua sehingga nak dengar suara dia pun susah? Bukankah susah nak makan dan minum kalau berpurdah? Buat apa menyusahkan diri sendiri sedangkan Islam itu mudah?"

"Mungkin bagi awak wanita yang berpurdah itu menyusahkan diri sendiri tetapi bagi dia, dia bahagia memakai purdah. Baginya dia menurut syariat Islam. Kalau dia hanya memakai tudung biasa tanpa menutup wajahnya, mungkin ramai lelaki yang akan terpikat dengan kecantikannya sehingga dirinya sendiri tidak tenang. Lagipun apa yang awak susah hati sangat dengan mereka-mereka yang berpurdah? Itu hak mereka sama ada nak bertudung biasa atau berpurdah."

"Saya hanya hendak mempertahankan hak mereka."

"Hak mereka? Maksud awak?"

"Hak mereka untuk keluar rumah tanpa perlu berpurdah. Purdah bukan budaya Melayu pun. Memakai baju kurung dan bertudung bukankah dah mencukupi syarat menutup aurat?"

"Benar tetapi awak berat sebelah. Awak tak adil kepada mereka yang berpurdah."

"Apa awak ni? Saya hanya mengatakan wanita Melayu Islam tidak perlu berpurdah, itu aje."

"Benar tetapi awak lupa satu perkara penting. Mereka juga ada hak untuk memakai purdah, lagipun ia menutup aurat. Bahkan bagi saya, tindakan mereka patut dipuji kerana mereka berpegang kepada prinsip mahu menjaga aurat, walaupun bagi sesetengah daripada kita, cara pemakaian mereka itu ekstrim. Mereka yang berpurdah tak mengganggu sesiapa pun dengan cara berpakaian mereka itu. Sebaliknya awak pula yang memperkecilkan tindakan mereka yang berpurdah dan menutup aurat dengan lengkap, sedangkan ramai wanita Melayu Islam yang sengaja mendedahkan aurat, yang memakai baju tak cukup kain atau berseluar jeans ketat, tidak pula awak tegur atau kritik. Saya rasa awak yang bermasalah, bukan mereka yang berpurdah."

"Maksud awak, saya tak adil?"

"Ya, awak tak adil kepada wanita yang memilih untuk memakai purdah. Awak terima wanita-wanita Islam yang sengaja mendedahkan rambut mereka. Juga mereka yang berbaju ketat, yang berbaju pendek dan yang berbaju mendedahkan anggota badan yang tidak sepatutnya didedahkan mengikut ajaran Islam. Awak terima semua tu dengan alasan itu hak mereka untuk berpakaian. Mungkin awak dah biasa melihat keadaan mereka berpakaian begitu maka awak tak rasa ada kejanggalan lagi. Awak juga tak tegur wanita India yang bersaree atau wanita Cina yang bercheongsam ketat dengan alasan mereka berhak memakai pakaian yang mereka suka. Namun bila tiba-tiba awak lihat wanita yang menjaga kehormatan diri dengan memakai purdah, awak memperkecilkan tindakan mereka, awak ejek, awak hina. Awak tak pula mempertahankan hak mereka itu. Saya hairan, adakah awak faham apakah itu cara penampilan wanita Islam yang sebenar mengikut Islam?"

Diam.

images: http://www.saree.org.in,/http://www.maroztailoring.com.my/, http://www.muslimbase.com/

15 comments:

  1. Ramai umat Islam yang tidak menggunakan al-Qur'an sebagai rujukan dalam hidupnya. Ia diperlukan hanya semasa majlis khatam, sebagai barang hantaran perkahwinan atau masa bersumpah. Masa-masa yang lain mereka tidak hirau tentang al-Qur'an. Sebab itulah mereka merasa selesa dan seronok dengan kehidupan yang tidak berpandukan al-Qur'an.
    Renungilah mafhum firman Allah berikut supaya kita mendapat hidayah:
    "Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu`min: `Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka`. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [ayat 59, surah al-ahzab]

    ReplyDelete
  2. Assalamu3leykum.
    Sy tertarik nk bg komen.

    Entah knp, sejak sy menumpang ilmu di negara Arab ni, bila terlihat wanita Arab pakai purdah, hati jd sejuk memandang. Tp kudrat kekuatan sy utk turur serta sama tiada kerana skeptikel pemikiran masyarakat melayu di sekeliling sy. Entahlah.

    Kita insan terpilih memilih cara terbaik memelihara kurniaanNya.

    Salam raamadhan.

    ReplyDelete
  3. Kak Aliya,

    terima kasih kerana telah memberikah hujah yg baik mengenai hak wanita berpurdah utk memilih cara berpakaian mereka.

    Saya terasa seperti telah dibela kerana saya juga berpurdah.

    Salam Syawal.

    ReplyDelete
  4. Salam,
    Jangan takut mengambil sesuatu prinsip yang selari dgn ajaran Quran, biarpun bukan seiring dng pendapat da pegangan orang sekeliling kita. "sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi,"(surah al-hujurat: 15)

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum,

    Menarik.. terima kasih kerana mempertahankan hak wanita berpurdah.. ada segelintir yg menganggap wanita berpurdah menyeksa diri sendiri.. saya juga berpurdah hitam dan saya rasa sangat bahagia memakainya. saya tak pernah rasa menyesal dengan keputusan saya malah tak terdetik di hati saya untuk menanggalkannya. Saya selesa berpurdah. Purdah adalah Islamic dress code. Oleh kerana telah lama diamalkan oleh masyarakat Arab maka ia sudah sebati dengan budaya orang Arab. Muslimah Melayu, Cina, India, Arab silakan memakai purdah jika mahu kerana kita adalah orang Islam. I'm proud of you sis. May Allah reward you with Jannah. Maafkan saya sekiranya penulisan saya menyinggung mana-mana pihak.

    ReplyDelete
  6. Waalaikumussalam
    Keadilan perlu diletakkan pada tempatnya. Alhamdulillah kerana Nur Solehah selesa dengan pemilihan sendiri yng seiring dengan kehendak Islam. Mencuba memakai purdah? Kedai mana yang menjual purdah?

    ReplyDelete
  7. MasyaAllah..this is a cool blog!!
    saya juga memilih berpurdah, masyaAllah mabruk kerana cara penyampaian tentang purdah yang simple tapi terkesan di hati!

    ReplyDelete
  8. Nurul Iman,
    Pemakaian purdah adalah satu pilihan Muslimah, tiada pihak yang berhak mempertikaikan kerana ia adalah mengikut syariat Islam. Cuma saya berharap apabila kita Muslimah menutup aurat, perlulah sentiasa bersangka baik pada mereka yang belum berbuat demikian

    ReplyDelete
  9. ass,kak saya pengen banget pakai sarre,tapi susah banget pakenya dan saya gak tau dan bingung karena saree yang saya punya kain 2 buah dngan masing2 ukuran panjang kira2 2m atau 3m
    saya gak tau juga gak pernah ukr sich......
    kak bisa gak kakak email ke email saya di curly_brigitte@yahoo.com tentang pnjelasan secara rinci cara memakai saree,klo bisa dengan gambarx kak hehehe......agar lbih muda lagi dimengerti kak...please kak_^

    ReplyDelete
  10. saya teringin memakai jilbab dan memakai purdah kerana saya rasa ia melindungi saya dari mata manusia yg sering menandang kaum wanita pada rupa walaupun sudah bertudung tapi suami dan keluarga agak keberatan kerana takut saya berubah secara drastic.Haruskah saya meneruskan niat saya ...kerana jiwa saya tak tenteram:(

    ReplyDelete
  11. kdang2 orang yang memakai purdah sering dipandang aneh....tapi tidak pula pada yang memaki seluar ketat dan baju yang nampak pusat......subhanALLAH... kembalikanlah mereka kejalan yang benar ya ALLAH.....

    ReplyDelete
  12. marlena, pemakaian purdah oleh isteri disyorkan mendapat persetujuan suami, untuk mengelakkan sebarang konflik kelak. Hal ini kerana suami juga yang akan ditanya oleh orang ramai mengapa isterinya tiba-tiba memakai purdah. Kalau tidak berjaya memujuk, banyakkan doa dan minta Allah tenangkan hati.

    ReplyDelete
  13. generasi MANS,
    Kasihanilah mereka kerana mereka masih jahil.

    ReplyDelete
  14. assalamualaikum....

    rasa terharu sgt baca citer kt atas...sya baru jer pkai purdah dlm bbrapa minggu...rasa bhagia sgt2..mula2 adik2 tk dpt nk trma..tp lama2 dorg ok..cm ibu n ayh jer blum tau...tk nk dorng terkejut...tp sya bg hint gak.sngkut purdah kat ruang tamu..harap allah lembut hati ibu n ayh..semoga allah permudahkan urusan di dunia dan akhirat..

    ReplyDelete
  15. waalaikumussalam shamiez,
    Ameen.. sabarlah dan berdakwahlah secara lemah lembut pada ahli keluarga. Kadang-kala ibu bapa tidak apa, tetapi jiran dan saudara mara yang banyak karenah. Satu ketika dulu, pemakaian tudung kepala dianggap hanya untuk golongan ustazah tetapi alhamdulillah sekarang ramai Muslimah yang bertudung, bukan.

    ReplyDelete