Friday, August 1

CINTA MONYET BERGAYUT-GAYUTAN

"Apa dah jadi?"
Cikgu B menggeleng kepala, masam mencuka. Pelajar perempuan yang mengikutnya menundukkan kepala.
Saya meneliti kertas yang dihulurkan oleh Cikgu B. Wahh, romantik sungguh bahasanya. Saya tersengih membacanya.
"Saya suruh tulis karangan Bahasa Melayu dia tak nak buat. Ini pula kerjanya, menyalin ayat-ayat dari novel dan majalah, kemudian hantar kepada pelajar di Tahun 6 yang dia minat tu. Apalah nak jadi kepada budak sekarang.," rungut Cikgu B.

Ahhh, pelajar Tahun 4E. Baru 10 tahun, baru belajar menulis karangan. Namun hormon dalam badan mereka sudah meluap-luap menyebabkan mereka yang kurang bimbingan akan mula dihadapi masalah. Mereka sudah mula berangan-angan. Mereka mula belajar apa itu 'cinta', dan sudah mula belajar melafazkan 'sayang','cinta' dan sebagainya. Cinta acuan Barat. Bukan semua budak begitu tetapi sebilangan kecil seperti 'Si Anu" itu sudah cukup memeningkan kepala.

Itu cerita pelajar di sekolah rendah. Tak tahu tulis karangan tetapi sudah pandai menulis surat cinta. Lamunan cinta boleh menjadikan mereka berani, innovatif dan kreatif.

Kalau di sekolah menengah, fulamak... lebih dahsyat. Macam-macam cerita yang saya dengar dari rakan-rakan di sekolah lain. Kalau duduk dalam kelas, badannya sahaja yang masih di situ tetapi fikirannya melayang entah ke mana, mungkin ke alam awang-awangan yang digambarkan dalam filem Bollywood - hero dan heroine menari-nari berdua-duaan.
"Hello.. kamu di mana? Kenapa tersengih seorang diri?" saya menegur seorang pelajar yang secara tiba-tiba tersenyum gembira sedangkan saya sedang membincangkan perkara serius.
Dia tersipu-sipu malu. Merah padam mukanya.

"Pergi mana mereka berdua?" Pelajar perempuan yang meminta kebenaran ke tandas masih belum kembali walaupun meninggalkan kelas hampir 30 minit yang lalu.
"Cikgu, mereka pergi jumpa pakwe," komen seorang pelajar.
"Maksud kamu, mereka memang bukan ke tandas?"
"Mereka akan lalu kelas pakwe mereka, lalu mereka akan buat dating di tempat tersembunyi, cikgu."
"Bagaimana kamu tahu semua ni?"
"Mereka memang selalu begitu, cikgu. Kalau keluar kelas selalu lambat balik sedangkan tandas dekat saja."
"Cikgu, mereka tiada di tandas blok ini. Saya dah masuk semua tandas perempuan tetapi tak jumpa mereka."
Astaghfirullaziim... saya menarik nafas panjang. Tak benarkan keluar risau dia memang perlu ke tandas, kalau benarkan mungkin dia akan gunakan kesempatan untuk melakukan perkara yang tidak elok.

Kalau mereka anak orang kaya, kita mudah menyalahkan kekayaan sebagai punca kerosakan akhlak anak-anak. Kalau mereka anak Cina, India atau Iban, kita mudah menyatakan sebab didikan agama mereka berbeza. Jikalau mereka itu anak orang Islam, bagaimana? Orang Islam, khasnya orang Melayu yang sudah terkenal dengan sifat malu dan budi bahasa yang tinggi sejak zaman-berzaman. Bukan semua lelaki yang terlibat dalam wabak ini; perempuan pun tidak kurang hebatnya walaupun bertudung dan berbaju kurung di sekolah. Malu saya sebagai orang Islam melihat kesilapan yang mereka lakukan.
Seperti isu menutup aurat, saya sudah beberapa kali ditanya mengapa masalah sosial melanda orang Melayu Islam sedangkan agama Islam jelas melarangnya. Isu remaja Melayu yang jauh menyimpang dari ajaran Islam sering diperkatakan orang bukan Islam, seolah-olah Islam masih banyak kelemahannya. Nak kata apa? Memang ada umatnya yang lemah. Pengajaran tentang cara bercinta acuan Islam jarang pula diajarkan kepada anak-anak kita, baik di rumah mahupun di sekolah. Akhirnya ramai yang terkapai-kapai dan sesat mengikut arus cinta remaja acuan orang Barat sebab itu sahaja yang mereka tahu. Filem dan drama Melayu serta Indonesia yang hangat ditonton remaja kita pula seolah-olah mengiakan anggapan bahawa 'tidak salah bercinta romantik di antara lelaki dan perempuan'.

"Tak tahulah apa nak jadi ni.. dunia dah nak kiamat agaknya," keluh ustazah.
Demi cinta, orang sanggup membuat apa sahaja. Tambahan anak remaja yang baru hendak mengenal dunia yang sebenar. Dahulu ketika usia mereka, saya tak berani pun mendekati lelaki; takut dan malu. Kini saya lihat terdapat pelajar perempuan saya yang cukup rapat dengan pelajar lelaki. Mereka mudah ditipu dengan pujuk rayu, dan didekati dengan sedikit hadiah serta ucapan romantik. Maruah dan harga diri seperti tidak berharga.

Di manakah silapnya? Silap ibu bapa yang sibuk mencari nafkah sehingga kurang masa mendidik anak-anak di rumah tentang tatasusila dan maruah diri? Silap guru yang menguruskan hampir 90 pelajar selama 7 jam setiap hari? Atau silap pelajar itu sendiri, yang kurang bimbingan dan didikan agama sehingga tidak tahu membezakan baik dan buruk? Atau silap program TV yang sering memaparkan kisah-kisah cinta remaja yang diimport dari Indonesia, dan digemari pelajar Melayu? Silap kerajaan kerana tiada penekanan kepada pendidikan agama yang merangkumi pendidikan pra-perkahwinan dan bahaya seks sebelum kahwin?

Orang melayu ibaratkan cinta remaja sebagai cinta monyet. Perhatian monyet tidak berkekalan. Dapat yang baru, yang lama ditinggalkan.
Orang Inggeris memanggilnya puppy love, cinta anak anjing. Apabila anak anjing semakin membesar, hilanglah comelnya, maka hilanglah perasaan sayang padanya.
Semuanya hanya suka-suka dan tak tahan lama.
Masalahnya mereka bukan haiwan. Mereka yang bercinta monyet itu anak-anak kita. Dahulu zaman P.Ramlee, bercinta hanya berpegang tangan dan mengutus surat. Sekarang bercinta zaman IT bukan sekadar itu; ia mudah merebak dan beranak-pinak seperti virus sehingga ada yang sudah berani melampaui batas-batas agama - semua kerana 'saya cinta mu, buktikan cinta itu...berkorban apa saja'.

"Ishhh... itulah silap mak bapa. Tak ajar anak dengan betul. Bagi pakai baju ketat dan singkat. Tak malu!"
Saya mendiamkan diri.
Apa yang akan dikatakan sekiranya anak yang dicemuh itu anak sendiri - di hadapan mak bapa baik dan nampak alim, di belakang merekalah romeo dan juliet.
Pastikah kita 100% anak dan keluarga kita tidak terjebak dalam masalah sosial ini?

1 comment:

  1. Menyebabkan saya risau akan anak saya. Mampukah saya mendidiknya...?

    ReplyDelete