Wednesday, August 13

KONVEX & KITAR SEMULA

Ini expo konvokesyen saya yang ketiga... tahun 2006 sebagai tukang makan (cuba-cuba masakan adik-adik), tahun 2007 sebagai pemerhati (poket kosong ketika itu) dan alhamdulillah tahun ini sebagai graduan.

Perancangan Konvex semakin baik dari setahun ke setahun. Gerai-gerai yang dibuka di bawah pokok-pokok pukul lima bersebelahan dewan persidangan kelihatan kemas dan teratur. Bersesuaian dengan bulan Syawal tidak lama lagi, banyak gerai yang dibuka menjual baju dan tudung. Banyak juga promosi hasil industri tempatan.

"Wah, ramainya yang beratur membeli makanan vegetarian tu!"
Memang ramai mahasiswa-mahasiswi Cina yang beratur untuk membeli makanan di gerai itu.
"Mereka semua tu vegetarian kah?"
"Sebenarnya tidak. Mereka sanggup beratur panjang dan membeli makanan di gerai tu untuk menyokong usaha rakan-rakan persatuan mereka. Lagipun fikirkanlah, kalau mereka menjual makanan tidak halal, mungkin mereka tidak akan dibenarkan berniaga di sini."

Saya memandang sekeliling. Banyak gerai yang menjual makanan yang hampir sama iaitu nasi kerabu, nasi dagang, dan nasi ayam. Hasilnya terdapat gerai yang kurang dikunjungi pelanggan. Gerai yang lebih kreatif dan menjual makanan yang tersendiri seperti ais kacang dan laksa lebih sibuk daripada yang lain.

"Tak ada straw minuman?"
"Maaf kak. Sekarang straw dan kotak polisteren tidak dibenarkan di dalam kampus," terang seorang mahasiswa yang berniaga di situ.
Saya mengangguk. Sebenarnya saya terlupa bahawa USM telah berkempen mengharamkan penggunaan polisteren semenjak semester yang lalu. Kafe-kafe di dalam kampus tidak dibenarkan menjual makanan di dalam kotak polisteren. Hanya kotak daripada kadbod kitar semula yang berharga 20 sen setiap satu dibenarkan.

Di USM, bekas makanan polistren digelar 'the white coffin' atau "keranda putih" kerana mendatangkan banyak keburukan kepada kesihatan kita dan alam sekitar. Saya sendiri sudah biasa membawa bekas makanan tupperware ke kafe untuk membeli makanan dan dibawa pulang ke bilik asrama. Perubahan sikap bukan mudah tetapi mampu dilakukan. Sekarang saya melihat ramai adik-adik mahasiswa-mahasiswi universiti ini yang mengamalkan cara hidup yang lebih baik tanpa menggunakan bahan polisteren. Memang pada permulaan kempen kami merungut tetapi alhamdulillah setelah beberapa minggu kami sudah membiasakan diri hidup tanpa bergantung kepada polistren.

Semester ini pula kempen mengurangkan penggunaan beg plastik dilancarkan. Penggunaan beg plastik dan straw minuman yang kurang diperlukan tidak digalakkan. Walaupun penjualan air mineral dalam botol plastik masih dibenarkan, botol mineral tersebut tidak diedarkan lagi semasa mesyuarat atau aktiviti USM.
Kesan kempen dapat dirasai semasa konvex tahun ini. Tiada tong sampah disediakan di tapak konvex. Sebaliknya tong kitar semula untuk kertas, gelas dan aluminium diletakkan di tempat-tempat strategik di seluruh tapak konvex. Apabila saya tinjau ternyata orang ramai membuang bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong yang betul. Dalam tong untuk kertas misalnya, hanya bekas minuman kadbod yang dimasukkan ke dalamnya. Saya tidak pasti sama ada orang ramai akan menggunakan tong kitar semula tersebut dengan betul pada hari ini dan seterusnya sepanjang 4 hari konvokesyen. Kena tunggu dan lihat.

Sebagai bakal graduan USM yang telah didedahkan kepada bahaya penggunaan polisteren kepada diri sendiri dan alam sekitar, kini saya sendiri kurang selesa setiap kali menggunakan bekas minuman dan makanan daripada polisteren ketika menghadiri jamuan. Kempen ini harus diteruskan ke pusat pengajian yang lain.

No comments:

Post a Comment