Friday, August 29

SAKIT PUAN

"Baring. Saya nak buat ultrasound scan." kata doktor wanita itu. "Eh, ini dah teruk. Aliya kena rujuk ke doktor pakar di hospital. Kalau tidak keadaan kesihatan awak akan semakin buruk. Nanti saya tulis reference letter."

Saya tidak mampu bersuara. Tidak pernah saya sangka lawatan ke klinik sakit puan akan menghasilkan satu berita mengejut tentang kesihatan saya yang hanya menunjukkan masalah pada pertengahan bulan Jun tahun ini.

"Awak ada fibroid yang agak besar, yang menyebabkan awak menjadi anaemic. Kalau tak bedah, ia akan membesar dan menganggu kehidupan awak."
"Tapi saya tak rasa sakit pun, doktor. Hanya lemah badan kerana itulah."
"Awak bernasib baik kerana kedudukannya yang strategik itu tidak memberi kesakitan. Kalau tumbuh di tempat lain, sudah tentu sakit. Cuma awak akan terus "hilang darah" kecuali awak menjalani pembedahan."
Alhamdulillah. Segalanya telah diaturNya. Saya dirujuk terus kepada ketua doktor pakar sakit puan yang juga pernah menjadi rakan sekerja Mak. Terus doktor membuat appointment untuk saya menjalani pembedahan pada bulan September. Saya meminta tangguh memandangkan ia jatuh pada bulan Ramadhan. Oleh yang demikian, doktor suruh masuk wad selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri.
"Sementara menunggu tarikh pembedahan, saya akan beri awak 3 dos ubat untuk menahannya dari terus membesar. Mungkin boleh mengecutkannya supaya lebih mudah dibedah nanti."
Saya akur. Saya tiada pilihan lain.

Dos pertama yang bertindakbalas terhadap hormon badan menyebabkan keadaan kesihatan saya menjadi lebih teruk lagi. Bukan sahaja saya menjadi lebih anaemic, saya mengalami kejang perut setiap hari terutama pada waktu pagi selepas bangun dari tidur. Sakitnya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Mujurlah saya masih dapat ke sekolah, walaupun kadang-kala terlewat sedikit kerana perlu menunggu sakit itu beransur hilang sebelum boleh memandu. Memang lemah pada ketika itu. Namun hidup perlu diteruskan.

Dos kedua mengubah keadaan. Saya bertambah sihat. Bahan kimia dalam ubat itu menyebabkan hormon dalam badan saya berubah. Saya tidak memakai tuala wanita sepanjang bulan tersebut kerana tidak perlu. Oleh yang demikian saya semakin bertenaga kerana kadar hemoglobin meningkat sehingga pada zahirnya, saya kelihatan seperti seorang wanita yang sihat dan cergas.

Namun begitu, saya turut mengalami simptom seperti wanita yang dalam menopause.
Saya pernah menangis tanpa sebab, dan tanpa kawalan. Tiada butang untuk menghentikan tangisan itu jadi saya biarkan saja airmata itu mengalir sehingga henti dengan sendiri. Menyedari keadaan ini, saya kawal mood saya. Saya usaha agar tidak mudah menjadi orang yang reaktif kepada keadaan persekitaran. Saya belajar menyatakan perasaan dengan cara yang berhikmah supaya tidak kalah kepada keadaan mood yang tidak menentu ini. Bukan mudah tetapi saya sedang belajar. Walaupun apa pun, tidak adil sekiranya suami, ahli keluarga dan pelajar menjadi mangsa kepada mood saya. Alhamdulillah, saya dapati berzikir dan membaca al-Quran cara yang efektif untuk mengawal mood.
Saya mengalami kejang perut yang agak teruk setiap pagi, kesan daripada ubat
yang diambil. Sakitnya seperti senggugut walaupun diri tidak "datang bulan". Oleh kerana enggan bergantung kepada painkiller, terpaksalah bertahan sahaja sehingga sakit itu beransur hilang.
Saya turut mengalami gejala panas badan mendadak terutama pada waktu petang dan malam. Apabila mengadu kepada doktor biasa, saya diberitahu bahawa saya tidak demam. Suhu badan yang diambil dengan termometer menunjukkan bacaan biasa sahaja. Tidak pula dijangkiti demam denggi. Kemunginan besar itulah hot flushes yang sering dikatakan dalam risalah perubatan. Ini pengalaman baru.
Saya mendapati kulit badan lebih kering, maka perlu menyapu krim badan. Nak cantik kenalah lebih rajin dan lebih berdisiplin. Satu lagi pembelajaran baru.
Selera makan pula hampir hilang. Makan pun sekadar untuk mengisi perut dan terus bertenaga. Ermm, tak payahlah saya berdiet susah-susah sekarang.
Rupa-rupanya inilah keadaan yang dialami wanita-wanita yang sedang menopause. Allah SWT memberi saya peluang untuk mengalaminya untuk sementara waktu. Mungkin ada hikmahnya. Syukurlah selain daripada itu, saya tidak mengalami simptom-simptom yang lebih teruk.

"Oh, bagus. Saiznya sudah susut." menurut doktor yang membuat scan terbaru."Lebih mudah untuk membedah nanti."
Saya bersyukur. Tinggal satu dos ubat lagi sebelum menjalani pembedahan. InsyaAllah semua selamat.

Saya bersyukur kerana menjalani ultrasound scan. Kalau tidak, mungkin saya masih merana tanpa diberi rawatan yang sesuai. Setelah meninjau, rupa-rupanya menurut doktor pakar, hampir 40% wanita mengalami masalah ketumbuhan dalam rahim, fibroid atau endometriosis, tetapi bukan semua wanita menjalani rawatan perubatan. Ada yang tidak tahu dirinya sakit, dan ada yang takut menjalani pembedahan. Akibatnya mereka terus merana sakit senggugut dan tempoh haid yang lama tanpa menjalani rawatan. Ada pula yang menangguh rawatan sehingga keadaan menjadi lebih teruk sehingga rahim terpaksa dibuang semuanya. Alhamdulillah sebenarnya dengan kemajuan perubatan, teknik rawatan di hospital juga semakin canggih dan tidak membahayakan.

Saya tidak tahu mengapa saya hanya dikesan sakit ini pada waktu dan ketika ini. Mungkin inilah jawapanNya kepada doa saya. Mungkin inilah cara untuk membuka ruang yang ditutupiNya ketika saya bergelar isteri kepada lelaki
bukan Islam. Memang saya tidak pernah mengandung semasa perkahwinan yang pertama walaupun tidak pernah mengamalkan perancang keluarga. Sudah ditakdirkan saya tidak perlu bersusah hati berebut anak dengan bekas suami, kerana Allah SWT telah menentukan saya tidak melahirkan zuriat untuk dibesarkan sebagai bukan Islam.
Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.
Saya yakin keadaan akan bertambah baik selepas ini...insyaAllah.

5 comments:

  1. Assalamualaikum Aliya,

    Semoga akan terus kuat dan sabar dengan ujian ini. Selamat menghadapi Ramadhan al-Mubarak.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam Umi Jah,
    Alhamdulillah keadaan saya stabil. Tetap bersyukur,tetap bersyukur.. Seronoknya menunggu kedatangan Ramadhan. Semoga kita mendapat puasa yang makhbur

    ReplyDelete
  3. Glad to hear that the fibroid has become smaller. Anyway,selamat menyambut ramadan kali ini dalam keinsafan dan ketakwaan.Keep on writing, Aliya.

    ReplyDelete
  4. Salam,
    saya pernah melihat fibroid / sebarang ketumbuhan dirawat dengan sejenis herba (pokok kenerak) beserta air yang didoakan. InsyaAllah sembuh.

    Seorang ustaz dari darussyifa yang tinggal di puchong utama menjalankan rawatan ini.

    Utk makluman, kenerak juga digunakan secara tradisional utk rawatan untuk menyekat sel-sel malignan kanser.

    Cuba la telefon Ust. Arshad di Puchong Utama kalau berhajat utk mendapatkan rawatan secara doa dan penggunaan herba. Tel Ust Arshad: 012-3274927.

    Tiada caj bagi rawatan. Cuma kos herba sebanyak RM 30 sahaja (utk cover semula kos mendapatkan bekalan herba ini yang diambil dengan mengupah orang kampung menebang dan memproses pokok kenerak di kawasan hutan kelantan)

    Ikhtiar milik manusia. kesembuhan milik Allah SWT.

    -sheik-

    ReplyDelete
  5. Waalaikumussalam Sheik,
    Terima kasih kerana mengesyorkan herba tu. Kalau bukan kerana comment saudra, saya tak tahu pun wujudnya pokok ini. InsyaAllah saya akan berbincang dengan suami dulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya. Keadaan kesihatan tak menentu sekarang memang merimaskan, menambah stres. Alhamdulillah setakat ni masih boleh bersabar dan bertahan.

    ReplyDelete