Friday, July 18

SEMOGA ROHNYA DICUCURI RAHMAT

Innalillahi wainna ilaihi roji'un...

Dari Allah kita datang,
kepada Allah kita kembali..

Saya tersentak apabila membaca pos dalam blog seorang cikgu bekas sekolah saya.
Cikgu R (Rosli) yang pernah saya ceritakan dalam pos yang lalu (http://pukullima.blogspot.com/2008/06/membaca-yassin.html sudah kembali ke rahmatullah. Sakitnya sudah lama tetapi doktor yang memeriksa menyatakan bahawa dia mengalami sakit urat sahaja. Namun sebenarnya dia menderita penyakit kanser kolon dan hati dalam stage 4 dan hanya diketahuinya pada bulan lalu. Pada 16 Julai, dia berada dalam keadaan koma.Pada senja hari itu juga, Cikgu Rosli menghembuskan nafas akhirnya di hospital.

Seluruh warga sekolah terkejut mendengar berita kematiannya. Saya hanya mengetahuinya hari ini apabila membaca blog cikgu sekolah tersebut. Wajah tenang Cikgu Rosli masih terbayang-bayang dalam kenangan saya ketika dia makan semeja dengan saya di kantin sekolah.

"Cikgu dah lama sakit? "
"Lama gak. Tapi baru-baru ini lebih teruk dari biasa. Sakit satu badan sampai tak boleh tidur. Malam-malam duduk perhati jam di dinding, 1 pagi..2 pagi..3 pagi.. seksa tak dapat tidur kerana terlalu sakit."
"Oh teruk la begitu.. Apa kata doktor?"
"Doktor masih belum pasti penyakit apa."
Kelihatan Cikgu Rosli yang hampir sebaya dengan saya itu berjalan perlahan-lahan seolah-olah dia menanggung kesakitan pada setiap langkah yang diambilnya. Namun dia tetap sabar, walaupun wajahnya jelas menunjukkan bahawa dia tidak selesa. Suaranya perlahan. Raut wajahnya tenang. Cikgu-cikgu dan pelajar menggelarnya sebagai seorang 'gentleman'.

Cikgu Rosli, guru Bahasa Melayu, sering tidak hadir ke sekolah kerana sakit. Oleh yang demikian, pihak seolah telah meminta bantuan saya menggantikan tugasnya sebagai pengacara majlis.
"Cikgu, nak minta tolong... boleh bantu saya sediakan teks?"
"Ya, nanti saya siapkan. Sepatutnya saya yang menjadi pengacara majlis Hari Guru tetapi saya kurang sihat. Terima kasih kerana cikgu Aliya sanggup mengganti tempat saya."
"Sama-sama, cikgu. Harap Cikgu Rosli tolong sediakan teks terutamanya untuk permulaan majlis. Faham-faham sajalah saya ni bukan cikgu yang mahir berbahasa Melayu. Takut tersilap bahasa pula."
Keesokan harinya, Cikgu Rosli memberikan saya teks yang sudah dirangkanya.
"Ini teksnya.. Yang selebihnya cikgu bolehlah tambah sendiri."
"Terima kasih," saya membaca tulisan cantik Cikgu Rosli dengan teliti. Memang dia pandai mengarang. Patutlah dia dipilih menjadi pengacara majlis di sekolah.

Saya tidak pernah menyangka bahawa itulah kali terakhir saya berbual dengan Cikgu Rosli. Dia sudah tidak ada lagi di dunia ini. Kasihan isteri dan anak-anaknya yang masih kecil. Semoga mereka bersabar menghadapi ujian ini. Semoga Allah swt menempatkan roh arwah Cikgu Rosli bersama orang2 mukmin. Ameen.
Al-Fatihah..

image: http://www.herbalfire.com/images/jasmine-flower.jpg

No comments:

Post a Comment