Tuesday, August 12

SUAMIKU GURUKU

Pernah kawan saya bertanya, " Adakah perbezaan di antara bersuamikan lelaki Islam dengan bukan Islam, dari segi pelaksanaan tanggungjawab dan keprihatinannya? Yalah, awakkan dah melalui kedua-duanya; perkahwinan dengan suami bukan Islam dan kini, bersuamikan lelaki Islam?"

Ermm, bagaimana nak jawab ya?
Bagi saya, lelaki yang bergelar suami tetap sama saja, walaupun berlainan agama. Keikhlasan hatinya terhadap isteri akan dapat dipamerkan dengan jelas kalau dia benar-benar kasih dan sayang akan wanita yang dipilihnya sebagai isteri. Isteri akan dapat merasai cintanya, dan orang sekeliling akan dapat melihat aura positif di antara mereka berdua. Komunikasi dua hala penting supaya rumahtangga tetap segar dan kukuh. Beza suami Islam dengan suami bukan Islam adalah ketaqwaan kepada Allah swt. Suami Islam yang juga mukmin akan berusaha membina rumahtangga bahagia dengan isteri berdasarkan ajaran Islam.

"Aliya, bagaimana nak nyatakan penghargaan kita kepada suami.. takkan nak sebut depan dia hari-hari?"
Saya ketawa. Saya ini berbangsa Cina dan orang Cin mengikut adat jarang meluahkan perasaannya secara terbuka, walaupun kepada orang yang terdekat dengannya. Nak suruh saya menyebut setiap satu penghargaan saya itu memang susah hendak saya lakukan. Paling mudah, ucap terima kasih atau thank you kepada si dia dengan jujur ikhlas laaa..

Hanya Allah swt yang tahu apa yang saya doakan setiap hari demi kebahagiaan rumahtangga kami berdua.
Saya tidak pernah menyangka akan bergelar isteri dengan begitu cepat setelah memeluk Islam kerana menyangka akan terus menjanda. Diri kurang bersedia memikul tanggungjawab baru sebagai isteri dalam keluarga Islam kerana berpendapat masih terlalu mentah dalam selok-belok berumahtangga dalam keluarga Islam.

Namun Dia sudahpun mempunyai rancanganNya untuk saya. Saya diizinkanNya melihat kelibat wajah suami sekarang dalam sebuah mimpi indah berkait dengan Islam, walaupun ketika itu saya masih teragak-agak untuk memeluk Islam. Saya dilindungiNya daripada gangguan lelaki lain sepanjang tempoh saya berseorangan setelah bergelar Muslimah sehingga pernikahan saya. Setelah bernikah, saya pula bermimpi kami berdua mengerjakan solat berjemaah sambil membaca surah al-Ikhlas.. alangkah indahnya.

Bukan mudah menjadi isteri kepada lelaki berkerjaya seperti suami saya ini. Saya hanya tahu dan cuba berdakwah melalui penulisan blog dan perbualan muka ke muka dengan orang perseorangan, manakala dia pula aktif dalam pelbagai bidang. Alhamdulillah, pengalaman hidup telah mengajar saya untuk mampu berdikari tanpa lelaki di sisi, dan tidak takut bermalam berseorangan di rumah apabila suami berurusan di tempat lain.

"Mengapa dia, bukan orang lain?" Mak pernah bertanya.
Mengapa dia? Jodoh di tanganNya, dan saya hanya menurut rasa hati. Kriteria yang saya cari ada pada padanya. Lelaki yang dipilih Allah adalah suami yang terbaik untuk saya. Alhamdulillah masa telah membuktikannya.
"Dia lebih sabar daripada ayahmu," komen Mak setelah memerhati menantunya sabar menunggu berjam-jam di hospital tanpa merungut atau bermasam muka.
"Dia memang bertanggungjawab," komen Mak lagi setelah seharian bersama kami dan melihat sikap menantu barunya itu terhadap saya.
Mak pada mulanya agak negatif terhadap perkahwinan kami. Syukurlah sekarang tanggapannya terhadap menantunya sudah berubah.

Suami saya juga merupakan guru, sahabat, mentor, kekasih dan teman saya yang paling akrab. Saya tahu saya tidak pandai meluahkan kata-kata romantik padanya muka ke muka. Saya orang sastera tetapi saya bukan pujangga, jauh sekali wanita yang pandai bermulut manis. Lidah saya kelu setiap kali hendak mengucapkannya. Namun begitu, saya amat menghargai segala sumbangan dan bantuannya, pengorbanan dan kesabarannya melayan kerenah saya ini kerana saya bukanlah wanita yang sempurna, juga masih berusaha menjadi isteri yang solehah.

Abang, susah senang telah dilalui bersama semenjak pernikahan kita. Semoga Allah swt memberkati perkahwinan kita dan semoga Islam terus menjadi tonggak rumahtangga yang kita bina ini. Maafkanlah segala kesilapan dan kelemahan isterimu ini. Terima kasih atas segala yang abang berikan kepada saya, wahai suamiku tercinta. Walaupun saya tidak pandai menunjukkannya seperti yang abang kehendaki, tidak bermakna saya tidak menghargainya :)

4 comments:

  1. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah...

    Gembira kerana si muallaf ini bahagia, apatah lagi setelah menjadi muslimah.

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum wbt..

    just like my father..
    i always tell ur story to may parents and perhaps my dad know ur hubby. he graduated Master of Science from UUM in 1996.
    Haha, who knows one day u may come to my house and get to know each other?

    em, thanx for the treat ya!
    wassalam

    ReplyDelete
  3. Humyrah, kebahagiaan rumahtangga bukanlah terletak pada harta dan bilangan anak tetapi keupayaan suami isteri untuk saling bantu membantu demi masa depan bersama. Akak amalkan 'Doa seorang isteri' :)

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam Syaima
    Ayaya.. what have you told your parents laa ,anak emas abah ni? InsyaAllah if Allah permits, we'd meet your parents in N9 one day.

    ReplyDelete